Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


PAS hadapi cabaran baru (Bhg 2)

Oleh : Lee Ban Chen

Tindakan DAP meninggalkan Barisan Alternatif (BA) menonjolkan ketegasan PAS untuk memperjuangan pelaksanaan konsep negara Islam, dan sekaligus memberi tekanan baru terhadap Umno yang dianggap “kurang Islam” berbanding dengan PAS.

Demi menjaga imej keislaman Umno, Dr Mahathir Mohamad terpaksa secara rasmi mengumumkan Malaysia merupakan sebuah negara Islam. Pengumuman ini memang boleh dipertikaikan secara akademik atau dicabar dari segi perundangan.

Tetapi dari segi politik, rasanya Mahathir telah memenangi pusingan pertama dalam persaingannya dengan PAS mengenai isu negara Islam. Negara Islam acuan PAS yang masih samar-samar, telah ditentang habis-habisan oleh DAP, sehingga ia bertindak keluar daripada BA.

Tetapi aneh sekali, negara Islam acuan Mahathir sebaliknya disokong oleh parti-parti komponen BN, termasuk MCA dan Gerakan, sungguhpun tiada sebarang perbincangan diadakan sebelum pengumumannya itu dibuat.

Persepsi berlainan

Orang ramai pula mempunyai persepsi yang agak berlainan tentang negara Islam acuan PAS dan negara Islam acuan Umno.

Ramai menganggap jika PAS berkuasa, pemimpin bukan Islam tidak layak berkongsi kuasa dalam kerajaan, kedudukan wanita tidak setaraf lelaki, hukum hudud yang memotong tangan dan kaki akan dilaksanakan, dan cara hidup bukan Islam akan diganggu akibat larangan meminum arak, berjudi, berhibur di kelab malam dan sebagainya.

Walhal, negara Islam acuan Mahathir yang diisytiharkan setelah proses Islamisasi dijalankan secara senyap-senyap dan beransur-ansur itu, seolah-olah tidak membawa sebarang perubahan: Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda, pemimpin bukan Islam masih dibenarkan berkongsi kuasa dalam kerajaan, kedudukan wanita seperti biasa, hukum hudud tidak dilaksanakan, cara hidup rakyat bukan Islam juga seperti biasa.

Namun, tidak bermakna menerima Malaysia sebagai sebuah negara Islam tidak mempunyai implikasi terhadap rakyat bukan-Islam negara ini pada masa yang akan datang.

Sekurang-kurangnya, di segi teori, ia memberi lampu hijau kepada kemungkinan hegemoni agama untuk mendominasi kuasa politik dan cara hidup rakyat negara ini. Lantaran itu, asas kesetaraan kedudukan dan hak-hak asasi manusia bagi semua kaum tanpa mengira latar belakang jantina, agama, budaya dan bangsa, boleh terhakis dari semasa ke semasa.

Perkembangan ini juga merupakan satu pukulan baru kepada sistem demokrasi negara kita, kerana sifat sekular negara kita yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, telah dinafikan oleh pengumuman seorang Perdana Menteri, tanpa mendapat persetujuan parti-parti komponen BN terlebih dahulu, dan tanpa melalui proses pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan dua pertiga ahli parlimen dalam persidangan Dewan Rakyat.

Dan lucu sekali, MCA, jaguh menentang negara Islam sebelum ini, juga menerima negara kita sebagai sebuah negara Islam, dengan alasan kononnya ia adalah 'Negara Islam Sekular'!

Bagaimanapun, pengumuman Malaysia sebagai sebuah negara Islam telah memberi legitimasi kepada PAS untuk mempromosi negara Islam acuannya dan baru-baru ini, presiden PAS Fadzil Noor mengumumkan bahawa penjelasan konsep itu akan disampaikan dalam memorandum kepada perdana menteri.

Jika masyarakat bukan Islam sanggup menerima konsep dan kandungan negara Islam acuan Mahathir, mereka tidak boleh menolak mentah-mentah, konsep negara Islam acuan PAS tanpa mengambil tahu apakah kandungan dan implikasinya terhadap rakyat kita amnya dan bukan Islam khasnya.

Agenda politik

Dengan lain perkataan, negara Islam sudah menjadi agenda politik negara kita. Mahu tidak mahu, semua pihak terpaksa menghadapinya. Ekoran pengumuman Mahathir itu, pemerhati politik sedang mengamati arah perkembangan hubungan PAS-Umno.

Apakah hubungan itu akan menjadi lebih tegang kerana PAS akan melancarkan kempen baru untuk menafikan kelayakan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Atau kedua parti itu akan mula berdialog untuk merapatkan perselisehan pendirian mengenai isu negara Islam yang sangat penting untuk perpaduan umat Islam itu?

Imej PAS yang kurang sederhana itu diperkuatkan lagi melalui pendiriannya terhadap serangan 11 September dan seruan parti itu untuk berjihad setelah Amerika Syarikat dan Britain melakukan serangan balas terhadap Afghanistan.

Tidak dapat dinafikan PAS mengutuk mereka yang terlibat dalam serangan 11 September, tetapi parti itu juga menunjukkan simpati mereka dengan menitikberatkan kesalahan-kesalahan dasar luar AS sebagai puncanya..

Namun kesalahan dasar luar AS itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menjustifikasikan serangan maut yang meragut kira-kira 6,000 nyawa orang awam AS dan negara-negara lain yang tidak berdosa.

Pendirian menentang sebarang pengganasan dalam erti kata yang sebenar itu harus tegas dan konsisten. Menentang serangan balas AS dan Britain terhadap Afghanistan juga akan menyebabkan orang awam turut terkorban.

Oleh itu, menyeru umat Muslim negara ini berjihad rasanya kurang wajar kerana ia melibatkan agama Islam secara menyeluruh dan akan menyulitkan lagi keadaan yang sudah cukup rumit .

Seruan berjihad oleh PAS boleh disalahfahamkan sebagai menyahut seruan Osama bin Laden serta kumpulan Al-Qaedah pimpinannya. Ini kerana apabila kerajaan Taliban berjihad menentang serangan balas AS dan Britain, ia dianggap menyokong Osama. Menurut laporan media, anggapan seperti ini turut dinafikan oleh pemimpim PAS sendiri.

Sekiranya bagi PAS, berjihad kali ini hanya merupakan solat hajat, demonstrasi, penghantaran surat bantahan, membakar bendera AS, tetapi bukan menghantar pasukan sukarela untuk berperang di Afghanistan, jadi mengapa perlu menggunakan istilah 'berjihad' yang sering disalahtafsirkan oleh Barat dan bukan Islam sebagai melakukan perang agama?

PAS mengutuk Presiden George W Bush kerana menggunakan istilah “crusade”, tetapi pada masa yang sama, ia sendiri pula menggunakan istilah “jihad”. Di mana rasionalnya?

Memandangkan perkembangan terbaru tersebut, imej PAS tentu menghadapi cabaran yang besar, dan kali ini tidak boleh disalahkan BN atau media arus perdana sebulat-bulatnya, kerana pendirian dan strategi parti itu sendiri juga boleh dipertikaikan.

.............................
Malaysiakini






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com