Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Sistem korup yang menjahanamkan

Wednesday November 28

Sistem korup yang menjahanamkan
Ahmad Lutfi Othman

Apabila dimaklumkan bahawa Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo mengadakan mesyuarat tergempar di kalangan Ahli Dewan Undangan (Adun) Umno dan aktivis pemudanya, saya sudah menjangka satu tindakan drastik akan diambil.

Mesyuarat tergempar itu adalah bagi membincangkan langkah pro-aktif untuk menyekat saya dari mendedahkan apa yang saya sifatkan "amalan salahguna kuasa dan rasuah yang ketara".

Dan pada petang 28 Oktober, jawapan kepada persoalan yang bermain dalam fikiran saya terjawab apabila sekumpulan anggota polis menyerbu sebuah kilang percetakan di Shah Alam dan merampas semua naskhah Memo14 yang belumpun sempat dipasarkan. Saya yang kebetulan ada di sekitar Klang ketika itu, bersama isteri dan anak-anak yang kemudiannya berkejar ke Seksyen 19, turut ditangkap. Saya kemudian dibawa ke Balai Polis Seksyen 11, yang juga Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam

Lima hari sebelum itu, saya telah membuat aduan rasmi ke Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya, membutirkan hampir sepuluh kes yang saya syak membabitkan Khir Toyo dengan amalan salah guna kuasa. Hanya akhbar cetak China Press melaporkannya, selain dari akhbar dalam talian seperti malaysiakini, Harakahdaily dan Detikdaily. Akhbar-akhbar utama yang lain hanya menyiarkannya apabila Khir memberi jawapan untuk bekerjasama dengan BPR.

Kontraktor bermasalah

Saya menekankan isu mengapa Khir memilih Meram Holding, sebuah kontraktor bermasalah yang tidak dapat menyiapkan lima projek (dua di Negeri Sembilan, dua di Selangor, dan satu di Mersing) untuk melaksanakan projek membina jalan membelah bendang di Sekinchan yang begitu tinggi kosnya, iaitu RM4.5 juta satu kilometer.

Selain dari itu, bagaimana pemohon berusia 20 tahun dan ada yang tidak mengetahui mereka pernah memohon tanah, boleh mendapat tanah seluas 50 ekar bagi setiap syarikat. Turut dibangkitkan ialah bagaimana menteri besar boleh menyelesaikan pinjaman perumahannya sebanyak RM150,000 dalam masa 15 hari.

Tangkapan saya dilakukan oleh Ketua Cawangan Jenayah Shah Alam. Ketika disoalsiasat saya menekankan lagi perkara ini kepada pegawai polis bertugas: "Kalau kandungan akhbar Memo 14 itu dikatakan boleh menggugat kedudukan Khir, cari peruntukan undang-undang yang sesuai yang menyabitkan kandungan akhbar, bukannya dicari kesalahan kecil seperti tidak mencetak nama dan alamat pencetak."

Pada awalnya seorang pegawai polis berpangkat penolong penguasa (ASP) yang menangkap saya memberikan alasan bahawa saya melakukan kesalahan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Seksyen 5, yang mewajibkan penerbitan bersiri mempunyai permit penerbitan sebelum dicetak.

Saya berhujah, sepanjang 15 tahun terbabit secara aktif dalam dunia penerbitan, saya arif benar bahawa hanya bahan-bahan bercetak yang dikeluarkan secara bersiri, yakni lebih dari sekali, memerlukan permit. Sedangkan apa yang saya terbitkan hanyalah dikeluarkan sekali saja. Dan saya maklumkan, syarikat saya telahpun dihadapkan ke mahkamah atas `kesalahan' di bawah Seksyen 5 itu. Kes itu masih berjalan selepas hampir setahun naik turun mahkamah.

Pendakwa ditukar

"Selalunya peguambela tertuduh yang menarik diri, tetapi dalam kes saya, pendakwa bagi pihak kerajaan yang terpaksa ditukar kerana tidak mampu membawa kes ini," kata saya kepada pegawai yang hanya dikenali sebagai ASP Chin.

Saya mengingatkannya, "janganlah pihak polis merasakan orang awam seperti kami tidak tahu undang-undang, malah dalam sesetengah kes, terutama menyentuh kerjaya kami, mungkin kami lebih arif daripada pihak polis."

Penangkapan saya dan operasi rampasan 43,000 naskhah Memo 14 menimbulkan beberapa persoalan, yang kemudiannya saya rumuskan adalah berniat jahat. Tujuan operasi itu bukan semata-mata menurut peruntukan undang-undang yang ada. Ia bertujuan memastikan akhbar berkenaan, yang mendedahkan dakwaan salahguna kuasa Khir tidak dapat diedarkan kepada umum keesokannya, 29 Oktober.

