Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Kesan buruk serangan di AS kepada PAS

Oleh : JOCELINE TAN

HASIL siasatan pihak berkuasa Amerika yang mengaitkan kumpulan Islam dengan serangan di New York dan Washington baru lalu diteliti dengan penuh kebimbangan oleh kumpulan-kumpulan Islam di Malaysia, khususnya oleh pemimpin parti pembangkang terbesar PAS.

Pemimpin-pemimpin parti itu, yang matlamat jangka panjangnya ingin menjadikan Malaysia sebuah negara Islam, cukup bimbang PAS dilabelkan sebagai pergerakan Islam radikal disaat mereka sedang serius berusaha mendapatkan sokongan masyarakat bukan Islam.

Sokongan masyarakat bukan Islam yang terdiri daripada 40 peratus penduduk, adalah sangat penting bagi PAS, yang mengharapkan lebih banyak kerusi dan negeri dalam pilihan raya umum akan datang.

“Impaknya bukan sahaja kepada PAS tapi kepada Islam dan orang Islam secara keseluruhan,” kata seorang Ahli Parlimen PAS, Husam Musa.

Sejurus selepas serangan berani mati di AS, beberapa mesyuarat dalaman di kalangan pemimpin telah diadakan untuk membincangkan kemungkinan yang bakal menimpa parti itu.

Apa yang kelihatan, tumpuan utamanya ialah mengenai bagaimana seteru politiknya, iaitu Umno, akan menggunakan insiden yang berlaku di Amerika itu untuk memburukkan PAS, terutama di kalangan masyarakat bukan Islam.

“Apa yang berlaku di Amerika itu satu tragedi, kita harap ahli-ahli politik tidak menggunakannya untuk mendapatkan mileage politik,” kata ahli jawatankuasa pusat PAS, Dr Hatta Ramli.

Imej PAS teruji baru-baru ini apabila kerajaan, bulan lepas, mengenalpasti beberapa orang ahlinya sebagai aktivis militan Kumpulan Mujahideen Malaysia.

10 orang ditahan termasuk seorang guru agama yang merupakan anak Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Polis mendakwa matlamat kumpulan itu ialah untuk menjadikan negara ini sebagai negara Islam ‘tulen’.

Pihak berkuasa juga mendakwa telah mengenalpasti usaha-usaha yang dilakukan kumpulan itu untuk menyeludup senjata dan bahan letupan ke negara ini melalui Thailand dan Filipina.

“Sama ada kita setuju atau tidak, apa yang berlaku di Amerika itu dapat membantu kerajaan bertindak ke atas kumpulan-kumpulan militan – kumpulan-kumpulan seperti ini perlu dibenteras dari awal sebelum ia menjadi lebih besar dan bahaya,” kata Razak Baginda, pengarah Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia.

Presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Nor menekankan, “Kami menyeru kepada semua pihak supaya jangan menuding jari tanpa bukti.”

Sejak beberapa tahun yang lalu, PAS telah menjalin hubungan dengan beberapa negara Islam di Timur Tengah termasuk Sudan, Iran dan Iraq atas nama ukhwah Islam.

PAS terus mencanangkan bahawa Islam yang dibawanya ‘lebih tulen daripada Umno’, tapi dalam masa beberapa tahun kebelakangan ia cuba menampilkan imej yang lebih moderate bagi mendapatkan sokongan orang bukan Islam di negara ini.

Dalam satu kenyataan, Presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Noor mengutuk serangan yang dilakukan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, 11 September lalu dan menggunakan kesempatan itu untuk membidas Amerika berhubung peranan dan tanggung jawabnya sebagai penjaga keamanan global.

Akan tetapi, beliau tidak menyebut sepatah perkataan pun mengenai kemusnahan yang dialami Pentagon di Washington. Ramai menyimpulkan bahawa parti itu kurang atau tidak bersimpati terhadap kemusnahan pertahanan Amerika.

(ST Singapura, terjemahan CABARAN.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com