Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Gesa Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang membatalkan keputusan pembatalan peperiksaan CLP

Badan Peguam Malaysia patut mengadakan mesyuarat am khas tergempar untuk menggesa Lembaga Kelayakan Profesion Guaman membatalkan keputusan ‘keterlaluannya’ dan ketidakadilan melampau dengan pembatalan secara sembarangan keputusan peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) tahun ini.

Badan Peguam Malaysia, yang mempunyai kira-kira 10,000 ahli, mempunyai tanggungjawab khas untuk menunjukkan keprihatinan aktif dan terlibat secara mendalam mengenai ketidakadilan melampau yang dilakukan oleh Lembaga Kelayakan Profesion Guaman ke atas calon-calon CLP yang tekun, jujur dan tidak bersalah yang telah lulus peperiksaan tahun ini di atas dua sebab:

Pertamanya, di dalam pelaksanaan tanggungjawab statutori yang diletakkan atasnya oleh Parlimen di bawah seksyen 42(1) Akta Profesion Guaman 1976, “Tujuan dan kuasa Badan Peguam”, yang termasuk:

· Menegakkan keadilan tanpa mengambil kira kepentingan sendiri atau kepentingan ahli-ahlinya, tanpa gentar atau pilih kasih;

· Mengekalkan dan meningkatkan tahap kelakuan dan pengetahuan profesion guaman di Malaysia;

· Memudahkan pemerolehan pengetahuan undang-undang oleh ahli-ahli profesion guaman dan lain-lain;

· Mewakili, melindungi dan membantu ahli-ahli profesion guaman di Malaysia dan memajukan kepentingan profesion guaman di Malaysia melalui apa-apa cara yang wajar; dan

· Melindungi dan membantu orang ramai dalam segala perkara yang menyentuh, bersampingan dan berkaitan dengan undang-undang.

Keduanya, memandangkan Badan Peguam Malaysia dan Majlis Peguam terlibat dalam keputusan “keterlaluan” Lembaga Kelayakan dan ketidakadilan melampau yang dialami oleh calon-calon CLP yang tekun, jujur dan tidak bersalah, oleh sebab keahlian Lembaga Kelayakan terdiri daripada Pengerusi Majlis Peguam, Mah Weng Kwai.

Pada hakikatnya, Mah perlu memberikan penjelasan penuh dan memuaskan kepada Badan Peguam Malaysia, calon-calon CLP serta rakyat Malaysia tentang sebab mengapa Lembaga Kelayakan telah membuat keputusan yang sebegitu melampau dan tidak adil untuk menangani skandal kebocoran soalan peperiksaan CLP dengan membatalkan keputusan peperiksaan tersebut secara sembarangan, menghukum majoriti besar calon-calon CLP yang telah lulus yang tidak bersalah, jujur dan rajin.

Saya betul-betul berpendapat bahawa majoriti besar calon-calon CLP yang berjaya tahun ini (seperti beberapa tahun kebelakangan ini di mana terdapat desas-desus mengenai kebocoran kertas peperiksaan CLP) adalah tidak bersalah, jujur dan rajin – dan tidak ada justifikasi untuk mengecam dan menghukum mereka sekaligus bersama-sama dengan calon-calon CLP minoriti yang bersalah.

Tahun ini, hanya 25.19% atau 232 daripada jumlah 921 calon memperolehi kelulusan penuh di dalam peperiksaan CLP, yang mencerminkan kadar kelulusan yang amat rendah. Soalan yang serta-merta timbul di fikiran adalah mengapa berlakunya kadar kelulusan yang begitu rendah, sama ada terdapatnya suatu polisi untuk sengaja mengekalkan kadar kelulusan yang rendah, dan berapa rendahkah kadar kelulusan yang akan berlaku jika bukan kerana kebocoran soalan peperiksaan CLP.

Seandainya 10% daripada 232 kelulusan CLP telah diakibatkan oleh kebocoran soalan peperiksaan CLP tersebut (yang mewakili peratusan yang amat tinggi), tindakan menghukum baki 90% calon-calon CLP yang berjaya dengan membatalkan keputusan mereka masih merupakan suatu ketidakadilan yang keterlaluan.

Lembaga Kelayakan harus melakukan segala yang mungkin untuk mengesan dan mendedahkan pihak-pihak yang bersalah di dalam skandal peperiksaan CLP dan mengenakan hukuman yang paling berat ke atas calon-calon bersalah yang terlibat. Namun demikian, ia tidak patut memandang remeh dan bersikap tidak ambil peduli terhadap ketidakadilan yang diakibatkan kepada calon-calon CLP rajin, jujur dan tidak bersalah yang telah lulus.

Dengan membatalkan keputusan peperiksaan CLP tahun ini secara sembarangan, di mana 25.19% atau 232 daripada jumlah 921 calon memperolehi kelulusan penuh di dalam peperiksaan itu, Lembaga Kelayakan sedang menghukum majoriti besar 232 calon yang berjaya sambil memberikan 74.81% atau 689 calon CLP yang tidak lulus sepenuhnya satu lagi peluang untuk mengambil peperiksaan berkenaan. Ini merupakan suatu cara menangani masalah tersebut yang sangat cemerkap di mana keadilan diketepikan dan dikorbankan sama sekali untuk melindungi ‘air muka’ dan kebersalahan ahli-ahli Lembaga Kelayakan bagi kebocoran peperiksaan itu.

Skandal peperiksaan CLP harus menumpukan perhatian kepada kelakuan keseluruhan Lembaga Kelayakan Profesion Guaman, kegagalannya untuk mengekalkan kredibiliti, integriti dan reputasi CLP dan pelbagai aduan munasabah yang lain, seperti kadar kelulusan yang rendah setiap tahun, sama ada ini mempunyai kaitan dengan kebocoran peperiksaan CLP, konflik kepentingan di antara mereka yang bertanggungjawab di atas perjalanan CLP dan mereka yang mengendalikan pusat undang-undang atau kursus-kursus tuisyen dan sebagainya.

Sebuah badan yang mewakili semua calon CLP, baik bekas calon, calon sekarang ataupun bakal calon, serta peguam pada umumnya, harus ditubuhkan untuk mendukung keadilan, kesaksamaan dan reputasi CLP, bermula dengan cabaran serta-merta untuk memaksa Lembaga Kelayakan Profesion Guaman membatalkan keputusan ‘keterlaluannya’ dan ketidakadilan melampau dengan pembatalan keputusan peperiksaan CLP tahun ini secara sembarangan.

Oleh : Lim Kit Siang






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 19 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com