Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Politik Sabah: Lajim, Musa Dan Hanifah Berebut KM?

Sebuah akhbar tempatan di Kota Kinabalu, Berita Sabah keluaran terbaru 10-16 November, 2001 menyiarkan berita bertajuk 'Musa Ganti Lajim?' di muka depan. Menarik perhatian banyak pihak di negeri Di Bawah Bayu itu. Walaupun ia sekadar spekulasi politik negeri Sabah. Dan juga ramalan atau jangkaan tentang rombakan kabinet negeri dibawah KM Sabah, Datuk Chong Kah Kiat seperti yang dilaporkan oleh Berita Sabah. Penulis sempat bertanya kepada wartawan Berita Sabah itu, dan berita ini sedang menjadi bualan mulut ke mulut kalangan mereka yang dekat dengan pemimpin BN Sabah.Sehingga kini, belum ada satu kenyataan rasmi dari pemimpin utama BN Sabah mahupun oleh KM Sabah, Datuk Chong Kah Kiat sendiri.

Merombak Kabinet Negeri

Tugas mengatur orang bawahan adalah tanggungjawab seorang ketua. Dan ketua yang baik serta berwibawa pasti akan melunaskan tanggungjawab itu dengan peraturan bukan ikut suka sendiri atau peraturan sendirian berhad yang lebih banyak melihat keuntungan diri, kroni dan kerabat. Apa lagi bagi sebuah kerajaan negeri. KM adalah ketua kerajaan. Dia dilantikpun mesti dengan peraturan atau mengikut Perlembagaan Negeri, bukan main telunjuk saja. Ini termasuklah dalam urusan merombak dan membentuk barisan kabinetnya bukan ikut suka hati sendiri, kerana atas nama orang besar yang berkuasa yang bergelar ketua kerajaan negeri. Itulah teramat penting seorang KM itu mereka yang benar-benar layak, mampu, berilmu, berwibawa, berkarisma dan memiliki daya kepimpinan tersendiri. Mereka tidak akan terikut-ikut kehendak spekulasi media. Apa lagi untuk dia diperkudakan atau dipengaruhi oleh orang lain yang mempunyai kepentingan diri.

Kalau merombak jawatankuasa kampungpun bukan mudah, inikan pula untuk merombak sebuah kabinet kerajaan negeri. Rombakan bukan semata-mata atas desakan politik, lebih penting untuk dijadi sebab dan diambil kira dalam rombakan itu, ialah kepentingan rakyat dan kerajaan negeri itu sendiri. Apakah rombakan jentera kerajaan benar-benar diperlukan dalam masa terdekat ini kerana demi untuk meningkatkan kecekapan jentera kerajaan dan kepimpinan yang diamanahkan oleh rakyat. Atau sekadar untuk 'tutup lubang' atau untuk menjaga hati kawan dan kroni.

Apakah KM Sabah, Datuk Chong Kah Kiat akan mudah terpengaruh oleh spekulasi dan polemik yang sengaja memancing kepimpinan beliau sendiri. Setakat yang penulis perhatikan selama memegang jawatan KM Sabah beberapa bulan lalu, belumpun setahun menggantikan DSP Osu Haji Sukam. Datuk Chong adalah seorang pemimpin yang berwatakkan seorang yang berhati-hati, cermat dan bukan seorang yang gelojoh, semborono dan cincai dalam kepimpinannya. Sebagai contoh kenyataan-kenyataannya dalam media yang berkaitan dengan hal-hal berkaitan kepentingan awam, rakyat dan juga kerajaan negeri sangat teliti dan meyakinkan. Dia tidak mengikut emosi atau mudah cepat terpengaruh dengan persekitaran. Itulah sebahagian dari gambaran kepimpinan Datuk Chong yang menyenang dan meyakinkan rakyat pada pengamatan serta pemerhatian penulis. Berbeza dengan kepimpinan UMNO Sabah yang menganggap diri merekalah 'raja' yang patut disembah apabila mendapat kuasa.

