Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Pelbagai syarat baru dalam pilihan raya kampus

Oleh Salmiyah Harun

SERDANG, 23 Nov (Hrkh) - Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama daripada Hal Ehwal Pelajar (HEP) UPM yang dikatakan telah menetapkan pelbagai syarat dalam pilihan raya kampus.

Menurut Setiausaha Agung Front Mahasiswa untuk Demokrasi (Fraksi), Amin Shah Iskandar, setiap calon yang akan bertanding dalam pilihanraya kampus pada Isnin depan diwajibkan bergambar dengan memakai songkok hitam.

"Ini syarat tidak masuk akal langsung, malah berlagak seperti pemimpin Umno pula," katanya dalam sidang media di UPM semalam.

Malah, katanya, HEP juga tidak benarkan pelajar mengadakan tazkirah selepas solat tarawikh sebagaimana biasa dan jika mahu juga perlu minta permit atau kebenaran daripada kolej terlebih dahulu.

Katanya juga, dalam konspirasi pihak pemerintah (Barisan Nasional) untuk menjatuhkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) setiap kampus yang mejoritinya dikuasai oleh kumpulan yang anti-establishment, pelajar tidak dibenarkan memilih warna untuk poster masing-masing.

"Pelajar diwajibkan menggunakan warna hitam putih sahaja. Taktik digunakan oleh HEP UPM semata-mata mengelirukan penyokong kumpulan pelajar ini," tambahnya.

Katanya, kebebasan pelajar untuk memilih warna kegemaran masing-masing telah dinafikan sama sekali oleh pihak pentadbiran UPM, malah ini sama sekali mencabuli hak-hak demokrasi mahasiswa.

Bagi beliau, pihak UPM bersekongkol dengan Kementerian Pendidikan Malaysia bertujuan menjatuhkan MPP yang ada dan memastikan semua MPP setiap kampus menyokong kerajaan Barisan Nasional.

"Konspirasi ini untuk mengaburi mata rakyat kononnya mahasiswa menyokong penuh kerajaan BN sedangkan 90 peratus mahasiswa benci dan mengutuk pencabulan hak yang dilakukan oleh BN terhadap mahasiswa," katanya.

Menurut Amin lagi, pada kali ini mahasiswa UPM tidak dibenarkan lagi untuk mempunyai parti atau kumpulan masing-masing yang mana sebelum ini di UPM mempunyai tiga parti iaitu Angkatan Mahasiswa Bersatu (AMB), Intelektual Pendokong Kebajikan Mahasiswa (IPKM) dan Gerakan Mahasiswa Alternatif (Gema) atau sekarang di kenali sebagai Fraksi, tetapi sekarang sudah tidak dibenarkan lagi.

Pilihan raya bagi seluruh universiti yang sepatutnya berlangsung serentak semalam telah ditunda pada Isnin depan berikutan kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 24 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com