Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Kecewa dengan sikap MB Selangor punca Ahmad Lutfi buat pendedahan

KUALA LUMPUR, Rabu 28 Nov. - Penulis kontroversial Ahmad Lutfi Othman berkata beliau membuat keputusan untuk menerbitkan cerita mengenai Datuk Sri Dr Mohamad Khir Toyo dan membuat laporan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenainya kerana sangat kecewa dengan menteri besar itu yang “dilantik pada zaman reformasi…tetapi tidak mengambil apa-apa iktibar daripada bekas-bekas pemimpin yang telah dilanda skandal.” “Ramai teman tertanya-tanya apa salahnya Mohd Khir sehingga mendorong saya bukan sahaja menerbitkan akhbar khusus (mengenai kononnya salahlaku MB Selangor itu) tetapi juga bertindak nekad membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah.

“Memang Mohd Khir tidak bersalah apa-apa kepada saya. Tapi Khir cukup mengecewakan saya…,” katanya dalam satu tulisan yang disiarkan oleh laman web Malaysiakini hari ini.

Menurut Lutfi, banyak pihak mengharapkan Mohd Khir membawa imej baru sebagai menteri besar yang bersih, telus, menolak amalan rasuah dan salahguna kuasa, sambil menerajui kerajaan negeri yang baik.

“Tetapi malang sekali, Mohd Khir terlingkup dalam pujukan kemewahan,” tulis Lutfi dalam rencana tersebut bagi menjelaskan kenapa beliau mahu mendedahkan beberapa isu yang didakwanya sebagai salahguna kuasa menteri besar Selangor itu.

Pada 23 Oktober lalu, Lutfi yang juga bekas pengarang majalah Detik (yang diharamkan) telah membuat aduan rasmi kepada Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya membutirkan hampir sepuluh kes salahguna kuasa yang didakwanya membabitkan Khir Toyo.

“Saya bukannya mahu menjatuhkan pemerintah melalui jalan kekerasan. Saya bukan ahli politik, saya hanya wartawan kerdil, yang bergelut dalam dunia kewartawanan bagaikan seorang gerila. Apa tidaknya, penerbitan yang saya usahakan tidak pernah dilanjutkan permitnya.

“Lihat saja Detik dan Wasilah dan akhbar tidak berkala, yang hingga kini sudah melebihi bilangan yang ke-30, diterbitkan secara `sembunyi'. Ramai pengedar takut menjualnya. Dan lebih ramai pengedar yang meninggalkan beban hutang yang hampir melemaskan,” tulisnya lagi.

Lutfi berkata beliau tidak marah kerana 43,000 naskhah akhbarnya dirampas oleh polis pada 28 Oktober lalu iaitu sehari sebelum bermulanya sidang Dewan Undangan Negeri yang kerugiannya hampir RM100,000.

"Saya bukan marah kerana 43,000 naskhah akhbar saya dirampas dan kerugiannya hampir RM100,000. Sebagai peniaga, duit boleh pergi dan datang semula. Tapi saya memang marah apabila ada usaha untuk menghalang berita pendedahan isu ini dari disebarkan kepada umum," tegasnya lagi.

Beliau juga berkata soal siapakah sumber maklumatnya mengenai isu tersebut tidak penting, yang penting ialah semua urusan kerajaan berkaitan kepentingan orang ramai hendaklah dilakukan secara telus.

“Mengapa mahu sembunyi-sembunyi? Soal permohonan tanah, mengapa nama-nama syarikat yang berjaya mahu dirahsiakan sedangkan ia langsung tiada kaitan dengan keselamatan?

“Yang mahu saya dedahkan ialah bagaimana satu sistem yang korup mampu menjahanamkan seseorang yang baik sekalipun. Yang perlu diberi perhatian ialah untuk merombak sistem kuasa yang memberikan kuasa mutlak menteri besar dalam menganugerahkan sesuatu projek atau tanah berharga.

“Saya tidak mendakwa Mohd Khir menteri besar terburuk, tapi nasibnya malang kerana maklumat tentangnya dihantar kepada saya. Khir dan orang-orangnya tidak perlu bersusah-payah mencari siapa sumber saya, sebaliknya cuba meneliti kelemahan diri dan berusaha memperbaikinya. Jangan biarkan nafsu menggila menguasai kita,” tulis Lutfi dalam rencana itu.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 29 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com