Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


AS Koboi Dunia

Oleh SUBKY ABDUL LATIF

GEORGE Bush menemui masyarakat Islam negaranya di masjid di Washington. Tony Blair pula menjemput pemimpin-pemimpin Islam ke pejabat kediamannya di No.10, Downing Street, London.

Mereka menenangkan rakyat Muslimnya supaya tidak bimbang dengan ancaman kebencian majoriti bukan Islam kerana kedua-dua negara itu menghormati Islam dan Islam adalah agama keamanan dan menentang keganasan. Bush menghubungi sendiri pemimpin negara Islam atau menghantar orang menemui ketua-ketua kerajaan negara umat Islam bagi meyakinkan bahawa Amerika Syarikat (AS) hanya mahu memerangi pengganas dan bukan memerangi orang Islam.

Tetapi memerangi orang Islam yang menghabiskan usianya untuk berjihad yang mengikut kaca mata barat adalah pengganas, maka ia tidak memungkinkan orang Islam yang sejati menerima dalih Bush dan Blair itu. Orang barat yang menjadi murid setia para orientalis telah lama memerangi jihad hingga orang Islam percaya bahawa jihad adalah jahat. Usaha awal mereka ialah menonjolkan seorang anak pegawai tempatan penjajahan British di India menjadi nabi selepas berakhirnya Nabi akhir zaman bernama Ghulam Ahmad Qadiani.

Antara dakyah Ghulam Ahmad Qadiani ialah bahawa jihad tidak wajib. Pada hal jihad adalah satu tuntutan dalam Islam. Kalaulah tidak kerana jihad itu suatu yang belum tentu dapat ditunaikan oleh setiap orang Islam, maka Rasulullah s.a.w. akan jadi jihad sebagai rukun Islam yang keenam. Malah Syiah menerimanya sebagai satu dari rukun Islam. Walaupun Qadiani disepakati tidak diakui Islam, tetapi terlalu ramai orang Islam malu atau gelisah atau runsing kalau dilibatkan dengan jihad. Sedang jihad itu suatu yang suci dan mulia.

Orang-orang yang tidak sedar dirinya telah terpengaruh dengan ciri-ciri ajaran Qadiani tidak senang melihat anak-anak orang Islam belajar agama dari kecil dan sejak usia itu belajar nasyid jihad. Mereka takut budak-budak itu apabila besar jadi pengganas. Orang barat, Bush contohnya, mudah menyangka orang Islam ganas dan mudah jadi pengganas.

Setengah orang Islam pula mudah menyangka orang Islam yang pergi berjihad, seperti ke Afghanistan misalnya, mudah jadi militan. Sekarang mereka dibangsakan dengan pengganas. Pada hari-hari awal selepas rempuhan terhadap Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon, pembesar-pembesar AS tersasul mengatakan bahawa ia adalah angkara Islam, tetapi setelah ada reaksi spontan dari seluruh dunia, maka barulah Bush setelah diziarahi oleh Presiden Chirac, meredakan suasana bahawa mereka tidak menuding jari kepada orang Islam.

Jika Osama bin Laden dan Taliban dijadikan sasaran, maka mereka berhadapan dengan seluruh umat Islam. Rasional dalam pembetulan itu ialah kedua-duanya diburu kerana mereka dikatakan pengganas dan melindungi pengganas. Ada dan ramai orang Islam senang dan setuju untuk bersama AS memerangi pengganas hingga yakin bahawa Osama dan Taliban adalah pengganas. Presiden Pakistan, Musharaf dan kerajaan Turki antaranya bersetuju untuk memberi semua bantuan untuk memerangi Osama dan Taliban.

Ini menjadikan Pakistan seolah-olah kembali semula ke alam CENTO, sebuah pertubuhan tentera serantau seperti NATO yang Pakistan dan Iraq menjadi anggotanya. Sama seperti Turki yang ada dalam Nato. Musharaf pernah membesar di Turki dan dikatakan peminat Kamal Ataturk. Apakah latar belakang itu boleh disabitkan bahawa rampasan kuasanya di Pakistan itu didalangi oleh AS?

AS pernah berbaik dengan Saddam untuk menghampiri sempadan Iran. Peluang itu terputus dengan perang Teluk. AS perlukan sebuah negara yang dekat dengan Iran dan Afghanistan. Dengan Pakistan dapat dimenangi, maka ia memudahkan AS dekat dengan Iran dan Afghanistan. Justeru itu Musharaf adalah projek AS yang memakan waktu yang lama.

Bush tua pernah menelefon Dr. Mahathir untuk meminta Malaysia menyokong usul Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyerang Iraq. Bush muda pula menelefonnya juga. Mungkin kali ini Bush tidak mendapat sokongannya, tetapi memadai baginya kalau sanggup tidak berbuat apa-apa.

