Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Pilihanraya Sarawak Kekalkan Hegemoni BN

Oleh : ABU MUJAHID ABDULLAH AZZAM

Pilihanraya negeri Sarawak telahpun berlangsung dan kita semua maklumi Barisan Nasional seperti yang diramalkan oleh ramai pengkaji politik berjaya mengekalkan hegemoni pengusaannya di Dewan Undangan Negeri berbekalkan kemenangan di enam puluh kerusi DUN berbanding hanya dua sahaja yang terlepas ke tangan pembangkang. BN berjaya meningkatkan kemenangannya kepada 97% penguasaan kerusi DUN berbanding hanya 91% pada pilihanraya tahun 1996.

Bekas Ketua Pembangkang DUN Sarawak, Wong Ho Leng dari DAP yang berjaya menumbangkan calon heavyweight BN (Presiden SUPP ketika itu) pada 1996 juga gagal mengekalkan kerusi Bukit Assek. Ketika mengulas mengenai prestasi DAP, Setiausaha Agongnya, Kerk Kim Hork menyifatkan kerjasama yang lemah di kalangan parti pembangkang dan kempen menakutkan pengundi sebagai punca kekalahannya.

Presiden PAS, Dato’ Fadhil Noor juga turut berkongsi pendapat yang sama bahawa politik ugut BN adalah punca kekalahan pembangkang. PAS buat kali pertamanya bertanding di tiga kerusi dengan menyaksikan seorang calonnya kehilangan wang deposit di kawasan Samariang di mana melibatkan pertandingan sesama rakan iaitu KeADILan.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir dalam mengulas mengenai kejayaan BN yang turut melibatkan peningkatan undi majoriti BN di dua puluh sembilan kawasan menyifatkannya sebagai keputusan rakyat Sarawak menolak budaya politik kasar yang pastinya ditujukan kepada KeADILan dan PAS. Penulis merasakan apa yang disebut politik kasar itu berkemungkinan disebabkan BN sepanjang masa kempen berada dalam keadaan defensif akibat pelbagai dakwaan rasuah, penyelewengan kuasa dan nepotisma kepimpinannya yang dilemparkan pembangkang terutamanya oleh kedua-dua parti yang berpusat di Semenanjung itu.

Selepas ini, pembangkang terutamanya Barisan Alternatif perlu membuat post mortem adakah strategi bertanding secara individu itu berkesan sehingga menyebabkan pertandingan sesama sendiri di lima buah kawasan yang didakwa berpotensi untuk menang. Pertembungan itu adalah kerana sikap mementingkan parti sendiri lebih dari memikirkan nasib pengundi. Pengundi sudah pastilah akan memilih BN dari berpihak kepada pembangkang yang berpecah walaupun mereka memberikan dalih bahawa pertembungan itu seperti pertandingan ‘adik-beradik’.

DAP pula yang membuat keputusan separa mengejut dengan mengambil keputusan keluar dari BA di saat kempen pilihanraya itu adalah dipercayai kerana tidak mahu bersekongkol dengan PAS yang dikaitkan oleh propaganda pilihanraya BN dengan ‘pengganas’ yang meletupkan WTC Amerika Syarikat baru-baru ini. Tetapi adakah DAP memperolehi keputusan yang setanding dengan pencapaiannya pada 1996 ataupun lebih baik lagi apabila keluar dari BA? Ternyata sikap cepat melatah DAP terutamanya ketika polemik konsep negara Islam yang diselewengkan faktanya oleh media dan propaganda BN telah memakan diri sendiri.

Walaupun sudah memasuki abad baru, tetapi politik kita masih berada di tahap statik apabila modal lapuk sekali lagi diulang pada pilihanraya ini. Isu pembangunan yang hanya sesuai di zaman Tun Razak masih mendapat tempat di dalam kempen pilihanraya. Berlakulah perasmian semula pelbagai simbol pembangunan dan pengisytiharan projek-projek raksasa yang bakal dilaksanakan sekiranya dipilih. Sukarlah bagi golongan yang optimis tentang perubahan politik pada 2004 untuk menyaksikannya menjadi kenyataan sekiranya budaya politik pembangunan tidak segera diatasi.

Zaman globalisasi ini menuntut kepada persoalan bagaimana untuk mengisi dan menguruskan pembangunan yang bersifat wajib bagi setiap pemerintah. Dalam erti kata yang lain, pembangunan mestilah seiring dengan urus tadbir negara yang baik, bersih dari sebarang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dan ruang demokrasi yang luas bagi rakyat menyempurnakan konsep amar maa’ruf nahi mungkar demi memajukan negara di tahap yang lebih baik.

Keputusan rakyat Sarawak untuk terus berada di dalam kepompong politik pembangunan agak mengecewakan penulis yang berharap kepada keputusan komposisi kerusi DUN yang bersifat check and balance agar pengurusan pembangunan tadi dapat dikawal selia oleh pembangkang yang kuat. Mungkin penulis terpaksa pula menunggu ianya terhasil pada 2004 nanti ataupun mungkin di tahun 2020.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com