Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Interviu tele-interview wakil Memo12 dengan Prof P. RAMASAMY, Jabatan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia

Oleh : WARTAWAN MEMO12

Serangan ke atas WTC dan Pentagon di Amerika Syarikat (AS), 11 September, masih lagi menjadi topik perbincangan ramai walaupun tidak sehangat dulu. Berikut adalah tele-interview wakil Memo12 dengan Prof P. RAMASAMY, Jabatan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 3 Oktober 2001.

Apa rumusan Prof ekoran serangan terhadap WTC dan Pentagon di Amerika Syarikat (AS) 11 September lalu?

RAMASAMY: Banyak perkara yang boleh dilihat dari peristiwa yang membawa kemusnahan teruk dan meragut ramai nyawa yang tidak berdosa itu. Pertama, keganasan ini mengakibatkan orang awam yang tidak berdosa menjadi mangsa. Ini langsung tidak dapat diterima. Saya pun tidak pasti siapa yang disebut sebagai pengganas itu, walaupun disebut ia adalah orang Islam; dan saya pun tidak bersetuju yang semua orang Islam itu adalah pengganas. Kedua, walaupun kita mengkritik serangan itu tetapi kita juga mesti menerima hakikat yang AS perlu membetulkan dasar luarnya dengan negara-negara tertentu dan terhadap organisasi-organisasi tertentu. Dasar AS terhadap Timor Timur dan Palestin adalah sesuatu yang tidak sihat dan tidak diterima. Sikap Amerika mungkin tidak objektif tentang penubuhan negara Palestin. Bukan hanya di Palestin, malah di tempat-tempat lain pun terdapat orang Islam dan juga bukan Islam yang tidak setuju dengan dasar luar AS yang lebih bias kepada regim-regim yang sebenarnya menghukum kumpulan-kumpulan tertentu. Perkara yang dilabelkan sebagai terorisme atau keganasan itu saya rasa sebenarnya ia sesuatu yang berbau politik. Kita mesti tanya dulu apa itu pengganas? Apakah pengganas itu tidak ada kerja lain selain melakukan kecederaan dan kematian kepada orang awam? Atau pengganas-pengganas ini ada objektif politik? Kita tidak boleh labelkan semua yang kita tidak setuju sebagai pengganas. Kita mesti ingat, mereka yang melakukan keganasan ini adalah mereka yang telah dipinggirkan dan tidak diterima oleh pihak berkuasa, atau (dalam konteks sekarang) tidak diterima oleh AS. Dunia ini bukan satu tempat dimana semua negara ada tahap yang sama. Kita ada perbezaan yang besar antara negara maju dan tidak maju. Jadi apabila negara maju melaksanakan dasar yang tidak berfaedah kepada negara-negara yang tidak maju atau organisasi tertentu, saya rasa berlaku satu perbalahan atau konflik antara dua dunia ini. Pendek kata, saya rasa semua manusia yang waras patut mengkritik keganasan yang dilakukan terhadap orang awam, tidak kisahlah siapa mereka, orang Islam atau orang bukan Islam; Kristian atau Hindu dan sebagainya. Disamping itu saya berpendapat kuasa besar AS mesti membetulkan dasar luarnya supaya lebih adil kepada kumpulan-kumpulan yang dipinggirkan, yang didiskriminasi seperti Palestin, orang-orang Tamil di Sri Langka dan sebagainya.

Apa pilihan AS sekarang?

Saya rasa AS dan sekutunya akan melakukan secara diplomatik dahulu. Apabila diplomatik gagal baru mereka akan menggunakan kekerasan atau tentera. Kita pun tahu, Pakistan satu negara yang sangat opportunis. Sebenarnya Pakistan adalah antara negara yang menyokong dan memperkuatkan Taliban. AS juga memberi banyak senjata kepada Taliban untuk melawan Soviet Union dulu.

Tapi sekarang ini lain. Pakistan sebenarnya satu negara yang terlalu bergantung kepada AS. Tanpa pertolongan AS kerajaan Pakistan akan jatuh. Dalam situasi ini saya rasa Pakistan tidak ada jalan keluar selain menyokong AS. Tetapi dalam masa sama, Pakistan juga tidak mahu menggulingkan regim Taliban. Mereka bimbang kalau AS menggulingkan regim Taliban, ia akan digantikan dengan apa yang dikatakan sebagai Pakatan Utara atau Northern Alliances, yang disokong oleh AS dan mungkin juga India dan lain-lain negara yang anti-Taliban, mungkin juga Iran.

Jadi saya rasa AS akan menggantikan Taliban dengan regim baru. Mungkin Northern Alliance itulah. Tetapi amat ketara yang regim Pakistan ini sendiri dalam dilema. Di satu pihak mereka mungkin sokong AS, manakala di sudut lain pula mereka turut bimbang kerana yang melakukan keganasan itu adalah pihak Pakistan itu sendiri.

Sekiranya serangan ke atas Afghanistan dilakukan, adakah ini menunjukkan niat sebenar AS untuk melemahkan dan kalau boleh menghancurkan mana-mana negara Islam yang nampak kuat?

