Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Debat demokrasi dan Islam: Menjawab tohmahan yang mendakwa kumpulan Islam yang menang melalui proses demokrasi akan membunuh demokrasi kemudiannya

Oleh : FAIZ HAIKAL, PENULIS CABARAN

Apabila berlaku serangan ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York, semangat patriotisme Amerika Syarikat (AS) meningkat mendadak. Simbolnya, bendera Star Spanggled Banner, Panji-panji Bertatahkan Bintang berkibar-kibar di merata tempat di seluruh AS.

Dipercayai dengan mendadak banyak rakyat AS, yang selama ini tidak mempedulikan soal negara menjadi patriotik. Inilah kesan besar daripada serangan ke atas WTC. Di AS, mereka tidak menggunakan istilah nasionalisme, dalam soal cintakan negara, mereka lebih banyak gunakan istilah patriotisme.

Walaupun perjuangan asal pengasas AS adalah memerdekakan 13 tanah jajahan Britain di pantai timur benua Amerika Utara, tetapi mereka tidak menggunakan istilah nasionalisme, tetapi patriotisme. Ini kerana nasionalisme dianggap berbau semangat menjajah negara orang, sedangkan patriotisme adalah lebih kepada mempertahankan negara sendiri.

Perbezaan persepsi istilah ini tentunya menghairankan. Ini kerana di negara-negara Dunia Ketiga, nasionalisme dirujuk kepada perjuangan menuntut kemerdekaan, dan bukannya menjajah negara orang. Istilah patriotisme tidak begitu meluas.

Nasionalisme seringkali digunakan untuk merujuk kepada sifat yang bertentangan dengan kolonialisme. Anehnya, gerakan penjajahan Barat tercetus dengan timbulnya semangat nasionalisme di Eropah. Walaupun penjajah awal dari Eropah iaitu Portugis dan Speanyol tidak meluaskan tanah jajahan atas nama nasionalisme, begitu juga dengan Britain dan Perancis; tetapi akibat penjajahan Perancis di benua Eropah, timbul kesedaran oleh negara-negara lain seperti Jerman dan Itali untuk mengutamakan negara masing-masing atas nama nasionalisme.

Walaupun penjajahan oleh negara-negara ini tidak sehebat Britain dan Perancis tetapi nasionalisme yang mereka bentuk bertitik mula daripada hendak menjajah negara orang lain sebagai persaingan dengan empayar-empayar sedia ada.

Begitu juga semangat untuk menjajah di Jepun sebelum perang Dunia Kedua. Jepun bertanya, mengapakah mereka dihalang daripada menjajah berbanding dengan Britain dan Perancis. Asia untuk Asia. Itulah seruannya. Begitu juga Jerman. Perang Dunia Kedua meletus, antara faktornya kerana Jerman merasakan negara mereka dihalang untuk mendapatkan sumber dan untuk menjajah.

Walaupun tidak disebut sebagai nasionalisme secara terus terang, tetapi inilah nasionalisme yang membawa kepada penjajahan. Dan akibatnya, apabila negara-negara terjajah mahu bangkit melepaskan diri dari belenggu penjajahan, istilah yang digunakan ialah nasionalisme.

Tetapi AS tidak menggunakan nasionalisme. Mungkin pada asalnya, 13 negeri tanah jajahan Britain itu hanyalah sebagai petempatan. Penduduk Amerika ini adalah kolonialis. Dari segi lain, mereka juga menjajah tanah-tanah Red Indian. Perjuangan asal mereka bukanlah untuk memisahkan diri dari Britain. Mereka membantah cukai yang dikenakan oleh London tanpa merujuk kepada mereka. Mereka mahu perwakilan mereka diberi suara di parlimen Britain. Perjuangan inilah yang disebut patriotisme. Membela hak tempat sendiri.

Jadi setelah 200 tahun ditubuhkan, AS merasakan dirinya berhak untuk hidup, dengan apa cara sekalipun. Rakyatnya merasa bebas untuk menjalani kehidupan pilihan mereka. Itulah perspektif rakyat AS. Apapun dasar luas AS, ia bertujan untuk menjaga kepentingan AS, dan selanjutnya meneruskan kehidupan dan cara hidup dalam negeri AS. Inilah patriotisme AS.

