Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


MEDIA MASSA ERA BARISAN NASIONAL

Dalam negara dan masyarakat moden,media massa adalah penghubung di antara kerajaan dan rakyat. Ia menjadi penyalur fikiran, pendapat, pemberitaan dan penyebaran maklumat serta berbagai-bagai lagi fungsi media. Dan fungsi media ini dimanfaatkan oleh Barisan Nasional (BN) sepenuhnya sambil melaungkan kebebasan akhbar, tiada tekanan ke atas akhbar. Namun semua kita sedar betapa BN sebenarnya amat mengekang media massa termasuk media elektronik seperti telivisyen dan sebagainya. Mengapa begitu sekali sikap BN terhadap akhbar tidaklah sukar untuk menduganya.

Tan Sri Samad Ismail pernah ditahan semata-mata kerana dia seorang ahli media massa yang terkenal yang dipercayai terbabit dengan fahaman komunis. Tetapi fahaman komunis tidaklah dapat dimatikan walaupun Samad Ismail dipenjara di bawah ISA. Begitulah juga apabila dua orang tokoh media yang dikatakan menyokong DS Anwar iaitu Johan Jaafar dan Ahmad Nazri Abdullah digugurkan dari jawatan masing-masing. Namun perjuangan DS Anwar tetap membara, bahkan berkembang lebih dari apa yang diduga oleh Perdana Menteri BN sendiri. Bila Sdr.Yunus Said digugurkan dari jawatan pentingnya di TV3, stesen TV itu tetap meneruskan sessi pemberitaannya. Hanya wajah dan gaya persembahannya sahaja yang berubah. Ia tidak lagi memaparkan keterampilan DS Anwar, tetapi musuh-musuh politiknya pula mendapat sorotan setiap masa termasuk PM sendiri.

Persoalan utama yang menjadi perhatian kerajaan BN ialah kebebasan media massa itu sendiri. Kebebasan media dianggap sebagai musuh utama bagi kerajaan. Bila maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat massa, kemungkinan kerajaan akan kehilangan pengaruhnya sedikit demi sedikit. Walau bagaimanapun, kerajaan BN terlalu ekstrim dalam memperalatkan media massa demi mengekalkan survival politik mereka. Bahkan dalam sesetengah keadaan, rakyat yang tidak menerima banyak maklumat pun mentertawakannya. Dalam kes laporan perhimpunan 100,000 rakyat pada 5 Nov.2000 misalnya, media massa arus perdana mengatakan hanya 1,000 orang yang hadir. Berkali-kali PM menyatakan bahawa perhimpunan itu tidak mendapat sambutan. Pemberitaan ini ditertawakan rakyat bahkan dibincangkan di kedai-kedai kopi. Umum mengetahui bahawa kehadiran melebihi 100,000 orang. Soalnya di manakah kredibiliti dan sikap professionalisme pengamal-pengamal media di negara kita?

Apakah mereka lebih mementingkan periuk nasi, pentingkan jawatan, mengampu pemimpin-pemimpin politik yang ternyata sememangnya korup dari sikap dan tanggung jawab terhadap masyarakat terbanyak, terutama dalam menyampaikan berita yang benar dan adil, berita yang tidak memihak. Apakah tanggungjawab mereka sebagai wartawan Muslim, kalau sekiranya mereka Muslim? Memang sebagai pengamal media ada etikanya yang tersendiri.Tetapi kini etika itu hanya tinggal di atas kertas sahaja.

Media massa seharusnya bersikap lebih adil dan terbuka terhadap masyarakat terbanyak. Kedudukan mereka adalah penting dalam menyampaikan maklumat yang benar dan adil terhadap orang ramai.

Tidak ada gunanya bergantung kepada rezeki yang diasaskan kepada pembohongan dan fitnah dalam penyampaian berita apalagi kalau mereka adalah pengamal-pengamal media yang beragama Islam. Atau sperti kata Dr.Siddiq Fadil, "mereka harus punya rasa tanggungjawab yang lebih mendalam terhadap etika pemberitaan. Jurnalisme kita harus memperbaikki imej dan kredibilitinya dengan bersikap lebih objektif dan adil. Keadaan akan lebih memburuk andainya media massa bersikap terlalu memihak- menyokong berlebih-lebihan atau menentang melampau-lampau. Media massa tidak seharusnya menjadi agen penyebar dan penyubur budaya fitnah, gossip dan propaganda melulu. Akhbar-akhbar Islam harus mempolopori etika dan tanggungjawab moral media massa. Sekali lagi, malang sekali andainya akhbar-akhbar tajaan kelompok-kelompok Islam sendiri gagal menegakkan etika jurnalisme Islam, sebaliknya ikut menjadi batu api, penyebar berita fasik,sensasi, dan propaganda yang memuak dan memualkan (Siddiq Fadil, Menganggkat Martabat Umat, koleksi ucapan dasar muktamar sanawi ABIM)."