Ini bukan masalah mereka hendak menghancurkan negara Islam atau tidak. Saya sendiri tidak sokong Taliban, kerana Taliban ini ganas. Afghanistan adalah negara yang teruk. Ini bukan bermakna saya sokong dasar luar AS. Masalahnya kita nampak dengan pasti yang AS akan menjatuhkan Taliban, sebab mereka mengatakan Taliban melindungi Osama bin Laden dan kumpulannya.

Tapi sebenarnya mana ada negara Islam yang sebanarnya? Cuma ada slogan-slogan negara Islam seperti yang digunakan oleh PAS, Mahathir dan sebagainya. Ini semua tidak penting. Dan saya amat pasti yang keganasan ini kita tidak boleh salahkan Islam. Kalau AS menghukum Taliban, ini bukan bermakna mereka menghukum Islam.

Keganasan macam ini, adakah ia memberi harapan kepada orang lain? Ini bukan caranya, sesuatu yang begitu ekstrim. Saya rasa perkara ini tidak memberi satu harapan kepada manusia dan juga di Afghanistan yang nampak teruk sekali. Jadi saya bimbang apabila mereka serang WTC dan Pentagon, sudah tentu AS akan membalas serangan itu.

Apakah impak global terhadap peristiwa serangan itu?

Ini memberi peluang kepada AS dan sekutu-sekutunya untuk melancarkan serangan diplomatik dengan tentera-tenteranya terhadap keganasan, dan Malaysia pun mungkin akan mengalami keadaan itu juga kerana kita pun ada KMM, ada link dengan PAS walaupun hubungan dengan PAS saya tidak pasti. Ini akan memberi implikasi yang besar bukan hanya kepada Malaysia malah juga kepada dunia. Sebenarnya di mana-manapun di dunia ini ada kumpulan keganasan.

Apakah ia akan mempengaruhi keadaan politik di Malaysia?

Mungkin tindakan akan diambil terhadap gerakan yang dianggap militan di Malaysia, seperti KMM, dan mungkin juga secara tidak langsung terhadap PAS kerana ramai di antara anggota KMM adalah ahli PAS. Tapi itu saya belum pasti lagi.

Ada laporan mengatakan pihak Inteligen Israel tahu tentang serangan itu, kerana didapati seramai 4,000 pekerja Israel di WTC bercuti pada hari tersebut.

Saya baru dengar tentang ini daripada saudara, dan sebenarnya macam-macam lagi khabar angin yang tersebar. Jadi kita mesti hati-hati dengan khabar angin ini.

Pada 1991 AS menyerang Iraq yang merupakan antara negara Islam yang kuat dari segi ketenteraan, dengan alasan membalas serangan Iraq terhadap Kuwait. Sekarang kerajaan Taliban di Afghanistan pula akan menjadi sasaran serangan balas AS kerana menyembunyikan Osama yang dikatakan sebagai dalang dalam serangan ke atas AS. Senario ini menunjukkan betapa takutnya AS terhadap negara Islam yang tidak mahu ikut telunjuknya.

Itulah kadang-kadang Osama sendiri tidak ada sikap jangka panjang. Akhir sekali dia tidak mendapat sokongan dari negara-negara tertentu kecuali pergerakannya sendiri Al-Qaidah. Adakah perbuatan ini memberi faeadah atau apakah signifikannya kepada orang Islam, iaitu samada ia membesarkan atau memberi semangat kepada pergerakan Islam?

Bagi saya serangan itu amat negatif, kerana membunuh orang yang tidak berdosa. Kalau mereka serang Pentagon atau pengkalan-pengkalan tentera lain, orang pun tidak kisah, kerana tidak melibatkan orang awam. Tapi perbuatan mereka yang menyebabkan ramai orang yang tidak berdosa mati, memang tidak patut. Ini mencemarkan nama Islam di mata dunia, kerana dalam WTC itu ada pelbagai kaum dan bangsa - Cina, India, Pakistan, Amerika, Britain dan banyak lagi. Seperti juga mengusir Israel dari Palestin, mereka tidak boleh buat macam itu.

Apakah yang perlu masyarakat dunia lakukan untuk mengelakkan keganasan yang bakal dilakukan oleh AS apabila menyerang Afghanistan nanti?

Kita mesti berikan keadilan kepada manusia-manusia yang telah terpinggir -- mendengar mereka, menerima aduan mereka. Apabila mereka dipinggirkan dan tidak diendahkan, mereka akan rasa putus harapan. Bila mereka rasa tiada satu tempat pun yang boleh mereka bergantung, maka mereka akan bertindak sendiri. Maka terjadilah apa yang telah terjadi; AS diserang.

Adakah Prof rasa PBB boleh menjalankan peranannya untuk mengelakkan berlakunya “Perang Dunia Ketiga” ini?

