Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Selepas kejadian di WTC: Sokongan yang mengejutkan terhadap Islam

Oleh Solomon Moore,
Wartawan majalah Times.
(HarakahDaily)

Email yang diterima dipenuhi dengan kemarahan: "Pulang ke tanahair kamu yang dipenuhi oleh pasir dan najis khinzir, dan bawa pulang kebencian bersamamu!"

Islamicity.com, sebuah laman web yang diuruskan di bandar Culver City, telah menerima banyak email sepertinya selepas serangan yang berlaku Sept 11. Mohammed Abdul Aleem, ketua eksekutif laman web tersebut berpendapat email-email bernada kebencian yang diterima adalah disebabkan oleh kurangnya pendedahan dan pengetahuan tentang Islam dan bukan disebabkan oleh kemarahan, lalu membalas email-email tersebut dengan ayat-ayat al-Quran serta hadis.

Pada keesokan harinya, nada marah penulis email yang diterimanya itu bertukar kepada perasaan malu. Kata penulis email tersebut: "Saya ingin meminta maaf kerana menghantar email bernada kebencian tempohari. Saya berasa sedih ketika itu setelah melihat apa yang berlaku. Adik saya, yang bekerja di Pentagon telah kehilangan beberapa orang kawannya... Saya berterimakasih atas jawapan informatif yang dihantar di dalam email saudara kepada saya.. dan sekarang saya telah menyedari kesilapan saya."

Cerita mengenai serangan-serangan ke atas rakyat berketurunan Arab ada didengari, namun umat Islam di Selatan California mengatakan mereka terkejut kerana dilayan dengan begitu baik oleh rakyat setempat.

Terdapat seorang wanita yang membawa bunga ros kepada rakan sekerjanya yang berketurunan Arab. Malah ada seorang mekanik kereta yang memberitahu pelanggannya yang berketurunan Pakistan bahawa "Tidak mengapa" untuk mempunyai nama Mohammed.

Kemarahan yang meluap-luap yang mulanya dialami oleh ramai rakyat Amerika ke atas Islam dan negara Islam kini semakin berkurangan dan semakin terarah ke Osama bin Laden dan para pengganas.

Ramai rakyat Amerika juga ingin mengetahui tentang ugama yang terulung serta tamadun yang terawal iaitu Islam. Kedai-kedai buku telah habis menjual stok Al-Quran mereka. Kuliah-kuliah di universiti serta kelas-kelas lain tentang negara Timur Tengah dan Islam dihadiri oleh ramai orang.

Para ilmuan dari negara-negara timur tengah telah dijemput untuk hadir di bermacam-macam rancangan televisyen. Dan setiap hari, ramai rakyat berketurunan Arab, Islam ataupun tidak, ditanya berbagai-bagai soalan tentang Islam oleh jiran-jiran, rakan sekerja dan orang yang mereka tidak kenali.

"Mereka bertanya dengan baik," kata Mitra Mikaili, seorang rakyat Arab Amerika serta berugama Bahai'. "Mereka berkata 'Kamu dari negara itu. Apakah pandangan anda tentang ini semua?' Mereka bertanya tentang agama Islam serta cara kehidupannya."

Rakyat Amerika berketurunan Arab juga banyak menerima sokongan yang lebih ekspresif. Di dalam semua rancangan radio di dalam Radio Iran KIRN-AM (670), seorang pemanggil memberitahu bahawa penjaga bangunan Wilshire Boulevardnya turut menunjukkan simpati.

"Sejak serangan itu berlaku, dia memeluk saya setiap kali saya pulang ke rumah," kata beliau.

Seorang ahli psikologi dari Westwood, Nehzat Farnoody memberitahu bahawa salah seorang rakan sekerjanya memberinya bunga dan berkata, "Semuanya masih seperti dulu."

Perasaan belas kasihan yang ditunjukkan menjadi kejutan kepada ramai Muslim dan rakyat berketurunan Arab yang menyangkakan mereka akan menerima layanan buruk akibat serangan pada Sept 11.

