Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


DAP menjadi semakin tidak relevan

Oleh : JONSON CHONG

Baru-baru ini seorang kawan menunjukkan kepada saya sebuah rencana daripada suratkhabar China, yang saya tidak berapa tahu untuk membacanya. Artikel itu melaporkan komen Setiausaha Pemuda DAP Hew Kuan Yaw mengenai penarikan diri DAP dari Barisan Alternatif. Kemunculannya atau apa yang diperkatakannya sedikitpun tidak mengejutkan saya kerana saya mengetahui akan penarikan diri DAP dari BA itu.

Bagaimanapun saya agak terkejut dan kecewa dengan komen yang dibuat oleh Hew, yang sering menggambarkan dirinya sebagai seorang intelektual – dengan mengutarakan mengenai konsep sosialisme-demokratik setiap kali mempunyai peluang.

Saya berasa sangat kesal kerana saya menganggap dia sebagai rakan yang sering berkongsi pandangan politik yang sama. Pertamanya, saya rasa adalah sangat tidak bijak bagi DAP untuk menolak hasrat PAS yang sekian lama ingin membentuk negara Islam, sebagai alasan untuk parti itu keluar dari BA.

Jika Chew yang dilihat pakar dalam teori-teori politik, jadi dia sepatutnya tahu bahawa politik juga berkongsi objektif yang sama dengan agama, tidak kira sama ada agama Kristian, Islam atau Budha. Selain itu, jika seseorang mengkaji agama Islam, adalah jelas bahawa salah satu agenda utama agama itu, adalah juga untuk mencapai keadilan sosial untuk semua, sama ada untuk orang Islam dan untuk bukan Islam.

Pada saya, idea berkenaan tidaklah asing dengan pemikiran sosialisme-demokratik.

Memilih masa bertindak adalah segala-galanya

Sebagaimana orang sering berkata, dalam politik, menentukan atau memilih masa bertindak adalah segala-galanya. Jadi, jika Hew tetap berpendapat bahawa penarikan diri DAP dari BA adalah semata-mata kebetulan, maka saya rasa bolehkah kita terima alasan itu.

Namun, biar apapun diri saya, sama ada seorang yang idealistik atau naif, saya masih ragu akan apa kaitannya Islam dan keganasan dengan politik Malaysia. Pastinya dalam konteks nasional, cabaran yang diberikan oleh PAS terhadap hegemoni atau penguasaan politik Umno di kawasan Melayu adalah besar dan tidak boleh dinafikan.

Apa yang berlaku ini nampaknya lebih memberikan kelebihan kepada BN dalam pilihan raya di Sarawak, yang sebelum ini dilihat melalui jalan sukar untuk mengekalkan kemenangan mudah.

Biarpun sebagai peguam, saya mesti mengatakan bahawa terdapat bukti circumstantial yang menunjukkan bahawa DAP telah menemui peluang untuk mengeksploitasi ketakutan orang ramai terhadap Islam dan keganasan, untuk meningkatkan sokongan mereka dalam pilihan raya Sarawak.

Namun oleh kerana saya tidak mahu menerima risiko disaman di atas kesalahan memfitnah, maka saya tidak mahu melanjutkan perbincangan pemikiran saya dalam rencana ini.

Pada peringkat awal lagi, saya agak tidak bersetuju dengan idea perbincangan dua hala antara DAP dan PAS mengenai negara Islam. Sebagai parti komponen dalam Barisan Alternatif, kita sepatutnya mendekati isu negara Islam ini dengan semangat BA. Malah sikap membincangkan perkara ini secara umum dan terbuka, menjadikan kebenaran sering disalahtafsirkan.

Dengan merasakan bahawa isu ini adalah isu yang sensitif dan kontroversi, sama ada dari aspek politik dan agama, DAP dan PAS sepatutnya mampu menangani isu dengan berhati-hati. Barangkali mereka perlu mengupas perkara ini di peringkat dalaman sebelum “memberi peluru kepada BN untuk menembak kita di kaki”.

