Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Semakin ditekan semakin kita kuat: ‘Masa paling baik untuk pembangkang’

Selepas tidak bertanding dalam pilihan raya 1999, ketika mana negara heboh dengan ura-ura beliau akan mencabar Dr Mahathir Mohamad di Kubang Pasu, nama DATUK DR HARON DIN seolah-olah kian terpinggir. Ramai yang kecewa dengan keputusannya itu, malah ada yang mengaitkannya dengan kekalahan PAS di Perlis, negeri kelahirannya.

Ramai sekadar dapat meneka, apakah ulamak terkenal ini sudah beralih angin atau diasak masalah kesihatan yang serius, atau mungkin memilih pendekatan yang lebih lembut terhadap kerajaan pimpinan Mahathir?

Wakil majalah Tamadun, Ahmad Lutfi Othman dan Ahmad Zain tidak melepaskan kesempatan bila Dr Haron Din bersetuju untuk diwawancara, walaupun selepas dua kali tertangguh. Ternyata beliau masih bertenaga dan begitu prihatin dengan perkembangan politik tanahair, malah cukup kritikal terhadap kerajaan BN pimpinan Mahathir.

TAMADUN: Setelah pilihanraya 1999 Datuk Dr Haron Din seolah-olah tenggelam dari khalayak ramai. Banyak yang tertanya-tanya ke mana Datuk, sakitkah atau apa? Dapat Datuk jelaskan?

DATUK DR HARON DIN: Memang benar pandangan sesetengah orang bahawa sejak akhir-akhir ini saya tidak aktif dalam politik dan seolah-olah menyisih diri. Suka saya menjelaskan bahawa saya masih seperti dahulu; komited dengan perjuangan. Saya menganggotai ahli Dewan Ulamak PAS Pusat, dan masih menyumbang kepada kegiatan parti seperti ceramah, mesyuarat, memberi pandangan dan lain-lain untuk kepentingan parti. Cuma tidak boleh aktif seperti dahulu, sebagaimana ketika fit in everything.

Saya terpaksa menjalani pembedahan jantung buat kali keempat. Pada kebiasaannya empat kali pembedahan ini sangat berat untuk ditanggung orang biasa, tetapi saya menjalani kesemua itu. Yang terbaru saya baru sahaja menjalani pembedahan. Walaupun saya telah sihat, tetapi sihat orang yang berumur lebih 60. Jadi saya terpaksa mengutamakan kesihatan daripada yang lain.

Kerana kesihatan juga saya tidak dapat berjumpa dengan akhbar, kerana ketiadaan masa. Contohnya pertemuan dengan saudara ini pun telah berubah sehingga tiga kali barulah dapat bertemu. Ini menunjukkan tugas-tugas saya yang banyak dengan kerja-kerja amal. Suka juga saya sebutkan bahawa saya juga terpaksa menunaikan permintaan ceramah di luar negara seperti Singapura, Thailand, Kemboja dan Brunei Darussalam. Dan banyak juga rombongan orang agama dan pelajar, terbaru dari Uinversiti Islam Antarabangsa, yang datang ke rumah untuk berbincang hal-hal agama yang serius.

Saya juga mempunyai jadual khusus untuk rawatan seperti di Perlis, Langkawi, Kelantan dan Terengganu, termasuk program rawatan yang diatur di kampung-kampung dimana kita dirikan khemah-khemah untuk berdoa secara Islam; dan sebahagian besar rawatan saya diadakan di Darul Syifa'. Itulah masa-masa terluang untuk membantu masyarakat.

Namun demikian saya juga masih berceramah, dan sekarang saya terpaksa menghadapi suasana dimana beberapa ceramah saya terpaksa dibatalkan kerana alasan keselamatan. Pernah ketika saya telah sampai ke tempat ceramah, penganjur membatalkan kerana alasan tekanan yang begitu hebat dan sebagainya.

Datuk mengatakan pasal tekanan. Pada November ini telah dua tahun pilihanraya berlalu. Nampaknya Perdana Menteri semakin menekan. Deraan terhadap pembangkang semakin hebat sebagaimana sekarang ceramah dihalang, mimbar masjid dibelenggu dan ISA semakin mengganas. Apa pandangan Datuk?

