Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Interviu eksklusif Dinsman dengan Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor

Oleh : DINSMAN

DINSMAN: Sekarang kita mulai dengar secara umum orang bercakap mengatakan pembangkang atau Barisan Alternatif (BA) sekarang dalam keadaan yang mulai lemah. Ini berikutan beberapa peristiwa seperti DAP keluar pakatan BA, penahanan ISA terhadap beberapa pemimpin KeADILan dan aktivis PAS, sekatan ke atas ceramah, dan pengharaman jualan VCD politik. Apa pandangan ustaz?

DATUK FADZIL: Mungkin ada juga kebenarannya kenyataan itu, tetapi dalam kes DAP kita berasa walaupun DAP keluar, saya percaya ia akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang. Walaupun ia keluar dari pakatan BA, dari segi kedudukan sebagai pembangkang saya fikir tidak berubah, sama seperti parti-parti yang kekal dalam BA, semuanya akan terus berperanan sebagai pembangkang.

Mengenai pengharaman ceramah dan jualan VCD politik, walaupun pengharaman ini menyebabkan kesukaran orang ramai untuk menghadiri majlis-majlis ceramah kerana bimbangkan tindakan polis yang ganas, tetapi secara kecil-kecilan kita dapat juga meneruskan ceramah, dan penerangan dapat juga disampaikan kepada masyarakat, walaupun tidak seluas seperti sebelum pengharaman ceramah.

Kita menganggap tindakan yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) itu sangat tidak adil. Dalam keadaan sekarang BN terutamanya Umno mengambil kesempatan daripada keadaan dunia tidak menentu ini untuk menekan lagi pembangkang. Mereka seolah-olah bertindak untuk menentang keganasan tetapi sebenarnya merekalah yang melakukan keganasan, terutamanya dalam konteks dalaman negara. Mereka bersikap ganas terhadap pembangkang dan cuba menekan suara pembangkang.

Walau bagaimanapun saya percaya keadaan seperti ini tidak akan dapat berterusan, walaupun tindakan mereka itu, pada waktu ini, agak memberi sedikit keuntungan kepada mereka.

Tidak dapat berterusan … apa yang tidak dapat berterusan?

Tindakan mereka untuk mengharamkan ceramah. Kalau mereka meneruskan tindakan ini lebih lama, saya fikir ia akan menimbulkan keadaan yang berlainan. Masyarakat dunia akan menganggap bahawa memang benar parti yang berkuasa di Malaysia telah melakukan kezaliman dan penindasan kepada pembangkang, dan ini akan menghakis demokrasi dalam negara ini.

Tapi dengan perkembangan terakhir, berlakunya serangan terhadap Amerika itu, bukankah Mahathir menggunakan alasan itu untuk mengatakan apa yang dibuat oleh kerajaan Malaysia ini lebih baik, bagi menghalang keganasan?

Itu dia bercakap seorang diri. Dia tidak berani membenarkan pembangkang di Malaysia untuk berucap menerangkan kepada rakyat. Kalau kebebasan dan hak yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang, dimana kita boleh mengadakan perhimpunan dan ceramah secara aman -- kita boleh memperjelaskan sikap double standard Umno dan BN.

Pada masa dia menentang keganasan yang berlaku di luar negara, dia juga melakukan keganasan dalam negara.

Seperti juga dengan Amerika. Amerika menentang keganasan yang dilakukan oleh sesuatu kumpulan atau individu, mengikut anggapannya, tetapi pada waktu yang sama dia juga membenarkan keganasan yang dilakukan oleh sebuah kerajaan, seperti apa yang dilakukan oleh rejim Israel ke atas orang-orang Islam rakyat Palestin.

Ini sikap double standard. Sebab itu dunia pada hari ini masih mempertikaikan sikap double standard Amerika yang pada satu waktu bercakap seolah-olah dia anti keganasan, tetapi pada waktu yang sama dia yang mendorong kepada keganasan.

Itu juga yang dilakukan oleh Mahathir dan Umno -- berpura-pura menentang keganasan, berselindung di sebalik soal keamanan dan keselamatan, tetapi melakukan kezaliman dengan menggunakan akta yang zalim iaitu ISA, untuk menindas rakyat; dan juga menyekat kebebasan parti-parti pembangkang untuk bersuara.

Baru-baru ini bila pilihanraya negeri Sarawak menunjukkan kekalahan BA agak teruk dibandingkan dengan pilihanraya sebelum ini -- tidakkah itu satu tanda menguatkan lagi anggapan mengatakan pembangkang sekarang makin lemah.

Suasana di Sarawak berbeza. Sentimen anti-Semenanjung begitu kuat. Kalau kita lihat dari aspek ini, kerajaan selama 40 tahun cuba membentuk satu integrasi nasional, ternyata telah gagal. Pemimpin-pemimpin parti BN dari Semenanjung sendiri ikut bercakap mengapi-apikan semangat kenegerian dan anti-Semenanjung, apabila penyokong-penyokong pembangkang datang dari Semenanjung untuk menyokong parti-parti yang bertanding.

