Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Hegemoni AS bunuh jutaan warga dunia – Dr Chandra

Oleh : WARTAWAN DETIKDAILY

PETALING JAYA: Walaupun menerima simpati dari masyarakat dunia, ramai juga yang kesal dengan sikap angkuh Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sebuah kuasa besar yang telah menyebabkan kematian jutaan warga dunia, kata Presiden International Movement for a Just World (JUST) Dr Chandra Muzaffar.

Chandra menegaskan demikian dalam surat beliau yang ditujukan kepada Presiden AS George W Bush berikutan serangan ke atas AS 11 September lalu. Surat itu yang turut disiarkan dalam akhbar Berita Keadilan 1 Oktober mengingatkan AS supaya menilai semula tindakan negara itu di peringkat antarabangsa yang telah menjadikan jutaan warga dunia sebagai mangsa.

Chandra menjelaskan, hegemoni AS yang bermula pada 6 Ogos 1945 dengan pengeboman bandar Hiroshima dan Nagasaki di Jepun sehingga kepada pelbagai tindakan zalimnya di Timur Tengah hari ini telah menyebabkan negara kuasa tunggal itu dibenci oleh ramai pihak.

“Dianggarkan 3 juta manusia menemui ajal di Vietnam dan Indochina supaya AS dapat mengekalkan kuasa hegemoniknya. Dan di Panama, El Salvador, Nicaragua, Chile, malah seluruh Amerika Latin, dari tahun 50an hingga awal 80an, puluhan ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak telah terhapus akibat kerakusan sebuah kuasa besar meneruskan kawalan dan dominasi melalui operasi rahsia, aktiviti pengintipan, skuad pembunuh, cengkaman ekonomi dan aktiviti politik yang subversif,” jelas Chandra.

Beliau turut mengingatkan Bush nasihat dari agama Kristian yang mengatakan “apa yang disemai, itulah yang akan dituai,” dan kata-kata dari Konfusian yang menjelaskan: “Jangan lakukan terhadap orang lain apa yang kita tidak mahu dilakukan terhadap kita.”

Tambah beliau lagi, AS harus tidak lagi menjadi sebuah hegemon yang “pengaruhnya sampai kepada setiap ceruk planet ini,” kerana kawalan hegemonik AS merupakan salah satu punca ketidakadilan global.

Chandra menjelaskan, usaha ini boleh dimulakan dengan membina sebuah Amerika baru yang tidak mendominasi pihak lain dan dipandu oleh prinsip keadilan dan bukan dengan kepentingan kuasa dalam hubungannya dengan negara lain.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com