Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Genap 6 bulan di Kem Tahanan Kamunting

Lawatan ke-27 kali ini juga menyambut genap 6 bulan Saari ditahan tanpa bicara di Kamunting. Dato' Profesor Hamdan Adnan sebagai Pesuruhjaya SUHAKAM telah melawat Kem Tahanan Kamunting pada 26 November 2001 dan telah masuk menemui Saari dan Lokman di blok selama 15 minit. Saari sempat merakamkan pendirian beliau tentang penahanan beliau seperti yang dinyatakan dalam Representasi kepada Lembaga Penasihat Kamunting pada 9 dan 11 September 2001. Beliau menegaskan bahawa jika beliau masih terus ditahan maka jelaslah bahawa tempat ini (Kamunting) dan ISA hanyalah dikekalkan semata-mata untuk mengekalkan kuasa UMNO di dalam kerajaan. Tidak ada apa pun yang SUHAKAM boleh buat.

Kami bersyukur kepada Allah yang telah memudahkan kami menerbitkan Representasi Saari ke dalam bentuk buku dalam dua jilid yang bertajuk "Suara Dari Kamunting 1" dan "Suara Dari Kamunting 2". Inilah antara usaha dan kempen untuk kita sampaikan kepada rakyat agar tidak terus ditipu oleh pemimpin Barisan Nasional yang memperalatkan polis dan ISA demi mengekalkan kuasa mereka dan menyembunyikan penyelewengan yang mereka lakukan terhadap rakyat. Saari dan lima tahanan politik yang lain adalah nyata mangsa penyelewengan ini. Kami dan keluarga mereka juga adalah mangsa kezaliman ini.

Pertemuan kali ini memberi ruang untuk kami bercerita lebih kepada beliau kerana banyak yang berlaku sebelum lawatan kali ini. Beliau bertanya mengapakah kami sampai lewat ke rumah selepas melawat beliau pada hari Isnin minggu lepas. Saya tidak menceritakan kepada beliau melalui surat ke mana kami pergi setelah berjumpa beliau pada hari 26 November 2001.

Oleh kerana hari itu hari Isnin, maka kami telah singgah di IPD Taiping untuk berjumpa dua orang Inspektor untuk menyampaikan buku "Bidak di Papan Catur" karangan Raja Petra yang saya terjemahkan ke Bahasa Malaysia. Kedua-dua inspektor ini terlibat dengan penangkapan saya semasa Perhimpunan Aman sempena 100 hari tahanan politik ISA yang diadakan di depan Kem Tahanan Kamunting pada 15 Julai 2001. Saya tidak berdendam kepada mereka kerana mereka hanyalah menurut arahan malah mereka adalah saudara saya se Islam. Salah seorang daripadanya, seorang inspektor wanita memeluk saya dan amat gembira melihat saya dan beliau sangka saya sudah melupakannya. Mungkin beliau cuba memahami perasaan seorang isteri yang dipisahkan daripada suami dengan zalim dan kekuatan serta keberanian isteri yang setia dan kasih kepada suaminya memperjuangkan kebebasan suami yang terpenjara. Buku itu yang merupakan afidavit, saya sampaikan agar mereka tahu apakah sebenarnya yang disoal-siasat oleh Polis Cawangan Khas terhadap suami saya dan sembilan rakan-rakannya yang lain yang difitnah oleh Ketua Polis Negara dengan menuduh mengancam keselamatan negara.

Cadangan saya hanya untuk menyampaikan sahaja buku tersebut menjadi satu perbualan panjang. Saya bersyukur mereka tetap menerima saya sebagai sahabat dan bukan lawan kerana saya yakin jika semua anggota polis menghayati tuntutan agama "amar maaruf nahi mungkar" maka anggota polislah yang saban hari menjalankan amanah tersebut. Polis Diraja Malaysia telah menerbitkan satu buku panduan agama yang menyentuh semua aspek Islam iaitu buku yang bertajuk "Manusia dan Islam" diterbitkan pertama kali pada tahun 1985. Buku yang begitu tebal sekali diusahakan penulisannya oleh sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada Dr. Haron Din sebagai Ketua Sidang Pengarang, Ustaz Sulaiman Yasin, Ustaz Hasan Salleh dan Drs. Sidi Ghazalba. Saya harap buku ini benar-benar menjadi pegangan mereka. Jika ada anggota polis yang belum melihatnya, yang di kulit depannya siap berlogo "Sedia Berkhidmat" saya kira saya boleh meminjamkannya, insya-Allah.

JIM yang mengadakan Perhimpunan Perwakilan Nasional yang ke-11 merasa syahdu tanpa Saari di tempat duduk yang mereka sediakan untuk beliau. Di sinilah kami bertemu sahabat-sahabat yang jauh dan lama tidak berjumpa. Saya dan anak-anak mengucapkan penghargaan atas ingatan dan sokongan yang diberikan dan berkongsi pengalaman pahit dan perjuangan menuntut keadilan dan kebebasan suami saya yang dipenjarakan dengan tidak adil sama sekali. Kata-kata Rasulullah s.a.w. mereka hayati "Kamu umat Islam adalah bagaikan satu anggota badan, satu rasa sakit yang lain juga turut merasa sakit."

Di Kamunting kali ini kami menyampaikan nasyid JIM yang baru dilancarkan, tetapi korusnya sahaja (kerana belum lancar yang lain) yang berbunyi:

Islah, Islah membawa perubahan,
Demi kebenaran dan keadilan,
Al Qur'an As Sunnah menjadi pegangan,
Moga Islam kembali gemilang

Semoga Ramadan ini membulatkan keazaman kita hidup di bawah naungan Al-Qur'an- di bawah payung bimbingan As-Sunnah, amal kita diberkati Allah dan dimartabatkan Allah iman dan pengorbanan kita di jalan-Nya.

Kami do'akan agar JIM terus mengorak langkah berbakti kepada ummah dan menegakkan kebenaran dan keadilan atas dasar prinsip yang benar. Semoga Allah rahmati semua pendokong-pendokong kebenaran dan disatukan tekad perjuangan kita untuk menentang kezaliman di Malaysia tercinta ini.

Aliza Jaffar
(Isteri Saari Sungib)
3 Disember 2001






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com