Tabiat Lama Pemimpin UMNO Sabah

Penyakit warisan atau tabiat lama yang dikategorikan sebagai 'kurang baik' atau sikap 'negatif' sebahagian besar kepimpinan UMNO pusat yang diketuai Dr Mahathir benar-benar menjangkit ke dalam kem UMNO Sabah. Segala macam jenis tabiat ada, seperti penyakit besar kepala, besar diri, pengampu, kaki bodek, berklik-klik, berebut pangkat, jawatan dan kedudukan, amalan rasuah, tamak, suka berjanji, suka monopoli projek, suka dipuji, ketagih sanjungan, terlibat dengan skandal, salahlaku, menuding jari atau menganggap orang semua salah, mengaku diri atau kumpulan sendiri saja betul, terbaik dan banyak lagi.

UMNO Sabah selamanya akan menjadi parti tempat pemimpin 'jadi-jadian', kumpulan kaki bodek, kaki ampu, kepala besar, besar diri, penindas rakyat, rakus kuasa, kaki rebut projek, pakar mengagihkan kekayaan negara kepada kroni-kroni dan seterusnya. Pemimpin-pemimpin sebegini adalah pemimpin umat di akhir zaman yang akan membawa petaka kehancuran kepada diri, bangsa dan negeri atau negara. Kerana mereka bukan berwatak pemimpin sebenar, pemimpin yang mengutamakan rakyat, kedaulatan rakyat, negeri dan keselamatan rakyat serta negara. Teramat banyak contoh tentang tindakan persekongkolan kepimpinan UMNO/BN di Sabah khususnya dalam kerja-kerja mewarganegarakan PTI atau warga asing hanya kerana untuk mendapatkan undi dalam pilihanraya dengan cara memberikan PTI atau warga asing IC, projek IC,taraf penduduk dan sendikit pemalsuan IC warganegara demi untuk meraih kepentingan politik kepartian secara cukup tidak bertanggungjawab. Malah boleh mendedahkan negeri atau negara ini kepada kwmusnahan bangsa Malaysia secara sedikit demi sedikit.

Bayangkan apa akan jadi apabila berpuluh ribu, bahkan ratusan ribu PTI atau warga asing diberikan taraf warganegara secara sewenang-wenangnya tanpa mengikut prosedur dan undang-undang negara. Bagi UMNO/BN di Sabah sekadar berfikir semata-mata kuasa politik jangka pendek untuk mereka senang membaham segala harta, kekayaan negeri atau negara, merebut pangkat, kedudukan dan kemewehan, kemudian diagih-agihkan kepada kroni-kroni dan suku sakat. Manakala rakyat terbanyak hanya mendapat serpihan-serpihan yang masih sisa yang sudah tidak diperlukan. Itulah punca perebutan kuasa sama ada dalam parti UMNO atau perebutan jawatan-jawatan dalam kabinet kerajaan dan lain-lain lagi. Isu perebutan jawatan, pangkat, projek, kedudukan dan kebendaan dalam UMNO sudah menjadi amalan sebati terutama UMNO/Mahathir. Mereka sanggup aibkan rakan, jatuhkan kawan kerana itu mereka tidak merasa rugi merasuah ahli-ahli UMNO, mereka sanggup jumpa bomoh hatta membunuh sekalipun demi untuk mendapatkan jawatan, pangkat dan material. Andainya mereka buang ratusan ribu, mereka merasa rugi apa. Kerana apabila menang mereka akan dapat lebih daripada itu. Inilah gambaran sikap dan pemikiran kepimpinan UMNO berkepalakan Dr Mahathir yang tak sedar-sedar diri itu.

Perebutan Jawatan KM Sabah

Jawatan KM di Sabah sama dengan negeri lain, menjadi idaman setiap orang ahli politik. Mahu jadi orang besar negeri atau ketua kerajaan khususnya dikalangan pemimpin UMNO di mana-mana negeri yang mereka kuasai. Di Sabah, nasib UMNO sangat tidak baik. Menang saja terpaksa bagi-bagi kuasa KM dua-dua tahun kepada sekutunya yang lain dalam BN Sabah. Akibat kebanggangan pengerusi mereka sendiri Dr Mahathir yang bebal lagi tubal.

