Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Senator Amerika lawan keputusan Bush: ‘Jangan beri cek kosong kepada Presiden’

Oleh : BARBARA LEE, terjemahan AKHBAR CABARAN

Serangan pengganas yang kejam dan tidak dijangka ke atas Amerika Syarikat (AS) pada 11 September telah membunuh ribuan yang tidak bersalah, termasuk penumpang dan kru empat pesawat.

Seperti juga semua pihak di seluruh negara, saya juga berasa marah dengan serangan itu dan saya percaya bahawa mereka yang mendalanginya perlu dibawa ke muka pengadilan. Serangan ini perlu dielak dari berulang. Ini merupakan kewajipan tertinggi kerajaan pusat, negeri dan tempatan.

Dalam hal ini, kita bersatu sebagai sebuah negara. Mana-mana negara, kumpulan atau individu melakukan kesilapan jika gagal memahaminya atau merasakan bahawa kita akan bertolak ansur dengan tindakan haram dan tidak bertamadun itu.

Baru-baru ini, dengan dipenuhi kesedihan untuk mereka yang mati atau cedera dan dengan rasa marah terhadap mereka yang bertanggungjawab, saya menghadapi tanggungjawab untuk mengundi bagi membenarkan negara kita berperang.

Ada yang berpendapat resolusi ini hanya simbolik, untuk memperlihatkan kesatuan kebangsaan. Tetapi saya tidak dapat mengabaikan hakikat bahawa ia memberikan kuasa yang jelas, menurut Resolusi Kuasa Peperangan dan Perlembagaan, untuk berperang.

Ia merupakan satu cek kosong kepada Presiden untuk menyerang sesiapa yang terlibat dalam kejadian 11 September – tidak kira tempat dan negara, tanpa mengendahkan dasar luar jangka panjang negara, kepentingan-kepentingan keselamatan ekonomi dan negara, dan tanpa had masa.

Dengan memberikan kuasa yang amat luas ini, Kongres gagal dalam tanggungjawabnya memahami dimensi-dimensi deklarasi itu. Saya tidak dapat menyokong kuasa memulakan perang yang besar kepada Presiden; ia akan membahayakan nyawa mereka yang tidak berdosa.

Presiden memiliki kuasa perlembagaan untuk melindungi negara dari lebih banyak serangan dan beliau telah menggerakkan pasukan tentera untuk melakukannya. Kongres sepatutnya menunggu fakta-fakta dikemukakan dan kemudian bertindak dengan mengetahui akibat dari tindakan kita.

Saya mendengar reaksi dari ribuan konstituen saya berikutan pengundian ini. Kebanyakannya mahu supaya kita berhati-hati, memastikan kebenaran dan memastikan supaya keganasan tidak membawa kepada lebih keganasan. Mereka faham akibat tidak terbatas kerana terburu-buru berperang.

Ada juga yang berpandangan saya sepatutnya menyokong resolusi itu – sama ada bagi sebab simbolik atau geopolitik, atau kerana mereka benar-benar percaya tindakan ketenteraan tidak dapat dielakkan lagi. Apa pun, saya tidak yakin menyokong resolusi itu memelihara dan melindungi kepentingan AS.

Kita mesti meningkatkan keupayaan perisikan kita dan bawa mereka yang melakukan kekejaman ini ke muka pengadilan. Kita mesti menggerakkan – dan mengekalkan – satu pakatan antarabangsa menentang terorisme.

Akhir sekali, kita berpeluang menunjukkan bahawa kuasa besar boleh memilih untuk berperang di tempat pilihan mereka, dan kita boleh menunjukkan kita boleh memilih untuk mengelakkan tindakan ketnteraan yang tidak perlu apabila terdapat pilihan lain untuk mempertahankan negara.

Kita mesti bertindak balas, tetapi cara kita bertindak itu akan menentukan kepada kita dan generasi akan datang, dunia yang akan mereka warisi. Saya tidak mempertikaikan niat Presiden untuk menghapuskan terorisme dunia, tetapi kita mempunyai banyak cara untuk mencapai tujuan tersebut, dan langkah yang menggalakkan lebih keganasan atau tidak menangani sumber kebencian tidak dapat meningkatkan keselamatan kita.

Colin Powell, Setiausaha Negara sendiri telah menjelaskan pelbagai cara untuk menangani sumber masalah ini … ekonomi, diplomatik, perundangan dan politik, serta ketenteraan.

Tindakan tergesa-gesa melancarkan perang membawa risiko terlalu besar, lebih banyak lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa akan terbunuh. Saya tidak dapat mengundi satu resolusi yang saya yakin akan membawa kepada akibat sedemikian.

-----
Barbara Lee (Demokrat – California) merupakan satu-satunya ahli Dewan Perwakilan yang mengundi menentang mengesahkan penggunaan kuasa ketenteraan






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com