Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Berita-berita Terengganu

Yayasan Terengganu tubuh Tabung Wakaf Pendidikan

KUALA TERENGGANU, 28 Nov (Hrkh) - Yayasan Terengganu (YT) mengambil daya usaha menubuhkan Tabung Wakaf Pendidikan dalam usaha menjejaki kegemilangan sejarah Islam dalam bidang pendidikan.

Pengarahnya, Haji Yusoff Tahir berkata, tabung itu akan digunakan oleh Yayasan Terengganu untuk memberikan dan meningkatkan kemudahan pendidikan kepada rakyat yang memerlukannya.

Hal ini, katanya, termasuklah perancangan untuk mengadakan dan menguruskan institusi-institusi pengajian yang berteraskan pendidikan seimbang, dunia dan akhirat.

"Perkara ini penting untuk melahirkan sebuah masyarakat madani yang hanya akan berfikir dan bertindak berasaskan al-Quran dan hadis - iaitu masyarakat yang bukan sahaja mempunyai kekuatan akhlak tetapi juga kekuatan material," ujarnya.

Sehubungan itu, tambahnya, orang ramai digalakkan memberi sumbangan wakaf dalam apa-apa juga bentuk kepada tabung itu.

Menurutnya, sebagai langkah untuk memudahkan dan mendisiplinkan seseorang merancang sumbangannya secara teratur dan berterusan, YT melalui Takaful Malaysia menyediakan produk takaful yang dikenali Pelan Takaful Wakaf untuk Pendidikan Yayasan Terengganu.

"Beberapa kemudahan untuk memberi sumbangan telah disediakan sama ada melalui potongan gaji, potongan akaun, kad kredit dan sebagainya," ujarnya.

Mereka yang berhajat untuk berbuat demikian bolehlah menghubungi bahagian Perancangan dan Penyelidikan YT di talian 09-6221733 atau Takaful Malaysia Cawangan Kuala Terengganu di talian 09-6233211

========================================================

Umat Islam perlu ceburi semua bidang pendidikan

JERTIH, 28 Nov (Hrkh) - Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri, Ustaz Harun Taib, berkata semua bidang pendidikan perlu diceburi oleh umat Islam, sama ada dalam jurusan sains, kedoktoran dan teknologi.

"Ilmu sains, fizik, kimia, biologi dan lain-lain itu adalah cabang- cabang ilmu Islam," ujarnya.

Menurutnya, kesemua ilmu tersebut penting bagi membangun serta mentadbir negeri dengan baik dan sempurna kerana pendidikan merupakan elemen yang sangat penting bagi kejayaan sesebuah kerajaan dan individu.

Ini, katanya, kerana bagi setiap negara pula mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri mengikut dasar-dasar tertentu negara tersebut.

"Matlamat pendidikan Islam berbeza dengan dasar kapitalisme, komunisme dan sekularisme," jelasnya ketika merasmikan majlis Anugerah Pingat Emas dan Hadiah Kecemerlangan Pelajar kali ke-22, anjuran Yayasan Terengganu di Dewan Majlis Daerah Besut, di sini semalam.

Menurut beliau, bagi negara yang mengamalkan sistem komunisme, maka dasar pendidikannya akan menjurus kepada sistem dan dasar tersebut, manakala negara kapitalisme pula akan membentuk sistem pendidikan mengikut acuan dasar tersebut.

Sempena majlis tersebut seramai 376 pelajar menerima anugerah pingat emas serta hadiah kecemerlangan daripada Yayasan Terengganu. Turut hadir di majlis penganugerahan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Kuala Besut, Ustaz Nik Muhamad Zawawi Nik Salleh, Adun Hulu Besut, Haji Abdullah Mat Dan, Adun Kampung Raja, Ustaz Abdul Aziz Abas dan Timbalan Pengarah Yayasan Terengganu, Syed Ahmad Syed Kassim.

