Senario untuk melihat perubahan besar dalam politik
Malaysia di abad ke 21 ini sudah bermula sejak awal
tahun 1990an lagi. Tapi sering terbantut kerana
beberapa elemen turun naik atau pasang surutnya
kekuatan politik pembangkang di Malaysia. Dengan kata
lain, seketika nampak benar kekuatan pembangkang di
Malaysia seperti ombak besar yang boleh merobohkan
tembok besar kekuasaan parti kerajaan UMNO/BN.
Tiba-tiba di waktu yang lain ombak besar itu menjadi
kecil. Itulah gambarannya, bagaimana gabungan
pembangkang dengan nama besarnya BA yang telah
menyatukan empat parti pembangkang utama dan terbesar
di Malaysia iaitu PAS, DAP, KeADILan dan PRM telah
menggerunkan UMNO/BN bersama sekutunya yang lain pada
pilihanraya umum ke 10 yang lalu. Jadi, apakah dengan
keluarnya DAP daripada BA serta masuk semulanya PBS ke
dalam BN akan memberi laluan mudah kepada BN atau
setidak-tidaknya mengembalikan semula kekuatan BN. Dan
apakah keadaan itu akan melemahkan kekuatan
pembangkang. Dan sebagai rakyat yang bijak, jangan
menjadi lemah semangat untuk terus berusaha merubah
wajah politik Malaysia pada pilihanraya akan datang,
biarpun tanpa DAP dalam gabungan BA, dan PBS kembali
masuk kandang BN. Pembangkang dalam BA dengan sokongan
rakyat dan juga NGO's perubahan politik boleh saja
terjadi dengan kekuatan rakyat Malaysia yang mahukan
perubahan politik di Malaysia di alaf baru ini.
Dari satu sudut senario ini seperti memberi impak baik
kepada masa depan politik BN di persada politik
Malaysia dalam masa terdekat ini, sekurang-kurang bagi
menghadapi pilihanraya umum kali ke 11 nanti. Kepada
gabungan parti-parti pembangkang dalam BA pula keadaan
ini suatu yang tidak diingini dan perlu dielakkan.
Kerana dengan pengaruh sedia ada DAP dikalangan rakyat
Malaysia dan pengaruh tersendiri PBS khususnya
dikalangan rakyat Sabah, setidak-tidaknya mampu
mengukuhkan lagi cengkaman pembangkang di arena
politik negara ini terutama untuk merobohkan tembok
kuasa politik BN pada pilihanraya akan datang yang
dijangkakan lebih awal daripada tahun 2004.
Oleh kerana DAP sudah merajuk dan keluar daripada
gabungan BA, ditambah lagi ura-ura PBS masuk BN
semula. Surat permohonan masuk itu sudahpun dihantar
sendiri oleh Presiden PBS, Datuk Joseph Pairin kepada
Pengerusi BN, Datuk seri Dr Mahathir. Dalam situasi
sekarang, adalah mustahil bagi BN menolak permohonan
PBS itu. Kerana kemasukan PBS ke dalam BN
sekurang-kurang telah menambah kekuatan BN di Sabah
pada perkiraan atas kertas politik BN.
Keadaan itu benar-benar menganggu mimpi indah gabungan
pembangkang untuk menamatkan kerakusan kuasa BN dalam
pilihanraya umum terdekat ini. Sebab kekuatan
parti-parti pembangkang dalam BA sejak pilihanraya
tahun 1999 itu dilihat cukup baik dan mempunyai
prospek masa depan politik pembangkang di Malaysia
semakin bersinar, malah mampu untuk mara lebih jauh
lagi, sekiranya kena strategi, dengan persiapan rapi
dan usaha maksima dalam pengembelingan tenaga
pembangkang disemua peringkat dapat digerakkan secara
tersusun serta bersistem.
Mampukah Pembangkang Menggugat Parti Kerajaan UMNO/BN
Dalam keadaan kekuatan UMNO pimpinan Dr Mahathir
selaku tulang belakang BN yang semakin malap sejak
1987 lagi. Kemudian sekutu-sekutunya yang lain seperti
MCA, BN Sabah dan lain-lain yang bermasalah. BN
tidaklah segagah sebagaimana digembar-gemburkan oleh
media pengampu mereka. Mereka UMNO/BN hanya bergantung
ihsan kepada propaganda media yang mereka kuasai,
selain cengkaman kuasa politik mereka ke atas
institusi kerajaan seperti RTM, polis, jabatan-jabatan
dan juga agensi kerajaan yang mahu diperkudakan atau
dicucuk hidung.
Politik pembangkang masih mampu bernafas dengan
selesa, walaupun ditekan cukup hebat oleh parti
kerajaan UMNO/BN yang berselindung dibalik jabatan
atau institusi kerajaan yang semua orang tahu.