Bagi PAS, walaupun kita tidak menang, kita merasakan telah mencapai satu tahap sokongan yang agak memuaskan. Ini kali pertama kita bertanding di Sarawak. Kita tidak mempunyai banyak cawangan.

Dan keadaan infrastruktur di Sarawak jauh berbeza dengan di Semenanjung. Sebab itu pemimpin BN berkata bahawa pembangkang 20 tahun lagi pun tidak boleh bertapak kukuh di Sarawak. Ini kerana mereka mengukur dari segi pembangunan infrastruktur, dan rakyat mengharapkan pembangunan infrastruktur.

Saya fikir 20 tahun lagi pun soal infrastruktur di Sarawak, terutama melibatkan perhubungan jalan, tidak akan dapat diselesaikan, kerana kerajaan tidak memberi tumpuan ke arah itu. Mereka lebih banyak memberi tempat kepada keluarga pemodal ataupun golongan yang mengambil kesempatan untuk mengaut kekayaan dan keuntungan, yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin yang berkuasa dan keluarga mereka.

Soal tahap kemiskinan, kemunduran, aspek infrastruktur, ugutan -- ini yang menyebabkan BN masih boleh menang. Tetapi kalau kita lihat semangat anak-anak muda di Sarawak, telah banyak berlaku perubahan.

Untuk BA menang dalam pilihanraya umum akan datang kita memerlukan juga beberapa kerusi di Sarawak. Kalau BN masih kontrol semua kerusi di Sarawak kita tak boleh menang. Jadi apakah untaz menjangka kita boleh mendapat beberapa kerusi itu?

Dengan syarat walaupun kita tidak menang di Sarawak, kita harus terus bekerja dari sekarang -- PAS, KeADILan dan lain-lain parti dalam BA -- menyusun semula jentera parti dan memperkemaskan cawangan-cawangan. Saya fikir masa lebih kurang dua tahun yang masih ada di depan kita ini akan membolehkan rakyat Sarawak membuat penilaian semula.

Dari segi momentum - sekarang ramai orang kata BA sudah kehilangan momentum. Kalau kita lihat waktu awal dulu, sewaktu ditubuhkan Gerak, semangat itu nampak begitu ketara. Tetapi sekarang ia makin merosot.

Ya, mungkin semangat seperti itu tidak kelihatan, disebabkan penahanan aktivis parti dalam BA, terutamanya KeADILan, di bawah ISA, dan tidak dapat hendak menggerakkan semangat rakyat. Tapi saya percaya semangat itu sentiasa ada, tersimpan, tersembunyi dengan baik.

Semangat itu akan bangkit semula, insya-Allah, sebab isu yang dibangkitkan oleh BA dalam pilihanraya lalu masih terus bermain dalam fikiran rakyat. Ketidakadilan, isu Sdr Anwar Ibrahim, kezaliman, rasuah, nepotisme dan kronisme, masih terus berlaku dan bahkan semakin bermaharajalela.

Sekarang BN memikirkan mereka ada kuasa dan mereka boleh membuat apa saja yang mereka kehendaki. Tapi rakyat sedang memerhati tindakan-tindakan mereka. Walaupun pada zahirnya kita nampak keadaan tidak seperti 1999 lalu, saya percaya semangat itu akan timbul semula menjelang pilihanraya akan datang.

Atas alasan apa ustaz kata begitu?

Perkara-perkara yang dibangkitkan, yang menimbulkan semangat penentangan rakyat atau tuntutan perubahan -- faktor-faktor itu masih ada, seperti yang saya sebutkan tadi. Dan di kalangan anak-anak muda generasi baru yang akan menjadi pengundi, semangat itu masih hidup dalam diri mereka.

Walaupun BN mencuba menggunakan Puteri Umno dan program-program hiburan untuk mematikan semangat kesedaran politik anak-anak muda ini, tapi saya fikir kesedaran itu akan bangkit semula.

Walaupun tidak digembleng, tidak dipupuk …?

Perlu kepada penggemblengan dan penggemblengan ini akan dibuat.

Tapi sekarang penggemblengan itu kurang, bukan?

Sekarang ini, seperti saya katakan tadi, oleh kerana terdapat pemimpin-pemimpin muda terutama dari parti KeADILan, yang ditahan di bawah ISA, penggemblengan itu agak berkurangan.

Ustaz tak rasa bimbang dengan keadaan ini?

Insya-Allah saya yakin rakyat yang berfikir dan sedar tentang perkara ini akan terus memberi sokongan ke arah perubahan. Yalah, kebimbangan itu sedikit sebanyak tentulah ada, tetapi kita harus berusaha.