Pertamanya, suka saya menyebut bahawa suasana politik yang dihadapi sekarang tidak pernah saya temui sebelum ini. Kini umur saya 61 tahun. Saya hidup pada zaman awal kemerdekaan, pertengahan dan suasana mutakhir. Yang kita temui dan rasai saya rasa belum sampai ke kemuncaknya. Ia adalah satu permulaan tindakan yang terpaksa mereka buat, dimana terbukti mereka telah tidak relevan lagi.

Sebagai seorang bekas ahli akademik di UKM, dan kini saya bersara dan berkecimpung dalam PAS, saya dapat merasakan tindakan mereka adalah satu tindakan yang bukan sahaja tidak Islamik, tetapi very undemocratic oleh negara seperti Malaysia yang mengamalkan so called politik sekular.

Tiba-tiba mereka tidak membenarkan musuh politik berinteraksi dengan masyarakat, seperti larangan ceramah; sedangkan pemerintah menggunakan kebebasan itu dengan berleluasa. Pemerintah menggunakan TV, radio, media arus perdana dan segala macam peralatan hatta artis dan sebagainya, untuk terus mengasak masyarakat supaya menerima dan menganggap perjuangan mereka sebagai perjuangan yang benar.

Mereka membuat tohmahan terhadap pembangkang dengan pelbagai isu, bahkan kadang-kadang mengadakan isu-isu tertentu sedangkan yang sebenarnya bukanlah isu.

Tidak cukup menahan orang politik yang berceramah, mereka membuat tindakan yang melanggar hak asasi manusia sehinggakan Suhakam terpaksa membuat bantahan. Dan tidak cukup dengan itu mereka mempersoalkan pula tugas asasi para ulamak yang membekalkan rakyat dengan idea-idea Islam; membentuk keperibadian Islam, menyebarkan ilmu dan membawa ke arah manusia bertakwa, mentaati Allah s.w.t, membantu negara mewujudkan masyarakat yang harmonis.

Mereka menafikan kesemua hak-hak itu. Ceramah agama pun tidak boleh. Malah mereka telah melakukan satu perkara yang menyimpang daripada takrif sebenar, contohnya khutbah atau mimbar Jumaat. Sunnahnya nabi kita menyampaikan khutbah dengan tidak pernah membaca sebarang teks. Alasannya kerana nabi kita bersifat ummiy - tidak pandai membaca dan menulis.

Jelasnya nabi kita membaca khutbah dengan spontan dan impromtu. Sahabat besar juga berkhutbah tanpa teks, begitu juga zaman tabi'in, tabi't-tabi'in dan seluruh ulamak membaca khutbah tanpa teks. Khatib menyampaikan khutbah dengan bebas, kerana telah diberikan kepercayaan penuh kepadanya.

Khatib adalah engineer, arkitek masyarakat - implementor. Mereka mempunyai idea dan terserah kepada mereka untuk menyampaikan khutbah. Tetapi di zaman kita, kita wajibkan semua imam membaca teks yang dibuat daripada satu pihak sahaja. Mewajibkan membaca teks adalah suatu perkara baru yang jauh menyimpang daripada ruh syari'at.

Yang kedua, kita menghukum orang yang tidak membaca atau yang menyimpang daripada teks dengan hukuman yang seberat-beratnya. Ada yang kena buang, ada yang ditukar dan ada diberi amaran. Ia adalah satu hukuman yang tidak tepat dan tidak wajar.

Yang ketiga, bagaimana masyarakat dapat menerima ajaran Islam sebenar jika para ulamak tidak dibenarkan menyampaikan mesej kepada masyarakat, tetapi digunakan oleh pemerintah dengan mengontrol mimbar Jumaat?

Ceramah tidak boleh disampaikan melainkan dengan kebenaran. Kadang-kadang pelik memikirkan terdapat negeri-negeri yang saya juga menjadi ahli Majlis Fatwa, diberi tauliah sebagai ahli Majlis Fatwa negeri, tetapi anehnya tidak diberi hak menyampaikan pandangan kepada masyarakat melalui khutbah di masjid.

Bagaimana mereka dapat menerima hakikat bahawa dia adalah ahli Majlis Fatwa tetapi tidak dibenarkan berceramah? Itulah di antara keganjilan yang berlaku.

