Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


BPR siasat minit mesyuarat Exco lulus tanah kepada budak 20 tahun

SHAH ALAM, 28 Nov (Hrkh) - Pegawai-pegawai penyiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) dikatakan mula mengunjungi tempat-tempat yang ada kaitan dengan aduan rasuah yang dibuat terhadap Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo, termasuk pejabat pentadbiran kerajaan negeri di Bangunan SUK Selangor, di Shah Alam.

Menurut sumber, BPR dikatakan mendapat "lampu hijau" daripada pihak atasan supaya menyiasat aduan aktivis media, Ahmad Lutfi Othman selepas dakwaan rasuah terhadap Khir mencetuskan kontroversi dan menarik perhatian ramai.

Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, di sini, juga dilawati oleh pegawai BPR dan mereka dikatakan telah mengambil beberapa maklumat dan dokumen berkaitan bagi tujuan penyiasatan.

Tumpuan siasatan BPR, difahamkan, lebih merujuk kepada kes pembinaan Jalan Cross Ban 4, Sungai Panjang (B44), sepanjang 20.5 kilometer, bernilai RM92.5 juta kepada sebuah kontraktor bermasalah, Meram Holdings Sdn Bhd.

Lutfi dalam aduan rasminya pada 23 Oktober dan 8 November lalu mempersoalkan bagaimana Meram boleh diberikan kontrak termahal itu sedangkan syarikat berkenaan gagal menyiapkan lima projek dalam waktu terdekat.

Kos sebanyak RM4.5 juta untuk satu kilometer jalan merentasi bendang di Sungai Panjang itu, kawasan yang diwakili oleh Di Khir Toyo, dianggarkan oleh seorang perunding yang berpengalaman dalam kerja-kerja geoteknikal sebagai terlalu tinggi dan tidak munasabah.

Isu kelulusan permohonan tanah yang diputuskan dalam tiga mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor, pada 20 Disember 2000, 20 November 2000 dan 4 Julai 2001 juga disiasat.

Difahamkan beberapa maklumat penting, termasuk minit mesyuarat Exco yang disebutkan Lutfi dalam aduannya, turut menjadi tumpuan penyiasat. Sementara di pihak Umno pula, dikatakan mereka begitu ghairah mencari siapa sebenarnya yang membocorkan keputusan mesyuarat itu kepada Lutfi.

Antara kelulusan tanah yang menjadi pertikaian ialah bagaimana empat pemohon muda, yang berusia 20 tahun, diberikan tanah seluas 50 ekar kepada setiap syarikat yang mana mereka menjadi pengarahnya.

Lokasi tanah berkenaan ialah di Mukim Tanjung Dua Belas, Daerah Kuala Langat.

Seorang daripada pemohon yang berjaya itu ialah anak kepada seorang Pegawai Daerah.

BPR juga dikatakan sudah memulakan siasatan tentang dakwaan bahawa beberapa pemohon yang berjaya sebenarnya tidak tahu menahu tentang permohonan tanah berkenaan.

Disyakki ada pihak tertentu yang rapat dengan pejabat Menteri Besar yang mendalangi permohonan itu, dengan menggunakan nama pihak lain.

Dr Khir Toyo, dalam jawapannya di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor pada 31 Oktober lalu, dan juga dalam wawancaranya dengan Mingguan Malaysia, 18 November lalu, menegaskan bahawa semua keputusan Exco dibuat secara bersama dan bukan keputusannya seorang diri.

"Saya cadangkan pihak BPR menemubual semua anggota Exco Kerajaan Negeri bagi mengetahui mekanisme sebenar bagaimana kelulusan terhadap permohonan tanah dibuat. Saya difahamkan Khir langsung tidak mengambil pandangan anggota Exco yang lain. Ini terbukti apabila seorang anggota Exco bertindak melemparkan fail kepadanya dan terus keluar dari bilik mesyuarat kerana marah dengan cara Menteri Besar dalam meluluskan tanah," kata sumber yang mengaku rapat dengan Ibu Pejabat Umno Selangor.

"Lebih menarik lagi jika BPR mendapat maklumat terperinci daripada Pengarah JKR Negeri tentang penganugerahan projek-projek JKR kepada kontraktor. Temubual juga boleh dibuat dengan pihak jurutera. Apakah mereka tidak pernah mendapat tekanan daripada Menteri Besar sebelum kelulusan bagi sesuatu projek diberikan kepada kontraktor tertentu," tambahnya lagi.

Ketika dihubungi, Lutfi berkata, jika benar BPR sudah memulakan siasatan, itu satu perkembangan yang positif dan beliau mengharapkan proses siasatan itu dapat dijalankan secara professional.

"Cuma, saya agak terkilan, mengapa kes yang membabitkan Menteri Besar Selangor, yakni orang paling berkuasa di negeri ini, boleh diserahkan kepada BPR Selangor. Sepatutnya ia dikendalikan oleh Ibu Pejabat BPR di Putrajaya di mana saya membuat aduan rasmi pada 23 Oktober dan 8 November lalu.

"Walaupun BPR Selangor tertakluk sepenuhnya kepada ibu pejabatnya di Putrajaya, tapi dari segi psikologi, tentulah lebih selesa bagi para pegawai penyiasat BPR di Putrajaya untuk mengendalikan kes ini, berbanding pegawai BPR di Shah Alam," kata Lutfi.

Seterusnya bekas Ketua Pengarang Detik, majalah yang diharamkan pada Disember 1999 itu memberitahu, di peringkat awal, iaitu sehari sebelum berkunjung ke Ibu Pejabat BPR di Putrajaya, beliau menelefon BPR Selangor bertanyakan di mana sepatutnya aduan dibuat.

Seorang pegawai BPR di Shah Alam menjelaskan kepada Lutfi, jika kes itu berlaku di Selangor, lebih wajar jika aduan dibuat di negeri itu.

"Bagaimanapun, selepas saya memberitahu bahawa aduan saya membabitkan Menteri Besar Selangor, maka pegawai berkenaan minta saya membuat aduan terus kepada Ibu Pejabat BPR di Putrajaya. Kata pegawai itu lagi, kalaupun aduan membabitkan Khir dibuat di Shah Alam, mereka akan merujuk dahulu dengan Putrajaya," tambah Lutfi.

Oleh itu, katanya, lebih baiklah jika kes ini diselenggarakan oleh Ibu Pejabat BPR bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap proses siasatannya tidak tergugat.

Ini kerana banyak pihak bimbang BPR Selangor tidak dapat menjalankan siasatan secara adil dan bebas dalam kes membabitkan MB Selangor itu.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 29 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com