Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Bebaskan BPR, Bebaskan Peguam Negara

Berikut adalah wawancara dengan DATO’ FADZIL MOHD NOOR, Presiden PAS dan yang Ketua Pembangkang di Parlimen mengenai isu dakwaan rasuah membabitkan Menteri Besar Selangor, 8 November lalu. Ia pertama kali disiarkan dalam Memo15.

MEMO15: Apa komen Ustaz terhadap aduan Ahmad Lutfi Othman kepada Badan Pencegah Rasuah membabitkan dakwaan rasuah Menteri Besar Selangor.

FADZIL NOOR: Lutfi telah membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR). Sepatutnya BPR perlu melakukan penyiasatan segera. BPR tidak perlu lagi berdolak-dalik. Dan kita agak terperanjat apabila laporan itu disebut bukan aduan tetapi sekadar maklumat. Ini telah dibangkitkan lagi oleh Dr Hassan Ali, Ahli Parlimen Parit Buntar dalam Parlimen, 8 November tentang perbezaan maklumat dan aduan rasmi. Dan saya difahamkan Lutifi akan pergi sekali lagi untuk membuat laporan ke BPR tentang salah laku yang dikatakan membabitkan Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo. Saya harap BPR harus bertindak tanpa mengira sesiapa yang terlibat sebelum ini. Merujuk sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan sidang Parlimen, baginda telah menjelaskan bahawa kerajaan akan bertindak terhadap rasuah sehingga ke akar umbi. Bagi saya, bukan ke akar umbi tetapi sehingga ke kemuncaknya. Maksud kemuncaknya termasuklah para pimpinan, sama ada pusat ataupun negeri. Perkara yang dibangkitkan oleh Lutfi adalah perkara yang serius, khususnya bagi rakyat negeri Selangor. Begitu juga dengan maruah kepimpinan kerajaan. BPR mesti melakukan siasatan segera sama ada terdapat kes atau tidak.

Perkara ini telah dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menerusi usul tergempar tapi Dewan telah menolak. Apa komen Ustaz.

Itu perkara biasa. Hal ini bergantung kepada sikap Speaker itu sendiri. Kadang-kadang jika sesuatu perkara ini boleh menjejaskan kewibawaan kepimpinan mereka, maka sengaja dicarikan alasan untuk menolaknya. Penolakan Speaker kadang-kadang tidak dipersetujui oleh kita walaupun ia adalah hak Speaker. Memandangkan isu yang bangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Selangor itu serius, maka yang demikian BPR mesti melakukan siasatan.

Sepanjang pemerhatian Ustaz terhadap BPR, adakah Ustaz yakin BPR akan bertindak secara adil dan telus. Apatah lagi yang melantik Khir Toyo menggantikan Abu Hasan dulu adalah Dr Mahathir sendiri, dengan mengetepikan ramai lagi calon-calon lain. Dan umum mengetahui PM berkuasa mutlak ke atas BPR.

Kita masih ada kepercayaan terhadap penyiasatan BPR. Kita bukan sahaja mengharapkan BPR melakukan penyiasatan tetapi kita juga mengharapkan urusan BPR bukan di bawah kuasa Perdana Menteri. Malah kita mengharapkan Perdana Menteri tidak campur tangan dalam soal penyiasatan jika ada kes seumpama ini.

Perdana Menteri jangan menghalang kerja-kerja BPR apabila berlaku kes pendakwaan dengan pihak yang terlibat. Hal ini pernah di sebut oleh bekas Ketua Pengarah BPR bahawa peranan mahkamah telah dicampuri oleh Perdana Menteri mengenai siasatan ke atas seorang pegawai tinggi di Jabatan Perdana Menteri.

Kita tidak mahu isu ini berulang lagi. BPR masih mesti diberi hak undang-undang dengan peraturan yang ada. Kebebasan untuk melakukan penyiasatan dan pendakwaan hasil penyiasatan membuktikan ada asas untuk melakukan pendakwaan. Saya berharap tidak ada campur tangan politik jika mereka benar-benar ingin mencegah perbuatan rasuah yang berlaku secara berleluasa.

Walaupun BPR melakukan siasatan, tetapi timbul kemusykilan baru, apakah Jabatan Peguam Negara, yang juga berada di bawah kuasa Perdana Menteri, akan memulakan tindakan mendakwa seseorang yang dikira rapat dengan PM?

Kita mengharapkan tiada campur tangan politik. Saya rasa, jika tiba ke Jabatan Peguam Negara dan tiada campur tangan politik, saya percaya Jabatan Peguam Negara akan memproses kes ini sehingga ke peringkat mahkamah.

Bagaimanapun, jika ada campur tangan politik macam kes-kes sebelum ini, ia boleh menghalang urusan mereka. Jika ada campur tangan politik, pasti hak kebebasan BPR dan Jabatan Peguam Negara akan terhalang fungsinya sehingga bila-bila.

