Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Mungkinkah Nasib PBS Akan Menjadi Seperti USNO?

Nama parti USNO cukup sinonim dengan politik Sabah, tapi akibat kemurahan hati para pemimpinnya mahu membubarkan dan mengkuburkan USNO dengan bernisankan dua keris tanpa sarung UMNO, akhirnya USNO tinggal nama. Apakah PBS juga akan menerima nasib serupa, setelah kembali ke dalam BN, mungkin tidak? Tapi melihat kegemaran BN pimpinan Dr Mahathir membubarkan parti-parti kompenannya di Sabah sudah ada bukti bermula dengan USNO, kemudian Akar Bersatu dan lepas ini mungkin PBS disyaratkan bubarkan dulu PBS untuk diserapkan ke dalam UPKO nama lama parti politik di Sabah yang diambil oleh parti pimpinan Tan Sri B. Dompok, dari PDS kepada UPKO. Kita tunggu dan lihat, akan berlaku seterusnya setelah PBS benar-benar menjadi kerabat BN semula.

Berita tempatan dalam akhbar-akhbar di Sabah dalam beberapa minggu ini memberikan fokus utama tentang cerita PBS masuk BN semula, setelah bercerai sejak tahun 1990 dulu. Dulu bercerai sekarang rujuk semula adalah sebahagian dari proses alam manusia. Dan ia suatu yang normal. Mungkin begitulah juga dalam bab politik di Malaysia. Sepertilah keadaan parti DAP yang telah bersama-sama BA beberapa tahun, secara tiba-tiba DAP isytihar keluar daripada BA kononnya tidak menjumpai jalan penyelesaian dalam isu 'negara Islam'. Namun, DAP tetap menjadi pembangkang utama di Malaysia, DAP tidak masuk BN, malah tidak pernah bersekongkol dengan BN sejak dari wujudnya DAP. Walaupun, mungkin ada terdapat kepimpinan besar DAP pernah terlibat dengan parti-parti kompenan BN atau mereka yang menjadi orang kuat BN sekarang. Itu sebahagian perbezaan prinsip dan juga pembawaan politik DAP dengan cara berpolitik PBS di Sabah.

Padahal kekuatan pengaruh PBS di Sabah masih ditahap tinggi dan mantap. Melihat kepada hilangnya majoriti PBS di DUN Sabah pada tahun 1994 dulu, sebenarnya PBS bukan parti yang kalah. Tetapi hanya disebabkan beberapa orang ADUN PBS yang tidak mempunyai prinsip dan jati diri seorang pemimpin kerana bujukan atau godaan pangkat dan material, itulah menyebabkan ADUN PBS yang diketuai oleh Datuk Lajim Haji Okin melompat ke dalam kem BN pada 1994 dan mengurangkan majoriti PBS di DUN Sabah. Pada pilihanraya umum negeri terbaru tahun 1999 pula, PBS memenangi 17 kerusi DUN dan kompenan BN Sabah telah menguasai 31 kerusi DUN Sabah. Tetapi banyak pemerhati politik Sabah, rakyat Sabah dan juga kakitangan kerajaan sendiri mengakui bahawa kemenangan BN tempoh hari bukanlah atas nama kemenangan bersih dalam sebuah sistem demokrasi. Kemenangan BN banyak dibantu oleh unsur-unsur tidak sihat dalam proses demokrasi itu sendiri dalam pilihanraya umum negeri tahun 1999 itu. Selain, isu PTI dan warga asing dijadikan pengundi, pengunaan IC palsu dan pelbagai lagi cara perlaksanaan proses pilihanraya itu yang tidak melihatkan nilai demokrasi sebenar.

