Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Wang Ehsan: Kesinambungan Penyelewengan PPRT

Kuala Terengganu - Program Pembiayaan Wang Ehsan (PPWE) hendaklah disalurkan kepada kerajaan negeri supaya ia dapat dibahagikan secara adil kepada rakyat yang berhak menerimanya.

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Haji Muhyidin Abdul Rashid berkata, jika bantuan itu disalurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), maka selama itulah keadilan tidak boleh dilaksanakan.

Katanya, sejarah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) telah membuktikan bahawa pemimpin Umno, termasuk JKKK, tidak dapat melakukan keadilan dalam membahagikan peruntukan itu.

"Hari ini, apa yang dikatakan bantuan menerusi PPWE di negeri ini sekali lagi berlaku penyelewengan yang dilakukan oleh JKKK," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Umno negeri, Dato' Idris Jusoh, yang meminta JKKK berlaku adil dalam memilih penerima bantuan menerusi PPWE.

Idris dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar semalam berkata, pihaknya menerima aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kaedah pemilihan yang dibuat oleh JKKK untuk menerima bantuan wang ehsan itu.

Katanya, kerajaan mengeluarkan garis panduan kepada semua JKKK supaya menilai dengan adil status penerima bantuan itu supaya yang layak dapat menerimanya sebelum hari raya, tetapi ramai penerima yang layak tidak dipilih.

Sehubungan itu, Idris meminta ahli JKKK di negeri ini supaya berlaku adil dalam memilih para penerima wang tersebut.

Muhyidin berkata, Idris sepatutnya belajar daripada sejarah penyelewengan peruntukan PPRT di negeri ini yang tidak diagihkan secara adil oleh JKKK pada tahun 1998 yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Katanya, dalam laporan itu disertakan gambar seorang ahli JKKK di daerah Setiu yang memiliki banglo turut dipilih menjadi peserta PPRT dan diberikan rumah di bawah skim PPRT.

"Maka tidak pelik, ramai penerima wang ehsan terdiri daripada golongan berada yang sudah jelas tidak layak, bahkan mereka pergi mengambil wang itu dengan menaiki kereta atau kenderaan sendiri," ujarnya.

Baginya, apapun bentuk pengagihan atau bantuan yang disalurkan kepada orang ramai melalui pemimpin Umno dan JKKK tidak mungkin dapat dilakukan secara adil kerana penyelewengan sudah menjadi tradisi bagi mereka.

Katanya, aduan orang ramai mengenai penyelewengan dalam pembahagian wang ehsan bukan sahaja datangnya daripada orang berhak menerimanya, tetapi turut diperkatakan di kalangan ahli-ahli Umno sendiri.

"Ini jelas menunjukkan bahawa pemberian bantuan wang ehsan itu bukan sahaja tidak adil, tetapi turut dibantah oleh kebanyakan ahli Umno, terutama mereka yang layak tetapi dinafikan hak mereka," katanya.

Katanya lagi, hanya kerajaan negeri sahaja yang mampu melaksanakan pembahagian wang itu secara adil melalui Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) dan sewajarnya diserahkan kepada kerajaan negeri untuk mengagihkannya kepada rakyat yang berhak.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 22 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com