Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


TALIBAN MUSNAH HAPUSKAH KEGANASAN?

Oleh SUARA PRM

Semasa ketua-ketua negara ASEAN mengadakan persidangan di Seri Begawan, Berunai, baru-baru ini, Dr Wan Azizah Ismail, Ustaz Fadzil Noor dan Dr Syed Husin Ali bagi pihak BA telah mengutus surat kepada Seri Paduka Sultan Brunai, selaku pengerusi. Dalam perutusan itu, mereka meminta Sultan dan para pemimpin ASEAN lain membuat pendirian tegas terhadap serangan ke atas WTC serta Pentagon dan pengeboman Amerika Syarikat (AS) ke atas Afghanistan. Kedua-duanya merupakan serangan ganas yang mengakibatkan kematian ramai orang awam yang tidak berdosa.

Seperti kita ketahui, para pemimpin ASEAN tidak mencapai kata sepakat tentang pengeboman AS ke atas Afghanistan. Mereka tidak berani membuat pendirian bersama menuntut supaya pengeboman itu diberhentikan. Nampaknya, dalam hal ini dua negara yang mempunyai ikatan rapat dengan AS, iaitu Filipina serta Singapura, lebih kuat suaranya dalam ASEAN daripada Indonesia serta Malaysia, yang mahu pengeboman diberhentikan. Persidangan bersetuju, antara lain, hendak mengadakan satu persidangan mengenai keganasan di Kuala Lumur kelak.

Boleh dikatakan semua negara mengutuk tindakan ganas ke atas WTC dan Pentagon yang mengakibatkan kematian kira-kira 5000 orang itu. Berikutannya, Presiden Bush telah menubuhkan sebuah pakatan menentang keganasan, terdiri daripada lebih kurang 50 negara. Sebilangan kecil, seperti Britain, memang mengikut saja apa yang AS lakukan. Sebilangan negara yang lain menyokong tindakan AS kerana dijanjikan berbagai-bagai bentuk bantuan. Yang lain pula menyokong kerana takut Bush mengugut mereka yang tidak menyokong AS akan dianggap sebagai musuh.

Di dalam dunia sekarang terdapat banyak masalah yang sama atau lebih teruk daripada keganasan, antaranya, kemiskinan mutlak, penindasan buruh kanak-kanak, kadar kematian bayi yang tinggi kerana kekurangan bekalan perubatan, bahaya AIDS serta penyakit lain, dan ancaman perang serta senjata nuklear. Mengapakah tidak ada kuasa besar yang mahu mendirikan pakatan bersama memerangi ini semua? Mengapa ke atas keganasan saja? Adakah kerana sudah kena batang hidung sendiri? Atau adakah AS merasa malu kerana WTC, lambang kekuatan ekonomi AS, dan Pentagon, lambang kegagahan ketenteraan AS, telah diserang?

Selepas hampir 40 hari pesawat-pesawat AS menggugurkan bermacam-macam jenis bom, pasukan tentera Perikatan Utara (Perikatan) berjaya memasuki Afghanistan. Bukan saja Amerika Syarikat (AS), bahkan sebahagian besar dunia, nampaknya tidak menduga pasukan Perikatan ini, terdiri daripada beberapa golongan yang pernah ditewaskan oleh Taliban sebelum berkuasa pada 1996, begitu mudah sekali dapat menawan Mazar-i-Sharif, Kabul, Herat, Jalalabad dll. Pasukan Taliban yang menguasai kawasan-kawasan ini berundur.

Adakah tentera Taliban tidak tahan dengan pengeboman itu? Adakah mereka tidak mahu berlawan dengan sesama Islam? Adakah mereka sengaja berundur secara tersusun? Adakan mereka akan berkumpul untuk belawan dengan lebih hebat lagi dari pangkalan lebih selamat dan kuat? Atau adakah mereka benar-benar sudah kalah? Semua soalan ini belum mendapat jawapan yang tepat serta jelas lagi.

Semasa rencana ini ditulis (19hb November), tentera Perikatan sedang mengepong Kunduz, kawasan kuat Taliban yang kecil terletak di Utara. Mereka tukar-menukar tembakan meriam dan motar. AS sudah mula mengebom Kunduz. Dua hari sudah berlalu sejak pihak Pakatan memberi kata dua supaya tentera Taliban menyerah diri.

Tiada tanda ini akan berlaku, dan boleh jadi, jikalau tentera Taliban tidak menyerah, Kunduz akan bermandi darah dulu sebelum Perikatan dapat menawannya.

Di Kandahar, yang dianggap sebagai kubu kuat mereka, pihak Taliban masih bertahan. Pesawat- pesawat AS terus mengebom. Tentera Perikatan sudah berkumpul di luar bandar itu. Mungkin mereka akan cuba menawan Kandahar selepas pengeboman itu berkesan. Adakah kedua-dua pihak, terdiri dari suku kaum yang berbeza, akan berjuang habis-habisan? Adakah mungkin lebih banyak darah tentera serta orang awam akan mengalir?

