Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


3 Adegan Pengalaman Menarik dengan Tok Guru Nik Aziz (I)

Adegan Satu

Pagi itu kami sampai ke Pulau Melaka awal benar. Fajar belum lagi menyinsing di ufuk timur. Sengaja kami tiba awal, supaya tidak terlepas peluang untuk merakamkan detik terbukanya pintu depan rumah Tok Guru Nik Aziz, dan Tok Guru Nik Aziz melangkah keluar dari rumahnya buat kali pertama untuk hari itu.

Ketika melintasi laman depan masjid, kelihatan beberapa orang pelajar SM Madrasah Anuar sedang berjalan menuju ke masjid. Belum ramai. Hanya beberapa orang sahaja. Lampu di dalam masjid pun masih suram. Van kami terus ke laman di depan rumah Tok Guru. Tidak ada sebarang tembok atau pagar yang memagari rumah yang serba sederhana itu. Dan sudah tentulah tidak ada gate atau pintu pagar sebagai laluan untuk memasuki rumah orang nombor satu di negeri Kelantan ini, kerana pagarnya tidak ada.

Pun tidak ada seseorang yang cuba menghalang van kami yang terus saja meluru ke laman depan rumah menteri besar itu. Dan apabila van kami berhenti parking di bawah pohon berdepan dengan sebuah rumah papan usang yang agak uzur, bertentangan dengan sisi masjid, tidak jauh dari rumah Tok Guru, pun tidak ada sesiapa yang datang menghampiri kami untuk bertanya apa-apa. Memang menteri besar ini tidak mengambil orang untuk menjadi pengawal keselamatan bagi menjaga keselamatan kawasan rumahnya, ataupun menjaga keselamatan dirinya.

Begitu saja kami parking van di situ. Tidak ada siapa yang mempedulikan. Beberapa minit kemudian tiba pula kereta lain, yang turut sama parking di laman itu. Orang di dalam kereta itu keluar dan berjalan menuju ke masjid. Memang sudah biasa begitu. Sebentar kemudian kedengaranlah azan subuh dilaungkan.

Pintu depan rumah Tok Guru Nik Aziz masih tertutup rapat. Suasana suram, kerana lampu floresen di depan pintu itu tidak dipasang. Tok Guru biasanya akan keluar rumah selepas selesai azan.

Kata Nasir Jani (pengarah filem video ini), kita perlu setkan lampu, untuk merakamkan adegan terbukanya pintu depan rumah Tok Guru dan Tok Guru melangkah keluar itu. Saya pun terfikir, mungkin Tok Guru akan terkejut apabila dia melangkah keluar dalam suasana bening syahdu di awal subuh itu tiba-tiba sahaja matanya disergap oleh suluhan cahaya yang lebih keras daripada biasa. Tentulah tidak elok, dan tentulah itu akan mengganggu keheningan pagi Tok Guru.

Kami segera mengambil keputusan membatalkan dulu rakaman adegan itu, (ia dibuat subuh esoknya) sebaliknya akan membuat rakaman adegan di dalam masjid. Nasir pun membawa para krew masuk masjid, bersama kamera dan peralatan lampu, membuat persiapan untuk shooting di dalam masjid.

Saya masih tunggu di luar, untuk memberitahu Tok Guru yang kami akan membuat penggambaran video di dalam masjid nanti. Memang kebenaran darinya telahpun diperolehi. Tok Guru telah dimaklumkan dan telahpun bersetuju untuk sesi penggambaran yang akan memakan masa tidak kurang satu minggu ini. Anual Bakri, setiausaha politik Menteri Besar telahpun menguruskannya dengan cekap sekali, walaupun permohonan dibuat hanya kira-kira sepuluh hari sebelumnya.

Sebenarnya penggambaran telahpun bermula kelmarin, ketika Tok Guru Menteri Besar merasmikan perumahan awam kos rendah di Gua Musang. Tok Guru pun telah melihat krew kami mengambil gambarnya di majlis itu. Cumanya saya sendiri belum lagi berjumpa dengannya bagi memaklumkan perkara ini secara rasmi, dan memberitahunya bahawa penggambaran ini adalah sambungan kepada penggambaran dulu yang terhenti beberapa bulan kerana sebab-sebab tertentu.

Azan telah berakhir. Orang semua telah masuk ke dalam masjid. Hanya di laman hadapan masjid waktu ini pelajar-pelajar semakin ramai berjalan bergegas-gegas dari asrama putera menuju ke masjid. Kolam wuduk di bahagian kanan depan masjid itupun tentulah sedang meriah, kerana waktu ini ramai pelajar mengambil wuduk.

