Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Hassan Ali menyanggah jawapan Khir Toyo

Menteri Besar Selangor, Mohd Khir Toyo, telah menjawab beberapa pendedahan yang dibuat oleh Ahmad Lutfi Othman terhadapnya. Walau bagaimanapun Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali, menyanggah jawapan Khir Toyo itu. Ikuti wawancara yang pertama disiarkan dalam akhbar Memo15 itu.

Meram Holdings yang diberi projek membina jalan di Sekinchan bernilai RM92.5 juta itu merupakan kontraktor bermasalah. Projek itu disubkan sepenuhnya kepada syarikat lain yang tiada pengalaman dalam kerja pembinaan. Menteri Besar mendakwa sememangnya kos projek itu tinggi kerana terpaksa merawat tanah gambut, dan rundingan telah dibuat dengan Meram sejak lebih dua tahun lalu, ketika prestasi syarikat itu baik.

DR HASSAN ALI: Memang diketahui umum, berdasarkan rekod yang lepas, Meram Holdings tiada kemampuan. Dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu disebutkan kerajaan atau JKR tidak perlu berurusan dengan sub-kontraktor. Bagi saya, yang paling baik adalah kontraktor utama menjalankan kerja dari awal hingga akhir.

Hanya kadang-kadang perkara yang sangat teknikal dan memerlukan kepakaran khusus, diserahkan kepada sub-kontraktor. Jarang sekali sub-kontraktor menyiapkan semua kerja, sedangkan kontraktor sebenar hanya mengutip komisyen.

Tapi dalam kes di Sekinchan, keseluruhan kerja diberikan kepada syarikat lain. Soalnya bila lagi kita hendak melatih kontraktor-kontraktor bumiputera, sedangkan segala kerja dibuat oleh sub-kontraktor bukan Bumi?

Merujuk cadangan kos sebenar projek ini dinilai semula oleh jururunding bebas, ia tidak seharusnya merujuk projek ini sahaja. Kita juga harus pastikan ia tidak melibatkan kos rundingan yang tinggi, yang akan meningkatkan nilai keseluruhan projek. Saya lebih suka sistem yang lebih telus dipakai untuk semua projek pembangunan, samada membuat jalan atau bangunan, juga penempatan banjir.

Misalnya, kita perlu mengkaji projek-projek yang bernilai RM20 juta ke atas. Cuma menjadi kemusykilan di Malaysia, kita sendiri tidak tahu siapa konsultan bebas, yang dapat membuat cadangan terbaik bagi mengelak pembaziran dan rasuah berlaku.

Menyentuh isu rumah RM150,000, Khir menjawab wang tersebut adalah hasil modal selama 11 tahun beliau mengendalikan klinik gigi. Sepatutnya beliau perlu menunjukkan transaksi jual-beli perniagaannya. Apapun, jika Khir membuat perisytiharan asetnya di Dewan Undangan Negeri, tentunya isu ini tidak timbul.

Saya sangat bersetuju. Bahkan dalam Parlimen cadangan ini telah dibuat begitu lama, semenjak Ketua Pembangkang dahulu, Lim Kit Siang. Beliau secara konsisten mendesak perisytiharan harta dibuat kepada publik, supaya ia bukan hanya diketahui oleh Perdana Menteri, tetapi juga oleh seluruh rakyat. Jika diumumkan kepada seorang manusia sahaja, ia menimbulkan keraguan.

Katakanlah harta tersebut diisytiharkan kepada Perdana Menteri semata-mata, ataupun seorang exco Selangor memberitahu kepada Menteri Besar; rakyat tidak tahu berapa MB ada harta, berapa exco ada harta, berapa banyak pula harta tahunan. Kita tidak tahu.

Jika benar kita hendak telus, biar benar-benar telus. Jangan hanya melepaskan batuk di tangga sahaja.

Kita difahamkan baru-baru ini kalangan pegawai tinggi negeri - D.O, Adun dan exco - berada di Langkawi. Di antaranya pertemuan itu adalah susulan isu rasuah. Kelihatan Khir Toyo cuba mahu mendengar perkara yang tidak puashati dari mereka.

Mereka yang dipanggil adalah Adun-Adun dari BN. Tidak dari pembangkang. Padahal mereka semuanya selari dengan kepala Menteri Besar. Hanya mengampu, menyokong; mengampu, menyokong - itu sahaja.

Yang berbeza pendapat hanyalah pembangkang. Tetapi pembangkang tidak dijemput dalam sesi itu. Saya fikir jika mahu melakukan post mortem dalam golongan yang sama, tidak perlu pergi Langkawi. Khir sebagai MB boleh panggil ketua-ketua jabatan, Adun-Adun BN, mereka boleh bercerita.

Pendekatan itu tidak betul. Saya pun berasa hairan mengapa saya tidak dipanggil. Saya tidak perlu berada dalam program tersebut dari mula hingga akhir. Mungkin ada bahagian tertentu untuk saya hadir sebagai mewakili rakyat. Jangan lupa, saya mewakili sebahagian besar rakyat negeri Selangor.

Saya yakin sudah ada orang Umno yang berfikir seperti kita, tetapi tidak dicerminkan oleh Adun-Adun mereka. Saya yakin sebahagian besar exco tidak bersetuju dengan MB. Tetapi disebabkan budaya mempertahankan, budaya berakhlak begitu dalam Umno, maka bersidanglah kemana pun ia tetap menjadi seperti itik - seekor turun ke air semua akan ikut serta.