PBS Sebenarnya Parti Pembangkang Kuat Di Sabah

Dengan kekuatan 17 ADUN dalam DUN Sabah, PBS mempunyai masa depan politik di Sabah. Itu baru satu parti, seandainya PBS boleh bergabung dengan parti-parti pembangkang berpengaruh di Sabah ketika itu parti Bersekutu, pimpinan Datuk Harris Salleh. Tidak mustahil gabungan pembangkang di Sabah akan berkuasa di Sabah ketika itu. Tetapi parti-parti politik di Sabah adalah parti yang hanya hidup sewaktu pilihanraya dan bergantung kepada penaja daripada kalangan orang korporat atau orang politik elit sama ada yang berpusat di Sabah atau di Kuala Lumpur yang berada dibelakang tabir. Ertinya kewujudan mereka tiada langsung kekuatan akar umbi itu. Berbeza dengan parti PBS, kerana PBS mempunyai pengaruh akar umbi dan kepimpinan negeri yang bertaraf nasional seperti Presidennya Datuk Joseph Pairin, Dr Maximus Ongkili, Raden Malleh dan lain-lain. Sekalipun PBS sentiasa dilanda ombak politik disebabkan perangai orang politik dalam PBS dua alam dan berminda 'katak', tidak tahan uji, mengajar material dan pangkat serta kedudukan dikalangan YB-YB PBS yang berlompatan mencari tempat berlindung dalam kem BN Sabah. Namun, PBS tetap wujud dan tidakpun terbubar. Sebab PBS masih mempunyai kekuatan akar umbi dan kepimpinan Presidennya yang masih tegak. Pendek kata, PBS adalah parti tunggak dalam politik Sabah setelah ketiadaan USNO, UPKO (dulu) dan Berjaya. PBS masih mempunyai kekuatan tersendiri dalam politik Sabah. Kelainan ini tidak dimiliki parti-parti lain dalam kompenan BN Sabah sekarang. BN Sabah yang mengabungkan pelbagai parti dari UMNO, SAPP, UPKO dan juga LDP hanya bergantung pada kekuatan pengaruh BN pusat, wang ringgit dalam mempengaruhi rakyat dan disamping eksploitasi kuasa yang dimiliki BN ke atas rakyat, jabatan kerajaan dan agensi-agensi lain dalam kerajaan.

Mungkin PBS Terdesak Atau Didesak?

Kenapa tiba-tiba mahu rujuk semula ke dalam BN?. Setelah cukup selesa berada diluar BN dengan kekuatan tersendiri serta boleh menegur dan mengkritik lebih terbuka terhadap segala kepincangan kepimpinan BN Sabah dengan sistem penggiliran KM yang banyak menimbulkan konflik dalaman BN dan menyusahkan rakyat, selain menimbulkan kesukaran ekonomi serta pentadbiran kerajaan negeri. Dan paling penting PBS adalah parti tonggak di Sabah dengan reputasi dan prestasi sangat stabil. Memang dari segi politik tindakan PBS itu tidak salah. Bukan juga suatu yang haram dalam amalan politik demokrasi. Tetapi dalam dunia politik abad baru. Pemerhati, pengkritik politik dan rakyat Sabah umumnya melihat tindakan PBS itu sebagai suatu tindakan orang yang berada dalam keadaan terdesak atau didesak. Atau seolah-olahnya PBS sudah kehilangan prinsip serta jati diri dalam perjuangan politiknya selama ini, sehingga sanggup berkompromi dengan musuh politiknya iaitu BN Sabah.

Sebelum ini, kita mendengar ADUN-ADUN PBS yang melompat ke dalam kem BN Sabah adalah dengan sebab-sebab kehendak rakyat dan demi pembangunan. Kita menyoalkan, apakah disebabkan satu-satu kerusi DUN itu tidak dimenangi oleh calon BN kemajuan dan keperluan rakyat kawasan tersebut akan diabaikan oleh pemerintah yang kebetulan dipegang oleh parti kerajaan BN Sabah. Apakah ahli-ahli politik di Sabah tidak terfikir bahawa dalam sistem demokrasi kewujudan parti pemerintah dan parti pembangkang itu adalah sebahagian dari kerajaan atau sebahagian dari rakyat itu sendiri. Bermaksud, adanya pembangkang dalam mana-mana DUN sebenarnya merupakan rahmat kepada sistem demokrasi itu demi melaksana tugas 'chek and balance' dalam sesebuah kerajaan atau pemerintahan. Adalah mustahil dalam sebuah kerajaan atau pemerintahan di dalam sistem demokrasi tidak diperlukan parti pembangkang. Malah cukup mustahil akan terhasil sebuah sistem pemerintahan yang telus, amanah dan bertanggungjawab, apabila hanya satu parti yang menguasai DUN dan Parlimen. Kerana mereka merasa tidak ada orang yang akan mengkritik mereka lagi. Apatah lagi dalam keadaan kepimpinan BN sekarang yang sudah dilanda penyakit gila 'kuasa', harta, pangkat, kedudukan, nama dan kemewahan dunia yang melampau.

