Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Yang rugi tetap PAS dan DAP

Oleh : AHMAD LUTFI OTHMAN

PAS boleh mendakwa partinya tetap untung besar walaupun terpaksa berpisah dengan DAP dalam pakatan Barisan Alternatif. Begitu juga dengan DAP. Masing-masing terasa lega selepas isu Negara Islam gagal diselesaikan dengan baik. Tetapi semua orang tahu itu adalah kenyataan politik yang hanya untuk menyedapkan perasaan ahli-ahli dan penyokong parti.

Kalau berpakat dalam satu gabungan membawa manfaat, tentunya bila pakatan itu pecah, tempias buruknya tetap terasa. Bukankah berdua itu lebih kuat daripada berseorangan? Mungkin ada yang mencari daleh, lebih baik berpecah jika berkawan boleh membawa bencana lebih besar, khususnya bila kawan bertukar menjadi musuh dalam selimut. Tapi, seperti hujah di atas, ia hanya untuk melegakan perasaan sendiri.

Barisan Alternatif tertubuh hasil daripada dokongan kuat rakyat untuk melihat ada satu gabungan antara parti-parti pembangkang yang berwibawa dan boleh dipercayai, bagi menggantikan Barisan Nasional. Kalau ditanya kepada pemimpin utama PAS ketika itu, mungkin mereka sendiri takut untuk memulakan insiatif bagi mengadakan persefahaman politik dengan DAP. PAS bimbang jika media BN memainkan isu itu untuk menunjukkan parti Islam itu sudah lari dari konsep perjuangannya yang sebenar.

Begitu juga dengan DAP. Momokan tentang Negara Islam berjaya menanamkan syak yang besar di kalangan pengundi bukan Islam kepada PAS. Pemimpin DAP tidak terdaya melawan arus bagi memberikan penerangan kepada rakyat bukan Islam tentang siapa sebenarnya PAS. Ia bukan polemik ilmiah yang boleh diperdebatkan secara rasional, tetapi lebih kepada sentimen dan emosional.

Maknanya, tanpa suara lantang rakyat yang begitu mencintai keadilan dan reformasi, BA tidak akan wujud. PAS akan terus bertanding bersendirian, ataupun mungkin hanya bergabung dengan KeADILan ataupun PRM. (Untuk bermuafakat dengan Parti Rakyat mungkin tidak menimbulkan banyak masalah, manakala hubungan peribadi Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan Anwar Ibrahim memudahkan persefahaman dengan KeADILan).

Untuk PAS bergabung dengan DAP dalam satu pakatan, jangan haraplah. Bak kata penceramah hebat PAS, Mohd Sabu, bahawa jika ada satu lagi keajaiban di dunia, selain tujuh keajaiban sedia ada, maka yang kelapan itu ialah gabungan antara PAS dan DAP. Ini menunjukkan bagaimana sukarnya mahu menjalin hubungan antara kedua-dua parti yang berlainan kutub itu.

Sejarah PAS di bawah kepimpinan ulamak membuktikan bahawa parti itu terpaksa menempuh onak dan duri, khususnya tentangan dari dalam, sebelum berjaya memetrai pakatan dengan DAP.

Pilihan raya 1986 – kebangkitan Islam memuncak. PAS bercita-cita menguasai Malaysia, tetapi ia bertanding bersendirian, kecuali di beberapa kawasan PAS mengadakan persefahaman dengan beberapa parti kecil seperti PSRM, Nasma, SDP. Hasilnya, PAS hanya menang satu kerusi, itu pun kubu tradisinya di Pengkalan Chepa, Kelantan. Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang bertanding di Bachok kecundang.

Pilihan raya 1990 – di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, pakatan terbentuk dengan Parti Semangat 46 di bawah Angkatan Perpaduan Ummah. Ada juga bantahan dari dalam PAS, yang kemudiannya menubuhkan parti kecil, Islah. Fadzil terpaksa mengambil masa agak panjang menjelaskan kepada ahli-ahli parti tentang kewajaran pakatan dengan parti pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah itu.

Hasilnya, Angkatan menyapu bersih semua 52 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Kelantan. Pengaruhnya di Terengganu berjaya diperkukuhkan. Namun, kedudukan PAS di Kedah sedikit merosot, berbanding 1986 – sesuatu yang langsung tidak diduga.

Namun, hubungannya dengan DAP tetap melalui jalan sukar. Walaupun PAS sudah menerima hakikat bahawa mesti ada pakatan pembangkang yang formal sebelum dapat menumbangkan BN, tetapi kerjasama dengan DAP tidak kesampaian. Bebanan sejarah makin menjarakkan dua parti itu. Ku Li terpaksa bertindak sebagai orang tengah, sekurang-kurangnya bagi mengelak pertembungan sesama sendiri. Ekoran itu, selain dibentuk Angkatan, permuafakatan S46, DAP, PRM dan IPF mewujudkan Gagasan Rakyat.

Malah, menjelang pemecatan Anwar pada September 1998, hubungan PAS-DAP masih melalui krikil tajam. Hinggakan satu program yang dirancang oleh seorang pemimpin PAS di Markas Tarbiyyah PAS Taman Melewar, yang menjemput Lim Guan Eng bersama seorang nenek kepada seorang gadis bawah umur yang popular di Melaka terpaksa dibatalkan, bukan kerana arahan polis, tetapi disebabkan bantahan pemimpin PAS sendiri. Dibimbangi pemimpin Umno akan mengeksploit program itu bagi mempersendakan prinsip perjuangan PAS.

Tegasnya, persefahaman yang berjaya dibina oleh PAS dan DAP menjelang pilihan raya 1999 bukan dihampar permaidani merah, malah dihalang kawat berduri. Soalnya, mengapa selepas berhempas-pulas membina permuafakatan, dengan mudah sekali perceraian dilafazkan? – Dipetik dari akhbar CABARAN






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com