Biar apapun, jika kita serius dan ikhlas mengenai matlamat perjuangan yang sama – ke arah menegakkan masyarakat adil, maka kita patut menjadikan matlamat yang sama itu sebagai pertimbangan utama dalam apa saja tindakan dan perancangan, bukan matlamat peribadi kita. Malah sepatutnya PAS dan DAP perlu melihat isu ini dari kacamata lebih luas, dan tidak tertipu dengan manipulasi politik.

Sangat tidak adil

Secara peribadi, adalah sangat tidak adil untuk Hew mengatakan bahawa PRM dan KeADILan tidak membuat sebarang pendirian dalam isu negara Islam. Pertamanya, pemimpin kedua-dua parti Dr. Wan Azizah dan Dr Syed Husin Ali telahpun menandatangani pernyataan bersama – menjelaskan pendirian parti berkenaan dalam isu tersebut.

Dalam perkara yang sangat rumit begini, kita mesti sentiasa berhati-hati supaya tidak secara sewenang-wenangnya terikut-ikut dengan kata-kata orang dan menghiris hati kawan-kawan dan orang lain. Malah, apabila ia berkaitan dengan politik dan agama, ramai orang termasuk diri saya sendiri lebih bersikap agak emosional dan mengeluarkan kenyataan yang salah. Bagaimanapun saya sering berusaha untuk bersikap rasional dan menghargai kebenaran dalam keadaan begitu.

Dalam keadaan masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai orientasi, kita perlu menjadikan pemikiran dan hati kita sentiasa terbuka, menghargai perasaan orang lain yang mempunyai kepercayaan dan keyakinan tertentu. Jika seseorang memilih untuk melakukan sesuatu yang dilihat asing dan tidak sama dengan nilai masyarakat umum, kita perlu menghormati tindakan itu, dan jika mahu, kita boleh berdoa kepada Tuhan agar merubah orang itu kepada kebaikan.

Adalah tidak adil untuk kita sewenang-wenangnya menghentam orang lain dan memaksa orang lain menerima apa yang kita yakini. Kita perlu sedar bahawa kesemua kita mempunyai pengetahuan, latar belakang dan sikap yang berlainan. Jadi adalah tidak adil jika kita mahu memaksa orang lain menerima keyakinan rohani kita, terutama jika mereka tidak mempunyai pandangan yang sama dengan kita.

Berlawanan dengan harapan Hew dan DAP bahawa parti itu akan menjadi lebih kuat selepas penarikan diri ini, saya percaya bahawa DAP akan lebih cepat dilupakan dalam ingatan rakyat Malaysia.

Biarpun DAP berusaha menggambarkan dirinya sebagai sebuah parti pelbagai kaum, tetapi nampaknya ia masih gagal dalam menjayakan imej itu. Berikutan kegagalan menjayakan imej itulah, menjadi sebab mengapa saya tidak menjadi ahli DAP, sungguhpun saya agak bersetuju dengan dasar perjuangannya.

Bagi saya, sungguhpun DAP memperjuangkan dasar Malaysian Malaysia dan sosialisme-demokratik, saya tidak bersetuju dengan pendiriannya yang sukar menerima kepelbagaian, terutama bersabit agama, budaya dan bangsa.

Malah demokrasi tidaklah berjalan dengan baik dalam parti itu.

Rasa tidak puas hati yang disuarakan oleh Ketua Pemudanya Teng Chang Kim dan penyokongnya terhadap Lim Kit Siang, merupakan contoh terbaik menggambarkan keadaan itu. Inilah juga yang dibuktikan oleh bekas-bekas pemimpin DAP yang lain seperti Fan Yew Teng, Kua Kia Soong, Lee Ban Chen dan Sim Kwang Yang.

Sungguhpun DAP mempunyai masa depan yang cerah, namun dengan apa yang berlaku dalam parti itu kini, saya merasakan bahawa DAP akan menjadi semakin dilupakan dan tidak relevan dalam politik Malaysia. – adaptasi/ terjemahan dari malaysiakini

-------
Jonson Wong adalah pemangku Naib Ketua Pemuda PRM






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com