Naik saja pangkat sama ada dengan pangkat atau jawatan sebagai KM atau MB atau wakil rakyat dalam kerajaan yang dikuasai oleh BN/UMNO dan kroninya. Boleh dilihat apakah perubahan mendadak yang paling ketara dalam kehidupan atau peribadi seorang KM, MB dan wakil-wakil rakyat yang berjenama BN/UMNO dan juga sekutu-sekutunya. Kata orang belumpun lepas pantang atau belumpun cukup umur setahun jagung, sudah kelihatan kereta besar, rumah besar, longgokan harta sana-sini. Inipun sudah jelas untuk menggambarkan betapa amalan rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan sebagainya telah tidak terkawal lagi dan seperti penyakit kanser dalam sistem kerajaan yang dikuasai oleh UMNO/BN.

Jadi, apakah kerana tuntutan-tuntutan material bersifat duniawi inilah yang melilihkan liur kepimpinan PBS untuk kembali semula ke alam BN yang pernah mereka rasai dulu. Apakah kerana mengejar pangkat kedudukan itu menjadi buruan kepimpinan PBS, setelah tidak tahan menerima ujian ketiadaan pangkat, projek, kedudukan dan sebagainya. Benarkah, kerana menjadi YB PBS para pemimpin PBS menjadi miskin atau papa kedana, sehingga menyebabkan mereka meminta para perwakilan membuat keputusan sama ada PBS wajar rujuk semula ke dalam BN atau tidak. Apakah tanpa masuk BN masa depan politik PBS di Sabah akan malap. Atau pemikiran para pemimpin masih lagi terbelenggu, bahawa tanpa BN negara Malaysia dan negeri Sabah tidak boleh maju. Pemikiran inilah seharusnya diketepikan dari pemikiran para politikus Sabah. Kemajuan dan pembangunan negara, negeri, rakyat dan di mana jua bukan ditentukan oleh seorang dua manusia. Tetapi oleh rakyat seluruhnya mempunyai peranan. Pembangunan atau kemajuan tidak akan menjadi kenyataan tanpa partisipasi rakyat seluruhnya. Seorang PM atau KM atau MB yang berkuasa penuh tidak akan mampu membangun negara atau negeri yang mereka menjadi ketua kerajaan tanpa mendapat dari seluruh sendi-sendi yang membentuk negara atau negeri itu. Maknanya sokongan, penyertaan dan peranan rakyat seluruhnya amat penting bagi pembangunan dan kemajuan masyarakat, negeri serta negara.

Percayalah, Dr Mahathir atas namanya sebagai PM tidak akan dapat memajukan Malaysia ini dengan hanya dia duduk goyang kaki menekan punat suis dan komputer dalam pejabatnya di Putrajaya itu. Sekiranya seluruh rakyat Malaysia tidak memberikan sokongan dan penyertaan dalam ertikata yang sebenarnya. Silap hari bulan Mahathir sendiri akan menjadi orang gila dalam mahligainya di Putrajaya. Konon dialah seorang yang membawa kemajuan di Malaysia tanpa seorangpun rakyat Malaysia berjumlah lebih 22 juta itu yang lain terlibat dalam membangunkan negara. Dia mendabik dada mengaku dialah seorang PM yang memajukan Malaysia. Percayakah anda?

Siapa Untung PBS Diterima Semula Ke Dalam BN

Banyak andaian dan spekulasi yang boleh dibuat dalam isu politik terbaru di Sabah. Bayangkan ulasan kepimpinan UMNO/BN sendiri seperti orang mengantuk disorongkan bantal. PBS seperti bertindak dalam keadaan dan masa terbaik untuknya. Kenyataan akhbar Setiausaha Agong PBS, Encik Raden Malleh, bahawa hari ini (15.11.2001M) surat permohonan masuk semula ke dalam BN akan diserah sendiri oleh Presiden PBS, Datuk Joseph Pairin kepada Pengerusi BN di Kuala Lumpur. Nampak benar kesungguhan PBS setelah mendapat mandat atau mengambil kira pendapat daripada para perwakilan partinya yang bersidang semasa Kongres PBS ke 16 di Penampang, Sabah untuk merujuk semula ke dalam BN. Setelah 11 tahun berada diluar BN, teringat juga PBS kepada nikmat hidup bersama BN beberapa tahun sewaktu berkuasa di Sabah sebagai parti utama.