Kesemuanya untuk kepentingan diri mereka sendiri. Daripada menyokong Israel, yang dianggap sebagai sekutu dan wakil AS di Timur Tengah. Timur Tengah pula dianggap penting kerana AS bergantung minyak di negara-negara Teluk. Itu juga menyebabkan mereka tidak berasa salah menempatkan tentera di Kuwait, Arab Saudi dan meranapkan Iraq.

Selama ini rakyat AS merasa selamat dan tidak diganggu. Serangan yang mereka hadapi semuanya di luar. Malah serangan ke atas Pearl Harbour menjelang Perang Dunia Kedua dahulu pun bukan sebenarnya mengenakan rakyat AS. Ini kerana ketika itu, Hawaii bukan sebahagian daripada AS. Hawaii adalah tanah jajahan saja.

Jepun pada hakikatnya bukan menyerang AS tetapi menyerang tanah jajahannya. Jadi kalau hendak dikirakan, serangan luar terakhir terhadap AS berlaku semasa perang dengan Mexico pada kurun ke-19.

Serangan ke atas WTC sememangnya mengejutkan rakyat AS dan memaksa mereka memikirkan diri mereka sebagai rakyat Amerika. Tetapi AS mestilah mempunyai nilai-nilai tertentu untuk menjadikan istimewa.

Maka seperti kata Presiden George W. Bush pada awal kejadian itu, AS adalah negara demokrasi yang memberi kebebasan. Inilah nilai-nilai utamanya yang hendak dipertahankan. Sedangkan pengganas, atau lebih tepat lagi, Islam mewakili nilai-nilai yang bercanggah dengan demokrasi dan mengongkong. Maka peperangan yang hendak dirancangkan ialah mempertahankan demokrasi dan kebebasan daripada serangan Islam dan kongkongan.

Sudah tentu terdapat golongan kiri di AS yang menyanggah perspektif Bush ini. Mereka menimbulkan mengapa AS dibenci. Rakyat AS yang selama ini tidak mempedulikan tentang politik, tiba-tiba sedar bahawa dasar luar AS menindas dan menekan orang lain.

Sememangnya serangan ke atas WTC ini mendatangkan kejutan dan perubahan minda. Ia suatu perkembangan besar.

Kalau di Malaysia, pemecatan Anwar Ibrahim mengejutkan orang Melayu yang mula melihat apa yang kerajaan lakukan secara kritikal, begitu juga dengan serangan ke atas WTC. Mereka bertanya apa yang negara mereka telah lakukan?

Maka perhatian diberikanlah kepada Timur Tengah. Tetapi di pihak pembela-pembela establishment, mereka juga mempertajamkan hujah. Tidak jauh bezanya dengan Umno apabila ia dicabar dengan gerakan Reformasi, mereka juga terpaksa mempertajamkan fikiran dan hujah.

Pembela-pembela establishment AS, atau lebih mudah lagi disebut sebagai golongan kanan, khususnya pendokong Parti Republikan menegaskan bahawa Islam adalah fasis baru.

Menurut mereka, seperti yang dihujah oleh majalah-majalah golongan kanan, umpamanya New Republic menegaskan bahawa apa yang AS sedang hadapi ialah bukan saja keganasan tetapi fasisme.

Selama ini fasisme dirujuk kepada Nazi Jerman, Fasis Itali dan golongan tentera Jepun sebelum Perang Dunia Kedua, tetapi kini Islam dianggap juga sebagai fasis.

Bagi mereka Islam sebagai agama yang menumpukan soal kerohanian dapat diterima hidup bersama masyarakat dunia. Tetapi mereka mahu menghapuskan Islam yang dibawa oleh pengganas. Islam yang berada di bawah demokrasi boleh diterima. Tetapi Islam yang mahu menguasai demokrasi mesti ditolak.

