Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Duri dalam percantuman Keadilan-PRM

Hassan Karim

Pendapat Ternyata sudah sekarang ini, seperti yang pernah saya bayangkan, cadangan percantuman PRM dan Keadilan akan membawa masalah kepada Keadilan, selain masalah kepada PRM sendiri. Saya membayangkan Keadilan akan menghadapi perpecahan, manakala PRM menghadapi keretakan dalaman.

Saya lihat inilah yang sedang terjadi. Tidak dapat disembunyikan bahawa faksi Abim di dalam Keadilan pada umumnya tidak bersetuju percantuman dengan PRM. Mereka berhak berpendirian begitu. Mereka cuba menghalang percantuman itu. Mereka bertanding hampir ke semua jawatan parti dalam Perhimpunan Agung Keadilan baru-baru ini. Strategi mereka logik. Tidak salah di sisi amalan demokratik. Menasabah mereka bertindak begitu, walaupun akhirnya mereka tewas.

Kumpulan yang pro-percantuman menang. Kumpulan Abim sekarang kelihatan terpinggir dalam Keadilan. Sama seperti kumpulan yang menentang percantuman di dalam PRM. Kedua-duanya terpinggir. Saya melihat fenomena ini satu kerugian kepada Keadilan dan juga PRM.

Keadilan telah membayar harga yang tinggi dalam usahanya untuk bergabung dengan PRM. Pengasas-pengasas penting Keadilan yang terdiri daripada bekas aktivis dan pemimpin Abim kini tidak lagi berperanan. Walaupun mereka terlibat membangunkan Keadilan sejak mula sehingga menjadi Keadilan yang ada sekarang, tetapi kini mereka diketepikan. Sebabnya kerana mereka menentang arus. Itulah politik. Sedih jika memikirkan jasa-jasa mereka seakan tidak dikenang.

Hal yang sama juga berlaku di dalam PRM. Aktivis-aktvis PRM yang berbelas-belas tahun malah berpuluh tahun setia bersama PRM, dalam senang dan susah; malah lebih banyak susah dari senang; lebih banyak gagal dari berjaya, tetapi tetap setia; tiba-tiba merasa diri mereka terpinggir dan diketepikan. Kesalahan mereka hanya satu. Sebab mereka melawan arus. Mereka menentang percantuman PRM dengan Keadilan.

Harga tinggi percantuman

Jadi, PRM juga seperti Keadilan terpaksa membayar harga yang tinggi apabila ia begitu bertegas mahu menjayakan percantuman dengan Keadilan. Misi percantuman itu bagi sesetengah pemimpin di dalam PRM dianggap seolah-olah sebagai satu tugas sejarah yang perlu dilakukan. Ahli-ahli PRM yang teragak-agak dan berbelah bagi dalam soal percantuman, juga akhirnya, tenggelam dihanyutkan arus yang kuat mahukan percantuman.

Tidak dapat dielakkan, proses ke arah percantuman itu telah menyebabkan berlakunya perbalahan pendapat yang panas dan sengit di dalam PRM. Wujud dua kumpulan. Satu menyokong dan satu lagi menentang percantuman.

Hingga ke pagi hari Kongres Nasional PRM pada 15 Julai dahulu, tiada ada siapa berani meneka tepat apakah usul percantuman akan mendapat kelulusan kongres. Sampai kepada detik yang menentukan, akhirnya, kumpulan yang mahukan percantuman beroleh kemenangan.

Kejayaan itu didapati dengan membawa kesannya yang juga menjejaskan terhadap PRM. Beberapa pemimpin muda dan tua, sesetengahnya pemimpin pelapis yang teruji dan berdedikasi yang telah berkorban selama ini, yang dulunya mendukung gerakan PRM di akar umbi telah mengambil keputusan melepaskan jawatan masing-masing di peringkat pusat dan juga negeri serta bahagian. Masing-masing sekadar ingin menjadi ahli biasa PRM selagi PRM itu masih wujud.