Melihat situasi sekarang seperti PBS mendapat untung itu dan UMNO/BN di Sabahpun lebih banyak untung, kerana tidak perlu gusar lagi dengan kritikan dan teguran berani yang memanaskan telainga kepimpinan BN Sabah dalam DUN daripada ADUN-ADUN PBS selama sebagai parti pembangkang utama di DUN Sabah. Sekiranya PBS diterima dan menjadi kerabat BN semula, inilah pertama kali Sabah menjadi negeri tanpa pembangkang. Sebab di Sabah hanya PBS saja satu-satu parti pembangkang di Sabah sekarang yang masih menang.

Yang jelas BN Sabah benar-benar mendapat untung besar dari segi politiknya untuk menghadapi pilihanraya umum negeri akan datang, kerana tidak perlu lagi berhadapan dengan PBS yang menjadi saingan sengitnya setiap kali pilihanraya di Sabah. Tetapi belum tentu, senario ini benar-benar memberi impak lebih baik kepada gabungan BN itu. Atas sebab antara kompenan BN Sabah selama inipun mempunyai matlamat politik yang berbeza, sekalipun mahu disembunyikan segala macam ambisi yang masih tersirat di dalam kalbu masing-masing. Hanya menunggu saat dan waktu sahaja untuk dinyatakan. Itulah gambaran senario politik unik kompenan BN Sabah sejak dulu.

Tapi parti KeADILan yang baru menapak di Sabah hampir pasti mendapat sedikit sinar untuk terus muncul menjadi parti pembangkang utama dan kuat di Sabah. Malahan ada prospek untuk menerajui kerajaan negeri pada pilihanraya umum negeri akan datang, seandainya mereka mampu mengeksploitasi keadaan politik di Sabah sekarang. Sudah tentu ramai ahli-ahli PBS yang tidak merestui kemasukan semula PBS ke dalam BN akan beralih arah untuk meneruskan perjuangan mereka. Dengan mencari parti alternatif lain, dan dengan reputasi serta prestasi baik yang ditunjukkan oleh KeADILan Sabah dalam kemunculan sulongnya di pilihanraya DUN Sabah di Lakis Julai lalu. Untuk itu, sehingga kini hanya parti KeADILan Sabah satu-satunya parti pembangkang yang boleh mengantikan tempat PBS yang telahpun memohon masuk semula ke dalam BN yang pernah dianggotainya.

Rakyat Sabah yang inginkan perubahan politik dan kepimpinan negeri pada pilihanraya akan datang, tidak harus kecewa dengan tindakan PBS itu. Dalam perjuangan menegak kebenaran, keadilan dan membela nasib rakyat yang semakin diperabaikan oleh UMNO/BN di Sabah. Kehilangan PBS di barisan pembangkang, pasti akan ada penggantinya, iaitu parti KeADILan Sabah akan muncul sebagai penerus kepada perjuangan rakyat Sabah yang masih belum selesai itu.

Kenapa PBS Masuk BN Semula

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan kenapa PBS merelakan diri mereka 'menjilat kembali ludah' sendiri. Selain faktor politik itu sendiri, pemerhati politik melihat ada yang tersirat daripada yang sudah tersurat. Keadaan politik di Sabah cukup baik untuk PBS sebagai satu-satunya parti pembangkang yang kuat dan mempunyai pengaruh tersendiri setelah terbubar serta terkuburnya USNO. Apakah kepimpinan PBS sedia ada tidak berkeyakinan lagi untuk meneruskan prinsip perjuangan mereka selama ini. Apakah kepimpinan PBS masuk BN semata-mata hendak mengejar kedudukan, pangkat, kemewahan dan kebendaan atau projek. Atau kerana mereka tidak tahan uji menempuh ujian sebagai parti pembangkang yang tidak punya apa-apa kuasa dari segi mengatur apa-apa jua projek seperti yang dinikmati atau mengkayakan YB-YB BN sekarang. Di Sabah, ada orang kata mahu kaya masuk BN, mahu jadi YB masuk BN, mahu dapat projek masuk BN dan inilah lagu orang Sabah. Seolahnya rezeki itu BN yang punya bukan anugerah Allah.