Akhirnya dengan kezaliman, gertakan dan sebagainya, ditambah lagi dengan gertakan ditahan ISA. ISA adalah satu undang-undang yang kita pakai tetapi sangat berlawanan dengan sistem Islam. Juga sangat berlawanan dengan kehendak negara maju yang beramal dengan rule of law, yang mengatakan undang-undang sahaja yang dapat menentukan seseorang itu salah atau tidak.

Sepatutnya seseorang itu sebelum dipenjarakan hendaklah dibawa ke mahkamah terlebih dahulu. Tetapi mengapa menggunakan ISA? Ini adalah satu lagi yang menghantui pejuang-pejuang Islam yang mencari kebenaran dan keadilan.

Namun demikian saya merasakan kesemua yang berlaku ini tidak akan mengubah sikap, pandangan atau melunturkan orang-orang yang memperjuangkan kebenaran. Dan kebenaran mutlak ialah kebenaran Illahi dalam perjuangan mempertegakkan hukum Allah s.w.t dalam negara kita.

Nampaknya tekanan semakin hebat, tetapi pada Datuk tekanan ini belum sampai ke kemuncak lagi. Kita bimbang komitmen atau istiqomah pendokong kebenaran yang dikenakan tekanan berupa fizikal dan mental, adakah mereka dapat bertahan dalam saat-saat genting begini?

Saya katakan begitu kerana membaca insiden yang telah berlaku dalam sejarah sebelum kita. Tekanan yang lebih hebat berlaku pada tahun 1924 ketika jatuhnya kerajaan Islam Uthmaniyah Turki dan naiknya Mustaffa Kamal (Atarturk) yang menggunakan pelbagai cara yang kita panggil 'matlamat mengharuskan segala cara'.

Dia menggunakan tekanan hebat di pelbagai peringkat sehinggakan mana sahaja ulamak yang dirasakan menghalang kehendak pemerintah baru, iaitu Mustaffa Kamal, mereka disiksa, dibunuh dan sebagainya. Kita melihat tindakan itu sangat buruk di dalam sejarah. Tetapi mereka jangan lupa bahawa kekejaman dan penganiayaan yang dibuat dengan begitu hebat terhadap orang Islam oleh Mustaffa Kamal apabila sampai ke kemuncaknya dia sendiri diazab oleh Allah s.w.t.

Sejarah kematiannya sangat mengerikan. Di saat-saat kematiannya badannya menjadi sepanas-panasnya dan mulutnya menjerit-jerit. Dikatakan terpaksa disediakan sebuah bahtera khas untuknya yang sedang sakit. Dia duduk di dalam sebuah kotak yang berisi air batu dan diletakkan di dalam bahtera yang belayar menuju ke Laut Hitam. Dikatakan ketika melintasi Selat Bhosporus di laut itu, jeritannya dapat didengari sehingga ke istana Sultan Abdul Hamid (yang dijatuhkannya). Ketika kematiannya berlaku kesukaran mencari orang untuk memandikan jenazahnya.

Saya menyebut ini supaya orang mencontohi Mustaffa Kamal itu jangan lupa bahawa balasan setimpal akan diberikan Allah s.w.t. kepada seseorang itu di dunia sehinggalah ke akhirat.

Memanglah tekanan jika berterusan tanpa batasan waktu akan melemahkan pejuang Islam dan pejuang kebenaran. Tetapi dalam konteks negara kita, saya rasa apa yang kita hadapi dan terima dimana berlaku tarbiyah kepada orang yang berjuang ini, saya mempunyai keyakinan bahawa kita akan tahan. Malahan terdapat tanda-tanda semakin ditekan semakin kuat ketahanan itu.

Suka juga saya memberikan contoh ketahanan badan anak-anak orang kampung dan anak-anak orang bandar. Anak-anak bandar didapati mudah kena selsema, batuk dan sakit, berbanding anak orang kampung yang biasa dengan nyamuk atau selalu berhujan. Mereka tahan dengan cabaran hidup susah dan cabaran penyakit.

Apabila mereka ke bandar didapati mereka jarang terkena penyakit sebagaimana anak-anak orang besar di bandar. Jadi orang yang ditarbiyah dengan siri tarbiyah yang panjang seperti halaqah zikir, halaqah ilmu, usrah, tamrin, ceramah dan sebagainya, memberikan mereka ketahanan berdepan pelbagai cabaran.

