Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Antara Bush dan Osama: Siapa lebih berani?

Oleh : WAN AHMAD WAN HASSAN

Umat Islam tentu merasa terpanggil dengan tindak tanduk Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya untuk melancarkan serangan ke atas Afghanistan, samada hari ini atau bila-bila masa sahaja. Seluruh penganut Islam mula menadah tangan mengharapkan kemenangan umat Islam.

Islam adalah agama perdamaian. Serangan ke atas New York dan Pentagon pada 11 September lalu mesti dilihat bukan angkara Islam, tetapi ia dilakukan oleh golongan berani mati yang secara kebetulan beragama Islam. Dakwaan AS kejadian itu didalangi oleh pejuang-pejuang Islam seperti Osama bin Laden atau fundamentalis Islam lain masih tidak mempunyai bukti yang kukuh. Dan AS memang jaguh bermain serkap jarang.

Sikap yang diambil oleh Presiden George W Bush untuk membunuh rakyat Afghanistan berdasarkan andaian bahawa musuh ketatnya Osama bersembunyi di negara itu, sebagai tindakan yang paling ganas, sudah pasti menerima kutukan dari Allah.

Kita percaya umat Islam di Afghanistan dan di mana-mana jua, termasuk Palestin dan Iraq, akan mempertahankan bumi mereka. Perjuangan mereka yang tidak pernah luntur atau patah di tengah jalan pasti akan diiringi harapan tinggi untuk mendapat ganjaran besar dari Allah.

Allah menjanjikan ganjaran kemenangan kepada umat Islam yang dizalimi. Doa mereka pasti akan dikabulkan. Kerana itu kita mengajak setiap ruh Islam yang sayangkan Islam dengan penuh insaf dan rela menadah tangan ke langit, mengharapkan kekuasaan Allah supaya melindungi nyawa umat Islam, dan tidak menjejaskan kehidupan yang sedang dinikmati oleh mereka, sekalipun berlaku serangan udara, darat dan laut.

Umat Islam amat kecewa kerana terdapat negara-negara Islam yang sanggup bersengkokol dengan AS untuk memusnahkan umat Islam yang tidak berdosa. Ketika serangan dilakukan ke atas musuh-musuh AS, mungkin bom digugurkan di luar sasaranya.

AS telah membunuh berpuluh-puluh ribu manusia tidak berdosa dalam perang Vietnam lebih 20 tahun lalu, yang mempamerkan AS kecundang dalam peperangan satu lawan satu itu.

Kerana itu AS telah serik dan kecut untuk berperang secara satu lawan satu. Dia terpaksa memujuk dan meminta bantuan sekutunya seperti British, Kanada, Australia, Perancis, Turki, NATO dan banyak lagi, untuk menyertai misi menyerang negara yang dianggap tidak mahu tunduk di bawah telunjuknya.

Manakala media Barat semakin meningkatkan gambaran negatif yang menonjolkan AS sebagai polis antarabangsa yang sekaligus mampu menggelidah dan memasuki seluruh pelusuk dunia; menunjukkan AS bebas melakukan ancaman jenayah yang tidak dapat dihadapkan ke mahkamah jenayah antarabangsa.

Sebilangan besar umat Islam di peringkat antarabangsa sudah melaungkan kata-kata bahawa AS akan menerima nasib seperti peperangan di Vietnam, tanpa sokongan sekutunya. Tetapi kerana AS dan Bush tidak mempunyai maruah dan sudahpun malu dengan kejadian yang melanda Pentagon dan New York, kini ia menunggu balasan dari Allah.

Umat Islam terus berdoa dan bermunajat kepada Allah supaya pesawat, jet AS dan peluru berpandu tidak akan berfungsi, dan semua jentera peperangan bertukar menjadi lumpuh dan goyah. Pada masa yang sama kekuatan pertahanan negara Islam mestilah canggih untuk menghadapi ancaman golongan kafir yang anti Islam.

Peperangan yang akan berlaku bila-bila masa penuh simbolik ini menyaksikan motif utama untuk menghancurkan Islam yang selama ini dianggap sebagai ancaman besar kepada golongan kafir. Peperangan ini mempunyai bentuk yang berlainan, kerana kejahatan mula ditunjukkan oleh golongan anti Islam yang bertindak membakar masjid-masjid di negara yang diperintah oleh golongan kafir, dan terdapat umat Islam yang telah dibunuh dan dicederakan.

Musuh Islam di Australia semakin mengganas bila tiga buah masjid dimusnahkan ketika AS sedang berusaha membalas dendam terhadap serangan berani mati di New York dan Pentagon. Penjenayah di Australia juga telah menyerang seorang wanita Islam yang hamil di Melbourne, sehingga umat Islam di negara itu semakin merasa tertekan dan menggesa Perdana Menteri John Howard mengutuk pihak yang menyerang dan mengganggu orang Islam.

Kita juga berharap wakil kerajaan Malaysia di negara tersebut dapat memainkan peranan yang berkesan dalam bentuk diplomatik, bagi mempercepatkan proses untuk menjamin rakyat negara ini diberi perlindungan keselamatan yang secukupnya.