Jadi bagi mereka, Islam Taliban inilah merupakan fasis yang mahu ditentang. AS memimpin dunia demokrasi untuk menentang Islam. Ini kerana bagi mereka, Islam mengandungi banyak unsur fasisme. Contohnya, kongkongan terhadap wanita merupakan percanggahan terhadap demokrasi.

Begitu juga dengan jihad, hudud dan pemikiran rasional. Oleh kerana Islam mengutamakan keunggulan teks Al-Quran yang dianggap menyekat kebebasan, maka ia harus ditentang. Islam juga dianggap bercanggah dengan pemikiran sains. Tiga paksi utama tamadun Barat iaitu demokrasi, kapitalisme dan sains dianggap sebagai nilai-nilai unggul yang sedang dipertahankan oleh AS.

Sedangkan Islam yang dikatakan menentang ketiga-tiga doktrin itu, mestilah ditentang. Disebut bahawa dalam politik, Islam menolak demokrasi tetapi menjunjung konsep khalifah. Dalam ekonomi, Islam menolak riba yang merupakan tonggak penting dalam kapitalisme. Dalam bidang pemikiran, Islam mengutamakan teks Al-Quran daripada pemikiran sains. Maka oleh itu, AS yang mewakili nilai-nilai Barat ini mesti memerangi Islam ke akar umbi. Umat Islam boleh mengalahkan bukan Islam dari segi kerohanian dan tradisi saja. Umat Islam harus menerima demokrasi, kapitalisme dan sains.

Tetapi banyak pihak di Barat sendiri yang mempersoalkan dasar AS yang tidak menggalakkan demokrasi di Timur Tengah. Bagaimana AS menghalang Algeria daripada memperolehi demokrasi. Malah AS tidak menggalakkan demokrasi di Mesir, Jordan dan Arab Saudi.

Maka jawapannya mudah bagi mereka. Golongan kanan di Washington ini menegaskan bahawa jika demokrasi dibenarkan di Timur Tengah, yang menang kelak adalah parti-parti Islam. Akhirnya Islam juga akan berkuasa di Timur Tengah dan mereka akan membunuh demokrasi. Jadi untuk itu, mereka menghalang demokrasi.

Tidakkah ini merupakan hipokrisi? Kalau AS percaya kepada demokrasi, mengapa mereka tidak boleh menerima kalau umat Islam memilih Islam. Kalau dilihat di sini, demokrasi bukan perkara penting bagi AS, tetapi kepentingan AS sendiri. Begitu juga dengan kapitalisme.

Jika AS percaya kepada kebebasan berniaga, mengapa mereka menyekat ekonomi Iraq? Mengapa ekonomi dijadikan senjata? Sementara Eropah pula menyekat kemasukan Turki daripada kemasukan pasaran bersama Eropah hanya kerana Turki sebuah negara umat Islam? Kapitalisme bukannya nilai-nilai pegangan Barat, mereka hipokrit dan menjadikannya untuk kepentingan kekuatan mereka.

Begitu juga dengan pemikiran saintifik. Adakah benar-benar AS menjunjung kaedah pemikiran saintifik? Banyak keputusan politik, sosial dan ekonomi tidak berlandaskan dengan pemikiran saintifik. Sementara penyelidikan saintifik banyak pula didorong dan ditaja atas kepentingan politik dan ekonomi.

Pemeliharaan alam sekitar oleh dunia Barat juga mengecewakan. Kalau tidak kerana perjuangan golongan alam sekitar, mungkin AS dan Eropah mempermudahkan isu-isu alam. Malah lihatlah sikap Bush terhadap banyak keputusan politik, sosial dan ekonomi, yang tidak berlandaskan dengan pemikiran saintifik. Sementara penyelidikan saintifik banyak pula didorong dan ditaja atas kepentingan politik dan ekonomi.

Pemeliharaan alam sekitar oleh dunia Barat juga mengecewakan. Kalau tidak kerana perjuangan golongan alam sekitar, mungkin AS dan Eropah mempermudahkan isu-isu alam. Malah lihatlah sikap Bush terhadap Protokol Kyoto tentang alam sekitar. Sains sudah memutuskan bahawa lubang ozon semakin membesar dan membahayakan bumi, tetapi Bush mengetepikannya kerana mengutamakan kepentingan syarikat-syarikat minyak AS.