Apa yang saya lihat sekarang, contohnya pada suatu masa dahulu seorang pejuang reformasi, Zunar (seorang kartunis), yang berceramah di Datuk Keramat bersama saya. Ketika itu sebenarnya beliau baru sahaja keluar daripada lokap polis. Zunar terus ke tempat ceramah kerana mahu terus berjuang. Kita lihat semakin ditekan semakin dia kuat, tidak pernah surut.

Sejarah telah membuktikan bahawa pejuang-pejuang Islam itu semakin ditekan semakin kuat hati mereka. Sejarah juga telah membuktikan bagaimana Hulako Khan yang merampas dan memerintah Baghdad tetapi orang Islam terus memperjuangkan agama sehinggalah orang Tartar (yang menakluki Baghdad) akhirnya memeluk Islam.

Kesimpulannya saya yakin insya-Allah kita akan dapat bertahan terhadap ujian ini.

Pemerintah semakin hebat menyebarkan fitnah terhadap pembangkang, khususnya gerakan Islam. Mereka mengaitkan PAS dengan gerakan militan. Baru-baru ini Perdana Menteri mengatakan hubungan Barat dengan Malaysia mungkin tidak berapa baik hari ini, tetapi jika tumbang kerajaan yang ada hari ini, yang akan mengambil tempat mereka adalah pembangkang daripada fundamentalis Islam. Apakah benar tuduhan itu, sedangkan kita negara demokrasi yang mementingkan suara majoriti?

Senario yang kita sedang hadapi sekarang adalah senario politik. Dalam politik kita harus membezakan dua yang besar. Politik Islam dan non-Islam. Jika kita mengamalkan politik non-Islam, kita akan menggunakan segala cara untuk melemahkan pihak lawan, untuk menampakkan kepada rakyat bahawa kitalah yang terbaik, dan akan mengadakan suatu keadaan lawan kita tidak competent atau tidak layak memerintah dan sebagainya. Hanya kita yang layak.

Ini dilakukan oleh semua parti politik Barat, di Amerika Syarikat dan Great Britain. Mereka berpandukan polisi pemerintahan, bukan berdasarkan polisi keagamaan. Ia melihat apakah perkara yang mendatangkan kebaikan kepada rakyat semata-mata.

Tetapi perlu kita fikirkan cara yang kedua, berlandaskan keagamaan ataupun faham politik Islam. Di negara kita Malaysia wujud iklim yang dapat menyuburkan politik Islam, dan pada masa yang sama wujud juga politik kebendaan sekular Barat. Tetapi sudah diterima umum bahawa di Malaysia kita mempunyai politik Islam yang dapat dijadikan wadah perjuangan.

Sekarang di negara kita terdapat dua aliran politik, iaitu politik Islam dan politik beraliran liberal atau sosialis dan lain-lain. Apabila berhadapan dengan keadaan begitu sepatutnya kita tidak memikirkan hal-hal yang berkaitan keduniaan sahaja. Walaupun kita dalam kelompok politik non-Islam, jangan kita mengharapkan kemenangan politik non-Islam, iaitu kemenangan politik kita sahaja, sehinggakan sanggup kita menghentam politik lawan kita yang bercorak Islam.

Islam bukan hal parti PAS, ia menyangkut semua orang yang mengucap asyhadu an-laailaha illallah. Maka semua orang yang diamanat-Nya kena mendokong Islam. Kalau pemerintah selalu menghentam orang PAS sahaja tidak apa, tetapi jangan sampai menyentuh dan menghina dasar-dasar Islam.

Jika kita melihat contoh di dunia - di Indonesia, Yaman, Mesir - atau di Malaysia sendiri dimana mereka orang Islam tetapi tidak memperjuangkan politik Islam. Itu mungkin tidak mengapa. Oleh kerana terdapat mereka yang bersungguh-sungguh menjadikan Islam sebagai dasar, sebagaimana parti PAS, maka apabila pemerintah hendak menyaingi PAS, tidak sebagaimana dahulu dimana mereka tidak mengkritik dasar (Islam). Pada ketika itu mereka hanya mengatakan PAS golongan pak lebai yang tidak pandai berbahasa Inggeris, macamana hendak mentadbir negara. Mereka hanya menyentuh peribadi orang-orang PAS.