Fenomena ini begitu jelas sebagai isyarat penting kepada dunia Islam bahawa AS dan golongan kafir mahu AS bertindak sebagai barisan hadapan untuk menghancurkan ruh-ruh Islam. Setakat ini kejayaan AS terserlah bila sesetengah negara Islam sanggup membuka ruang udara untuk digunakan oleh AS bagi melancarkan serangan ke atas negara Islam yang menjadi musuhnya.

Sebagai contoh, Pakistan dan Kuwait secara terbuka memberi laluan kepada AS menggunakan ruang udaranya bagi melancarkan serangan ke atas Afghanistan yang sebilangan besar rakyatnya sedang menderita akibat peperangan di masa lalu.

Ancaman kekerasan yang mungkin dilakukan oleh AS dan sekutunya ke atas negara miskin seperti Afghanistan memang menjadi perhitungan dalam misi membunuh, sehingga rakyat negara itu benar-benar bersedia untuk membalas serangan itu dan rela bermandi darah. Manakala rakyat Indonesia pula memberi amaran kepada AS, jika peluru mencederakan tiga rakyat Afghanistan maka nyawa Duta Besar AS di Indonesia, Robert Gelbard, akan menjadi gantinya.

Briged Gerakan Pemuda Islam (GPI) Indonesia mengancam untuk membunuh warga AS yang berada di Republik itu, selain menyerang kepentingan AS di negara tersebut, sebagai tindak balas terhadap setiap peluru yang mencederakan rakyat Afghanistan.

AS dan sekutunya seharusnya menghormati pandangan dunia luar supaya isu menyerang Afghanistan ditarik balik, kerana penjenayah yang dikehendaki mungkin terselamat dalam misi membunuh itu, manakala yang pasti mengalir darah adalah mereka yang tidak berdosa seperti kanak-kanak dan orang tua yang uzur. Tindakan itu dilihat sebagai suatu hukuman yang zalim, yang menjadi budaya AS.

Manakala AS sendiri mempertaruhkan nyawa tenteranya yang pasti tidak akan terlepas dari kematian, seperti mana yang meragut nyawa 15,000 tentera Rusia dalam peperangan selama 12 tahun dengan Afghanistan. Para penganalisis peperangan tidak menolak kemungkinan AS akan kehilangan nyawa sekali ganda dari jumlah itu.

Peperangan itu juga tidak dapat diramalkan bahawa AS pasti menang atau kalah teruk, kerana puak Taleban selain dari mempunyai kekuatan manusia jihad yang sudah berikrar untuk berperang secara habis-habisan, juga mempunyai kemahiran menyerang musuh semasa perang dengan Rusia.

Benarlah pandangan sesetengah manusia bahawa peperangan itu ibarat kalah jadi abu dan menang jadi arang. Sama seperti suasana di Vietnam sekarang yang hanya tinggal rangka-rangka bangunan dan kubur-kubur besar dan muzium tengkorak manusia yang menjadi lagenda dan sejarah keganasan AS ke atas Vietnam.

AS akan mengulangi sejarah yang sama tanpa bantuan negara sekutu untuk menyerang secara solo ke atas Afghanistan. Segala pengalaman ngeri yang menghantui ekoran kekalahan dalam peperangan Indochina lebih dua dekad yang lalu, begitu menakutkan AS.

Krisis AS dengan negara Islam, khususnya Afghanistan selepas beberapa negara Islam yang lain, telah menggelapkan proses damai antara Israel dengan Palestin. Krisis yang berlaku di kalangan negara Islam hasil dari batu api yang dimainkan oleh AS dan sekutunya sehingga negara Islam sanggup berperang sesama sendiri, mengakibatkan beribu-ribu nyawa di Iran dan Iraq menjadi korban dalam peperangan kedua-dua negara yang berjiran itu.

Kini semakin jelas negara-negara Islam tidak berupaya untuk menjalin kerjasama secara total bagi menagani isu Islam antarabangsa yang semakin tenat akibat kebijaksanaan AS dan sekutunya memainkan peranan pecah dan perintah. Dasar luar AS terhadap Palestin, Iraq, Afghanistan dan lain-lain negara seharusnya menjadi pengajaran kepada dunia Islam, bahawa AS seperti anai-anai yang menyusup masuk dengan membawa hadiah dan pelbagai buah tangan ke negara Islam, yang akhirnya memperalatkan negara itu untuk menghancurkan negara Islam yang lain.

Amerika dan Bush seharusnya menghormati pandangan masyarakat antarabangsa supaya tidak melancarkan peperangan kepada Afghanistan kerana mahu memburu beberapa kerat musuh yang bersembunyi di situ, sedangkan ia terpaksa melangkah jutaan mayat sementara musuhnya melepaskan diri.

Mayat siapa yang akan dilangkah? Samada tentera AS atau Afghanistan? Atau mengulangi sejarah AS di Vietnam, yang akan menjadi kejutan besar selepas tentera Rusia berundur dari bumi yang diterajui oleh puak Taleban itu?






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com