Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Kemusnahan akibat perbuatan sendiri

Oleh : WILLIAM PRAFF

SERUAN tidak bijak Presiden Amerika George Bush mengajak seluruh masyarakat dunia melancarkan ‘crusade’ (perang besar-besaran) terhadap keganasan, mendapat sokongan di luar jangkaan, tapi alasan terhadap sokongan itu barangkali tidak pernah terfikir oleh Bush.

Alasannya ialah, hampir setiap orang mempunyai masalah “keganasan”, dan masing-masing semuanya berharap Amerika dapat membantu memeranginya.

Mereka sangat berharap Amerika setidak-tidaknya dapat mengalihkan pandangan rasminya ketika mereka menangani ‘keganasan” menggunakan kaedah yang selama tidak pernah dipersetujui Washington.

Presiden Vladimir Putin menyokong penuh seruan Bush itu kerana dia mahu “crusade” Amerika itu turut digabungkan dengan usaha kejam Russia cuba mengapuskan kebangkitan rakyat Chechen, yang selama ini tidak pernah berjaya.

Bagi Moscow, masalah Chechen yang dihadapinya, disifatkan sebagai masalah keganasan puak pelampau Islam.

Beberapa jam selepas serangan ke atas New York dan Washington berlaku, Perdana Menteri Israel Ariel Sharon melancarkan serangan ke atas kawasan pihak berkuasa Palestine. Bagi Israel, pemimpin Palestine, Yasser Arafat itu adalah Osama bin Laden kedua.

Washington menolak perbandingan yang dibuat Israel itu kerana ia sedar, jika ia terus mahukan sokongan dan kerjasama dunia Arab menentang Osama, Sharon perlu didiamkan.

Arafat juga tidak kurang mendapat tekanan dari Washington sehingga memaksa beliau menjadi penderma darah dan mengecam keganasan serta mengarahkan tentera Palestine menghentikan serangan terhadap Israel.

China pula menjelaskan bahawa kelompok-kelompok pengacau minoriti dari pulau-pulau berdekatan dengannya – seperti Taiwan adalah “pengganas dan tentera pemisah”.

Mereka ini patut dikecam oleh AS, kata China, sebagai tukaran kepada sokongannya terhadap kempen anti keganasan Washington.

India berkata, tentera pemisah di Kashmir adalah pengganas. Sri Lanka menyebutkan perkara yang sama berhubung pemberontakan rakyat Tamil di negeri itu. Turki menyifatkan kebangkitan rakyat keturunan Kurd sebagai keganasan. Serbia pula mendakwa organisasi Osama ada cawangan di Bosnia-Herzegovina, Kosovo dan di Albania sendiri.

Malah, Tentera Republikan Irish sendiri, yang orang kuatnya ditangkap baru-baru ini kerana terlibat dengan puak-puak pemberontak Columbia – yang mempunyai rekod pengeboman bangunan-bangunan pencakar langgit – turut mewajarkan tindakan Amerika memburu dalang di sebalik serangan berani mati itu.

Pada 18 September lalu Rumah Putih terdesak untuk menjelaskan dasarnya mengenai perkara itu. Dasar Amerika, kata Rumah Putih adalah untuk “menghapuskan” keganasan di serata dunia, tapi hanya yang “mendatangkan bahaya kepada AS”. Maksudnya, “nasionalis bagi kamu adalah pengganas kepada kami. Pejuang kemerdekaan bagi kami adalah pengganas kepada kamu”. Rumusan ini tidak bermaksud untuk bersikap sinikal tapi dari sudut politik, inilah kebenarannya.

Apa yang pada prinsipnya dianggap sebagai keganasan tidak lagi dipedulikan (pada amalannya, kekejaman zaman moden jarang sekali dapat dibezakan).

Orang awam dianggap sasaran sah dalam usaha mencapai matlamat yang dikira lebih mulia: mewujudkan Kashmir yang demokratik; membebaskan Ireland Utara daripada Britain; mengenyahkan Israel dari kawasan-kawasan pendudukan.

Bagi pengganas-pengganas, keganasan adalah sesuatu yang wajar kerana itulah satu-satunya senjata yang dimiliki oleh golongan yang lemah. Bagi mereka, apa yang dilakukan mempunyai moral yang tersendiri: dan ia cukup berkesan – seperti yang kerap kali berlaku.

Jika Osama benar-benar bertanggung jawab di sebalik kejadian yang berlaku, maka dia dikira telah berjaya mendapatkan perhatian rakyat Amerika.

Siapa kata serangan itu tidak akan mempengaruhi kerajaan Amerika untuk keluar dari Timur Tengah? Disebabkan keganasanlah Amerika menarik balik tentera-tenteranya di Lebanon dalam 1983.

Tentera-tentera tersebut dihantar oleh Ronald Reagan untuk memulihkan keadaan dan menaja demokrasi di sana, tapi apabila mereka yang terselamat daripada kejadian keganasan itu diarahkan pulang, tidak ada bantahan sedikit pun daripada Kongress.

Retorik berlebih-lebihan mengenai “crusade” untuk “menghapuskan” negara-negara yang menaja keganasan, dari sudut politik bukan sahaja silap kerana ia membuka ruang untuk dieksploitasi dan dipergunakan oleh orang lain, malah ia mengelirukan rakyat Amerika sendiri.

Seorang ahli sosiologi Amerika, Susan Sontag dikecaman hebat oleh golongan konservatif apabila dia mengatakan bahawa serangan itu merupakan tindak balas kepada realiti yang dicipta Amerika.

Katanya, penjelasan kerajaan dan media mengenai peristiwa itu cuba “memperbudakkan” masyarakat awam, seolah-olah rakyat Amerika tidak mampu melihat fakta sebenar di sebalik kejadian itu.

Serangan itu bukanlah ditujukan kepada “tamadun Barat” atau terhadap “mereka yang telah menikmati kebebasan”, seperti yang diberitahu Bush dan kuncu-kuncunya. Ia ditujukan khusus buat Amerika atas alasan-alasan tertentu.

Ia adalah serangan balas terhadap sesuatu yang khusus pernah dilakukan AS dan dasar yang dilaksanakan Amerika sejak bertahun yang lalu.

Rakyat Amerika mungkin berfikir dasar-dasar dan tindakan tersebut sesuai dan wajar, tapi barangkali juga tidak. Bagaimanapun, rakyat Amerika perlu bertanggung jawab terhadap semua itu dan harus menerima apa juga akibatnya.

Kita, rakyat Amerika perlu waras menangani kejadian ini. Logiknya, peristiwa ini dapat membuatkan kita berfikir lebih serius mengenai apa yang pernah kita lakukan selama ini dan apa pula yang harus kita lakukan sekarang. Tapi semua itu tidak akan berlaku selagi kejutan yang dialami belum reda dan dendam belum berbalas.

Tetapi ada sesuatu yang agak merunsingkan fikiran iaitu, apakah setelah reda dan dendam pula terbalas kita akan berfikir lebih waras? – Terjemahan Los Angeles Times Syndicate.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com