Polis berselipar

Selalunya dalam operasi biasa, rampasan dibuat selepas akhbar dijual dan yang dirampas hanyalah akhbar yang dipamerkan kepada umum, bukannya semua akhbar yang ada. Kedua, operasi sebegitu hanya membabitkan pegawai bawahan dan perlu mendapat waran geledah daripada majistret Tetapi kali ini tiada waran, dan pegawai atasan seperti pemangku OCPD dan ketua polis Cawangan Khas Shah Alam turut hadir.

Tetapi pada hari itu, hari minggu, pasukan polis seperti diarahkan pihak berkepentingan, melakukan operasi segera, hinggakan tidak sempat menunggu akhbar Memo14 dibawa keluar dari kilang. Sebahagian anggota polis datang dalam keadaan tergesa-gesa, ada yang hanya memakai selipar.

Kebetulan, esok adalah persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor, yang agenda utamanya ialah perbahasan Belanjawan 2002. Adun Bandar Klang, Teng Chang Khim, yang juga Ketua Pemuda DAP memberitahu saya melalui e-mel bahawa beliau akan mengemukakan usul tergempar berkaitan aduan saya kepada BPR.

Dan saya merasakan sememangnya persidangan DUN itu adalah wadah terbaik untuk dibincangkan isu berkenaan. Dan Khir tentunya mempunyai peluang terbaik untuk menjawabnya. Malang sekali, Speaker Dewan memilih untuk bukan saja menolak usul tergempar itu, malah tidak membenarkan usul itu dibacakan.

Sidang akhbar

Saya yang dibebaskan dengan ikat jamin pada jam 10.30 malam Isnin, dan mengambil keputusan untuk mengadakan sidang akhbar di bangunan SUK, Shah Alam, berdekatan bangunan DUN Selangor. Saya mencabar Khir mengambil tindakan terhadap saya dalam tempoh seminggu jika beliau mendakwa apa yang saya laporkan tentangnya adalah fitnah. Saya juga mohon agar beliau jangan memperalatkan pasukan polis dalam usahanya mempertahankan kedudukannya sebagai menteri besar yang difahamkan semakin goyah.

Ini mengingatkan saya bagaimana akhbar Kritik yang terbitkan setahun lalu, juga diedarkan pada hari pertama persidangan DUN, dan tiga hari kemudiannya, menteri besar ketika itu, Abu Hassan Omar terpaksa meletakkan jawatan. Kritik mendedahkan perilaku tidak bermoral Abu Hassan.

Dan tragedi hitam Abu Hassan itu kini menganggu fikiran Khir. Beliau menegaskan kepada pimpinan Umno Selangor: "Jangan apa yang berlaku kepada Abu Hassan berulang kembali. Kita mesti proaktif, jangan hanya menunggu." Dan tentunya Khir dapat mengesan apa langkah yang akan saya lakukan, dan saya sendiri pun tidaklah berhasrat untuk menyembunyikan hal itu.

Saya bukannya mahu menjatuhkan pemerintah melalui jalan kekerasan. Saya bukan ahli politik, saya hanya wartawan kerdil, yang bergelut dalam dunia kewartawanan bagaikan seorang gerila. Apa tidaknya, penerbitan yang saya usahakan tidak pernah dilanjutkan permitnya.

Lihat saja Detik dan Wasilah dan akhbar tidak berkala, yang hingga kini sudah melebihi bilangan yang ke-30, diterbitkan secara `sembunyi'. Ramai pengedar takut menjualnya. Dan lebih ramai pengedar yang meninggalkan beban hutang yang hampir melemaskan.

Aduan BPR

Ramai teman-teman bertanya apa salahnya Khir sehingga mendorong saya, bukan saja menerbitkan akhbar khusus buatnya, tetapi juga bertindak nekad membuat aduan kepada BPR.

"Memang Khir tidak bersalah apa-apa kepada saya. Tapi Khir cukup mengecewakan saya. Sebagai menteri besar yang dilantik di zaman reformasi, mewarisi takhta kuasa dari menteri besar terdahulu yang dilanda skandal, Khir seperti tidak mengambil apa-apa iktibar daripadanya," kata saya kepada sebuah kawan lama, bekas wartawan politik, tapi masih aktif mengikuti pergolakan Umno.

"Ramai mengharapkan Khir membawa imej baru menteri besar yang bersih, telus, menolak amalan rasuah dan salahguna kuasa, menerajui sebuah kerajaan negeri yang baik. Tapi malang sekali, Khir terlingkup dalam pujukan kemewahan," tambah saya.