Demikianlah kegagalan pengamal-pengamal media di negara kita, sehingga mereka tidak lagi dipercayai. Bahkan mengikut kajian, jualan akhbar-akhbar utama merosot sedemikian banyaknya. Rakyat sudah tidak lagi mempercayai apa yang dikatakan oleh media arus perdana khususnya Berita Harian, Utusan Malaysia serta stesen-stesen TV. Lanh dalam komentar dalam Harakah, 5-19 Ramadhan 1421 menyebutkan bahawa dunia kewartawanan kita sebenarnya sudah sampai ke penghujung. Satu perubahan perlu dilakukan sebelum seluruh anggota masyarakat hilang kepercayaan terhadap institusi media. Bahkan beliau mengimpikan kelahiran Kajai Baru dan Pak Sako baru agar masalah yang melanda institusi ini segera diselesaikan oleh tokoh-tokoh berkenaan. Tidak salah bagi Lanh bermimpi seperti, sebab mimpi adalah satu jalan keluar yang paling baik bila tidak ada jalan yang lain. Soalnya apakah tidak ada jalan lain? Memang media massa di negara kita terdesak oleh akta-akta yang mencengkam khususnya Akta Mesin Cetak, Akta Rahsia Rasmi dan ISA. Masyarakat memang memerlukan pandangan yang lain, pandangan yang berbeza dari media-media arus perdana. Atau Sdr.Subki Latif lebih senang menyebutnya sebagai pandangan kedua.

Subki Latif dalam satu ulasannya terhadap akhbar Watan sedikit masa dulu dalam kolumnya Min Aina Ila Aina menyebutkan di antara lain kegagalan Watan dalam mengekalkan kewujudan dirinya dalam dunia persuratkhabaran ialah ia telah mengikut rentak akhbar-akhbar utama. Watan tidak lagi memberikan pandangan kedua seperti sebelumnya .

Sedangkan di satu pihak rakyat tercari-cari pandangan kedua itu, atau sekarang lebih senang disebut sebagai pandangan alternatif. Apabila akhbar Watan mengikut rentak itu, akhirnya ia pupus dari dunia kewartawanan setelah lebih sepuluh tahun beroperasi. Subky Latif adalah contoh pengamal media yang baik dalam memberikan pandangan-pandangan alternatif yang tidak menyamai pandangan media perdana.

Subky Latif adalah orang penting dalam Suara Merdeka, Watan dan akhirnya Harakah. Beliau tidak mimpikan jawatan penting dalam akhbar arus perdana sekalipun beliau mungkin mempunyai peluang suatu waktu dahulu. Namun ia lebih suka mengamalkan etika kewartawanan yang menghampiri ciri-ciri jurnalisme Islam, sekalipun teori jurnalisme Islam belum lagi lengkap sifatnya .Usaha yang gigih untuk melengkapkan jurnalisme Islam haruslah diusahakan oleh pemimpin-pemimpin dan cendekiawan Islam supaya dapat dijadikan panduan bagi pemberitaan yang lebih adil dan terjauh dari budaya fitnah. Usaha Kumpulan Media Independen (KAMI) juga dalam melaksanakan pemberitaan yang berteraskan Islam haruslah dipuji. Usaha yang didukungi oleh Sdr.Ahamd Lutfi ini sering mendapat gangguan KDN. Ahmad Lutfi adalah seorang penulis buku-buku politik yang prolifik. Di samping itu beliau mengusahakan majalah-majalah Tamadun, Islah, Debat,Memo dan sebagainya yang sebenarnya lebih merupakan satu strategi dalam menghadapi kerenah KDN, iaitu dengan cara mempelbagaikan nama wadah terbitan Pemuda itu.

Apa yang jelas di sini, seperti yang disebutkan di awal tadi, bahawa kerajaan BN sebenarnya amat memusuhi kebebasan media massa itu sendiri. Ia bukanlah sesuatu yang luarbiasa yang sukar difahami mengapa BN mengambil sikap sebegitu rupa. Kiekergard, seorang ahli falsafah Barat aliran eksistensialisme pun pernah memusuhi kebebasan media. Media katanya, akan menjadikan manusia itu berfikiran sama,seia dan sekata. Tetapi sikap kerajaan BN yang amat memusuhi kebebasan media seolah-olah hampir mustahil (bukan dalam konteks hukum akal ilmu Usuluddin) untuk mendapatkan kebebasan itu. Impian untuk melahirkan beberapa orang Kajai dan Pak Sako baru hanyalah satu impian yang sukar menjadi kenyataan. Usaha-usaha untuk mendapatkan permit peberbitan bagi menyalurkan pandangan alternatif akan hanya menemui kegagalan demi kegagalan. Tidak mungkin kerajaan pimpinan BN itu akan memberi laluan yang mudah terhadap media massa, apalagi mereka dalam keadaan terdesak dalam usaha menyelamatkan survival politik mereka. Atas kepentingan politik BN sanggup berbuat apa sahaja seperti yang kita lihat sendiri dengan menyebarkan berbagai berita berupa fitnah, membelakangkan keadilan termasuk mengawal institusi keadilan seperti mahkamah dan sebagainya.

Satu-satunya jalan keluar yang ada ialah melalui pilihanraya. Jika kita rakyat Malaysia cintakan kebebasan media dan keadilan terlaksana, kita hendaklah mengurangkan majoroti 2/3 BN di Parlimen kalau pun tidak mengalahkan mereka pada pilihanraya akan datang . Selagi BN berkuasa, keinginan untuk mendapatkan kebebasan media hanyalah ibarat mimpi siang yang tidak pasti yang tidak akan terjelma dalam bentuk kenyataan, bahkan hampir mustahil, tetapi keadaan sebaliknya mungkin berlaku apabila BN tidak lagi berada di tampuk kuasa.

AlKundangi,
22.11.2001






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 24 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com