Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


CABARAN DAN PELUANG UNTUK MENGUATKAN PARTI

PERUTUSAN HARI RAKYAT
Dr Syed Husin Ali, Presiden PRM

CABARAN DAN PELUANG UNTUK MENGUATKAN PARTI

Setiap tahun kita merayakan Hari Rakyat, untuk memperingati kelahiran PRM pada jam 11.00 pagi 11/11/1955. Tahun ini kita merayakannya buat kali ke-46; kerana itulah umur PRM sekarang. Tahun lalu dan sebelumnya perayaan diadakan secara agak besar di peringkat Pusat. Tahun ini, pimpinan parti meminta semua Negeri atau Bahagian membuat sambutan sendiri. Ini untuk menggalakkan lebih ramai anggota menyertai di tempat masing-masing.

Kita menyambut Hari Rakyat kali ini dalam satu zaman pancaroba, di mana keadaan dunia dan negara tidak menentu. Berikutan serangan ganas ke atas WTC dan Pentagon pada 11 September 2001, kira-kira 5,000 nyawa, kebanyakannya orang awam, melayang, AS telah membentuk sebuah gabungan antarabangsa bagi menentang keganasan. Sebagai tindakan pertama serang balas, Bush melancarkan pengeboman ke atas Afghanistan, yang dituduh melindungi anasir-anasir pengganas yang disyaki bertanggungjawab ke atas serangan besar di AS itu.

Pengeboman Afghanistan oleh AS semakin kencang dan bertambah ganas. Ramai orang tidak berdosa, terutama wanita dan kanak-kanak, telah menjadi korban sia-sia. Akhir-akhir ini pesawat-pesawat AS telah menggugurkan pula bom “cluster” yang bertaburan di bumi dan hanya meletup apabila disentuh. Anehnya, bom “cluster” ini berwarna kuning, iaitu warna yang sama dengan kotak-kotak makanan yang digugurkan oleh kapal terbang AS, kononnya untuk menolong rakyat yang lapar.

Penggunaan bom “cluster” ini sangat zalim dan tidak berperikemanusiaan. Bom ini lebih sensitif dan bahaya daripada periuk api, yang meletup apabila terpijak. AS masih tidak mahu menandatangani perjanjian mengharamkan penggunaan periuk api. Barangkali itu sebabnya ia tidak keberatan menggunakan bom “cluster” pula. Cara-cara yang digunakan untuk memerangi keganasan antarabangsa, dengan mengebom Afghanistan, mendedahkan pemerintahan AS untuk dituduh sebagai “pengganas negara” (state terrorists).

Pengisytiharan perang yang menggunakan banyak senjata canggih lagi bahaya ini berlaku dalam masa ekonomi AS sedang merudum. Mungkin ada pihak yang mengharapkan perang boleh memulihkan ekonomi AS. Perang Iraq dulu gagal menyelamatkan ekonomi AS. Kelihatan sekarang juga, “perang” ke atas Afghanistan tidak mungkin menyelamatkan ekonomi AS yang teruk sekarang. Tetapi, barangkali ia boleh meningkatkan ekonomi beberapa buah syarikat yang mengeluarkan dan membekalkan senjata. Lagi pula, perang ini mungkin juga memberi peluang kepada tentera AS untuk menguji keberkesanan serta ketepatan semua senjata baru mereka.

Dari segi politik, serangan pengganas ke atas WTC serta Pentagon dan kempen perang anti pengganas antarabangsa yang dilancarkan oleh AS telah memperkukuh kedudukan politik Presiden Bush. Beliau pernah dianggap sebagai presiden yang lemah dan sedikit “bebal”. Bush, disokong penuh oleh media, menguatkan kedudukannya dengan membakar semangat patriotisme AS. Walaupun apa yang sedang berlaku bukan merupakan pertarungan di antara Islam dengan Kristian atau Timur dengan Barat, namun ramai di kedua-dua pihak sudah menganggapnya begitu.

Apakah kesan segala ini terhadap keadaan di negeri ini? Dari segi ekonomi, Malaysia mengalami kemerosotan yang agak teruk berikutan krisis kewangan sejak 1997. Kemerosotan ekonomi AS pasti menjejaskan ekonomi kita. Hidup para petani, pekerja ladang dan pekerja lain yang berpendapatan rendah semakin tertekan oleh kerana harga padi, getah serta kelapa sawit masih rendah.

Pada ketika yang sama, harga barang keperluan pula naik, sehingga mengurangkan pendapatan sebenar. Peniaga kecil dan sederhana masih menghadapi kesulitan kerana perniagaan dan pendapatan mereka jauh lebih rendah, berbanding dengan keadaan sebelum 1997. Semua golongan berpendapatan rendah dan sederhana ini tidak mendapat cukup bantuan pemerintah untuk memulihkan keadaan mereka.

Sebenarnya, golongan yang pulih ialah syarikat-syarikat serta tokoh-tokoh korporat besar yang rapat dengan pucuk pimpinan pemerintah. Berbilion-bilion ringgit wang negara (yang sebenarnya wang rakyat) digunakan untuk menyelamatkan tokoh-tokoh tertentu yang pernah menerajui syarikat-syarikat kroni, seperti RENONG, MAS, PERWAJA dll. Hampir RM50 bilion digunakan melalui Danaharta untuk menyelamatkan beberapa syarikat dan tokoh korporat daripada hutang yang mereka tidak boleh dibayar (atau NPL).

