Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Pilihan raya Sarawak saksikan sentimen kedaerahan dieksploit BN hancurkan integrasi nasional

Oleh : DINSMAN, WARTAWAN CABARAN

KUCHING - Barisan Nasional (BN) telah menghancurkan integrasi nasional Malaysia, khasnya antara Sarawak dan Semenanjung, apabila pemimpin-pemimpin tertingginya meniupkan sentimen kedaerahan Sarawak, dengan menggesa rakyat Sarawak supaya menolak parti KeADILan dan PAS atas alasan kedua-duanya adalah parti Semenanjung.

Sebuah papan iklan besar yang dipasang di sebuah bulatan di bandar Kuching menunjukkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abdul Taib Mahmud sedang menendang bola yang merupakan logo parti KeADILan. Bola itu ditendang daripada negeri Sarawak menuju ke Semenanjung.

Abdul Taib Mahmud ketika menendang bola itu memakai seluar pendek dan bersongkok.

Demikianlah kasarnya permainan politik BN dalam Pilihanraya Negeri Sarawak yang berlangsung pada 27 September lalu. Berikutan itu Pengerusi Perhubungan KeADILan Sarawak, Datuk Hafsah Harun, menyatakan partinya akan membuat laporan polis, sebagai membantah tindakan pihak BN yang bertentangan dengan dasar integrasi nasional.

“Saya berasa bangga kita dalam KeADILan mendapat kerjasama daripada kawan-kawan dari Semenanjung,” katanya ketika ditemui di rumahnya sehari selepas pilihanraya.

“Kita betul-betul mengamalkan konsep integrasi nasional, yang dilaung-laungkan oleh Dr Mahathir, tetapi beliau yang memecah-belahkan. Mereka membuat dakyah mengatakan KeADILan bawa orang Semananjung, dan kononnya kalau inilah amalan kita maka kita akan menjadi Sabah. Padahal di Sabah itu Umno, dan Umno itu orang dia sendiri. Maka timbullah perasaan kedaerahan Sarawak untuk orang Sarawak,” katanya.

Seterusnya Hafsah menambah: “Kita dalam KeADILan sebenarnya seperti satu keluarga, tetapi kita dianggap sebagai parti Semenanjung. Apabila akhbar, radio dan TV mengatakan KeADILan adalah parti Semenanjung, itu sangat merosakkan konsep Malaysia yang sebenarnya.”

Selain memperalatkan sentimen kedaerahan hingga menjejaskan integrasi nasional; penipuan, ugutan dan politik wang yang diamalkan oleh pihak BN adalah antara faktor utama KeADILan dan PAS gagal memenangi sebarang kerusi dalam pilihanraya tersebut.

“Kemenangan BN bukan kemenangan yang bersih,” tegas Hafsah. “Daripada pagi hari mengundi kita mengetahui bahawa pengundi-pengundi di tempat yang kita telah menang dulu diupah seorang pengundi RM100.” Pihak KeADILan mempunyai beberapa bukti mengenai sogokan wang kepada pengundi. “Satu daripadanya ialah di Semenjan,” kata Hafsah. “Orang yang memberi wang itu telah ditangkap oleh polis. Kebetulan yang menerima wang itu orang kita. Dia buat laporan polis, dan polis beri kerjasama.”

Sesiapa yang berada di Sarawak beberapa hari sebelum hari mengundi akan berasa sedikit keganjilan apabila mendapati pihak BN seperti tidak bersungguh-sungguh berkempen. Mereka tidak banyak memasang poster, atau berceramah, atau berkempen dari rumah ke rumah.

Mereka seolah-olah sudah tahu mereka akan menang besar. Padahal kebanyakan rakyat yang ditemui menyatakan kekecewaan kepada kerajaan negeri pimpinan Abdul Taib Mahmud. Isu rampasan tanah diperkatakan di mana-mana, dan menjadi asas kemarahan rakyat.

Kebangkitan rakyat Sarawak dan kemarahan mereka kepada pimpinan Taib Mahmud begitu ketara sekali. Tetapi mengapakah parti pimpinan Taib Mahmud mencapai kemenangan besar?

“Waktu mengundi banyak penyelewengan berlaku,” kata Hafsah. Oleh itu walaupun beliau bersedih dengan kekalahan calon-calon KeADILan, tetapi beliau berasa bangga dengan semangat yang telah ditunjukkan oleh rakyat.

Beliau yakin rakyat Sarawak telah bangkit, dan kerajaan BN pimpinan Taib Mahmud akan berjaya dijatuhkan dalam pilihanraya negeri yang akan datang, pada tahun 2006 nanti.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 3 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com