Satu lagi kemungkinan kenapa sebenarnya PBS mahu masuk semula BN, bukan bersama-sama BA bagi menumbangkan BN Sabah. Sedangkan KeADILan Sabah memerlukan rakan dari parti pembangkang sedia kuat di Sabah seperti PBS. Penulis yakin PBS melihat keadaan positif itu apabila PBS dan KeADILan boleh membentuk gabungan pembangkang Sabah untuk mencabar BN seterusnya menguasai kerajaan negeri Sabah pada pilihanraya umum negeri akan datang. Tetapi PBS seperti juga DAP. DAP nampak lebih realistik dan matang menilai kehendak perubahan semasa politik Malaysia untuk bersama dalam BA yang dipimpin oleh PAS. Sekalipun sejak dulu DAP tidak sehaluan dengan PAS. Mungkin bagi PBS dengan kepimpinan utama parti itu berlatar belakangkan rata-rata mereka yang beragama Kristian, demi untuk menjaga akar umbi parti PBS yang kuat didokong oleh majoriti penganut Kristian. PBS mengambil jalan pintas untuk rujuk semula kepada BN. Isu 'negara Islam' yang menjadi ideologi perjuangan PAS sangat tidak serasi dengan diri mereka. Kerana itu, bagi PBS lebih baik masuk saja BN daripada bersama KeADILan Sabah, lantaran KeADILan adalah kerabat kepada BA di peringkat pusat dan juga di negeri Sabah.

Ini juga berpunca daripada sikap politus Sabah yang phobia dengan isu 'negara Islam' yang menjadi bahan politik UMNO/BN untuk memecahbelahkan gabungan pembangkang. Satu lagi, punca kenapa PBS masuk semula BN, ialah pengalaman lama dalam sejarah politik Sabah dulu. Pertembungan mengapikan emosi atau sentimen 'agama' cukup kuat dikalangan kepimpinan politik Sabah antara USNO pimpinan Tun Mustapha dengan UPKO pimpinan Tun Fuad dulu. Inilah akibat daripada ketidakfahaman dikalangan politikus Sabah terhadap pembawaan isu-isu agama seperti ini demi meraih keuntungan politik sempit dalam masyarakat majmuk sejak sekian lama. Isu agama, kaum dan bangsa semata-mata dilihat sebagai umpan politik bagi menaikkan emosi penyokong supaya menyokong mereka. Padahal mana-mana agama tujuannya adalah untuk kebaikan manusia atau penganutnya, bukan untuk berkonfrantasi sesama rakyat, bukan juga untuk menonjolkan sentimen agama secara buta tuli dan bukan menjadikan agama sebagai tembok yang memisahkan antara rakyat yang berbeza agama, budaya, tradisi, kaum dan juga bangsa.

Inilah akibat daripada kesan pembawaan pemikiran dan budaya politik yang ditanamkan oleh BN sebegitu lama ke dalam benak dan jiwa rakyat Malaysia, sejak berpuluhan tahun. Adalah teramat sukar untuk membuang karat daki perkauman, sentimen agama buta tuli dan propaganda politik murahan yang menjadi mainan UMNO/BN selama ini, persis kerja-kerja penjajah zaman dulu yang memecahbelahkan rakyat yang mereka jajah agar mudah mereka terus berkuasa. Itulah formula politik UMNO/BN yang diwarisi daripada penjajahan dulu.

Akhirnya, hanya satu harapan rakyat Sabah kepada PBS masuklah ke dalam BN, tapi jangan menjadi 'ayam mati' atau 'kerbau dicucuk hidung' dengan mengiyakan apa sahaja keputusan BN hatta dalam perkara yang menyusahkan rakyat, negeri dan negara. Asalkan orang besar UMNO/BN dan sekutu mereka selamat dan aman memperkosa segala sistem negara, demokrasi dan kedaulatan rakyat negara ini. Pengalaman dulu sebagai kerabat BN sudah mengajar PBS. Apakah kemasukan kali kedua ini akan menambah kebaikan untuk rakyat atau sekadar satu tindakan politik terdesak.

Ibn Sabah,
23.11.2001M.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 24 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com