Soal tanah yang diberikan kepada orang muda. Adakah perlu pihak kerajaan negeri menarik kembali kelulusan tanah itu? Kini proses keluluasan tanah hanya boleh diluluskan oleh exco. Sewajarnya sebuah badan bebas perlu ditubuhkan untuk memantau permohonan ini.

Perkara ini harus dilihat semula dalam perspektif yang betul. Sebenarnya hal ini bukan zaman Khir Toyo (beliau baru 14 bulan sahaja), tetapi sejak zaman Mat Taib dan Abu Hassan lagi. Kita diberitahu sudah hampir habis tanah (prime land) di negeri Selangor. Siapa yang buat? Perompak-perompak itulah yang menjalankan kerja-kerja tersebut.

Misalnya tanah Kuala Langat yang dikatakan diberikan kepada anak-anak muda berumur 20 tahun. Bagi saya ia tidak menyelesaikan masalah. Seluruhnya perlu dikaji semula.

Jika tiada peruntukan, mesti diberikan peruntukan dengan mengadakan sesi khas Dewan. Kemungkinan menambahkan satu hari lagi, khusus bagi membincangkan hal-hal tanah di negeri Selangor, terutama tanah pertanian, tanah perindustrian, tanah perumahan, termasuk tanah-tanah rizab Melayu. Kita mesti ada statistiknya. Saya boleh tanya MB, berapa banyak lagi tanah yang ada? Tentu dia tak boleh jawab.

Sebenarnya kekuatan negeri adalah pada tanah. Tanah adalah inti kuasa kerajaan negeri.

Bercakap soal tender pula. Kita ketahui Meram Holdings mendapat projek kerana ada runding terus, bukan menerusi tender terbuka. Adakah perlu dihapuskan tender terbuka ini?

Banyak perkara perlu dikaji semula. Dalam konteks ini samada projek dibuat menerusi open tender atau runding terus, ia bergantung kepada jenis projek. Misalnya runding terus menjurus kepada projek pelaksanaan segera, bencana-bencana alam, keperluan menyegerakan kehendak sebilangan besar penduduk di tempat tersebut. Selalunya ia dibuat berdasarkan penender-penender tersebut mempunyai track record yang baik.

Bagaimanapun, hal Meram ini saya telah timbulkan dalam Dewan, tetapi tidak dijawab. Apabila tidak dijawab, saya percaya prosesnya sudah silap. Apa yang saya tahu, MB sendiri mengeluarkan surat terima janji kerja. Itu pun kita telah persoalkan dalam Dewan. Khir jawab, perkara tersebut ada peruntukan untuk beliau melakukan demikian.

Saya hendak tengok, peruntukkan daripada mana? Saya cuba semak surat-surat pekelililng tentang perkara tersebut, tapi belum jumpa lagi sehingga sekarang.

Ada orang mengatakan isu dakwaan rasuah ini hanya perang terbuka antara Lutfi Othman dan Khir Toyo sahaja. Sejauhmana PAS negeri Selangor mengambil langkah seterusnya supaya isu ini tidak mati sekerat jalan?

Kita memang memberi sokongan. Sebagai sebuah parti politik yang mempunyai penyertaan ahli paling besar dalam pembangkang, kita sudah menunjukkan sikap. Rujuk perbahasan pembangkang dalam Dewan. Walaupun dibantah oleh speaker, saya telah memusatkan paling tidak 70 peratus daripada pembentangan budget menjurus kepada isu Khir Toyo.

Kedua, kita mempunyai misineri seluruh negeri Selangor. Sememangnya maklumat tidak keluar dalam televisyen, suratkhabar dan radio. Mungkin dalam Harakah sahaja. Bagaimanapun, Ahmad Lutfi adalah orang pertama dan berada di depan dalam hal ini. Sewajarnya kita pasti menyokong.

Segala laporan polis dan BPR dilakukan oleh beliau sendiri. Pastinya kita berjanji akan melakukan sesuatu dengan apa yang telah dibukanya, yang saya namakan sebagai `pandora box’.

Saya harap perkara yang didedahkan oleh Ahmad Lutfi merupakan satu daripada gate yang akan dibuka lagi seterusnya, membolehkan rakyat Malaysia menilai sejauhmana ketelusan dan keikhlasan Khir Toyo mengurus negeri Selangor.

Kami difahamkan, dalam siasatan awal polis terhadap Ahmad Lutfi mereka hanya ingin mencari bukti siapa yang memberi maklumat kepada beliau.

Pihak polis dan BPR tidak sepatutnya berbuat demikian. Ia memberi kesan besar terhadap perjalanan BPR sebagai satu agensi amanah. Kalau kita boleh persoalkan siapa yang memberi maklumat, akhirnya rakyat Malaysia takut hendak memberi maklumat.

Saya anggap polis dan BPR adalah profesional. Jika dua organisasi ini sudah hilang profesionalisme, maka saya tidak tahu kemana lagi hendak saya rujuk, khususnya dalam mencari warna-warna profesionalisme. Adalah amat bertentangan dengan semangat kewujudan polis dan BPR, jika itulah soalan pertama yang ditanya terhadap Ahmad Lutfi.

Saya mewakili rakan-rakan PAS negeri Selangor dan Malaysia, kita membantah sekeras-kerasnya tindakan yang diambil oleh polis dan BPR. Oleh demikian, Lutfi dipanggil bukan untuk memanjangkan dengan bukti lebih lanjut, tetapi sekadar ingin mengetahui siapakah yang memberi butir-butir tersebut.

Bagi saya, niat mereka sudah tidak betul. Apabila niat tidak betul maka pelaksanaan juga tidak betul. Jika cara begini berterusan maka ia terbuka dengan persoalan-persoalan lebih besar.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 21 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com