Pendapatan atau keuntungan PETRONAS selama ini, yang berjumlah RM300 bilion, tinggal cuma RM50 bilion. Ke mana lesap kekayaan ini? Berapa banyak yang digunakan untuk mengongkosi tiap-tiap projek mega membazir yang menjadi kebanggaan Mahathir? Berapa banyak pula yang digunakan untuk menyelamatkan syarikat serta tokoh korporat kroni? Sebagai perbandingan, berapa banyak pula yang digunakan untuk membantu petani, buruh, peniaga dan pegawai yang berpendapatan rendah serta sederhana? Segala ini masih tersembunyi daripada pengetahuan umum.

Dari segi politik, untuk memesongkan pandangan rakyat daripada semua ini dan juga untuk menarik sebahagian daripada mereka, Dr Mahathir melakukan berbagai-bagai perkara. Beliau mengumumkan Malaysia sebagai negara Islam dan memberi bonus setengah bulan serta berjanji kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak 10 persen. Pada masa yang sama, Mahathir memberi amaran pula kepada rakyat dan juga media supaya jangan memanjangkan cerita mengenai kenaikan harga minyak sebanyak 10 sen (iaitu 8 peratus untuk petroleum dan 14 peratus untuk diesel).

Selain itu, sebelum berlaku peristiwa 11 September, pihak polis yang dikuasai oleh Mahathir telah menggunakan ISA yang zalim itu untuk menahan beberapa orang pemimpin muda dari keADILan serta gerakan reformasi. Kemudian ditahan pula mereka yang dituduh konon menganggotai KMM, dan dikaitkan dengan PAS. Semua tahanan difitnah sebagai militan, terlibat dengan senjata api, dan merancang hendak menggunakan kekerasan bagi menjatuhkan pemerintahan BN.

Segala langkah Mahathir ini sedikit sebanyak berjaya mengalih pandangan rakyat daripada berbagai-bagai masalah ekonomi, politik dan sosial yang berpunca dari dasar serta tindakan pemerintahan BN, dan juga melemahkan gerakan massa serta penerangan yang telah dilancarkan oleh parti-parti alternatif. Peristiwa 11 September memberikan peluang kepada BN untuk mempertahankan pemerintahan zalim mereka. Bahkan para pemimpin BN cuba meyakinkan rakyat dan juga pemimpin kuasa-kuasa besar tertentu bahawa ISA adalah perlu untuk menjaga apa yang mereka dakwa sebagai keselamatan negara dan memerangi apa yang mereka tuduh sebagai golongan militan atau ganas.

Menggunakan peristiwa ini, pimpinan dari parti-parti pemerintah BN juga cuba mengukuhkan sokongan dari kalangan orang bukan Melayu atau bukan Islam dan menarik simpati dari kalangan orang Melayu/Islam. Perpecahan berasaskan kaum dan agama merebak di peringkat antarabangsa dan juga kebangsaan. Di kedua-dua peringkat ini, pucuk pimpinan terus menggunakan isu agama untuk menjalankan dasar pecah belah dan perintah.

Tidak boleh dinafikan peristiwa September 11 dan segala yang berikutan, telah membantu Mahathir menjadi bertambah kuat dan memungkinkan beliau menjadi bertambah “authoritarian” (bersifat kuku besi). Malangnya, pada ketika yang sama BA semakin menunjukkan tanda-tanda menjadi bertambah lemah. Keputusan DAP keluar mempunyai kesan buruk kepada BA dan sangat dikesali. Ia melemahkan BA, tetapi belum tentu lagi menguatkan DAP.

Malangnya apa yang berlaku membantu memperkukuh anggapan rakyat bahawa BA tidak boleh bersatu dan hanya BN saja yang mampu memerintah negeri ini. Namun, masih ramai mengakui terdapat banyak kelemahan dan kekurangan BN, seperti rasuah, kronisme dan ketidakadilan dalam berbagai-bagai bidang. Perpecahan dalam BA membuktikan bahawa perkiraan politik berasaskan kepentingan parti sendiri untuk mendapat sokongan dari satu-satu golongan etnik atau agama tertentu adalah lebih diutamakan daripada perkiraan tentang kepentingan bersama untuk menjaga keutuhan BA bagi mendapat sokongan daripada pelbagai kaum dan agama, dan akhirnya mengubah corak pemerintahan.

Untuk melawan dan mengalahkan BN, semua parti luar pemerintahan tidak boleh berpecah-belah. Oleh kerana DAP tidak lagi boleh bersatu dalam BA, maka usaha hendaklah dijalankan bagi mencari asas baru untuk menguatkan bentuk kerjasama yang baru pula. Usaha untuk mencapai ini haruslah dilakukan dari sekarang.

Pada masa yang sama, PRM harus menguatkan diri sendiri. Dalam kongres yang lalu, kita telah mengambil keputusan untuk membentuk perpaduan baru melalui percantuman PRM-keADILan, bagi menegakkan Malaysia Baru berasaskan Masyarakat Adil. Proses ini sedang berjalan dan bergantung kepada beberapa perkara yang masih belum selesai.

Dalam suasana politik dan ekonomi dunia serta negara yang tidak menentu sekarang, PRM perlu terus melipat-ganda usaha dan iltizam bagi memantapkan parti terutama dari segi politik dan organisasi. Zaman pancaroba kini menimbulkan banyak cabaran. Ia juga memberikan banyak peluang kepada kita. Masa depan PRM terletak pada tangan semua anggota.

Hidup perjuangan rakyat!






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 17 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com