Gagal meraih sokongan

Seluruh dunia termasuk Dr. Mahathir tidak setuju dengan pencerobohan ke atas Afghanistan itu. Tetapi Bush memang sudah membuat persiapan lama. Apakah langkah Malaysia menahan orang yang berjuang di Afghanistan tiga bulan sebelumnya seolah-olah sudah mendapat isyarat? Apakah mesej Lee Kuan Yew tentang tidak mungkin bekerjasama dengan Malaysia yang dipimpin oleh PAS juga satu isyarat kepada DAP untuk meninggalkan BA kerana ia tidak serba salah apabila AS dan sekutunya hendak memerangi pengganas yang PAS boleh dikategorikan dalam gelombang itu?

Samalah kita lihat nanti.

Sekarang AS dan sekutunya sudahpun menceroboh Afghanistan dengan harapan dunia Islam berdiam diri. Bush tidak ada pilihan selain menyerang kerana dia sudah menolak perundingan dengan Taliban. Taliban tidak ada pilihan melainkan diserang kerana ia menolak menyerahkan Osma bin Laden yang belum dibuktikan oleh mahkamah penjadi perancang merempuh Pentagon dan Pusat Dagangan Dunia. Bush terpaksa bertegas kerana sesuai dengan rancangan lama. Taliban bertegas kerana Allah.

Afghanistan berhadapan dengan serangan psikologi jika tidak diserang. Bukan mereka mahu diserang, tetapi bertangguh-tangguh menyebabkan Taliban tidak dapat bekerja. Mereka tidak menunggu serangan Soviet dulu. Tiba-tiba mereka tahu negara mereka diceroboh. Maka mereka pun tiada pilihan melainkan melancarkan jihad. Mereka terbukti menang dan Soviet berkubur.

Tetapi AS memberi amaran hampir sebulan. Ini bererti Taliban tidak boleh buat kerja lain kerana mereka terpaksa berjaga-jaga menunggu bila akan diserang. Jika serangan disegerakan, maka segera mereka syahid atau menang. Tetapi jika menunggu dalam keadaan makanan dikepung dan lain-lain, ia menyebabkan mereka mati kerana kebuluran atau mati juga tetapi lambat.

Langkah AS menceroboh itu tidak betul dan tidak akan menyelesaikan isu keganasan global. Ia mesti dikutuk. Tetapi bagi Afghanistan yang telah ditetapkan mesti diserang, serangan sekarang dalam keadaan segar adalah lebih baik dari serangan yang lewat dan terkepung. Jika mati adalah janji, adalah lebih baik mati cepat dan syahid, dari mati lapar. Mati lambat lebih menyiksakan.

Laporan majalah Time menyatakan seluruh orang Islam dari Australia hingga ke Casablanca ceria AS diserang. Hari ini mereka pilu kerana AS menyerang Afghanistan. Jika betul mereka gembira, bukan bererti mereka benci kepada AS tetapi mereka mahu mengajar AS supaya AS lebih bertanggungjawab dan tidak memihak kepada kezaliman. Orang Islam suka AS stabil dan kuat seperti sekarang. Sebabnya ialah AS kaya dan menguasai teknologi. Orang Islam mahukan pelaburan dari AS dan mahukan teknologi dari AS.

Kemajuan AS itu boleh dimanfaatkan untuk memajukan negara-negara Islam dan orang Islam mahu menimba lebih banyak pengetahuan dari universiti-universiti di AS. Jika AS boleh bersikap adil dan tidak menjadi pengganas atau koboi dunia, maka dunia akan lebih bahagia dengan sebuah AS yang bertukar menjadi negara kebajikan. Tetapi kerana AS mahu menguasai PBB dan semua bangsa di dunia tunduk kepadanya seperti sekarang, menindas orang-orang yang lemah, maka AS dikelilinngi oleh musuh dan mewujudkan sebuah dunia yang saling bermusuh.

Justeru itu dunia mencari dan menuntut keadilan. AS menghalang hak dunia mendapatkan keadilan. Ia marah kepada Osama kerana Osama dikatakan membentuk al-Qaeda iaitu rangkaian yang peranannya dan cara bertindaknya dapat menyaingi CIA atau dulunya KGB. Osama bin Ladin dan Taliban tidak begitu menakjubkan. AS sebagai kuasa besar tidak padan melawan Osama seorang diri. Tetapi kerana yang berperang sekarang adalah antara CIA dan al-Qaeda, maka Bush terpaksa menzahirkan dia berperang dengan Osma. Bush mesti bekerja lebih keras kerana orang Islam tidak dapat diyakinkan serangan itu bukan terhadap Islam.

..........................................
Warta Darul Iman






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 22 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com