Ramai orang bercakap mengatakan bila Dr Mahathir ambil tindakan satu lepas satu lepas satu, nampak macam tak ada tindak balas daripada pembangkang?

Dia menggunakan kuasa, menggunakan undang-undang seperti ISA dan beberapa akta yang lain. Kita tidak mengambil tindakan balas yang keras terhadap tindakan-tindakan yang dibuat oleh Dr Mahathir itu, tetapi kita mengambil tindakan melalui proses undang-undang, melalui Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan melalui penerangan-penerangan yang terhad yang dapat kita buat.

Paling tidaknya kita dapat memberi penjelasan kepada rakyat tentang tindakan-tindakan zalim yang dilakukan oleh BN, terutamanya pimpinan Umno. Dengan itu kita dapat mengekalkan semangat dan kesedaran rakyat. Cuma kita tidak gemblengkan semangat itu untuk bertindak balas secara kekerasan. Itu saja.

Bagaimana ustaz melihat kesan dari peristiwa di Amerika itu kepada kita? Tidakkah itu memberi kelebihan kepada Dr Mahathir?

Peristiwa itu sebenarnya tidak ada kaitan dengan perjuangan kita di Malaysia, sebab di Malaysia kita parti-parti pembangkang berjuang melalui proses demokrasi. Soal keganasan tidak ada kaitan dengan kita. Tetapi BN terutama Dr Mahathir cuba menggunakan itu untuk memberi satu imej bahawa kita pembangkang ini mempunyai ciri-ciri kekerasan seperti itu. Tetapi rakyat tahu, selama ini kita tidak pernah terlibat dengan tindakan-tindakan ganas atau keras.

Bahkan di Sarawak sekalipun, yang memaki-hamun, yang melakukan tindakan ganas, memukul petugas-petugas pilihanraya, ialah parti BN. Ini kita dapat buktikan melalui gambar-gambar yang kita dapat ambil, dimana petugas-petugas pembangkang dipukul dan luka. Tetapi tindakan seperti itu tidak dilakukan oleh pembangkang terhadap pekerja-pekerja BN.

Saya fikir pengundi kita terutama di Semenanjung tidak mudah dipengaruhi dengan propaganda buruk dan fitnah jahat Umno. Buktinya kita lihat umpamanya pilihanraya kecil di Lunas, yang berlaku selepas peristiwa rompakan senjata di Sauk. Dia cuba juga berikan gambaran negatif terhadap pembangkang di Lunas, tetapi rakyat di Lunas tidak dipengaruhi dengan sentimen itu. Mereka tahu bahawa kita bukan golongan yang melakukan keganasan dan bukan golongan yang bertindak melalui proses kekerasan. Kita tetap berpegang dengan proses demokrasi.

Sehingga sekarang belum ada … atau memang tak ada rancangan atau program daripada BA untuk mengembalikan semula momentum …?

Kita akan bermesyuarat dalam masa yang terdekat dan kita akan bincangkan perkara ini.

Mengenai keluarnya DAP dari BA -- apa tindakan selanjutnya?

Kita belum buat apa-apa keputusan lagi. Tetapi kita menghormati keputusan DAP. Itu hak dia, untuk keluar. Cuma saya agak terkilan sedikit DAP mengambil keputusan itu secara bersendirian, dan tidak mengadakan perbincangan dengan semua parti komponan dalam BA. Sewajarnya sebagai rakan dalam BA dia tidaklah mengambil keputusan secara bersendirian. Sepatutnya apa yang dia mahu, apa yang dia tuntut itu, dikemukakan dahulu dalam mesyuarat BA.

Tetapi dengan hanya mengadakan perundingan dengan PAS, tanpa merujuk kepada BA secara keseluruhannya, dia telah membuat keputusan. Walau bagaimanapun itu adalah hak dia untuk buat keputusan. Kita belum ada sebarang rancangan untuk memujuk atau meminta dia mengkaji semula keputusan itu.

Ada pendapat mengatakan keluarnya DAP itu menunjukkan satu kegagalan PAS untuk menerangkan tentang kebaikan Islam.

Bukan soal kegagalan, tetapi soal yang dituntut oleh DAP daripada PAS adalah sesuatu yang tak dapat diterima oleh PAS, walaupun kita telah banyak bertolak ansur. Kita tidak boleh menerima semua permintaan DAP, walaupun kita telah kompromi beberapa perkara yang dicadangkan mereka.

Tidak semua perkara yang dikehendaki DAP itu kita dapat terima, kerana ada perkara yang kita anggap berlawanan dengan prinsip kita. Bukan soal kegagalan kita untuk menerangkan tentang negara Islam. Negara Islam adalah negara Islam, tetapi soal perhitungan politik itu yang menjadi kunci kepada keputusan yang dibuat oleh DAP






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 14 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com