Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Isu negara Islam - PAS terperangkap?

Oleh : Aman Rais

Negara Islam yang sekular - itulah Malaysia hari ini. Ia adalah negara Islam yang membenarkan arak, judi dan rumah pelacuran tumbuh melata. Bila Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan dengan rasminya status itu, hampir tiada orang bukan Islam menentangnya!

Sebaliknya Presiden Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yaik, dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, serta pemimpin veteran DAP, Dr Chen Man Hin, menerima dan menyokong perisytiharan Mahathir itu.

Sebelum ini istilah negara Islam merupakan satu yang amat menakutkan orang bukan Islam terutamanya para permimpin MCA, Gerakan dan DAP. Bila sahaja PAS menyebut tentangnya, ia dianggap sebagai suatu yang fanatik, kolot dan menentang kemajuan serta kejam kerana banyak kaki dan tangan akan dipotong.

Bila Presiden Umno menyebut dan mengisytiharkannya, semua pihak menerimanya dengan hati terbuka. Mengapa? Di mana silapnya PAS? Apa salahnya konsep negara Islam yang ditaja oleh PAS?

Hudud jadi momokan

Inilah yang perlu difikirkan oleh para penyokong dan pemimpin PAS. Mengapa mereka gagal menyakinkan rakan seperjuangan mereka, DAP, mengenai konsep negara Islam yang hendak mereka laksanakan? Adakah kerana terlalu menekankan pada hukum hudud maka konsep negara Islam PAS menjadi taboo kepada DAP dan orang bukan Islam lain atau mungkin salah PAS sendiri kerana gagal menangkis propaganda Umno yang memberi gambaran yang mengeliru dan menakutkan?

Jika penolakan orang bukan Islam terhadap konsep negara Islam PAS itu disebabkan oleh cadangan parti itu untuk melaksanakan hukum hudud, maka PAS perlu memberi penjelasan sejelas-jelasnya mengenai pelaksanaan hukum itu.

Jika PAS gagal memberikan pemahaman kepada orang bukan Islam mengenai undang-undang Islam ini, sampai bila-bila pun hudud akan menjadi momokan untuk menjauhkan orang bukan Islam dari menyokong dan mengundi PAS.

Propaganda Umno melalui media massa berhubung hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS cukup licik dan berkesan. Ia telah berjaya menanam tanggapan bahawa negara Islam ialah hukum hudud. Tidak cukup dengan itu, hudud digambarkan sebagai kejam dan tidak adil sedangkan sebenarnya ia adalah sebaliknya.

Memang ketara sekali PAS gagal dalam aspek ini. Program penerangan konsep negara Islamnya tidak berkesan malahan boleh dikatakan tiada langsung. Sepatutnya waktu senggang selepas pilihanraya 1999 digunakan untuk menerangkan konsep negara Islam PAS itu; malangnya parti Islam itu tersilap priority dan strateginya.

Oleh itu tidak hairanlah kalau semua orang bukan Islam termasuk Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Dr Chen Man Hin yang biasa duduk semeja dengan Datuk Fadzil Noor dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak memahami konsep negara Islam PAS.

Sahut cabaran Mahathir

Sudah sampai masanya bagi PAS menyahut cabaran Mahathir untuk menjelaskan prinsip negara Islamnya. Rangkalah satu program menyeluruh yang lengkap dengan dokumen.

Tidak perlu menunggu hingga sudah berkuasa baru hendak menjelaskan konsep itu kerana orang bukan Melayu tidak akan memangkah bulan purnama jika mereka masih keliru.

PAS tidak perlu bimbang lagi untuk bercakap selantang-lantangnya kerana sekarang semua orang bercakap mengenainya. Setelah Mahathir membuka mulutnya, bukan sahaja orang Islam membicarakannya malahan bukan Islam semakin terbuka menerimanya.

Parti Islam ini harus memanfaatkan peluang yang telah dibuka oleh Mahathir ini. Buktikan secara bertulis bahawa konsep negara Islam PAS adalah suatu yang toleran, tidak anti-demokrasi dan tidak menafikan hak asasi manusia terutamanya yang berhubung dengan budaya dan cara hidup orang bukan Islam.

Mahathir dan Umno telah menyerang PAS dengan mengaitkannya dengan Taliban dan tindakan-tindakan militan hingga parti ini terperangkap di satu sudut yang sukar.

Oleh itu PAS perlu bangkit mempertahankan diri dan menyerang semula - dengan menggunakan isu negara Islam ini bagi membersihkan kekeliruan terhadap perjuangannya dan Islam.

Umno telah mengemukakan Malaysia sebagai model negara Islamnya. Oleh itu, PAS harus mengemukakan satu model alternatif untuk dinilai oleh orang bukan Islam. Hanya dengan cara ini PAS akan dianggap berani dan pragmatik.

Tunggu dan saksikanlah perangkap siapa yang bingkas kali ini.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 22 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com