Antara punca yang menyebabkan rasuah berleluasa dalam pentadbiran kerajaan negeri ialah besarnya kuasa seseorang Menteri Besar khususnya dalam mengagihkan tanah dan menganugerahkan projek. Jika MB ingin memberikan tanah kepada seseorang, maka tiada siapa dapat menghalangnya, walaupun orang itu tidak layak.

Saya tidak dapat komen tentang hal ini. Lagi pun saya tidak ada maklumat yang cukup lengkap tentang perkara ini, misalnya mengenai peraturan atau prosedur. Ia mesti bergantung kepada program, projek dan keperluan tanah yang hendak diberikan. Hal ini mesti memerlukan prosedur dan kriteria yang digunakan. Saya tidak ada maklumat lengkap, dan agak sukar untuk memberi pandangan dalam hal ini.

Apapun Menteri Besar dan anggota Exco Kerajaan Negeri mesti mendapat maklumat yang cukup tentang latar belakang pemohon, jika pemohon tersebut mewakili syarikat maka mereka perlu mengetahui reputasi syarikat dan kemampuan untuk membangunkan tanah itu.

Dan sebelum keputusan Exco dibuat, seharusnya dirujuk dahulu cadangan daripada pegawai berkaitan tanah. Ini supaya tidak berlaku seperti yang dilaporkan oleh Ahmad Lutfi di mana ada pemohon yang tidak tahu apa-apa tentang permohonan tanah, ataupun ada syarikat berbeza yang mempunyai pengarah yang sama mendapat tanah begitu luas.

Apakah Ustaz merasakan wajar diberikan seluas 50 ekar tanah diberi kepada orang-orang muda, berumur 20 tahun. Menerusi siasatan kami, ada yang tidak tahu mereka memiliki tanah 50 ekar tanah itu.

Soal muda atau tua tidak timbul sangat. Soalnya program pemohon itu, apakah yang hendak digunakan dengan tanah tersebut. Adakah dalam usia sedemikian rupa, sejauhmana pemohon benar-benar mampu untuk menyelenggarakan tanah sebanyak itu atau sekadar mendapat komisyen daripada pihak lain. Ini adalah cara mudah bagi mereka memperolehi wang. Ini perlu disiasat.

Lagi satu perkara, yang mana pemohon tidak tahu menahu mereka memperolehi tanah. Ini perlu disiasat. Apabila pemohon tanah sendiri tidak tahu memiliki tanah, perkara sebegini yang kita mahu supaya BPR melakukan siasatan segera.

Dalam pemerhatian kami, kerajaan negeri Selangor telah mengekploitasi pemohonan tanah untuk kepentingan golongan tertentu yang rapat dengan pihak berkuasa. Banyak pihak melihat reformasi perlu berlaku kepada BPR, Jabatan Peguam Negara serta sistem pengagihan tanah. Apa pandangan Ustaz?

Itulah yang saya sebutkan tadi, BPR perlu melakukan penyiasatan terhadap dakwaan-dakwaan yang didapati serius. Saya ulangi, kebebasan sepenuhnya perlu diberikan kepada BPR sekiranya kerajaan prihatin dalam soal penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Lagi satu, jika BPR tidak mampu melakukan penyiasatan maka Suruhanjaya Bebas mesti diwujudkan untuk melakukan penyiasatan sepenuhnya. Sebagaimana yang pernah berlaku dalam kes Anwar Ibrahim telah ditubuhkan satu suruhanjaya bebas barulah segala rahsia terbongkar.

Penyiasatan yang dibuat sebelum itu, memperlihatkan jawatankuasa penyiasatan yang memang tidak mampu dan tidak bebas melakukannya. Oleh yang demikian BPR telah dihalang untuk menjalankan tugas dengan bebas. Mereka perlu menubuhkan jawatankuasa Suruhanjaya Bebas bagi menjalankan siasatan yang serius ini. BPR mesti membuktikan bahawa ia sebuah badan yang ada wibawa dan kredibiliti.

Justeru, ia tidak boleh mengambil sikap memilih bulu, hanya menumpukan penyiasatan terhadap golongan rendah semata. Kerana itu akan membuatkan keyakinan rakyat hilang terhadap BPR. Ini membahayakan masa depan negara.

Komen Ustaz tentang Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo?

Sehingga kini, Khir nampaknya cuba mempertahankan dirinya, bagaimanapun ia tidak mencukupi. Seruan saya ialah BPR mesti menjalankan siasatan dengan adil, menyeluruh dan bertanggungjawab. Pihak atasan dalam politik jangan campur tangan.

Sebelum ini kita menyaksikan Menteri Besar Selangor yang dahulu terlibat dengan pelbagai penyelewengan dan korupsi. Malah ada yang telah didakwa di mahkamah dan menerima hukuman. Oleh yang demikian, apa yang berlaku pada Khir Toyo ini bukan sesuatu yang mustahil dan mengejutkan. Apa yang didakwa selama ini berkemungkinan merupakan satu kebenaran. Oleh sebab itu, kita mahu penyiasatan dilakukan, dan kita tiada jalan dan pilihan lain.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 21 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com