Hanya bezanya di dalam PRM, kerana amalan disiplin parti yang tertanam selama ini, dan rasa sayangkan PRM itu agak tinggi, maka mereka yang memprotes itu, cuba mengawal perasaan mereka dengan tidak menghebahkan perbezaan pendapat dan pendirian mereka ke pengetahuan umum melalui media massa, khususnya akhbar perdana yang dikuasai Umno dan Barisan Nasional yang gemar melaga-lagakan sesama kerabat pembangkang.

Pengantin kepenatan

Tetapi semuanya itu telah berlalu. Semuanya kini sejarah. Sekarang, jalan sudah terbuka bagi Keadilan dan juga PRM untuk bercantum. Mungkin usaha ini akan dicergaskan selepas Ramadan ini. Ada pihak di kalangan Keadilan yang mahukan proses ini disegerakan dalam tempoh tiga bulan. PRM telah membuat keputusan yang jelas dalam Kongresnya dahulu untuk bercantum. PRM sekarang seakan pengantin yang kepenatan. Dia keletihan menunggu kerana pengantin yang satu lagi dan Pak Imam yang hendak menikahkan, masih belum sampai.

PRM bukan sahaja sekadar sanggup bercantum dengan Keadilan menjadi sebuah parti baru, PRM juga telah mendapat mandat untuk membubarkan parti berumur 46 tahun itu apabila sampai masanya demi menjayakan proses percantuman itu. Demikian tinggi dan bersungguhnya komitmen PRM. Jadi tentulah wajar kalau PRM mengharapkan komitmen yang sama di pihak Keadilan. Barulah bertepuk dua belah tangan.

Jadi, PRM tidak ada jalan undur sekarang. Ini tanggungjawab moral. Janji dengan Keadilan mesti dipatuhi. Apapun berlaku di dalam senario politik negara dan dunia, jalan yang ada pada PRM hanyalah menuju ke arah percantuman dengan Keadilan. Sama ada Keadilan itu sekarang sebuah parti yang semakin lemah kerana perpecahan dalamannya, itu bukan satu alasan PRM tidak boleh tinggalkan Keadilan sekarang dengan membuat U-turn dan berkata, "Oh, tak mahulah bercantum!" Keadilan telah menjadi berpecah sekarang, satu sebabnya kerana isu percantuman dengan PRM. PRM perlu kotakan apa yang telah dikatakan.

Begitu juga, sama ada Keadilan masih relevan atau tidak, sama ada Keadilan kuat atau lemah, PRM tidak boleh bersikap opportunistic dan mahu ketepikan Keadilan. Kecualilah jika Keadilan sendiri yang tidak mahu meneruskan percantuman dengan PRM. Ketika itu PRM akan mati beragan. Kepimpinannya akan hilang kewibawaan di kalangan anggotanya sendiri. Kemungkinan itu agak jauh. Tetapi dalam politik yang tidak mungkin juga boleh berlaku. PRM perlu bersedia.

Tiada makna tanpa Abim

Setakat ini jalan ke arah percantuman Keadilan dengan PRM agak lebih mudah akibat kemenangan golongan yang memperjuangkan politik pelbagai kaum di dalam Keadilan sekarang. Empat orang bekas pemimpin Keadilan yang dikaitkan dengan kumpulan Abim dan tewas dalam pemilihan baru-baru ini, telah menolak tawaran Presiden Keadilan untuk menduduki Majlis Tertinggi parti itu. Dengan penolakan ke atas tawaran itu, maka suara golongan yang menentang percantuman Keadilan dengan PRM itu semakin lemah.

Tetapi golongan yang pro-percantuman di dalam Keadilan dan juga PRM tidak patut bergembira dengan perkembangan ini. Keadilan tanpa adanya bekas pemimpin dan aktivis Abim di dalamnya adalah satu kecacatan dan satu kerugian.

Tenaga golongan Islam di dalam Keadilan yang datang dari faksi Abim sangat penting. Jika kumpulan Abim ini mengundurkan dirinya dari Keadilan, maka satu sektor atau faksi penting di dalam Keadilan itu akan hilang. Keadilan sepatutnya menjadi sebuah parti massa yang dapat menghimpunkan segala aliran politik yang progresif, berjuang bersama-sama di dalamnya.