==========================================

Usaha pencegahan dadah di kalangan pelajar dipertingkat

BANDAR PERMAISURI (SETIU), 27 Nov (Hrkh) - Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama agensi yang berkaitan akan mempertingkatkan usaha untuk mencegah penyalahgunaan dadah di kalangan para pelajar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Sosial dan Kesihatan negeri, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata, usaha itu terus dilaksanakan bagi mengelakkan para pelajar terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.

Katanya, pendidikan secara formal dan informal sama ada di sekolah atau melalui institusi masyarakat kepada para pelajar terus dijalankan bagi menghindari para pelajar terjebak dengan gejala tersebut.

"Pendidikan formal dan informal disepadukan dalam usaha pencegahan supaya tak kena kepada para pelajar," ujarnya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar anjuran Yayasan Terengganu kepada para pelajar di daerah Setiu di Dewan Majlis Daerah, di sini, semalam.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Permaisuri, Haji Rozali Mohamad dan wakil Pengarah Yayasan Terengganu.

Katanya, walaupun kerajaan negeri menghadapi masalah kewangan berikutan Kerajaan Persekutuan menafikan hak bayaran royalti petroleum dan gas namun usaha pencegahan itu akan terus dilaksanakan untuk melahirkan para pelajar yang berjaya dalam kehidupan mereka.

Menurutnya, jumlah penagih dadah di negeri ini semakin bertambah berdasarkan perangkaan pada bulan Januari hingga September lalu seramai 2,307 orang berbanding 2,197 penagih dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau juga meminta masyarakat supaya melibatkan diri dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah di semua peringkat.

==============================================

Pendidikan akan terus dapat keutamaan dalam kesempitan

BANDAR PERMAISURI (SETIU), 27 Nov (Hrkh) - Kerajaan Negeri Terengganu akan meneruskan usaha untuk membangunkan bidang pendidikan walaupun menghadapi masalah kewangan berikutan penafian hak bayaran royalti petroleum dan gas kepada kerajaan negeri oleh kerajaan Pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Sosial dan Kesihatan negeri, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata, kerajaan negeri berserah kepada Allah dalam menghadapi suasana itu bagi meneruskan usaha tersebut.

Sehubungan itu, katanya, majlis penyampaian hadiah kepada para pelajar yang cemerlang juga akan diteruskan kerana kerajaan negeri amat prihatin terhadap pembangunan pendidikan di negeri ini.

"Usaha-usaha seperti ini akan terus dilaksanakan kerana kerajaan prihatin terhadap pembangunan pendidikan di negeri ini," ujarnya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar anjuran Yayasan Terengganu kepada para pelajar di daerah Setiu di Dewan Majlis Daerah, di sini, semalam.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Permaisuri, Haji Rozali Mohamad dan wakil Pengarah Yayasan Terengganu.

Katanya, kerajaan negeri amat berbangga dengan pencapaian para pelajar di negeri ini yang terdiri daripada orang Melayu dan Islam termasuk mereka yang berada di institusi pengajian tinggi.

"Pelajar Melayu dan Islam di negeri ini tidak ketinggalan dari segi pencapaian cemerlang mereka berbanding dengan pelajar negeri lain dan mereka terus cemerlang di universiti," ujarnya.

Begitupun, beliau juga menasihatkan para pelajar supaya tidak hanya cemerlang dalam bidang akademik sahaja tetapi juga hendaklah cemerlang dalam semua perkara termasuk adab sopan, akhlak dan sebagainya.

"Kecemerlangan ini dapat dihasilkan oleh para pelajar dan ibu bapa serta pihak yang bertanggungjawab untuk membina para pelajar menjadi warga pelajar yang berakhlak mulia," katanya.

Menurutnya, kecemerlangan akademik sahaja tidak bermakna sekiranya para pelajar tidak bermoral dalam suasana masyarakat yang dilanda dengan berbagai gejala negatif pada hari ini.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 29 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com