Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Islam dan pemerintahan

Sidang Jumaat sekalian!

AGAMA Islam yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. telah disempurnakan panduan dan pengajarannya dengan turunnya ayat al-Quran dari surah Al-Maidah ayat 3 yang bermaksud: "Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan nikmatku kepada kamu dan telah Aku redha Islam itu menjadi agama untuk kamu."

Kesempurnaan yang dimaksudkan itu ialah mencukupi segala bidang kehidupan manusia: Akidah, ibadat, muamalat, sosial, politik, pemerintahan dan lain-lain. Nabi Muhammad S.A.W. Selain daripada tugasnya yang utama sebagai pesuruh Allah S.W.T. untuk menyampaikan titah perintahnya di dalam segala aspek kehidupan manusia, baginda juga merupakan seorang pemerintah negara dan pemimpin masyarakat yang telah membawa umat Islam ke suatu tamadun kemanusiaan yang unggul, berjaya berterusan selama beberapa kurun lamanya dan telah berjaya menyebarkan keadilannya kesebahagian besar alam ini.

Kejayaan tersebut merupakan pelaksanaan kepada maksud firman Allah S.W.T. dalam surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud: "Allah S.W.T. menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhamad) bahawa dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa, dia akan menguat (mengembangkan agama mereka - agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka.

"Dan dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh), mereka menyembahku (menyembah Allah) dengan tidak menyengutukan daku dengan sesuatu. Dan sesiapa yang kufur selepas itu, maka mereka adalah orang-orang yang fasiq (durhaka)."

Muslimin sekalian!

Tunggak pemerintahan khalifah-khalifah yang disebutkan oleh ayat al-Quran tersebut ialah dengan berlandaskan kepada pengajaran al-Quranul Karim dan menurut amalan-amalan dan prinsip-prinsip pemerintahan yang dilaksanakan oleh baginda Rasulullah S.A.W.

Firman Allah dari surah al-Maidah ayat 48 yang bermaksud: "Dan jalankanlah hukum di antara mereka itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (yang menyeleweng) dari apa yang telah datang kepada kamu daripada kebenaran."

Pemerintah yang dikehendaki oleh masyarakat Islam adalah seorang yang patuh menurut segala ajaran yang disuruh oleh Allah S.W.T. dan yang diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W. daripada bangsa mana dan keturunan apakah dia sekalipun.

Sabda Rasulullah S.A.W. dari Riwayat Imam Muslim yang bermaksud: "Hendaklah kamu dengar dan patuh sekalipun orang yang dilantik menjadi pemimpin kamu itu seorang hamba Habsyiyy (berkulit hitam), rambutnya seolah-olah seperti buah anggur yang kering selama mana dia menjalankan di antara kamu (apa yang terkandung di dalam) kitab Allah."

Setiap yang diperintah oleh pemimpin wajib ditaati oleh rakyat selama mana perintah itu didasarkan kepada apa yang diredhai oleh Allah S.W.T. Sabda Rasulullah S.A.W. dari Riwayat Imam Muslim yang bermaksud: "Setiap orang Islam berkewajipan mendengar dan mematuhi segala perintah (pemimpin sama ada dia suka atau tidak, melainkan jika dia diperintah dengan maksiat. Sekiranya perintah itu merupakan maksiat maka tidak menjadi kewajipan kepadaNya untuk dengar dan patuh."

Pemerintahan secara Islam bermatlamat kesejahteraan masyarakat dan alam seluruhnya, menguruskan dengan jujur dan ikhlas, melaksanakan ajaran-ajaran yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T. dengan sebaik-baiknya, tidak menyimpang petunjuk Islam dan menonjolkan keadilan Islam yang sebenar tanpa mengira keturunan dan warna kulit serta pangkat dan darjat.

Firman Allah S.W.T. dari surah Al-Maidah ayat 42 yang bermaksud: "Dan jika kamu melaksanakan hukum di kalangan mereka, maka laksanakannya dengan adil."

Muslimin sekalian!

Pada hari ini terdapat suara-suara yang menggesa supaya pemerintahan hendaklah dipisahkan daripada agama. Ia merupakan kesinambungan daripada penjajahan barat yang berfahaman sekular dan kebendaan ke atas umat Islam. Fahaman ini memberi kesan negatif (kesan buruk) terhadap pemikiran umat Islam sehingga ada di kalangan mereka sanggup mengatakan "agama Islam tiada dasar pemerintahannya sendiri, oleh itu Islam tidak berhak untuk menguruskan pentadbiran dunia ini."

Fahaman sekular ini ada tercatat di dalam kitab Injil yang telah diubah kandungannya oleh tangan-tangan jahat pendita Nasrani yang mengatakan bahawa yang bermaksud: "Berikanlah apa yang menjadi hak maharaja Qaisar (dari segi urusan dunia) kepadanya, dan apa yang berkenaan dengan Allah (tentang agamanya) kepada Allah".

Dengan itu masyarakat barat yang mempercayai ucapan sedemikian berusaha untuk menjauhi ajaran agama yang dibawa oleh pendita-pendita mereka daripada bidang politik dan pemerintahan negara. Bagi kita sebagai umat Islam yang telah dididik dengan petunjuk al-Quranul Karim dan sunah Rasulullah S.A.W. hendaklah menjadikan cara hidup junjungan kita, nabi Muhammad S.A.W. sebagai contoh teladan.

Keperibadian baginda S.A.W. sebagai seorang Rasul dan seorang pemerintah negara yang bertunggakkan kepada ajaran Islam sebagai panduan hendaklah dijadikan pedoman, dan jangan sekali-kali kita terpedaya dengan slogan-slogan yang dilaungkan oleh pendokong-pendokong idelogi barat yang jelas menyalahi nilai-nilai agama Islam.

Firman Allah dari surah Al-Imran ayat 26 yang bermaksud: "Katakanlah: wahai tuhan yang mempunyai kerajaan, engkau memberikan kerajaan kepada orang yang engkau kehendaki, engkau mencabut kerajaan daripada orang yang engkau kehendaki, engkau memuliakan orang yang engkau kehendaki dan engkau hinakan orang yang engkau kehendaki. Pada-Mulah segala kebajikan, sesungguhnya engkau maha berkuasa atas segala sesuatu."

.............................
Warta Darul Iman




        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 10 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com