Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Perutusan Hari Raya Aidil Fitri oleh Ketua Dewan Muslimat Pas

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Selamat menyambut Aidil Fitri al-Mubaraq kepada muslimin dan muslimat yang dikasihi sekelian. Semoga Allah SWT sentiasa memberkati hidup kita semua. Setelah sebulan kita dengan izinNya berada di madrasah Ramadhan, apakah yang kita rasai? Adakah kita merasakan bahawa kita telah merdeka tanpa batasan dan boleh melakukan apa saja yang kita sukai? Jika demikian yang dirasakan sebenarnya Ramadhan tidak melatih apa-apa kerana mungkin kita tidak menghayatinya sebagaimana yang sepatutnya.

Maka rugilah kita sebagaimana yang telah diungkapkan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa tiada ganjaran apa-apa bagi orang-orang berpuasa sedemikan melainkan hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.

Umat Islam di zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya telah memasuki Ramadhan dengan penuh penghayatan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Mereka menghayatinya dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah SWT selama sebulan. Mereka keluar dari Ramadhan dengan kembali kepada fitrah insaniah. Mereka menjadi insan yang merdeka dari segala bentuk penghambaan terhadap dunia dan segala isinya. Mereka menghilangkan semua bentuk dominasi kecuali tunduk terhadap dominasi Allah SWT. lalu mereka sanggup memerangi kebatilan tanpa ragu-ragu hanya kerana Allah semata-mata.

Justeru itu mereka adalah generasi contoh dan generasi insan yang terpilih sebagaimana yang telah digambarkan oleh al-Quran seperti berikut:“ Kamu (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan kamu beriman kepada Allah..” Ali Imran – ayat 110.

Demikianlah manifestasi amanah dan tanggungjawab yang telah ditentukan kepada kita, para pejuang kebenaran dan pewaris perjuangan Rasulullah s.a.w. Ianya bukanlah satu tugas yang ringan dan mudah tetapi satu tugas dimana mahkluk Allah yang lebih besar daripada kita tidak mampu untuk memikulnya sebagaimana yang telah dirakamkan oleh al-Quran seperti berikut:“ Sesungguhnya Kami telah bentangkan tanggungjawab amanah kami kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya) Maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya dan manusia sanggup memikulnya.

(Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkar-perkara yang tidak patut dikerjakan.” Al-Ahzab – ayat 72.Amanah Allah ini mestilah kita pikul dan laksanakan dengan serius dan bersungguh-sungguh. Jika tidak buruk padahnya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:“ Kalau sekiranya kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung nescaya engkau melihat gunung itu khusuk serta pecah-belah kerana takut kepada Allah dan (ingatlah) misal-misal perbandingan ini kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya.” Al-Hashr – ayat 21.

Kenapakah gunung yang begitu gagah dengan batu-batu pejalnya yang menjadi pasak bumi akan hancur berkecai apabila diturunkan al-Quran (wahyu) ini kepadanya? Jelaslah bahawa ia terlampau takut kepada Allah dan kemurkaanNya andainya amanah itu tidak dapat disempurnakan dengan sebaik-baiknya. Oleh itu peristiwa tersebut hendaklah jadi bahan renungan dan pemikiran serius kita yang akan mengoptimumkan gerak kerja kekhalifahan insan ini tanpa alasan dan kemalasan dengan berpandukan al-Quran sebagaimana tuntutan Allah s.w.t. seperti berikut:“ Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan (turutlah terus) agama Allah iaitu agama yang Allah ciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya lagi) untuk menerimanya, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu. Itulah agama yang betul lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.” Ar-Rum – ayat 30.

Selanjutnya kita hayati sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:“ Iman itu tidaklah (cukup) dengan berangan-angan dan berkata-kata sahaja akan tetapi mestilah dengan keyakinan yang bulat di hati dan diikuti dengan amalan-amalan yang sesuai dengan iman itu.” - Muttafakun ‘alaihi.

Insan yang keluar dari madrasah Ramadhan juga tidak lupa kepada saudara-saudaranya umat Islam sedunia sebagaimana yang tercatat di dalam al-Quran:“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara.” al-Hujurat – ayat 10.

Marilah bersama-sama kita menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap kekejaman dan tindakan tidak bertamadun serta keganasan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat di bumi umat Islam Afghanistan. Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat merupakan pengisytiharan perang ke atas Islam dan umat Islam. Usamah bin Laden dan pergerakan al-Qaedahnya hanyalah kambing hitam bagi membenarkan tindak-tanduk yang ganas dan biadap di bulan Ramadhan itu. Sesungguhnya Amerika Syarikat juga adalah pengganas utama dunia masa kini dan juga penyokong kuat pengganas Israel yang bermaharaja lela di bumi umat Islam Palestin. Malah sejarah telah membuktikan bahawa pengganas Amerika Syarikat telah melakukan banyak kekejaman di bumi umat Islam lainnya seperti Iraq, Iran, Sudan, Libya dan sedang dipujuk oleh Presiden Gloria Macapagal Arroyo untuk bertindak terhadap umat Islam di negara jiran kita Filifina. Akhirnya mungkin mereka sedang mencari-cari helah untuk menghadapi kita pula di Malaysia ini. Marilah kita bersatu padu memboikot barangan Amerika Syarikat yang sememangnya ada yang sudah sebati dengan kehidupan seharian kita.

Kita juga telah dihidangkan dengan polemik pengisytiharan “negara Islam” di suasana kita sedang menghayati Ramadhan. Seolah-olah cukuplah dan memadai dengan pengisytiharan tersebut Islam telah terlaksana. Apa yang sebenarnya terjadi hanyalah label Islam ataupun satu tanggapan umum dunia bahawa negara yang mempunyai pemimpin dan rakyat majoritinya Islam boleh dipanggil sebuah negara Islam – iaitu “Muslim state” bukan “Islamic state”. Pengisytiharan tersebut sama juga jika misalnya Albania sebuah negara di Eropah Timur dengan pemimpin dan majoriti rakyatnya orang-orang Islam membuat pengisytiharan juga bahawa negara mereka adalah negara Islam, sedangkan anutan dan ideologi negara itu adalah kominisme yang menganggap semua agama adalah sama dan candu masyarakat sahaja.

Kita sebenarnya perlulah mencontohi “Islamic state” yang pertama yang ditegakkan oleh Rasulullah s.a.w. di Madinah dengan Piagam Madinahnya dan Perjanjian Hudaibiyahnya serta ciri-ciri masyarakat majmuknya. Negara Islam Madinah lengkap menghayati Islam sebagai ad-din dari semua sudut baik kehakiman dan undang-undangnya serta semua bentuk kenegaraan dan kemasyarakatan.

Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah s.w.t supaya diberikan kekuatan kepada kita dan seluruh umat Islam di dunia ini untuk berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar dan memberikan kekuatan serta kesanggupan untuk kita melaksanakannya dengan penuh keimanan. Juga berlumba-lumba menerima tawaran Allah s.w.t. yang dirakamkan di dalam al-Quran yang bermaksud:“ Wahai orang-orang yang beriman, adakan kamu suka Aku tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan kamu berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa-raga kamu.” As-Saff – ayat 11.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Walillahil hamd.

Ketua Dewan Muslimat,
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 14 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com