Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Pengharaman VCD politik jejaskan pengaruh BA?

Oleh : WARTAWAN DETIKDAILY

KUALA LUMPUR: Ceramah-ceramah politik dan khutbah-khutbah agama biasanya bukan jualan terbaik di pasaran video, tetapi ia menjadi target tindakan keras kerajaan di samping bahan pornografi.

Beberapa langkah telah diambil oleh kerajaan berhubung dengan pembuatan dan penjualan video compact discs (VCDs), selaras dengan tindakan keras melarang ceramah umum khususnya yang membabitkan parti-parti pembangkang.

Pertama, video pornografi murah disalahkan kerana berlakunya jenayah seks dan penjualan vcd di tepi jalan yang menjadi tumpuan telah diharamkan.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, penjualan VCD yang mengandungi rekod-rekod ucapan politik oleh pemimpin-pemimpin pembangkang telah diharamkan.

Pemimpin kerajaan BN juga berkata mereka kini memantau dengan serius penjualan VCD ceramah-ceramah agama untuk memastikan ia tidak “mengandungi elemen-elemen yang boleh mewujudkan kekecohan di dalam masyarakat”.

Pengkritik-pengkritik berpendapat tindakan kerajaan terhadap VCD politik dan agama ialah sebahagian daripada motif untuk menghancurkan kebangkitan pembangkang yang dikatakan mampu memberi persaingan sengit dalam pilihan raya akan datang.

Tinjauan mendapati, sebaik saja keputusan pilihan raya 1999 diketahui, aktivis pembangkang tidak memerlukan masa yang lama untuk bingkas bangun melancarkan kempen penerangan kepada rakyat. Ini tentunya merisaukan pemimpin Umno yang sebahagiannya menang tipis kepada calon-calon Barisan Alternatif dalam pilihan raya lalu.

Dr Chandra Muzaffar, Timbalan Presiden KeADILan menerangkan tindakan parti pemerintah itu sebagai cubaan untuk mengawal parti-parti politik.

“Perhimpunan awam dan pengedaran VCD ceramah adalah aspek-aspek penting bagi pembangkang berkomunikasi dengan orang ramai. Ia sebahagian rancangan bersama dan sistematik untuk melemahkan pembangkang,” dia memberitahu AFP.

Agensi berita antarabangsa itu melaporkan, sejak televisyen dan radio kerajaan tidak menyiarkan ceramah-ceramah anti-kerajaan, kumpulan-kumpulan pembangkang telah menggunakan jalan menjual rekod-rekod ucapan mereka supaya mesej mereka tersebar.

Tetapi hakikatnya, memang TV dan radio selama ini tidak pernah memberikan liputan positif dan adil kepada pembangkang. Berita pembangkang kerap diputar-belitkan. Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor pernah meminta agar kerajaan menyiarkan laporan tentang parti itu secara adil, “cukuplah selama 30 minit, walaupun pada jam 3 pagi”. Dan itulah juga yang pernah dipohon oleh bekas Presiden Parti Melayu S46, Tengku Razaleigh Hamzah dahulu.

“Mengharamkan penjualan VCD lucah dan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada penjual dan pengedarnya adalah helah bagi pemerintah menutup agenda politik mereka yang lebih besar,” kata seorang penjual kaset dan VCD agama di Kuala Lumpur.

“Pemerintah sebenarnya mahu bertindak mengharamkan VCD politik pembangkang bagi menyekat komunikasi Barisan Alternatif, khususnya PAS dengan rakyat. Kalau hanya diambil kepada VCD politik, nanti nampak sangat tembelang jaha mereka. Jadi, mereka mulakan dengan VCD lucah. Cuba tengok sendiri sekarang, VCD lucah dan cetak rompak sudah dijual secara berleluasa sekarang,” tambahnya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Chor Chee Heung dilaporkan berkata, beratus-ratus VCD yang disita di Kuala Lumpur mengandungi ucapan-ucapan pembangkang yang menyebarkan penipuan terhadap kerajaan dan memberi ancaman kepada negara.

Dr Chandra pula menambah, banyak video-video Anwar tersedia untuk orang ramai tetapi itu “ialah kerja pasaran bebas dan bukan dibuat oleh KeADILan.”

Ditanya bagaimana mereka bertindakbalas terhadap halangan-halangan itu, Dr Chandra berkata pembangkang akan menggunakan cara baru untuk memastikan jalinan komunikasi terbuka.

“Ekoran halangan dan sekatan ini, kami telah membentuk kumpulan-kumpulan kecil dan mengadakan mesyuarat tertutup. Orang ramai tetap datang. Mereka tidak takut,” katanya.

Sementara itu, PAS berkata parti itu akan terus mengadakan perhimpunan awam sepertimana hak untuk berhimpun tertera di dalam perlembagaan.

Mahfuz Omar, Ahli Parlimen dan Ketua Pemuda PAS memberitahu AFP: “Kami tidak mahu berhadapan dengan polis tapi kami akan patuh kepada perlembagaan.

“Kerajaan berharap untuk mendiamkan pembangkang,” tambahnya.

Aktivis kumpulan hak asasi tempatan, Suaram, Rashid Kang berkata trend terbaru untuk mengawal suara-suara pembangkang adalah merbahaya dan menyalahi hak asasi manusia.

“Demokrasi bukan hanya sekadar mengadakan pilihanraya setiap lima tahun sekali. Kerajaan mesti hentikan gangguan ini.”

Tetapi bagi Khairul Azhar, pegawai penyelidik dengan institusi yang ditaja oleh kerajaan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), beliau membela tindakan kerajaan yang mengharamkan penjualan VCD politik itu.

“Saya tidak fikir kerajaan ada sebarang niat jahat untuk mendiamkan pembangkang, tetapi untuk mencegah individu atau kumpulan tertentu dari memanipulasikan orang ramai melalui penggunaan Islam,” dia memberitahu AFP.

“Saya fikir apa yang kerajaan buat itu betul kerana jika awak tidak mempunyai permit untuk membuat dan menjual vcd atau kaset ia adalah satu kesalahan.

“Jika kaset-kaset itu mengandungi maklumat tentang puasa, itu boleh tapi kebanyakan dari kaset-kaset ini juga mempunyai kandungan yang berhubung dengan politik untuk mempromasikan kehendak mereka.”

Menurut pemerhati, jika BA mahu terus bersaing hebat dengan pemerintah, saluran alternatif untuk bersemuka dengan rakyat mesti dicari segera. Sudahlah ceramah umum diharamkan, pengedaran VCD dilarang, penjualan akhbar-akhbar alternatif disekat, maka ceramah berkelompok harus digerakkan dengan lebih intensif.

“Saya tak percaya dengan kaedah lain,” kata seorang aktivis reformasi yang tidak menjadi ahli-ahli mana-mana parti. “Kita mesti teruskan ceramah walaupun menanggung risiko berat. Saat kemenangan sudah dekat. Apakah kita fikir Mahathir dan BN akan memberi kemenangan mudah buat kita. Jangan harap! Lawan tetap lawan. Sekali berundur, jangan harap peluang keemasan ini akan muncul lagi,” tambahnya dengan nada marah tetapi terpancar rasa kekecewaaan pada raut wajahnya.

“Saya hairan mengapa ramai di antara pemimpin PAS tidak begitu agresif bagi memastikan mereka menang dalam pilihanraya akan datang. Mereka terlalu menurut arahan pemerintah dan polis,” tambahnya.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com