Selepas Taliban berjaya dikalahkan dan setelah Mullah Omar Muhammad dan Osama bin Laden ditawan atau dibunuh, adakah bererti keganasan akan lenyap di muka bumi ini? Sudah tentu tidak. Tindakan keganasan cuma penjelmaan daripada berbagai-bagai punca masalah yang mengakibatkannya. Selagi punca masalah itu tidak diatasi maka selagi itu keganasan akan menjelma.

Gabungan menentang keganasan pimpinan Bush menumpu ke atas Afghanistan kerana kerajaan Taliban yang memerintah melindungi Osama, yang didakwa sebagai dalang utama serangan ganas ke atas dua lambang kekuatan dan kegagahan AS itu. Tindakan Bush dianggap oleh banyak golongan Islam sebagai serangan ke atas Islam. Antara sebabnya ialah pada awal tahun sembilan puluhan, selepas Soviet Rusia dan negara-negara Eropa Timur jatuh, CIA dan FBI merancang untuk mengalih pandangan AS daripada komunisme kepada Islam sebagai musuh utama mereka.

Islam tersebar di merata dunia, walaupun terpusat di Asia Barat. Kebanyakan negara Islam kaya dengan minyak. Kekayaan dari minyak, yang dianggap sebagai emas hitam, tidak adil. Ia bertumpu di tangan segelintir keluarga pemerintah yang bersifat feudal, tidak demokratik dan zalim pula. Golongan pemerintah ini bekerjasama rapat, bahkan tunduk pula kepada kuasa besar imperialis AS. Oleh itu kemarahan rakyat miskin dan juga golongan profesional yang mulai sedar bertumpu kepada pemerintahan mereka sendiri dan juga kuasa besar yang menjadi dalang.

Pada masa yang sama terdapat pula masalah Palestin, yang telah bermula selepas kuasa-kuasa besar seperti AS, Britain dan Rusia bersetuju membentuk negara Israel lebih 40 tahun dulu. Berikutan itu, beribu-ribu rakyat Palestin, tidak kira mereka Islam atau Kristian, dinyah keluar dan tanah mereka dirampas serta rumah mereka dimusnahkan. Sekarang ini terdapat lebih daripada enam juta rakyat Palestin yang hidup sebagai orang pelarian. Masalah Palestin berlarutan lebih 40 tahun sehingga sekarang.

Rakyat Palestin bangun menentang regim Zionis Israel yang sentiasa disokong serta dilindungi oleh imperialis AS. Setiap hari ada saja rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak dan wanita, yang terbunuh. Sekarang ini, seorang yang dianggap bertanggung jawab ke atas pembunuhan beratus rakyat Palestin di Chabra dan Shatila menjadi Perdana Menteri Israel. Tidak mungkin keganasan akan berhenti. Ia hanya mungkin tamat atau berkurangan jikalau hak-hak rakyat Palestin dikembalikan. Antaranya ialah: membentuk negara Palestin yang berdaulat, mendirikan Baitulmuqadis sebagai ibu negara Palestin, dan membenarkan semua orang pelarian Palestin kembali ke tanah air mereka.

Perlu ditegaskan bahawa pengganas terdapat di merata dunia dan terdiri daripada berbagai-bagai agama serta bangsa. Adakah Bush akan meneruskan “crusade” beliau ke atas golongan lain, selepas pengganas Islam atau Arab dikalahkan? Atau adakah beliau akan menggunakan berbilion dolar, yang dibakar bersama bom dan mortar, untuk memerangi kemiskinan dan lain-lain masalah global yang disebut di atas tadi? Kami harap inilah yang akan dilakukan oleh AS, dan bukan merancang pengeboman baru pula ke atas Iraq, Libya, Iran dan sebagainya.

Kita perlu ingat juga bahawa keganasan bukan dilakukan oleh orang atau pertubuhan awam saja. Bahkan ia dilakukan juga oleh negara atau pemerintahan. Ada orang atau pertubuhan yang melakukan keganasan dengan membunuh kanak-kanak, wanita orang tua yang tidak bersalah semasa membuat serangan ke atas musuh. Ada juga negara yang menggunakan segala alat senjata mereka yang canggih mengebom pangkalan musuh dan mengakibatkan kanak-kanak, wanita dan orang tua juga terbunuh atau cedera, selain memusnahkan masjid dan tempat simpanan makanan bantuan untuk rakyat.

Jadi kita mempunyai apa yang boleh kita ssebut sebagai “keganasan awam” (civilian terrorism) dan juga “pengganas negara” (state terrorism). Sekarang ini ada gabungan antarabangsa yang dipimpin oleh AS untuk memerangi “keganasan awam” antarabangsa. Siapa pula yang boleh atau akan memberikan pimpinan antarabangsa untuk memerangi “keganasan negara” yang wujud dalam dunia kini? Apabila ada negara yang menggunakan keganasan ke atas rakyat negeri lain atau rakyat negeri sendiri, wajarkah rakyat berdiam diri sehingga “keganasan negara” boleh terus bermaharajalela?






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 21 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com