Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Dilema PAS

Sejak era pasca Datuk Asri, PAS di bawah kepimpinan Ulama yang menaungi teraju kepimpinan tertinggi sekarang berjaya memisahkan diri dari bayangan UMNO kerana mereka membawa satu slogan baru ke arah mewujudkan sebuah negara Islam berbanding sebelum itu cuba berlawan dengan UMNO untuk membuktikan siapakah yang lebih Melayu. Di tahun-tahun 80an sehingga sekarang seolah-olah satu kemenangan dari sudut semangat kepada PAS kerana akhirnya UMNO terpaksa mengekori PAS dalam menunjukkan bahawa mereka lebih Islam hatta ke peringkat sanggup mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam.

Pada awalnya, sekitar selepas kemenangan PAS di Kelantan, timbullah isu Hudud yang mengejutkan semua pihak terutamanya golongan bukan Islam akibat mainan media sehingga mensensasikannya. Turut mempopularkannya adalah perdana menteri sendiri apabila beliau membuat pelbagai kenyataan berkenaan Hudud seperti kenyataannya mempelawa sesiapa sahaja ke Kelantan sekiranya teringin hendak menjamah sup tangan yang dipercayai merujuk kepada perlaksanaan hukuman potong tangan ke atas pesalah yang mencuri.

Ini sudah tentulah berjaya dari sudut perang saikologi untuk mewujudkan suasana takut di kalangan kaum bukan Islam bahkan golongan moderat Muslim. Sedangkan Hudud itu hanyalah satu aspek kecil sahaja dalam Syariah yang cukup meluas tetapi mauduk kecil yang sensasi itulah paling seronok diperbesar-besarkan. Cara perlaksanaannya yang begitu mendalam demi memastikan keadilan dapat ditegakkan seperti menghadirkan empat orang saksi yang beriman tidak ditonjolkan kerana ia mungkin mampu mencabar kelemahan prosiding undang-undang Lord Reid sekarang.

Apa yang menarik sekarang, jika dikaji PAS khususnya presidennya cukup berhati-hati dalam bercakap isu ini dengan tidak lagi memperbesarkan persoalan seperti Hudud tetapi sebaliknya mengaitkan negara Islam sebagai satu konsep yang selaras dengan nilai-nilai kemanusiaan dan global seperti pentadbiran yang baik (good governance), ketelusan dalam pemerintahan (tranparency) dan juga pertanggungjawaban (accountability). Ini satu perkembangan yang sihat ke arah mempamerkan imej PAS yang lebih terbuka dan liberal.

PAS sedar bahawa mereka tidak mampu membentuk kerajaan pusat dengan sendiri walaupun menang semua kerusi parlimen yang ditandinginya. Ini kerana jika kita melihat pada pilihanraya yang lalu, PAS hanya bertanding 64 daripada 193 jumlah kerusi. Untuk memudahkan pindaan perlembagaan demi menyediakan ruang sepenuhnya ke arah perlaksanaan Syariah, PAS memerlukan sekurang-kurangnya 129 buah kerusi parlimen. Ini menggambarkan peri pentingnya gabungan Barisan Alternatif untuk mencapai jumlah kerusi tersebut. Tetapi setelah DAP keluar dari pakatan itupun, kita sudah nampak betapa goyahnya BA terutama sekali tidak ada lagi usaha penerangan dasar-dasar PAS terhadap masyarakat bukan Islam kerana selama ini dapat diadakan melalui bantuan DAP sebagai orang tengah dalam menghubungkan PAS dengan mereka.

PAS tersepit di antara memenuhi janji-janjinya terhadap penyokong setianya dan mempamerkan imej yang lebih liberal terhadap moderat Muslim dan bukan Islam. Sekiranya terlampau mementingkan undi penyokong ‘hardcore’nya, mereka mesti menunjukkan bahawa mereka adalah konsisten dan mempertahankan prinsip perjuangan dan hasilnya paling tinggi pun hanyalah penguasaan di beberapa buah negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis serta kemungkinan Pahang.

Tetapi penulis percaya, PAS mampu memuaskan hati kedua-dua golongan pengundi dan bakal pengundinya terutama selepas kehadiran golongan profesional yang mencurah-curah ke dalam PAS serta kepimpinannya baru-baru ini yang sama-sama dapat memikirkan jalan teraik untuk mempertahankan prinsip negara Islamnya di samping terus melebarkan pengaruhnya menjelang pilihanraya 2004.

Abu Mujahed Abdullah Azzam
mpkangar_2004@yahoo.com






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 24 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com