Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


KEGANASAN AWAM DAN KEGANASAN NEGARA

Baru-baru ini Nelson Mandela, ketika berucap di sebuah universiti di England, mengingatkan pendengarnya bahawa beliau pernah dituduh sebagai pengganas dan ditahan selama 27 tahun. Kita semua ketahui tentang ini. Kita mengetahui juga, selepas bebas beliau dipilih menjadi Presiden Afrika Selatan, dan kini dianggap sebagai seorang pemimpin teragung dalam dunia.

Sebenarnya Mandela seorang pejuang pembebasan. Beliau berjuang untuk membebaskan rakyat Afrika Selatan kebanyakannya berkulit hitam, yang dianggap hina dan sering dizalimi serta ditindas oleh segelintir kecil orang berkulit putih, yang memonopoli kuasa, kekayaan dan martabat. Golongan berkulit putih ini mempertahankan kedudukan utama mereka dengan menjalankan dasar Apartheid.

Oleh kerana tidak wujud keadilan, demokrasi serta kebajikan bagi rakyat ramai, mereka berontak. Ruang untuk berjuang mengikut undang- undang melalui pilihanraya tertutup. Lagi pula hak asasi mereka sering dicabul. Mudah saja mereka diganasi atau ditembak mati oleh polis kerana berhimpun secara aman.

Senang juga mereka disumbat ke dalam penjara tanpa bicara kerana menyuarakan pendapat berbeza.

Gerakan pembebasan yang dipimpin Mandela mempunyai satu sasaran penting, iaitu meruntuhkan sistem Apartheid yang sangat zalim itu. Oleh itu mereka memerangi pemimpin-pemimpin besar yang menggunakan sistem ini, dan bertempur dengan angkatan bersenjata yang menjadi alat kepada regim Apartheid. Sasaran mereka bukanlah rakyat biasa yang tidak berdosa.

Walaupun Mandela serta gerakannya memperjuangkan pembebasan, namun ada juga individu atau kumpulan dalam gerakan itu yang bertindak terlanjur sebab kekurangan atau ketiadaan disiplin. Mereka (individu dan kumpulan ini) ada kala melepaskan kemarahan dan bertindak ganas sehingga mengakibatkan kesengsaraan kepada rakyat ramai yang seharusnya tidak menjadi sasaran mereka. Kerana mereka melakukan keganasan, maka mudah saja mereka dituduh sebagai pengganas.

Yang selalunya menuduh dan menghukum Mandela dan gerakannya sebagai pengganas ialah golongan kecil yang berkuasa terus dengan melanjutkan sistem Apartheid tadi. Sistem ini memang tidak berperikemanusiaan. Untuk mempertahankan sistem ini, golongan tersebut sering bertindak dengan zalim dan ganas. Mereka membunuh, menyeksa dan memenjara penentang-penentang politik mereka. Ada kala tempat kediaman dan kampung para penyokong musuh mereka dimusnahkan.

Dari sini kita melihat dua jenis pengganas, kerana keganasan yang mereka lakukan. Satu boleh kita gelar sebagai "pengganas awam", yang terdiri daripada individu atau kumpulan orang awam. Yang kedua boleh kita gelar sebagai pengganas negara", terdiri daripada pemerintah yang menggunakan alat-alat negara. Ada kala pengganas negara lebih bahaya dan lebih buruk akibatnya daripada pengganas awam, kerana ia mempunyai alat kelengkapan yang canggih dan kakitangan yang lebih tersusun.

Perdana Menteri Malaysia,Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sudah banyak kali menyebut Israel sebagai sebuah negara pengganas. Ini memang tepat. Lebih 40 tahun dulu, dengan restu daripada kuasa-kuasa besar termasuk AS, Britain dan Russia, negara Israel telah dibentuk. Didorong oleh ideologi Zionisme, yang bercita-cita hendak meluaskan lagi negara Israel, para pemimpin Israel berlaku ganas dan zalim dengan merampas tanah serta rumah penduduk Arab dan menghalau mereka sehingga menjadi orang pelarian.

Sehingga sekarang keganasan negara yang dilakukan oleh Israel berterusan.

Sejak peristiwa September 11, keganasan mereka ke atas rakyat Palestin semakin meningkat. Beberapa kawasan Palestin telah diceroboh masuk. Masjid Aqsa seolah-olah semacam sudah ditawan. Saban hari kita mendengar kanak-kanak, wanita dan orang tua mati atau cedera akibat tembakan askar Israel. Kononnya, mengikut Israel, mereka ini mangsa kebetulan yang tidak dapat dielakkan semasa menyerang ketua-ketua gerakan pembebasan Palestin yang mereka anggap sebagai pengganas.

Kini Israel dipimpin oleh Sharon selaku Perdana Menteri. Beliau terkenal sebagai seorang Zionis yang, sewaktu menjadi Menteri Pertahanan Israel pernah memerintah serangan ke atas kawasan pelarian Palestin di Shubra dan Shatila, sehingga mengakibatkan beratus-ratus orang yang tidak berdosa terkorban. Dengan tindakan ini, Sharon sudah pasti berkelayakan digelar sebagai kepala pengganas. Mengapakah Presiden Bush dan Perdana Menteri Blair tidak pernah mahu mengutuk beliau dan negara Istrael sebagai pengganas?

