Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


‘Ini bukan perang demokrasi melawan keganasan’

Oleh : NOAM CHOMSKY

Serangan pengganas tempoh hari merupakan satu kekejaman yang dahsyat. Menurut skala ia mungkin tidak menyamai kekejaman lain, seperti pengeboman Sudan oleh Bill Clinton tanpa alasan yang wajar dan memusnahkan separuh bekalan perubatannya dan menyebabkan kematian ramai (jumlahnya tidak diketahui kerana Amerika Syarikat (AS) telah menghalang satu siasatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan tidak ada siapa yang berminat meneruskannya).

Ini tidak termasuk kes-kes yang lebih buruk yang terlalu banyak untuk difikirkan. Tetapi tidak dapat dinafikan bahawa ia merupakan satu jenayah yang besar. Mangsa utamanya seperti biasa ialah mereka yang bekerja: pembersih bangunan, setiausaha, bomba, dll.

Ia hampir pasti akan membawa satu tamparan hebat kepada rakyat Palestin dan mereka yang miskin dan tertindas. Ia juga hampir pasti mendorong kepada kawalan keselamatan yang lebih keras, dengan lebih banyak alasan untuk meremehkan kebebasan sivil dan kebebasan dalaman.

Kejadian itu membongkarkan secara dramatik, betapa tidak munasabah projek “pertahanan peluru berpandu.” Seperti yang telah jelas selama ini, dan telah ditunjukkan penganalisis strategik, jika seseorang ingin melakukan kemusnahan ke atas AS termasuk penggunaan senjata pemusnah, mereka kemungkinan besar tidak akan memilih melancarkan serangan peluru berpandu yang akan menjamin kemusnahan mereka. Banyak cara yang lebih mudah yang sukar dihalang.

Tetapi kejadian serangan itu kemungkinan besar akan dieksploit untuk membangunkan sistem pertahanan ini dan menyiapkannya. “Pertahanan” merupakan satu alasan yang lemah bagi rancangan sebenar untuk memulakan perlumbaan senjata di angkasa lepas, dan dengan PR yang baik, alasan yang selemah mana pun akan diterima oleh rakyat yang ketakutan.

Secara ringkasnya, insiden itu boleh memberi manfaat kepada golongan berhaluan kanan yang ingin menggunakan kekerasan untuk mendominasi keadaan. Tindakan AS membalas tindakan ini juga mungkin akan membawa kepada serangan yang lebih buruk. Prospek masa depan akan menjadi lebih tidak menyenangkan seperti yang dilihat sebelum insiden terbaru ini.

Kita sebenarnya mempunyai pilihan bagaimana hendak menunjukkan reaksi. Kita boleh menunjukkan rasa terkejut tetapi kita juga boleh cuba memahami apa yang mungkin mendorong jenayah ini, dengan cuba berfikir seperti pelaku jenayah ini. Sekiranya kita memilih untuk berbuat demikian, adalah baik, pada pandangan saya, kita mendengar pandangan Robert Fisk, yang berpengetahuan tentang hal ehwal Timur Tengah setelah bertahun membuat liputan dari sana.

Beliau menjelaskan dalam rencana The wickedness and awesome cruelty of a crushed and humiliated people: “Ini bukannya perang demokrasi menentang keganasan seperti yang AS mahu dunia melihatnya. Ia mengenai peluru berpandu buatan AS memusnahkan kediaman rakyat Palestin dan helikopter AS menembak peluru berpandu kepada sebuah ambulan Lubnan pada 1996 dan bom buatan AS memusnahkan sebuah kampung bernama Qana dan juga mengenai militia Lubnan yang dibayar dan dibiayai oleh Israel, sekutu AS yang membunuh dan merogol penduduk khemah-khemah pelarian.”

Dan banyak lagi insiden seperti ini. Sekali lagi, kita mempunyai pilihan: kita boleh cuba memahami atau tidak, menyumbang kepada kemungkinan lebih banyak keburukan akan muncul. – Terjemahan bebas dari artikel bertajuk On The Bombing oleh AKHBAR CABARAN.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 6 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com