AS dan Eropah yang mempunyai kekuatan dana tidak menggunakan sepenuhnya sumber mereka bagi memajukan sains. Mereka sibuk menggunakan sains dan teknologi untuk membina lebih banyak senjata peluru berpandu tetapi peruntukan bagi kajian planet Marikh dihadkan.

Cara pemikiran sains di Barat juga masih mengecewakan. Kepercayaan terhadap perkara-perkara karut seperti parapsikologi, astrologi, ufologi dan pelbagai jenis mitos masih membelenggui fikiran Barat. Tanyalah kepada saintis Barat. Mereka akan menjawab bahawa kerajaan mereka tidak memberikan kedudukan istiemwa kepada mereka.

Adakah AS boleh dikatakan pejuang demokrasi, kapitalisme dan sains yang tulen? Nilai-nilai itu bukan yang utama. Ia hadir kerana pihak berkuasa tamadun barat dapat menggunakannya. Sememangnya bagi intelektual, nilai-nilai indah itu merupakan suatu keseronokan kajian, tetapi pihak berkuasa, ia hanya merupakan alat untuk meningkatkan kuasa.

Sekarang cuba lihat sikap Islam terhadap demokrasi, kapitalisme dan sains. Bagaimanakah konsep khalifah dengan demokrasi. Adakah ia bertentangan? Sememangnya kedua-dua konsep ini berbeza tetapi ia tidak harus bertentangan. Demokrasi adalah ciptaan manusia moden yang mempunyai kelebihan. Islam seharusnya mengambil konsep demokrasi ini selagi tidak bercanggah dengan kekhalifahan itu. Demokrasi dan Islam boleh disatukan. Sduah tentu, bagi Islam, kedudukannya lebih tinggi daripada demokrasi. Bagi Islam, perkara ini jelas. Tuhan adalah paling agung. Sudah tentu agamanya juga agung.

Namun begitu, bagi memudahkan pemerintahan zaman moden ini, demokrasi Islam adalah paling sesuai, terutamanya bagi umat Islam. Islamic democracy dan democratic Islam perlu diterapkan di kalangan umat Islam. Nilai-nilai Islam dalam demokrasi perlu ditonjolkan sementara nilai-nilai demokrasi dalam Islam juga perlu ditekankan.

Sebagai contoh, tonggak demokrasi adalah pemerintahan pilihan rakyat. Itu jelas. Majlis Syura dalam khalifah adalah pilihan rakyat. Parlimen dalam negara demokrasi adalah majlis syura dalam negara Islam. Tetapi perbezaannya, majlis syura tidak boleh menggubal undang-undang yang sudah ditetapkan dalam agama.

Demokrasi boleh menggubal apa saja undang-undang walaupun ia bertentangan dengan Islam. Tetapi dari segi teori, parlimen di negara Islam terpaksa mengikut kehendak rakyat. Oleh kerana majoriti penduduk adalah Islam, parlimen akan mematuhi kehendak majoriti rakyat. Maka dalam hal ini, demokrasi tidak bercanggah dengan Islam.

Katakanlah, negara-negara Timur Tengah mempunyai parlimen yang bebas seperti Algeria, Arab Saudi dan Mesir, sudah tentu mereka hanya menggubal undang-undang yang tidak bercanggah dengan Islam kerana majoriti rakyat yang beragama Islam sudah tentu hanya dapat menerima undang-undang Islam.

Begitu juga antara presiden dan khalifah. Presiden dipilih oleh rakyat atau parlimen dalam sebuah negara demokrasi. Begitu juga dengan khalifah. Walaupun ada sistem yang meletakkan satu majlis atau panel memilih khalifah. Tetapi ia juga datang daripada cerminan kehendak rakyat. Beza antara khalifah dan presiden terletak pada kedudukan seseorang.