Masuk dua penggal BN berkuasa di Sabah, sudah ada tiga KM dari UMNO Sabah pegang jawatan itu dua-dua tahun bermula dari Tun Sakaran (sebelum diangkat jadi TYT), kemudian diwarisi oleh Datuk Salleh Tun Said dan yang terakhir DSP Osu Haji Sukam, sebelum penggiliran itu jatuh ke tangan sekutunya LDP dengan Datuk Chong selaku Presiden LDP telah ditunjuk oleh Mahathir sebagai KM Sabah, bukan melalui keputusan BN negeri setelah mendapat perkenan TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah. Ini peliknya undang-undang di zaman UMNO/BN berkepalakan seorang tamak kuasa seperti Dr Mahathir. Daulat raja pun dicabuli, undang-undang tertinggi negeri dan negara juga dilanggar, yang penting kemahuan nafsu politik serakahnya tercapai.

Penyakit itulah juga menjangkiti sebahagian besar kepimpinan UMNO Sabah. Rebut-merebut jawatan, pangkat, kedudukan dan projek sudah menjadi mainan hidup. Apa lagi jawatan KM, jawatan tempat lubuk atau pusat segala kuasa dalam kerajaan negeri. Siapa yang dapat dia ibarat raja. Ini bagi mereka yang berjiwa besar tapi kosong diri dengan kewibawaan, keilmuan dan sifat tawaduk. Bukan melihat jawatan KM itu sebagai amanah maha besar dan berat. Pemimpin yang mengerti tentang nilai amanah, ketelusan, pahala dan dosa akan tahu apa itu amanah dan kewajiban sebagai seorang bernama 'pemimpin' atas namanya Ketua Menteri. Perkara sebeginilah selalu dilupakan oleh pimpinan UMNO/BN Sabah. Yang mereka ingat dan zikirkan dalam hati bila dapat jawatan besar ialah berapa RM aku dapat, berapa projek aku punya, berapa komesin aku dapat, berapa pula untuk kawan, kroni dan suku sakat aku dapat dan berapa kereta, rumah dan isteri...Rakyat belakang cerita. Bila ada sisanya baru untuk rakyat. Dan masa agih-agihkan untuk rakyat ialah dekat atau musim kempen pilihanraya. Itulah agenda kepimpinan UMNO Sabah. Sebab itu mereka berebut jawatan KM Sabah seperti ikan bedukang berebut tahi di air. Palis-palis minta dijauhkan pemimpin berminda ikan bedukang itu.

Siapa Yang Akan Dapat Jawatan KM Sabah Selepas Ini?

Siapalah bakal KM seterusnya dari kem UMNO Sabah dalam sistem bergilir-gilir itu, apakah kemungkinan DSP Osu Sukam naik semula, mungkin juga Datuk Salleh Tun Said, mungkin juga Datuk Lajim Haji Okin, mungkin dari keluarga Si Aman sama ada Musa Aman atau Hanifah Aman? Dalam senarai lima sahabat yang berlainan mimpi itu, walaupun mereka serumah. Nampak-nampak Datuk Musa Aman adalah senarai utama dengan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, kemudian diekori oleh Datuk Lajim Okin atas kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Menteri sekarang. Tiga yang lain Osu, Salleh dan Hanifah, sukar untuk diramal semula. Osu dan Salleh kedua-dua adalah mantan KM dalam sistem penggiliran itu. Walaupun mereka belum merasa sepenuhnya jawatan KM Sabah kerana hanya sekadar 2 tahun, tapi sudah puas merasai segala kelebihan kuasa sebagai KM boleh atur projek itu ini, boleh luluskan itu ini dan boleh macam-macam boleh...Andai diserahkan semula mustahil mereka menolak. Itulah dasar pemimpin berminda 'bedukang'.

