Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Khir Toyo tidak jawab isu dakwaan rasuah terhadapnya

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Hrkh) - Aktivis media, Ahmad Lutfi Othman, menyifatkan penjelasan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo tentang dakwaan rasuah terhadapnya, dalam Mingguan Malaysia, 18 November lalu, sebagai percubaan untuk mengalih perhatian umum daripada isu yang sebenarnya.

Khir, dalam akhbar mingguan itu, diberi satu setengah muka surat untuk menjawab apa yang disifatkan sebagai "fitnah-fitnah" terhadapnya.

Menurut Lutfi, semua pertuduhan asas yang dikemukakan dalam aduannya kepada Badan Pencegah Rasuah 23 Oktober dan 8 November lalu langsung tidak disentuh oleh Khir.

Sebaliknya, beberapa isu yang hanya ditimbulkan dalam internet, seperti Khir mengumpul kekayaan RM100 juta tunai, kononnya melalui komisyen penjualan tanah, sengaja dibesar-besarkan.

Ahmad Lutfi dalam aduan rasminya kepada Ibu Pejabat BPR di Putrajaya, pada 8 November dan esoknya ketika dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat BPR Selangor, di Shah Alam, membutirkan beberapa isu asas yang mana Khir disyakki terbabit dalam amalan salah guna kuasa dan korupsi.

Antaranya, meluluskan tender membina jalan raya di Sekinchan sepanjang 20.5 kilometer, bernilai RM92.5 juta kepada sebuah kontraktor bermasalah, Meram Holding Sdn Bhd.

Dua persoalan ditimbulkan dari projek ini, iaitu memberikan kontrak kepada syarikat yang hampir disenarai-hitamkan dan kedua, nilai projek yang terlalu tinggi berbanding taksiran JKR.

Khir juga didakwa menyalahgunakan kuasanya ketika mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor, sekurang-kurangnya untuk tiga kali mesyuarat, apabila meluluskan permohonan tanah kepada syarikat-syarikat yang diragui kewibawaannya.

Dalam satu kes, tanah seluas 400 ekar di Shah Alam, diberikan kepada empat syarikat berbeza tetapi mempunyai seorang pengarah yang sama.

Selain itu, empat pemohon muda, berumur 20 tahun, diberikan tanah seluas 50 ekar setiap syarikat, sedangkan mereka hanya baru menjadi pengarah syarikat, tidak sampai 40 hari sebelum tanah diluluskan kepada mereka.

"Saya pelik apabila Khir membangkitkan keputusan kerajaan negeri meluluskan permohonan tanah rakyat yang katanya telah hampir 30 tahun memohon tanah. Isu ini langsung tidak pernah saya timbulkan, malah saya menyokong penuh tindakan memberi tanah kepada mereka yang layak," kata Lutfi.

Sebaliknya, beliau mempersoalkan bagaimana anak muda yang langsung tidak tahu menahu tentang proses memohon tanah boleh diberikan tanah yang begitu luas dalam waktu yang cukup singkat.

"Bukan soal muda atau tua yang dihitungkan, tetapi di belakang tabir sebenarnya ada pihak lain yang cukup rapat dengan Menteri Besar mendalangi semua permohonan itu. Khir langsung tidak menjawab persoalan penting itu.

"Beliau juga tidak menjawab bagaimana seorang anak Pegawai Daerah yang baru berumur 20 tahun dianugerahkan tanah di kawasan DO itu sendiri. Khir juga tidak menjawab bagaimana seorang pemohon boleh mendapat berulang kali tanah seluas 100 ekar dalam masa singkat sedangkan umum mengetahui tanah di Selangor ini semakin kecil keluasannya dan bernilai cukup tinggi," tambah Lutfi.

Beliau turut mengulas kenyataan Khir yang mendakwa beliau meluluskan tanah kepada individu, khususnya yang membangunkan tanah tersebut sejak 35 tahun lalu dan bukannya kepada syarikat-syarikat yang minta tanah berkenaan.

"Ini lagi satu isu yang disongsangkan," kata Lutfi. "Saya pertikai bagaimana MB boleh luluskan tanah seluas 400 ekar kepada empat syarikat berbeza tetapi mempunyai pengarah yang sama. Dalam kata lain, tanah di Bukit Cherakah itu diluluskan kepada sebuah syarikat, yang semua maklum syarikat berkenaan telahpun menguasai berbelas ribu ekar tanah di kawasan berkenaan."

"Saya cukup alu-alukan jika kerajaan negeri menganugerahkan tanah kepada mereka yang sedang mengusahakan tanah itu sejak puluhan tahun, jika semua syarat dipenuhi. Kita tidak pernah bangkitkan hal ini. Jadi saya harap Khir jangan cuba putar-belitkan fakta," tambahnya.

Lutfi juga kesal dengan sikap akhbar yang cuba memalingkan perhatian umum kepada isu lain yang tidak ada kena mengena dengan dakwaan rasuah Khir Toyo. "Akhbar berkenaan, selain menggambarkan Khir sebagai mewakili imej pemimpin Umno yang bersih, warak dan telus, sedaya upaya berusaha memburuk-burukkan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor, Dr Hassan Ali, yang menimbulkan isu rasuah ini di persidangan Dewan 30 Oktober lalu."

Beliau mengharapkan masyarakat tidak terkeliru dengan isu sebenar dan menuntut Khir menjawab persoalan yang dipertikaikan, bukannya sengaja berdolak-dalik dengan isu yang langsung tidak ada kaitan.

Sebuah akhbar harian berbahasa Melayu, dua hari berturut-turut, dalam laporan muka depan, menimbulkan isu kem motivasi yang dimiliki Dr Hassan Ali, yang dikatakan beroperasi tanpa permit di Hutan Simpan Sungai Lui, Hulu Langat.

Khir Toyo dalam wawancaranya Ahad lalu mendakwa Dr Hassan meneroka hutam simpan kerajaan secara haram untuk membina kem motivasi.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 21 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com