PBB mana ada kuasa lagi! Yang ada kuasa hanyalah hegemoni Amerika. Jadi apabila PBB tiada kuasa, macamana ia boleh berperanan? Mungkin adalah sedikit sebanyak yang boleh mereka lakukan, tapi ia memang terhad, sebab mereka tiada kuasa.

Apa akan jadi pada dunia kalau AS serang Afghanistan? Will the world ever be the same if AS attack Afghanistan?

Saya tidak fikir dunia ini akan kiamat jika AS serang Afghanistan. Dunia akan terus hidup. Dan orang ramai termasuk juga Muslim tetap dapat meneruskan hidup meraka.

Sekiranya AS benar-benar menyerang Afghanistan, adakah akan berlaku keadaan seperti Perang Salib (Crusade)?

Tidak. Taliban itu bukannya mewakili umat Islam di seluruh dunia, jadi tiada perang salib atau apa.

Tetapi ini juga melibatkan sentimen keagamaan dimana dua pihak terlibat: Islam dan Kristian.

Kalau kerana serangan yang bakal dilakukan nanti akan meningkatkan sentimen orang Islam, maka sentimen orang bukan Islam pun akan meningkat juga.

Tidakkah ini akan membawa satu akibat yang dahsyat?

Saya tidak rasa begitu. Orang Islam mesti membaiki ekonomi dan negara mereka sehingga sampai ke tahap yang baik sekali. Dari segi hak asasi di Afghanistan, kita lihat wanita contohnya tidak dapat bekerja, pergi sekolah dan sebagainya. Benda-benda seperti ini yang perlu mereka perbaiki.

Dalam konteks negara kita Malaysia, keganasan memang ada hadnya kerana kita negara yang sedang membangun. Walaupun ada kumpulan-kumpulan tertentu, itu biasalah, dan tahapnya terkawal. Kita ada sistem yang baik dari segi pemerintahan dan sebagainya, walaupun masih ada ruang-ruang yang perlu dikritik dan diperbaiki.

Sebenarnya orang Islam di Malaysia banyak memberi sumbangan kepada negara. Jadi kenapa pula mereka mahu wujudkan lagi negara Islam dan timbulkan keganasan? Tapi ini semua subjektif.

Jadi, kalaupun AS menyerang Afghanistan, dunia akan tetap sama. Tetapi saya rasa pada asasnya semua negara-negara Islam mesti menjadi kreatif. AS perlu mengubah polisi mereka terhadap negara-negara Islam. Isu Palestin harus diselesaikan secepat mungkin, kerana serangan ke atas AS ini berpunca daripada isu Palestin.

Masalah Pakistan pula, walaupun dia kata dia Islam tapi sebenarnya dia seperti pengemis, dalam apa-apa hal pun dia sentiasa patuh kepada AS. Contohnya Mussyaraf, Presiden Pakistan, walaupun ada senjata nuklear, tetapi masih tidak berani .

Adakah isu Palestin boleh diselesaikan jika dilihat kepada sikap AS yang memihak kepada Israel?

Saya rasa kalau AS hendak, memang ia boleh diselesaikan. AS mendapat tekanan daripada European Union. Apa yang perlu dilakukan ialah memberi kemerdekaan kepada negara Palestin, disamping itu juga mesti menerima Israel. Tidak wajarlah kalau Palestin diterima, Israel tidak. Arafat pemimpin pembebasan Palestin pula berkata mahu hancurkan Israel. Ini akan menyebabkan AS tidak akan mempertimbangkan masalah Palestin.

Macamana kita nak justifikasi perhatian AS terhadap isu Palestin ini, kerana kalau kita tengok dalam pemerintahan AS sendiri ramai orang Israel ataupun yang di bawah pengaruh mereka?

Sebenarnya AS mahu menolong Israel kerana bagi mereka Israel sahaja yang dapat menjaga kepentingan AS di Timur Tengah. Maka kewujudan Israel ini mesti diterima kalau mahukan sokongan dari AS. Selagi negara Israel tidak diiktiraf, selagi itulah isu Palestin tidak akan diselesaikan oleh AS.

Tetapi bukankah Israel itu sebuah negara yang haram, yang dibangunkan di tanah milik orang-orang Palestin, dan mereka umpama parasit?

Israel bukan parasit. Inilah masalah negara-negara Islam. Mereka tidak mahu mengiktiraf negara Israel. Kerana itulah masalah tidak pernah selesai. Saya bukan mempertahankan Israel dan dasar-dasarnya, tetapi walau apapun keadaannya kita mesti menerima Israel juga. Pada masa yang sama juga kita menerima kemerdekaan Palestin.

Apa yang nyata hari ini samada AS atau Israel masih tidak mengiktiraf kemerdekaan Palestin, bilamana Israel boleh dengan sewenang-wenangnya melakukan keganasan terhadap Palestin.

Inilah masalahnya yang timbul di antara mereka. Saya sendiri pun tidak pasti bagaimana mereka hendak selesaikan isu ini. Yang pasti kalau ia tidak diselesaikan, keganasan ini akan merebak dan berterusan.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 14 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com