Sebaliknya, yang sering dituduh sebagai pengganas, ialah rakyat Palestin yang ingin pulang ke tanah tumpah darah mereka, bercita-cita mendirikan negara Palestin dengan Baitul Muqaddis sebagai ibu negara, dan tidak mahu lagi dihalau, diburu dan dibunuh. Mereka sedar bahawa, malangnya, Israel boleh terus bermaharajalela oleh sebab pemerintahan Bush dan pemerintahan Blair mempunyai kepentingan politik, ekonomi dan ketenteraan untuk terus menyokong negara pengganas itu.

Nasib yang ditanggung oleh rakyat Palestin hari ini semakin teruk. Akan tetapi keprihatinan kuasa-kuasa Barat dan liputan media mereka tidak sebesar yang sepatutnya, kerana tumpuan kepada sasaran mereka di Afghanistan. Peristiwa September 11 telah dikutuk hampir seluruh dunia kerana keganasan yang berlaku. Ini memang sewajarnya. Akan tetapi, serangan bom AS ke atas Afghanistan, tidak seluas itu sokongannya. Dr Mahathir, yang turut menyokong pakatan menentang keganasan yang dipimpin Bush, tidak bersedia menyokong pengeboman ke atas Afghanistan.

Ada pihak yang sudah mulai menganggap bahawa AS sudah mendedahkan lebih banyak lagi ciri sebagai sebuah negara pengganas. Ini bukan semata-mata kerana bom-bom yang digugurkan telah membunuh beratus- ratus orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita. Lebih-lebih lagi kerana AS tergamak menggugurkan cluster bomb" dan "daisy cutters".

Bom "cluster" tidak meletup bila jatuh ke bumi akan tetapi meletup hanya bila disentuh. Ini berbahaya kerana bom itu berwarna kuning, sama warnanya dengan warna bekas makanan yang digugurkan. Pemotong "daisy" itu pula ialah sejenis bom yang mengeluarkan beratus- ratus senjata tajam yang berterbangan ke semua penjuru dan boleh memotong apa saja setinggi lutut. Kedua-dua bom ini boleh membunuh atau mencederakan siapa saja.

Selain itu, pihak CIA telah mempengaruhi lebih 30 buah negara supaya menahan kira-kira 360 orang yang disyaki – hanya disyaki – sebagai terlibat dengan Al-Qaeda ataupun serangan ke atas PWTC dan Pentagon. Pihak FBI (yang beroperasi dalam negeri) telah menangkap lebih 1000 orang di AS yang disyaki atas perkara yang sama. Kebanyakan mereka ini orang bukan orang Amerika dan beragama Islam, walaupun ada maklumat yang mengatakan lebih kurang 50 orang Yahudi juga telah ditahan.

Mereka ini tidak akan mendapat keadilan yang sebenarnya. Ini ialah kerana Bush telah meluluskan satu undang-undang baru yang membenarkan mereka ini dibicarakan secara tertutup oleh mahkamah yang menyerupai mahkamah tentera (court martial). Bahkan mereka boleh ditahan beberapa waktu tanpa bicara.

Sebagai orang asing, mereka dianggap tidak perlu diberikan keadilan serupa yang diberikan kepada rakyat AS sendiri. Beberapa buah akhbar terkenal di AS menuduh bahawa sekarang ini Bush sudah mulai bertindak sebagai diktator.

Mengapakah Mahathir, yang selalu berlagak sebagai anti-AS dan anti penjajahan bentuk baru tidak mengangkat suara untuk membantah AS yang semakin memperlihatkan sifat-sifat negara pengganas itu? Kita memuji keberanian Mahathir mengutuk keganasan Sharon dan Israel. Mengapakah sehingga ini beliau bungkem saja terhadap kezaliman Bush dan AS? Adakah perkembangan di AS dan tindak tanduk Bush itu menolong menguatkan lagi kedudukan Mahathir dan BN?

Tidak dapat dinafikan bahawa peristiwa September 11, pembentukan pakatan anti keganasan dan serangan bom ke atas Taliban, telah mempunyai kesan menimbulkan kepercayaan terhadap Mahathir di kalangan kebanyakan bukan Melayu/Islam. Dipengaruhi oleh propaganda pihak- pihak tertentu di Barat dan juga dalam negara, terutama sekali melalui media, mereka menganggap bahawa Islam mempunyai erti yang sama dengan keganasan.

Sebahagian mereka merasa lega kerana kononnya Mahathir bertindak tegas terhadap jenis keganasan yang mengancam ini. Mereka tidak menyoal sama ada penahanan di bawah ISA yang dikenakan ke atas beberapa orang aktivis politik muda yang dituduh terlibat dengan keganasan itu adil atau tidak, berasas atau tidak. Pada masa yang sama, kritikan dari luar negeri, terutama AS, terhadap ISA sekarang ini berkurang, kerana bukankah AS sekarang ini menggunakan undang- undang yang tidak kurang zalimnya daripada ISA?

Peristiwa September menjadikan Israel negara pengganas yang lebih zalim.

Ia memberi peluang kepada Bush menajamkan kuku besinya dan menguatkan sifat-sifat negara pengganas bagi AS. Kita harap Mahathir tidak akan mengambil kesempatan pula darinya untuk mengikuti jejak Bush. Kegiatan pengganas awam tidak harus dijadikan alasan untuk mendirikan atau menguatkan negara pengganas pula.

Artikel Suara PRM Bil 18 (10 Disember 2001)






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com