Sesetengah umat Islam di Selatan California berpendapat, sokongan terbuka dari ahli-ahli politik seperti Presiden Bush yang membaca sedutan ayat-ayat Al-Quran yang menyeru keamanan telah banyak mententeramkan keadaan.

"Kami amat terharu," kata Mahmoud Abdel-Baset, pengarah bahagian agama, Pusat Islam Selatan California. Sejak serangan itu, pusat Islam yang bertempat di Los Angeles telah menerima banyak dif-dif terhormat seperti Gabenor Gray Davis, Ketua Polis Los Angeles County, Lee Baca dan Datuk Bandar Los Angeles, K.Hahn.

Seorang lelaki beragama Kristian baru-baru ini telah datang ke masjid pusat Islam tersebut dengan perasaan marah ketika pusat itu mahu ditutup.

"Dia memberitahu dia telah kehilangan kawan di dalam serangan di World Trade Centre," kata Abdel-Baset. "Dia memberitahu kami, 'Saya ingin bersemuka dengan seorang yang berugama Islam. Saya ingin mengatasi kemarahan saya kepada orang-orang Islam dan membezakannya dengan orang yang telah melakukan pengeboman itu."

"Itu adalah pertama kali dia memasuki masjid, tapi saya tak berkata apa-apa kepadanya. Dia juga tidak bertanya apa-apa soalan. Dia hanya ingin bertemu dan berbincang dengan seorang yang benar-benar Muslim. Dia menangis dia bahu saya. Saya pun menangis juga."

Sarah Eltantawi, seorang jurucakap Dewan Hal-Ehwal Islam Selatan California berkata bahawa organisasi beliau telah menerima banyak jemputan untuk memberi syarahan serta permintaan terhadap bahan-bahan bacaan.

"Saya seorang yang sukar mempercayai" kata beliau. "Tapi saya amat bersyukur atas keinginan serta keikhlasan orang-orang yang ingin mengenali Islam dengan lebih dekat."

Sarah juga memberitahu bahawa sokongan yang diterima oleh umat Islam adalah sesuatu yang luar biasa ketika beliau membandingkannya dengan layanan yang diterimanya sewaktu perang Teluk hampir 10 tahun dahulu.

"Orang-orang ini dahulu memakai baju T yang mengutuk Iraq," kata beliau. "Mereka juga menggelar saya pembenci Yahudi. Keadaan sangat teruk ketika itu. Ia sangat berbeza dengan sekarang."

"Saya berpendapat orang ramai tengah cuba mendapatkan penjelasan mengenai apa yang berlaku dan mendalami ilmu tentang Islam adalah sebahagian dari caranya."

Katherine Koberg, editor bahagian agama syarikat buku online Amazon.com berkata, syarikatnya sedang menjual Al-Quran dengan jumlah yang besar dan tiga edisi Al-Quran telah berada di dalam kategori 'best-seller' pada suatu ketika.

Doug Dutton, tuanpunya Kedai Buku Dutton Brentwood berkata, ramai orang membeli Al-Quran sehingga stoknya hampir kehabisan.

"Selepas melihat kejadian-kejadian sebelum ini seperti Perang Teluk dan Iran Contra.. buku-buku tentang keadaan semasa serta sejarah memang dijual dengan banyak," kata Dutton. "Kali ini berbeza kerana mereka ingin mengetahui lebih banyak tentang apa yang ditulis 1500 tahun dahulu dan tidak hanya membacanya melalui surat-khabar."

Richard Hrair Dekmejian, seorang profesor di Universiti Southern California dalam bidang politik negara timur tengah berkata, sifat ingin tahu yang timbul adalah kesan serangan pada Sept 11 dan juga kerana kurangnya pengetahuan am tentang agama di Amerika.

"Kita tidak mempunyai pandangan yang lengkap tentang dunia." kata beliau. "Sekarang, dengan tiba-tiba semua orang ingin tahu. Saya disapa setiap hari kerana saya telah bercakap tentangnya di televisyen.. mereka bertanya, 'Adakah Islam agama yang ganas? Mengapakah pengganas tersebut melakukannya?' "






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 12 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com