Insya-Allah, gabungan pembangkang boleh menghadapi
segala taktik jahat dan tidak demokratik UMNO/BN
selama ini. Ini dapat dilihat dan dirasakan oleh
seluruh rakyat betapa sebenarnya kepimpinan UMNO/BN
akhir-akhir ini sudah hilang kewibawaan dan pengaruh
dikalangan rakyat yang celik politik. Kerana itulah
mereka mempergunakan apa jua cara demi untuk menyekat
kemaraan pengaruh pembangkang dikalangan rakyat
Malaysia. Mereka (UMNO/BN) sekat/larang ceramah
politik pembangkang, rampas media pembangkang, tangkap
pemimpin pembangkang, kaitkan pembangkang dengan
pelbagai kegiatan jenayah, militan dan macam-macam
lagi cara. Rakyat diugut, ditakut-takutkan dan dibawa
isu-isu palsu yang direka-reka bagi menimbulkan
kebencian rakyat terhadap gabungan pembangkang. Tidak
cukup dengan itu mereka laga-lagakan parti-parti
pembangkang melalui media mereka, hatta mengheret
negara luar untuk memburuk-burukkan pembangkang. Dalam
masa sama mereka bersikap 'masuk bakul angkat sendiri'
memuji-muji diri mereka kerajaan baik, stabil, adil
dan pelbagai lagi bahasa-bahasa indah.
DAP Diluar BA, PBS Masuk BN Merelakan Malaysia Terus
Dicengkam Kezaliman
DAP dan PBS seperti merelakan rakyat Malaysia, negara
ini dan diri mereka untuk terus berada dibawah
cengkaman ketidakadilan, kezaliman dan amalan tidak
demokratik, amalan rasuah, ketidaktelusan sistem
pentadbiran negara, perkosaan sistem kehakiman,
kemelesetan ekonomi, masalah sosial, penyelewengan,
salahguna kuasa, kronisme, nepotisme dan
berbagai-bagai lagi kemungkaran politik yang dilakukan
oleh UMNO/BN pimpinan Dr Mahathir. Apakah para
pemimpin DAP dan PBS terus menutup mata, membutakan
mata, memekakkan telinga dan mahu mengheret rakyat
menzalimi diri sendiri.
Rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi kepada DAP dan
juga PBS di Sabah agar mereka dapat sama-sama
membebaskan Malaysia dan rakyat daripada terus-terusan
berada dibawah sistem yang tidak menentu, nama saja
Malaysia mengamalkan sistem demokrasi tetapi amalan
demokrasi yang dikehendaki rakyat dikongkong dengan
pelbagai cara, demi untuk mempertahankan sebuah parti
kerajaan yang zalim dan memperkosa segala hak-hak
asasi rakyat yang dibenarkan oleh Perlembagaan Negara.
Diharapkan juga DAP dan PBS boleh memikirkan kembali
tindakan mereka yang boleh diibaratkan mundur ke
belakang. Dalam era globalisasi ini mereka sepatutnya
memiliki pemikiran politik lebih ke depan dan matang.
Mengambil satu pendekatan politik lebih terbuka, bukan
bertindak kerana desakan atau seperti orang yang
terdesak dalam keadaan tenggelam punca kehilangan arah
pegangan dan prinsip politik. Sehingga sanggup
mengadai prinsip perjuangan kepada musuh politik
mereka.
Akhirnya, sebelum 'nasi menjadi bubur' dan 'sebelum
terlajak kata' kita sebagai rakyat yang cintakan
perpaduan dan pembaharuan dalam politik Malaysia
meminta para pimpinan DAP serta PBS di Sabah supaya
dapat memikirkan kepentingan rakyat dan negara ini
lebih besar dari semata-mata berfikir untuk survival
kepentingan politik sempit atau individu pimpinan yang
sudah kehilangan semangat juang dalam arus perdana
politik Malaysia yang semakin mencabar dan global
sekarang. Namun, seandainya tindakan mereka (DAP dan
PBS) itu sudah muktamad dan tidak boleh diubah lagi.
Kecuali DAP yang masih tetap dengan pendirian terus
menjadi parti pembangkang serta bersedia berkerjasama
dengan BA, juga BN. Lebih menampakkan bahawa strategi
politik DAP lebih berpandangan jauh. Kerana PBS
seperti cukup nekad untuk kembali bersama BN,
apakandaya itu merupakan hak politik mereka siapa jua
tidak boleh menahan. Terpulang kepada rakyat Sabah
untuk mengadilinya pada pilihanraya akan datang. Sabah
masih mempunyai parti-parti pembangkang yang boleh
diharapkan memberi cabaran kepada BN Sabah pada
pilihanraya akan datang iaitu Parti KeADILan Sabah
yang diketuai oleh anak mantan TYT Tun Said Keruak,
Datin Saidatulbadru dan barisan pimpinan KeADILan
negeri yang mempunyai semangat juang kental dalam
membawa budaya politik baru, politik perjuangan
bukannya politik wang, minda subsidi dan tunggu habuan
yang ditanam oleh UMNO/BN selama ini di Sabah.
Insya-Allah, KeADILan Sabah mampu menarik sokongan
rakyat Sabah yang celik politik bagi mengantikan
tempat PBS yang sudah kembali menjadi kerabat BN di
Sabah.
Tidak mungkin hilang seorang kawan dalam perjuangan
mulia, perjuangan untuk membela rakyat dan menegakkan
keadilan di bumi tercinta ini, kita menjadi patah
sayap, hilang semangat. Sewajarnya, hilang seorang
rakan seperjuangan 10 tampil mengantikan kehilangan
itu. Insya-Allah kita akan mencapai kejayaan jua.
LAWAN TETAP LAWAN...REFORMASI!!!!!
Ibn Sabah,
20.11.2001M.