Di laman depan rumah Tok Guru suasananya sunyi. Hanya saya seorang berdiri di situ, di ruang antara masjid dan rumahnya yang jaraknya begitu rapat sekali. (Atap masjid dengan atap rumah Tok Guru hampir bertemu - begitulah rapatnya). Ia dipisahkan dengan satu lorong kecil dimana pelajar-pelajar wanita sering melintas dalam perjalanan antara asrama mereka dengan sekolah. Tetapi di awal subuh ini tidak ada orang yang melintas di lorong itu.

Dalam suasana subuh yang syahdu dan sunyi itu saya berdiri memerhati pintu depan rumah Tok Guru yang akan terbuka pada bila-bila masa sahaja sekarang. Ya, kelihatan lampu di ruang tamu dalam rumah itu dipasang. Cahayanya terkesan pada kaca-kaca tingkap di antara dinding hijau muda bahagian depan rumah itu. Tentulah tandanya Tok Guru akan melalui ruang itu untuk ke pintu depan.

Ya betul, pintu depan rumah itu pun terbuka, perlahan, dan tidak terlalu luas. Seorang lelaki berbadan kecil melangkah keluar, dengan berpakaian jubah putih kekuningan. Memang itulah pakaian yang selalu dipakai Tok Guru. Setelah berada di luar, dia menutup semula pintu itu dengan perlahan. Ketika dia mulai melangkah ke anak tangga, saya pun melangkah jua mendekat kepadanya.

Saya perhatikan setelah melangkah keluar itu dia tidak pun melontarkan pandangan untuk melihat di kawasan hadapan rumahnya. Dia hanya melihat di dekatnya sahaja. Setelah menutup pintu, dia melihat ke arah kasutnya yang terletak di anak tangga. Saya pun tidak pasti samada dia nampak saya yang sedang berjalan mendekat ke arahnya atau tidak.

Sambil berjalan perlahan-lahan mendekatinya, dalam suasana sunyi dan bening subuh, di bawah cahaya yang suram itu, terlintas dalam fikiran saya - kalaulah… ya, kalaulah ada orang yang berniat tak baik terhadap Tok Guru ini…. Tak ada siapa pun yang mempedulikan apa yang mungkin berlaku di situ.

Tentulah keadaan ini bukan khas pagi itu sahaja. Tentulah setiap hari pun demikian keadaannya. Selepas tamat azan subuh beberapa ketika, pintu depan rumah itu akan terbuka, dan Tok Guru Nik Aziz akan melangkah keluar, tanpa melihat sekeliling dia akan terus menyarung kasut dan melangkah turun tangga yang hanya ada tiga anak tangga, lalu berjalan menuju ke pintu khas masjid di depan rumahnya. Memang tidak jauh. Barangkali belum pun dua puluh langkah, sampailah dia ke pintu masjid itu.

Begitulah tiap-tiap hari. Kalau dia tidak ke mana-mana, maka begitulah rutinnya. Pintu rumah itu akan terbuka pada waktu itu, dalam cahaya yang suram begitu, tanpa ada sesiapa pun yang memerhatikan keselamatan Menteri Besar yang sangat berpengaruh di negara ini… kecuali sang pencipta segala - Tuhan yang maha berkuasa dan maha penyayang.

Tok Guru Nik Aziz rupa-rupanya demikian pasrah sekali dia kepada Allah.

Pagi itu saya yang tiba-tiba berdiri menghalang sejenak perjalanannya ke masjid untuk solat subuh. Seperti saya boleh berbuat demikian maka siapa-siapa saja pun boleh juga berbuat demikian, kerana rumah menteri besar ini memang tidak ada pagar, tidak ada pengawal dan tidak ada sesiapa hendak menghalang seseorang yang ingin menemui Tok Guru Nik Aziz ini, walau apa pun niat orang itu.

Saya mengucapkan salam. Dia pun memandang ke arah saya. Tidak ada tanda-tanda yang dia terkejut. Dia menjawab salam. Saya pun menjabat tangannya. Kemudian saya memberitahu dia yang kami akan membuat penggambaran video.

"Sambung yang dulu," kata saya, mengingatkannya semula kepada penggambaran yang telahpun dimulakan beberapa bulan dulu.

......bersambung

NOTA: Kami akan mengeluarkan VCD "Seminggu Dalam Kehidupan Tok Guru Nik Aziz" ini , sepanjang 60 minit, dan akan mengedarkannya di pasaran selepas hari raya Idul-Fitr nanti. Sesiapa yang berminat membeli atau menjadi pengedar, sila hubungi Penerbitan Pemuda melalui surat atau telefon/fax 03-40243531 atau 019-3432056 (Zabidi) atau e-mail lutfi_detik@hotmail.com






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 18 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com