"Saya bukan marah kerana 43,000 naskhah akhbar saya dirampas dan kerugiannya hampir RM100,000. Sebagai peniaga, duit boleh pergi dan datang semula. Tapi saya memang marah apabila ada usaha untuk menghalang berita pendedahan isu ini dari disebarkan kepada umum," tekan saya lagi.

Ruang bersuara disempitkan

Memang ruang untuk kita bersuara makin disempitkan. Justeru itu, apabila saya mendapat maklumat tentang salahguna kuasa, ramai terperanjat dan tertanya-tanya, siapa sumber saya. Bagi saya, apa sulitnya maklumat itu. Seharusnya semua urusan kerajaan berkaitan kepentingan orang ramai dilakukan secara telus. Mengapa mahu sembunyi- sembunyi? Soal permohonan tanah, mengapa nama-nama syarikat yang berjaya mahu dirahsiakan sedangkan ia langsung tiada kaitan dengan keselamatan.?

Memang disembunyikan jika ada yang tidak kena dalam proses permohonan tanah itu. Apa tidaknya, jika ada pemohon yang langsung tidak tahu- menahu tentang tanah tiba-tiba diberitahu bahawa mereka sepatutnya sudah boleh digelar jutawan muda.

Cuba bayangkan, seorang anak gadis 20 tahun, mendapat tanah 50 ekar, dan beliau menyewa di flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Khir menjawab di Dewan bahawa sememangnya mereka menganugerahkan tanah kepada gadis berkenaan sebagai galakan kepada remaja lain dalam bidang berkenaan.

"Jangan Khir anggap orang lain tak ada mata, tak ada telinga, maka hujah seperti itu boleh diterima umum. Berapa ramai yang bersusah- payah mengisi borang dan memenuhi kelayakan yang diperlukan untuk memohon rumah kos murah, tetapi hasilnya tetap mengecewakan," kata seorang aktivis Pemuda Umno.

Seorang lagi rakan, bekas peguam berkata: "Penjelasan Khir tentang pinjaman perumahannya tidak memuaskan. Khir boleh mendakwa apa saja, mengatakan dia menjual perniagaannya sekian ratus ribu, tetapi mana buktinya. Beliau harus mengemukakan bukti transaksi perniagaannya itu. Setakat bercakap, siapa pun boleh bercakap."

Kenyataan Khir

Dan yang paling membuatkan seorang pembaca Detikdaily marah dengan penjelasan Khir ialah kenyataannya bahawa "kalau Meram tak mampu jalankan projek, kita beri pada orang lain", "kalau budak umur 20 tahun itu tak mampu bayar premium, kita boleh serah tanah itu kepada syarikat lain".

"Kerajaan negeri sepatutnya membuat perancangan rapi, bukannya main agak-agak. Setiap keputusan harus melihat semua aspek dan menjangka semua kemungkinan. Setiap kelewatan bermakna memakan kos dan ini merugikan wang rakyat," tambahnya.

"Lagipun," tambahnya, "mengapa projek itu perlu diserahkan secara rundingan terus, dan bukannya tender terbuka. Dan bagaimana pula sub- kontraktor Cabaran Wangsa, yang mana pengarahnya adalah bekas tuan rumah Khir, dipilih menjalankan semua projek tersebut."

Wang panas

Cerita tentang wang panas mengalir melalui projek mewah ini heboh diperkatakan di Sekinchan. Masing-masing bercerita tentang taukeh Cabaran Wangsa yang perniagaannya meningkat hebat selepas Khir menjadi Menteri Besar.

Bagi saya, isu ini baru di peringkat permulaan. Yang mahu saya dedahkan ialah bagaimana satu sistem yang korup mampu menjahanamkan seseorang yang baik sekalipun. Yang perlu diberikan perhatian ialah untuk merombak sistem kuasa yang memberikan kuasa mutlak menteri besar dalam menganugerahkan sesuatu projek atau tanah berharga. Sila rujuk wawancara saya dengan Rais Yatim, empat tahun lalu.

Saya tidak mendakwa Khir menteri besar terburuk, tapi nasibnya malang kerana maklumat tentangnya dihantar kepada saya. Khir dan orang- orangnya tidak perlu bersusah-payah mencari siapa sumber saya, sebaliknya cuba meneliti kelemahan diri dan berusaha memperbaikinya. Jangan biarkan nafsu menggila menguasai kita.

----------------------------------------------------------------------
AHMAD LUTFI OTHMAN, bekas pengarang majalah Detik yang diharamkan, merupakan penulis politik yang prolifik, selain pengarang dan penerbit bahan-bahan bacaan yang berani berdepan dengan Kementerian Dalam Negeri. Beliau juga merupakan bekas pengarang Harakah dan pernah menjadi aktivis pelajar.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 29 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com