Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


PPRT jadi projek mewah - penduduk

KUALA KRAI, 26 Nov (Hrkh) - Berita penipuan projek pelaburan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan pendedahan kelemahan pelaksanaannya oleh Laporan Audit Negara begitu mengejutkan.

Pendedahan itu lebih mengecewakan apabila penipuan itu dikatakan mencecah angka RM40 juta di Kelantan dan Terengganu.

Biarpun penipuan projek dikesan di negeri yang diterajui PAS, namun agen pelaksana program itu beradavdi bawah tujuh agensi milik kerajaan Pusat dan tidak ada kaitan langsung dengan kerajaan negeri.

Di Kelantan, projek PPRT yang membabitkan belanja puluhan juta boleh dilihat di Bukit Sireh, dekat sini, dan di Gading Galoh, Kok Lanas.

Malah, pendedahan berhubung penyelewengan projek PPRT di dua tempat berkenaan telah dibuat di Parlimen baru-baru ini oleh anggota parlimen Rantau Panjang, Haji Abdul Fatah Harun.

Beliau mendakwa, projek ternakan ikan hiasan dan tanaman orkid yang melibatkan kos berjumlah RM15 juta dan ternakan ayam telur menelan belanja RM5.69 juta disalah guna bagi kepentingan peribadi.

Kedua-dua projek tersebut dikendalikan di tapak milik Risda, sebuah agensi pelaksana di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Projek ternakan ikan hiasan dan tanaman orkid, yang sebelum ini dicanagkan akan dapat membantu rakyat miskin di kawasan itu, sehingga ke hari ini, terus gagal mencapai matlamatnya.

Malah, penduduk setempat mendakwa ia tidak mampu dikategorikan sebagai projek berdaya maju, memandangkan prestasinya tidak begitu menggalakkan.

Kata mereka, projek itu memperlihatkan elemen-elemen kemewahan yang tidak ada lagi kaitan dengan PPRT.

Menurut sumber, ikan hiasan yang dikatakan hendak dieksport ke Jepun, setakat ini hanya mampu dipasarkan di pasaran tempatan sahaja.

Begitu juga dengan tanaman orkid hanya beredar sekitar dalam negara dan dikatakan belum menembusi pasaran luar.

Projek tersebut yang diusahakan di atas kawasan seluas kurang 100 ekar tampak begitu hebat pada pandangan mata kerana dilengkapi bangunan pejabat pentadbiran ala-Jepun dan kawalan keselamatan yang begitu ketat.

Sesiapa yang melalui kawasan sekitarnya, boleh melihat projek tersebut seperti sebuah projek elit.

Ia juga dilengkapi dengan wakaf-wakaf besar yang kelihatan seperti rumah banglow kayu separuh siap.

Penghulu Mukim Bedal, Mohd Ariffin Wahab berkata, pembinaan wakaf besar di kawasan projek PPRT tidak memberi manfaat langsung kerana ia adalah seperti projek mewah yang tidak jelas tujuan pembinaannya.

Katanya, pembinaan wakaf besar ala-banglow jelas merupakan pembaziran yang tidak diperlukan.

"Begitu juga beberapa buah rumah PPRT yang terletak di kawasan itu kini sudah ditenggelami dengan semak samun dan tidak pula dihuni oleh penduduk miskin," katanya.

Menurutnya lagi, kewujudan rumah dan wakaf besar ala-banglow tidak mencerminkan bahawa projek tersebut dilaksanakan dengan tujuan membantu rakyat miskin di bawah PPRT.

Beliau berkata, penduduk yang tinggal di kawasan tersebut juga hairan dengan segala kemudahan dibina itu adalah seperti projek mewah milik badan korporat tertentu.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan projek ternakan ikan hiasan dan orkid berupaya memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan untuk menambah pendapatan.

Mohd Ariffin berkata, sebelum ini beliau difahamkan lebih 200 penduduk tempatan akan dapat mencari rezeki di kawasan projek tersebut.

Bagaimanapun katanya, bilangan berkenaan kini sudah berkurangan dengan banyak dan mereka yang masih bekerja pun hanya datang bekerja beberapa hari sahaja dalam seminggu.

Bekad pesara Risda, Abdullah Awang Senik, 63, berkata, beliau mendapat durian runtuh apabila tanahnya seluas lebih sembilan ekar diambil untuk pembangunan projek terbabit.

Katanya, lebih RM100,000 diraihnya selepas tanah lot getah dijual kepada agensi kerajaan yang melaksanakan projek berkenaan.

"Pak cik diberitahu sebelum ini projek terbabit akan dibangunkan untuk PPRT bagi membantu penduduk miskin.

"Bagaimanapun selepas siap lebih tiga tahun lalu, pak cik tidak tahu apakah projek yang dilaksanakan di situ.

"Pernah sekali pak cik cuba masuk ke kawasan yang berpagar cantik untuk melihat projeknya, namun tidak dibenarkan pengawal keselamatan.

"Pengawal kata, kalau pak cik hendak melihat hanya setakat pagar ini sahaja dan tidak boleh masuk ke dalam," katanya.

Menurutnya lagi, sampai sekarang beliau tidak tahu sejauh mana perkembangan projek berkenaan kerana pihak pengurusan tidak mempunyai hubungan langsung dengan penduduk.

Mohd Ariffin berkata, biarpun projek itu dibangunkan di kawasan kampung, namun pihak pengurusannya tidak pernah mengambil tahu masalah yang dihadapi penduduk tempatan.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 27 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com