Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


MB Terengganu diwawancara TV AlJazeera

Oleh : fudzail@visto.com

Bila program ‘Bilahuhud’ AlJazeera Rabu 31 Oktober yang bermula dengan gambar lebam mata Anwar Ibrahim sebagai montaj memperkenalkan ‘Haji Abdul Hadi bin Awang Menteri Besar Negeri Terengganu, Malaysia’ sebagai tetamu, terasa satu kegembiraan dan kejayaan yang manis oleh kami yang tertunggu-tunggu.

Dengan sambutan hebat terhadap siaran TV AlJazeera yang kini dikatakan ditonton melebihi 40 juta orang seluruh dunia (kecuali Malaysia?), kemunculan seorang Menteri Besar dari Malaysia dan termasuk dalam 10 pemimpin paling berpengaruh di Asia memberikan satu wajah baru kepada Malaysia sendiri.

Penulis selalu juga sewaktu di tanahair (dari semenjak pulang ke tanah air dari New Zealand akhir 80an) mengikuti syarahan Tuan Guru di Masjid Subang Jaya dan melihat beliau sebagai pemimpin yang konsisten dan mempunyai kredibiliti.

Kehebatan beliau berpidato memang sudah diakui dan penulis salah seorang generasi baru yang mengkagumi beliau walau waktu itu masih tidak begitu peduli mengenai banyak perkara.

Selain Tuan Guru MB Kelantan, boleh dikatakan MB lain yang ada tidak masuk dalam liga yang sama kerana kebanyakannya cakap tidak serupa bikin dan tidak seperti imej yang digembar-gemburkan oleh media perdana tempatan.

Malah pertemuan peribadi dengan beberapa Menteri, MB atau KM yang melawat Dubai memberikan gambaran sebenar taraf pemikiran dan kepimpinan mereka. Boleh dikatakan tanpa ‘political patronage’, kebanyakan mereka hanya layak untuk membawa fail atau pemandu kereta Perdana Menteri.

Persoalan mengenai kesan selepas serangan Amerika terhadap Afghanistan di Malaysia dan Negara Islam lainnya menjadi bahan utama wawancara. Tuan Guru berjaya menampakkan ciri-ciri seorang pemimpin yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa. Selain fasih berbahasa Arab, hujah-hujah yang dikemukakan adalah bernas dan berfakta.

(Penulis tidak dapat mengulas lanjut kerana kegagalan memahami sepenuhnya wawancara atas kelemahan bahasa Arab tetapi akan berbuat demikian dengan pertolongan seorang sahabat dari rakaman video)

Melihat dari lokasi para pemanggil dan penghantar emel, jelas Tuan Guru kini semakin dikenali di dunia Arab. Dengan sendirinya tidak salah dikatakan dapat memberikan wajah ‘alternatif’ kepada kepimpinan baru umat Islam. Satu perkara yang tidak mustahil.

Sememangnya seorang pemimpin yang baik bukan sekadar kerana kuasa dan pangkat yang dimilikinya. Ada pemimpin yang tidak mempunyai jawatan tetapi berpengaruh kerana ciri-ciri kepimpinan yang diterima ramai.

Malah berani dibuat kesimpulan tentang ramai juga mereka yang bergelar ‘pemimpin’ rasmi di tanahair ini tidak lebih sekadar ‘badut’ dan kalau ada yang baik pun sudah tidak lagi di arus perdana.

Berita sensasi ketika ini tentang kegilaan ‘rasuah’ seorang MB bukan berita baru dan mengejutkan. Sekadar cerita kitar semula yang akan terus menjadi ‘trademark’ dan sebahagian dari sistem korup pentadbiran selagi tiada perubahan dari segi pemerintahan.

Pemimpin-pemimpin alternatif di Malaysia sejak lama di’senarai-hitamkan’kan oleh media perdana kepunyaan parti pemerintah yang sering pula memutar-belitkan kenyataan.

Pemimpin seperti Tuan Guru perlu pendedahan di peringkat antarabangsa. Pemikiran dan wawasan mereka perlu diketengahkan untuk memberi ruang kepada satu perspektif baru terhadap Malaysia sendiri.

Strategi begini dengan sendirinya memperlihatkan kemampuan para pemimpin alternatif selain pemimpin ‘rasmi’ negara yang sudah tidak relevan dan sekadar ‘liabilities’.

Bila ramai rakyat Amerika sendiri sudah mula muak dan bosan dengan retorik bersifat keganasan oleh Presiden Bush, apalagi rakyat Malaysia yang sejak lama dihidangkan dengan menu yang sama dan basi setiap hari.

Kepimpinan alternatif yang bukan sahaja muda dan intelektual tetapi bersih perlu lebih bijak menggunakan ‘media’ antarabangsa seperti AlJazeera.

Tulisan-tulisan yang membentangkan hujah berfakta perlu lebih luas diterbitkan. Bukan sekadar retorik di ceramah-ceramah yang mungkin dihadiri oleh orang yang sama. Bagaimana untuk mereka yang dikatakan ‘majoriti diam’?

Sudah sampai masanya sekumpulan penyokong pemimpin alternatif yang bertaraf pemikir ini melibatkan propaganda melalui media (selain yang berfahaman kuno di tanahair) secara lebih teratur, konsisten dan sistematik. Termasuk penerbitan berbentuk massa seperti akhbar tanpa berkala yang boleh disebarkan meluas. Internet adalah salah satu media yang popular tetapi belum mencapai taraf pendedahan maksimum seperti VCD yang sudah disekat.

Melihat wajah Tuan Guru di AlJazeera sendiri sudah cukup memberikan satu kegembiraan buat kami yang sejak lama tidak melihat beliau di mana-mana kaca TV. Bukan mudah untuk menatap seorang pemimpin alternatif menjadi tetamu khas dan disiarkan ke serata dunia bercakap dan berhujah dengan baik dalam bahasa Arab.

Harapan di masa terdekat, untuk melihat lebih kerap kemunculan pemimpin alternatif Malaysia mengisi program perdana antarabangsa. Mungkin strategi begini dapat memecahkan tembok media perdana tempatan yang semakin dibenteng oleh pagar yang reput!






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 10 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com