Datuk Hanifah bolehkah dia menggapai cita-citanya untuk jadi KM. Mungkin boleh bersandarkan kepada kedudukannya sekarang sebagai Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan dengan syarat pandai membodek PM di Putrajaya, dekati Aziz Samsudin, mereka yang akrab dengan PM dan jadilah tukang bodek nombor satu kepada Mahathir. Dengan syarat Hanifah mesti melepasi dulu anak tangga menteri penuh di persekutuan macam Datuk Osu Sukam dulu, sebelum jadi KM adalah seorang menteri penuh di peringkat Persekutuan, itupun setelah puas mengemis dan mengipas kaki-kaki bodek PM, selain mendapat rekomen kuat dari kroni akrab PM Datuk Seri Megat Junid. Kenapa tiba-tiba nama Hanifah naik untuk merebut jawatan KM Sabah, mungkin spekulasi ini hanya berlegar di sekitar kawasan UMNO Bahagian Beaufort kawasan Parlimen yang diwakilinya. Cerita ini penulis dengar semasa keributan perebutan jawatan dalam pemilihan UMNO baru-baru lalu, bahawa seorang AJK Bahagian telah membisikkan kepada penulis betapa Hanifah mempunyai ambisi besar mahu jadi KM Sabah pada satu hari.

Dan satu lagi, kenapa Hanifah beria-ia betul mahu jadi KM. Mungkin kerana dia beranggapan sudah punyai pengaruh besar, kekayaan dan geng yang boleh menaikkan dirinya. Umpamanya, dia mungkin merasakan dengan kekayaan yang dimilikinya dia boleh membeli undi dan sokongan bagi memanjat kerusi KM Sabah. Tapi harus diingat kekayaan bukanlah segala-galanya, mungkin orang lapar dan miskin boleh digula-gulakan dengan kekayaan atau kebendaan, namun belum tentu semua yang miskin dan lapar itu bersedia memakan sesuatu yang haram sekalipun dihidang di depan mata mereka. Rakyat tidak semua bodoh untuk menerima apa saja sogokan pemimpin yang bersifat tamak, rakus dan gelojoh. Yang pasti rakyat yang celik, terbuka mata, hati dan berilmu lebih bijak menilai antara intan dengan kaca.

Demikianlah, riuh-rendah 'dalam diam' kem UMNO Sabah masing-masing para pemimpinnya sudah memasang angan-angan besar untuk memanjat kerusi KM Sabah pada masa akan datang. Itupun sekiranya BN Sabah yang bakal mendapat rakan baru dengan kemasukan PBS semula ke dalam BN, masih mampukah BN Sabah bertahan dalam pilihanraya umum negeri akan datang. Tradisi atau lazimnya politik di Sabah, parti yang berkuasa selama 2 penggal akan berakhir dan diganti dengan parti baru. USNO/Perikatan, Berjaya/BN tumbang diakhir penggal kuasa mereka selama dua penggal. Kecuali PBS, seingat penulis PBS tidak kalah sejak menang 1985 hingga 1994. Tapi disebabkan ADUN-ADUN PBS yang melompat ke dalam BN pada tahun 1994 PBS dengan sendirinya kekurangan majoriti dalam DUN Sabah dan mengundur dari tampuk kuasa kerajaan negeri secara terpaksa. PBS hanya kalah kepada BN pada pilihanraya umum negeri tahun 1999, tapi masih kuat sebagai pembangkang dalam DUN Sabah dengan 17 ADUN sebelum yang lain berlompatan.

Apapun, rakyat Sabah hanya mengharapkan KM Sabah seterusnya biarlah mereka yang memiliki wibawa seorang pemimpin negeri, bukan pemimpin 'kerbau dicucuk hidung' bukan juga yang berminda 'katak', bukan berminda 'bedukang' dan bukan juga pemimpin yang berminda tengkuyuh. Kita mahukan yang terbaik, amanah, telus, tawaduk, bijak, berilmu, berjiwa rakyat dan sederhana. Bukan pemimpin yang besar diri, angkuh dan sombong dengan jawatan atau kuasa dalam tangan.

Ibn Sabah,
27.11.2001M.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 27 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com