Seorang khalifah mestilah seorang beragama Islam yang beriltizam mempertahankan Islam. Dia bukan wakil rakyat walaupun dipilih rakyat tetapi dia memegang amanah Allah, yang bererti dia terpaksa menjunjung kehendak Islam. Kalau dalam negara demokrasi, sudah tentu umat Islam akan memilih seorang Islam yang jelas pendirian keagamaannya, maka dalam hal ini kedudukan khalifah dan presiden negara demokrasi tidak berbeza.

Dalam hal negara Islam, seperti juga dengan manusia. Dari segi fizikal, semua manusia serupa, Islam atau bukan Islam. Yang membezakannya ialah iman. Mungkin ada orang kafir yang baik dan orang Islam yang jahat. Tetapi akidah itu meletakkan kualiti yang tersendiri pada seseorang.

Begitu juga dengan parti politik. Semua parti politik di dunia sama saja. Tujuannya untuk berkhidmat pada rakyat. Tetapi perbezaan antara parti politik Islam dan bukan Islam terletak iltizamnya. Parti politik Islam sudah tentu meletakkan kepentingan terhadap Islam, walaupun terdapat silap dasar atau pendekatan. Tetapi niatnya jelas. Tidak seperti parti bukan Islam, yang tidak mengutamakan soal Islam. Begitu juga negara.

Walaupun dasar Taliban silap dan Afghanistan miskin dan menderita, tetapi iltizam terhadap Islam adalah jelas. Afghanistan merupakan sebuah negara Islam, seperti mana Iran dan Sudan. Negara-negara lain tidak jelas.

Kemudian soal ekonomi. Golongan kanan Washington itu mendakwa bahawa mereka mempertahankan pasaran bebas dan kemakmuran ekonomi. Islam tidak menghalang pasaran bebas. Apa yang menjadi pertimbangan ialah soal riba. Islam menentang penindasan.

Itu perbezaan besar antara kapitalisme dan Islam. Bagi Islam, kapitalisme boleh diamalkan sedalam mungkin, asal tidak ada penindasan. Tetapi kapitalisme membenarkan penindasan. Tetapi demokrasi tulen menghalang penindasan.

Adakah sistem ekonomi dunia yang ada ini adil? Hampir semua pihak bersetuju bahawa berlaku kezaliman dalam sistem ekonomi dunia. Dr Mahathir Mohamad sendiri terkenal sebagai orang yang mempersoalkan sistem kewangan dunia. Tetapi dalam Islam perkara ini jelas. Riba adalah sitem yang menindas. Adakah demokrasi mewakili golongan penindas?

Jika rakyatnya tahu, maka sudah tentu mereka sukar untuk menerimanya. Sememangnya AS makmur. Tetapi ada pihak telah melakukan kajian bahawa majoriti penduduk AS ditindas. Tetapi perkara ini tidak dibesar-besarkan kerana media dunia mengutamakan kepentingan golongan elit kewangan. Berita mengenai saham adalah lebih penting daripada soal lain. Duit, duit dan duit. Itulah AS.

Bagi umat Islam, banyak perkara lain yang lebih penting daripada duit. Sebagai contoh, Johor dan Perlis menukarkan cuti mingguannya pada hari Jumaat kepada Ahad kerana ekonomi dan produktiviti. Tetapi bagi umat Islam, agama adalah perkara yang lebih bermakna daripada ekonomi dan produktiviti. Bukanlah bermakna kita harus mengetepikan ekonomi dan produktiviti. Itu penting, tapi carilah jalan lain yang tidak meminggirkan agama.

Tetapi saya ingin benar hendak mengetahui sama ada kedudukan ekonomi dan produktiviti Johor dan Perlis telah meningkat dengan pertukaran cuti mingguan ini? Cumanya, bayangkanlah jika hari Jumaat hari cuti mingguan di Kuala Lumpur. Pertamanya, pada pagi Jumaat kita akan dapat bersama keluarga. Kita akan dapat pastikan anak-anak sembahyang Jumaat, dengan selesa dan tidak terkocoh-kocoh. Berpakaian Islam. Di masjid, kita akan dapat bertemu sua dengan penduduk-penduduk setempat seqariah itu. Sudah tentu masyarakat lebih harmonis. Lepas solat Jumaat, kita makan bersama anak-anak.

