Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Indahkan Bahasa Terengganu Kita

MUTAKHIR ini, rata-rata khalayak sastera di negara ini bercakap soal ‘Bulan Bahasa’. Ia sudah menjadi acara tahunan yang diselenggarakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan diperturunkan ke peringkat negeri-negeri. Tujuan utama kempen berkenaan antara lain ialah menjana penggunaan bahasa yang betul, terutama dalam sektor-sektor yang membabitkan orang ramai. Bahasa adalah jiwa bangsa. Keindahan dan ketajaman bahasa melambangkan ketinggian adab dan susila sesuatu bangsa. Manakala dalam arus globalisasi dan era ledakan teklonogi maklumat ini, soal precise and concise (tepat dan padat) adalah ciri utama yang ditekankan dalam komunikasi. Biar ringkas, tetapi jelas.

Dalam Islam, soal penggunaan bahasa yang sesuai pada masa yang sesuai di tempat yang sesuai dan kepada orang yang sesuai juga turut ditekankan. Al-Quran meminta kita berbahasa secara hikmah (bijaksana) semasa berdakwah. Al-Quran juga meminta kita berhujah atau berdebat dengan cara yang baik. Berbeza pula dengan golongan kafir yang disifatkan Allah sama sahaja sama ada kita beri peringatan atau tidak, mereka tetap tidak akan beriman. Al-Quran dalam bahasa yang agak keras menyifatkan mereka itu sebagai as-Sufaha’ (orang bodoh).

Manakala dalam kisah yang lain pula, al-Quran sampai ke peringkat mencelakakan Abu Lahab dengan bahasa seranah yang sangat kasar, sepadan dengan perbuatannya terhadap Islam. Dalam berdakwah juga, menggunakan bahasa yang mudah difahami mad’uw (sasaran dakwah) turut ditekankan. Penggunaan bahasa dan istilah yang terlalu ilmiah sehingga sukar difahami khalayak sasaran adalah salah satu faktor menangguhkan keberkesanan dakwah.

Bersyarah di hadapan orang kampung perlu menggunakan bahasa kampung. Bahasanya tentu jauh berbeza dengan bahasa menara gading atau bahasa metropolitan. Begitu juga, membentangkan kertas kerja kepada khalayak berlatarbelakang pendidikan Inggeris tidak perlulah dipadatkan dengan istilah-istilah Arab yang hanya segelintir mampu memahaminya. Dalam cerita-cerita teladan yang pernah diajarkan kepada kita, terdapat juga cerita mengenai natijah salahguna bahasa ini. Antaranya ialah mengenai mimpi seorang sultan yang dita’abirkan membawa alamat kematian permaisuri baginda.

Seorang juru ta’abir menggunakan bahasa straight forward dan mempersembahkan kepada sultan ‘tuanku permaisuri akan mangkat’. Dia dimurkai sultan dan dikenakan hukuman berat. Seorang lagi juru ta’abir memilih untuk menggunakan bahasa yang bijak, tanpa mengubah maksud asal ta’abir mimpi itu. Katanya maksud mimpi sultan itu ialah ‘umur sultan lebih panjang daripada umur permaisuri’. Sultan sangat gembira dan juru ta’abir yang pandai bermain bahasa itu menerima anugerah diraja.

Dalam realiti kehidupan hari ini, sektor perniagaan adalah bidang paling banyak melakukan salahguna bahasa. Sebuah kedai yang menyediakan perkhidmatan pemasangan peralatan rumah di pinggir Kuala Terengganu meletakkan notis perkhidmatannya, yang antara lain ditulis ‘ray langsir’. Sudah tentu yang dimaksudkannya ialah ‘rel langsir’. Sebuah kedai makan berdekatannya pula mengejakan roti tempayan dengan ‘roti payang’. Barangkali kerana bentuk rotinya panjang macam bentuk perahu tradisional Terengganu iaitu ‘Payang’? Atau mungkin tujuannya untuk menterengganukan sebutan ‘tempayan’ itu. Tetapi, mengapa pula roti itu tidak diejakan ‘ghoti’?

Sikap suka mencedok istilah asing juga turut memberikan implikasi pencemaran bahasa. Satu contoh ketara ialah mengambil mudah penggunaan istilah ‘expo’ untuk sesuatu pesta beli-belah. Sedangkan ‘expo’ bermaksud pameran barangan atau produk terbaru, sama ada untuk jualan, tempahan atau seumpamanya. Menghimpunkan beberapa pemborong atau peniaga bagi menjual barangan keperluan harian seperti pakaian, peralatan plastik, pinggan-mangkuk, permainan kanak-kanak, peralatan elektrik dan seumpamanya adalah terlalu jauh untuk dinamakan ‘expo’.

Malah, ia lebih cocok dinamakan karnival beli-belah atau sebagainya. Mungkin pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab meluluskan permohonan permit jualan mereka boleh bekerjasama dan mengambil sikap lebih prihatin tentang penggunaan istilah ini. Sebuah bank komersil di tengah bandar Kuala Terengganu pula menggantungkan pemidang di pintu masuknya berbunyi, ‘Kami menyediakan bayaran bil setempat untuk bil-bil berikut ......’ Secara luaran, maksud yang mudah difahami daripada ayat itu ialah bank berkenaan menyediakan kaunter bagi urusan pembayaran bil-bil semasa yang dimaksudkan.

Tetapi jangan lupa, perkataan ‘menyediakan bayaran’ itu sebetulnya bermaksud bank berkenaan ‘tolong bayar bil-bil itu untuk orang ramai’. Mungkin pihak pengurusan bank berkenaan boleh menjelaskan kekeliruan itu. Segala yang disebutkan di atas hanyalah contoh rawak. Banyak lagi kes seumpama itu yang boleh diutarakan. Apa yang penting, pujangga Melayu ada berpesan, ‘Yang Kelok Itu Kendi, Yang Merah Itu Saga. Yang Elok Itu Budi, Yang Indah Itu Bahasa’. Untuk itu, perelokkanlah budi, perindahkanlah bahasa. Cintailah bahasa kita dan gunakanlah bahasa yang betul.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com