Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Memulihara kebajikan anak yatim

WAHAI hamba-hamba Allah sekalian, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan saya menyeru sidang Jumaat sekalian dan diri saya sendiri supaya sama-sama bertaqwa kepada Allah kerana sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa. Carilah bekalan, sesungguhnya bekalan yang paling baik ialah bertaqwa kepada Allah S.W.T.

Muslimin sekalian,

Islam merupakan satu agama yang menggariskan cara hidup manusia yang lengkap pada setiap zaman dan tempat. Oleh kerana itu, Islam sesuai dengan fitrah kejadian diri manusia. Di antara ajaran yang dianjurkan oleh Islam ialah memupuk perasaan kasih sayang sesama manusia dan hormat menghormati sesama mereka, yang akhirnya membawa manusia kepada rahmat Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. dari surah Al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud: "Dan tidaklah kami (Allah) mengutuskan (wahai Muhammad S.A.W.) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam."

Salah satu daripada rahmat Islam ialah kepada anak-anak yatim yang sangat memerlukan kepada perhatian dan belas kasihan masyarakat, khususnya daripada mereka yang diberi sedikit kemewahan hidup oleh Allah S.W.T. Mereka amat memerlukan kepada asuhan dan didikan serta kasih sayang yang secukupnya seperti kanak-kanak yang lain kerana mereka kehilangan ibu bapa sebelum mencapai umur baligh.

Oleh kerana keperihatinan masyarakat terhadap anak yatim semakin berkurangan pada hari ini, maka kita memperingatkan anggota masyarakat supaya bertanggungjawab memberi perhatian yang sewajarnya kepada golongan yang kurang bernasib baik ini. Oleh yang demikian Allah S.W.T. menjanjikan darjat dan pahala yang tinggi bagi sesiapa yang meluangkan sedikit masa dan menghulurkan sedikit bantuan kepada anak-anak yatim dengan penuh ikhlas dan mengharapkan ganjaran daripada Allah S.W.T.

Sabda Rasulullah s.a.w. dari Riwayat Ibnu Majah yang bermaksud: " Sebaik-baik rumah di kalangan orang-orang Islam ialah rumah yang di dalamnya ada anak yatim yang dipelihara dengan baik dan seburuk-buruk rumah di kalangan orang-orang Islam ialah rumah yang ada di dalamnya anak yatim yang diperlakukan dengan buruk."

Muslimin sekalian!

Di dalam hadith tersebut Allah S.W.T. memberi rahmat kepada keluarga yang memelihara dan berlaku baik terhadap anak-anak yatim yang ada di dalamnya. Oleh itu amat diharapkan kepada setiap keluarga yang mempunyai anak yatim agar memberi kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya. Janganlah berlaku anak-anak yatim dibiarkan lari meninggalkan rumah kerana mendapat ibu tiri atau bapa tiri yang tidak bertanggungjawab terhadap anak-anak yatim.

Anak-anak yatim sangat mengharapkan bapa tirinya itu seperti ayahnya sendiri dan ibu tiri itu seperti ibu kandungan sendiri. Kebanyakan yang berlaku ialah anak-anak yatim yang tinggal bersama mereka masih tidak dirasakan seperti anak-anak sendiri, yang sangat perlu diberi perhatian dan kasih sayang seperti anak-anak sendiri.

Makanan yang diberikan kepada anak yatim kadang-kadang tidak setaraf dengan makanan yang diberikan kepada anak sendiri. Sering kali anak yatim dibebankan dengan kerja-kerja rumah yang tidak sanggup dibebankan kepada anak sendiri, atau membezakan kasih sayang dan perhatian di antara mereka. Akibatnya berlakulah anak-anak lari daripada rumah dan kemudiannya terlibat dengan gejala-gejala sosial dan kelakuan buruk yang tidak boleh dipersalahkan kepada anak-anak tersebut tetapi mesti dipersalahkan kepada anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab terhadap anak-anak yatim.

Muslimin sekalian!

Satu sikap buruk yang perlu dibendung di dalam masyarakat yang melibatkan kebajikan anak-anak yatim ialah memakan harta anak yatim dan menggunakannya dengan cara yang tidak sebenar. Menyalahgunakan harta anak yatim termasuk di dalam dosa besar. Di antara harta peninggalan si mati yang mempunyai waris terutamanya anak-anak yang belum baligh digunakan untuk kenduri arwah dan majlis tahlil.

Sedangkan harta peninggalan simati hendaklah digunakan untuk membayar hutangnya sekiranya ada dan untuk warisnya yang berhak menerimanya. Kadangkala harta tersebut dibelanjakan terlebih dahulu di dalam perkara-perkara yang tidak seperti yang tersebut tadi, sedangkan waris-warisnya terutamanya anak-anaknya yang belum dewasa hidup di dalam keadaan yang melarat. Rasulullah S.A.W. sendiri dilahirkan dan dibesarkan di dalam keadaan yatim, yang merasakan kepada baginda pengalaman menjadi yatim piatu. Sejarah hidup Rasulullah S.A.W.

Ini diceritakan oleh Allah S.W.T. di dalam firman-Nya dari surah Al-Dhuha ayat 6-11 yang bermaksud:"Bukankah ia mendapati angkau di dalam keadaan yatim lalu memberikan pertolongan? Dan mendapati engkau di dalam mencari-cari (jalan kebenaran) lalu memberikan engkau petunjuk? Dan mendapati engkau miskin lalu memberikan kekayaan?

Oleh itu, adapun anak yarim maka jangan engkau berlaku kasar. Adapun orang yang meminta maka jangan engkau mengherdiknya. Adapun nikmat tuhanmu maka hendaklah engkau menyebut-nyebutkannya (tanda kesyukuran)." Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. juga membesar di dalam keadaan yatim piatu, dan Allah S.W.T. sendiri mendidiknya dan memberi dorongan kepadanya sehingga menjadi seorang Rasul, maka anak-anak yatim yang lain amatlah memerlukan bantuan, kasih sayang dan perhatian orang lain untuk membesar dan menjadi orang yang berguna.

Marilah kita memupuk semangat tolong-menolong di dalam masyarakat, seperti di dalam memelihara dan mendidik golongan yang tidak mampu berdikari seperti anak-anak yatim dan lain-lain supaya kita semua mendapat rahmat Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T. dari surah An-Nisa’ ayat 2 yang bermaksud: "Dan serahkan kepada anak-anak yatim harta benda mereka (bila sudah baligh), dan jangan kamu menggantikan yang buruk dengan yang baik, dan jangan kamu memakan (mencampurkan) harta mereka dengan harta kamu, sesungguhnya ia satu dosa yang besar."

..................................
Warta Darul Iman






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 11 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com