Tetapi kini, kita berkocoh-kocoh ke masjid yang berhampiran dengan pejabat kita, iaitu kebanyakan jauh daripada rumah kediaman masing-masing. Kita kurang bertemu dengan penduduk seqariah. Anak-anak? Tidak tahulah sama ada mereka benar-benar pergi sembahyang Jumaat.

Islam juga mempunyai nilai-nilai murni yang tidak terkandung dalam sistem sosial liberal Barat. Kita memilih nilai-nilai itu tetapi Barat dan talibarutnya di tempat kita mahu memaksa cara fikir dan hidup kita.

Kemudian soal pemikiran rasional sains. Adakah Islam menentang sains? Walaupun, banyak pihak jemu dengan kisah-kisah sejarah sains Islam, tetapi ia bermanfaat untuk mengingatkannya. Secara keseluruhannya, sains yang ada hari ini ditemui atau dicipta oleh orang Yunani. Barat sering meletakkan tamadun Yunani sebagai teras tamadun mereka dengan seolah-olah merekalah pewaris tradisi Yunani.

Dari sudut moden, Yunani atau Greece terletak di benua Barat. Tetapi itu ketetapan Barat. Greece menjadi Kristian dan dianggap sebagai sebahagian daripada Barat. Sedangkan Kristian Greece adalah bersifat Ortodoks yang bersifat ketimuran atau lebih bertimur tengah.

Tambahan pula, ketika bermulanya tamadun Yunani, negeri itu bukan milik Barat atau Timur. Ia hanya berada di kawasan penghujung benua Barat. Takrifan benua Eropah pun dibuat kemudian. Malah kebanyakan wilayah Yunani terletak di sebelah Anatolia yang kini berada dalam Turki.

Untuk menyatakan Yunani sebagai asal-usul tamadun Barat kurang tepat. Yunani adalah milik Timur dan Barat. Iskandar Zulkarnain yang membawa budaya Yunani tidak mewujudkan empayar Yunani ke Eropah. Sebaliknya ia mewujudkan empayar yang meliputi Asia dan Afrika. Di Asia ia sampai ke Pakistan. Bandar utama empayar Iskandar ialah Iskandariah di Mesir. Barat melihat Rom sebagai pewaris Yunani. Tetapi hakikatnya bukan saja Rom, tetapi juga Parsi di Asia.

Namun begitu, Rom dan Parsi tidak mewarisi kegiatan intelektual Yunani. Rom sibuk dengan kuasa. Yang mewarisi intelektual Yunani ialah Islam. Kemudian menjadi Kristian dan selepas Perang Salib, kitab-kitab Yunani yang diterbit oleh orang Islam dibawa ke Eropah. Inilah bibit Rennaissance dan Enlightenment.

Islam tidak menentang atau bercanggah dengan pemikiran saintifik. Sememangnya ada kalangan Islam yang anti-Yunani atau anti-sains. Tetapi, apa kurangnya Barat? Seseorang yang beragama juga boleh mengkaji sains. Galileo dan Newton mempunyai pegangan agama yang kuat.

Sains boleh diceburi oleh semua orang tanpa kira agama. Termasuk Islam. Bezanya, Islam masih meletakkan keagungan Tuhan di atas segalanya. Itu tidak bererti menentang rasionalisme sains.

Malah di kalangan gerakan Islam yang dianggap oleh AS sebagai pengganas adalah kumpulan pengikut Fazlur Rahman di Pakistan. Fazlur Rahman yang sering dituduh sebagai muktazilah mempunyai pendirian mengenai sains yang jelas. Malah kalau hendak disebut, pengasas gerakan Islam kontemporer iaitu Jamaluddin Al-Afghani yang memperjuangkan pemikiran sains.

Justeru, Islam memperjuangkan demokrasi, tetapi meletakkan keagungan Tuhan di atas kehendak rakyat; Islam juga memperjuangkan kebebasan perdagangan (Rasulullah s.a.w. pandai berniaga) tetapi menghalang penindasan; dan Islam juga mendokong pemikiran saintifik, tetapi di sebalik segala misteri, terdapat Allah aza wajalla.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 6 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com