Golongan Abim ini juga jika terus berada di dalam Keadilan akan menjadi tenaga pengimbang kepada kemasukan satu lagi faksi di dalam parti baru, hasil percantuman. Faksi baru itu ialah PRM yang masih dianggap sosialis atau golongan kiri oleh sesetengah pihak.

Keadaan yang baik lagi ideal dalam parti baru hasil percantuman Keadilan dan PRM ialah wujudnya gabungan golongan Islam progresif yang di bawa oleh Abim dan JIM (Jamaah Islah Malaysia), dengan golongan reformis dari pelbagai NGO yang memperjuangkan isu-isu keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia selama ini; kemudian diperkuatkan lagi dengan adanya golongan bekas ahli-ahli Umno yang mempunyai pengalaman luas dalam politik Melayu di akar umbi serta kehadiran golongan kiri dari PRM yang berideologi yang mendukung aliran politik pelbagai kaum.

Sebaliknya, jika golongan Abim secara tersusun berundur dari Keadilan, maka percantuman Keadilan dengan PRM itu tidak membawa makna. Tanpa Abim, parti baru hasil percantuman itu nanti akan dilihat serta dituduh telah didominasi oleh PRM. Maka akan timbul fitnah dari pihak musuh yang mentohmah bahawa Keadilan telah dikuasai oleh PRM. Keadilan yang biru telah menjadi merah.

Jika ini berlaku, ianya amat malang dan merugikan tujuan asas mengapa percantuman kedua parti itu perlu. Jika pihak musuh berjaya menggambarkan parti hasil percantuman itu dikuasai oleh PRM maka stigma yang dipikul PRM selama berdekad-dekad ini akan menggerhanakan parti baru hasil percantuman itu. Parti baru itu akan dicap kiri, sosialis, tidak Islamik, sekular dan entah apa lagi. Nasib yang diterima oleh PRM selama ini akan dipikul bebannya oleh parti baru percantuman itu. Ini perkara yang merugikan.

Kesatuan dalam keperlbagaian

Hanya golongan Abim yang dapat menyelamatkan supaya perkara ini tidak akan berlaku dengan cara jangan berundur dari Keadilan, sekarang ataupun selepas percantuman (jika berlaku).

Jadi di sinilah ironisnya, dan juga dilemma yang harus diterima oleh semua pihak di dalam Keadilan dan juga PRM. Parti baru percantuman PRM-Keadilan itu akan timpang dan tidak seimbang jika tidak ada elemen yang kuat penyertaan golongan Abim.

Tetapi dalam masa yang sama, tidak dapat ditutup hakikat bahawa para aktivis Abim tidak selesa dan tidak mengalu-alukan percantuman dengan PRM itu. Namun begitu, secara realistik perlu diakui, kesatuan dalam keperlbagaian mungkin satu sumber kekuatan bagi parti baru hasil percantuman Keadilan-PRM. Isu pokoknya ialah bagaimana hendak mengurus kepelbagaian aliran itu supaya bersatu, bukan berpecah. Di sinilah letaknya kebijaksanaan kepimpinan seseorang tokoh politik.

Satu alternatif baru dalam politik Malaysia hanya akan muncul jika pendukung Abim dan PRM berserta lain-lain lajur dan jalur politik dalam Keadilan bergabung menjadi satu sintesis yang menjanakan satu resipi baru bagi politik Malaysia.

Sebaliknya jika PRM masuk, tetapi Abim keluar, percantuman Keadilan-PRM itu tidak ada makna. Lebih baik PRM dan Keadilan berjuang sendiri-sendirian.

Di sinilah ujian sebenar. Peranan aktivis Abim sangat penting dalam politik Malaysia. Mereka tidak wajar dipandang sangsi dan diketepikan. Mereka perlu dipujuk supaya jangan berundur.

Begitu juga, golongan yang menentang percantuman di dalam PRM, mereka juga jangan diketepikan. Pendirian mereka juga jangan disangsikan.

Perjalanan ke arah percantuman Keadilan-PRM bukan sahaja berliku, tetapi banyak duri. Banyak kaki yang telah tersusuk duri, kini merasa sakit dan pedihnya.

--------------------------------------------------------------------------------
HASSAN KARIM ialah pemimpin PRM.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 27 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com