Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


‘Virtual expo’ dalam gerbang Terengganu

Oleh MOHD. SHUHAIMI EMBONG

REVOLUSI Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah banyak membawa perubahan kepada dunia hari ini termasuklah dunia perniagaan dengan adanya teknologi internet. E-dagang sedang menjadi perbincangan dalam masyarakat perniagaan di Terengganu sekarang ini khususnya selepas mendapat sambutan yang menggalakkan di Amerika Syarikat. Penggunaan internet melalui e-dagang telah menambahkan penjualan barangan dengan begitu menggalak sekali.

Mengikut unjuran yang dibuat oleh International Data Corporation, lebih kurang 46 juta rakyat Amerika akan membeli barangan bernilai AS$16 bilion pada tahun 2001 dan bertambah kepada AS$54 bilion pada tahun 2002. Dalam lawatan pedagangan Terengganu ke Amerika Syarikat yang diketuai oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, pada hujung bulan Ogos dan awal September, 2001 telah berjaya mempromosikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang kaya dengan berbagai sumber untuk membantu pengusaha-pengusaha tempatan memasarkan produk-produk mereka ke dunia antarabangsa.

Selaras dengan hasrat kerajaan, TOP IT Industries sebuah syarikat IT yang memandang jauh ke hadapan telah membangunkan ‘Terengganu Islamic Trade & Info-structure network’ atau ringkasnya TITInet, sebuah gerbang (portal) berkonsepkan ‘virtual expo’ untuk produk-produk atau syarikat-syarikat agensi-agensi yang ada kaitan dengan Terengganu berasaskan jaringan rangkaian maklumat kerana yakin dan percaya bahawa perniagaan melalui internet khususnya e-dagang boleh memberikan pulangan yang besar kepada rakyat negeri Terengganu di masa hadapan.

Dalam bulan pertama selepas ia dilancarkan oleh Menteri Besar pada 2 Mei lalu, jumlah capaiannya adalah 72,835 orang dan bulan berikutnya 61,074 orang. Sekarang, purata capaian adalah sekitar 65,000 hingga 70,000 orang sebulan. Sambutan hebat yang diberikan oleh pengguna internet ini tidak seharusnya dilepaskan oleh masyarakat perniagaan di negeri ini dengan bekerjasama dengan Terengganu Trading House (TTH) dan TOP IT untuk memahami konsep e-dagang bagi memperluaskan perniagaan mereka ke pentas antarabangsa.

Sehingga sekarang, lebih 250 buah syarikat, jabatan kerajaan dan lain-lain organisasi yang berkaitan dengan negeri ini telah dimasukkan atau dipautkan ke dalam portal (gerbang) ini. Kandungan portal ini dibahagikan kepada beberapa kategori umum untuk memudahkan pengguna membuat pencarian maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya termasuk Pertanian dan Perikanan, Seni dan Kebudayaan, Ekonomi dan Perniagaan, Pendidikan dan Latihan, Pelancongan dan Perhotelan, Sukan dan Rekreasi dan lain-lain.

Dalam bidang pendidikan umpamanya, masyarakat boleh mencari pusat-pusat pendidikan yang ada di Terengganu untuk melanjutkan pelajaran mereka seperti KUSTEM, KUSZA, TATI dan sebagainya. Begitu juga dalam bidang perhotelan, pelancong-pelancong boleh memilih banyak hotel-hotel yang ada dalam rangkaian Terengganu Portal ini seperti Cheneh Recreation Resort (CRR), Primula Parkroyal, Park Inn dan lain-lain.

Begitulah untuk sektor-sektor maritim, pembuat-pembuat kapal seperti MSET, K-Marine dan lain boleh mengiklankan kapal-kapal mereka untuk tempahan. Manakala Kemaman Supply Base (KSB) pula boleh membuat promosi pelabuhan yang dikendalikannya. Sebenarnya masih banyak lagi laman-laman web yang perlu dibangunkan atau dipautkan ke dalam portal ini bagi memenuhi objektifnya memperkenalkan negeri Terengganu kepada masyarakat Malaysia khususnya dan dunia amnya.

Di samping maklumat itu, portal ini juga menyediakan e-mail percuma, ruang ‘chat’, enjin pencarian, berita dan iklan, forum, tukaran wang asing, cuaca dan bahan-bahan rujukan utama seperti peta jalan dan sebagainya. Banyak syarikat atau agensi yang telah mempunyai laman web mereka sendiri tetapi masih belum menyedari kehadiran portal ini yang berkonsepkan ‘one stop centre’ bagi pencarian maklumat negeri Terengganu.

Untuk mempastikan sama ada organisasi anda telah berada di dalam portal Terengganu atau tidak, boleh disemak melalui alamat berikut; http://www.titi.net.my/ Jika organisasi anda tidak dipautkan lagi ke portal ini, anda boleh melakukannya sendiri ataupun berhubung dengan TOP IT Industries ditalian 09-6236623 untuk membantu anda.

Begitu juga bagi mana-mana organisasi yang memerlukan kepakaran TOP IT untuk membantu mereka mempromosikan produk-produk mereka di ‘alam maya’ secara interaktif dan berkesan perlu segera berhubung dengan kami ketika promosi iklan sedang dilakukan sehingga hujung tahun ini.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 28 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com