Tetapi selepas pilihanraya 1999, tiba-tiba sahaja seperti halilintar membelah bunyi, para profesional, ahli akademik dan para arkitek menyertai PAS. Ketika kempen di Perlis saya diamanahkan mengisytiharkan nama-nama calon yang bertanding. Kita bersetuju mengadakan satu strategi. Ketika mengumumkan calon-calon yang akan bertanding, kita menampilkan calon ke khalayak dan membacakan biodata mereka yang kebanyakannya mempunyai kelayakan dan pengalaman yang tinggi. Kita mempunyai barisan calon yang mantap.

Keesokannya pihak pemerintah dalam ceramahnya mengatakan untuk memerintah negeri seperti Perlis tidak memerlukan kelulusan yang tinggi. Ia mengarut dan membuang masa sahaja, kata mereka. Saya terperanjat dengan ucapan orang yang memerintah yang menafikan perlunya wakil rakyat yang berkelulusan tinggi, kerana calon mereka kebanyakannya tidak mempunyai kelayakan secukupnya.

Maka akhirnya mereka sanggup mengkritik Islam, seperti mengatakan ‘Islam tidak sesuai dengan zaman'. Mereka sanggup mengatakan jika menyokong Islam kita akan terkebelakang. Itu adakah perkara yang melibatkan akidah. Mereka menfitnah dengan kata-kata ‘Islam tidak sesuai dengan masyarakat majmuk’. Jadi hal seperti ini sehingga mereka menafikan ayat al-Quran: “Aku utuskan kamu wahai Muhammad kepada manusia untuk menggembirakan mereka, dan kamu diutuskan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam."

Perutusan Muhammad membawa rahmat kepada sekalian alam. Tetapi kita menterjemahkan ‘kalau laksanakan Islam akan huru-hara masyarakat’. Mereka telah mengubah ayat itu dan yang mengubah itu bukan sebarang orang. Jika tidak mengaji agama mungkin tidak dapat mengubah.

Begitu juga fitnah yang mengatakan apabila kita melaksanakan Islam, tidak semestinya negara Islam itu melaksanakan hudud, kerana Sayidina Umar juga ketika pemerintahannya tidak melasanakan hudud. Orang yang menyebut begitu saya yakin seorang yang juga mengaji tinggi, kerana mengetahui fakta itu. Tetapi fakta itu salah, kerana dia memfitnah Sayidina Umar, Islam dan fitnah terhadap fakta. Umar tidak pernah menghalang hukum itu walau sekali pun.

Memang ada peristiwa Umar tidak melaksanakan hukum hudud terhadap seorang pencuri kambing yang dipanggil Abdul Hatib bin Balta’ah, yang mencuri, menyembelih dan memakan kambing jirannya. Apabila tertangkap dia dihukum potong tangan, tetapi Ali membuat rayuan supaya hukum itu tidak dilaksanakan. Terjadilah soal siasat lagi dimana Ali bertanya kepada majikan apakah makanan yang diberi kepada Hatib? Dan Ali bertanya kepada tertuduh apakah cukup dengan hanya makan sebuku roti dari pagi hingga ke petang? Akhirnya dapat dibuat kesimpulan, kerana laparlah dia mencuri. Kelaparan itu dalam undang-undang dianggap doubt, dan dalam syarak dipanggil syubahah. Nabi menyebut: ‘kamu tinggalkan hukuman hudud jika ada syubahah’.

Banyak hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan, kerana terdapat ‘keraguan' (doubt). Doubt itu bukan menghalang undang-undang. Jadi ‘benefit of the doubt’ menghalang Abdul Hatib daripada hukuman potong tangan. Maka Sayidina Umar tidak melaksanakan hudud (di sini) kerana berlaku masalah kelaparan.

Kemudian timbul pula Islam militan, hudud PAS bukan hudud Islam, yang sengaja direka sehingga masyarakat tertanya-tanya apakah ini perkara yang benar-benar berlaku, atau betulkah militan ini ada? Saya dengar pemerintah berkata KMM (Kumpulan Mujahidin Malaysia) lebih berbahaya daripada komunis. Saya tidak tahu apa mesejnya. Tetapi sebagai orang biasa kita tahu benar bahawa komunis memang jelas perjuangannya - membunuh orang ramai, pegawai keselamatan, melawan kerajaan dengan membuat pelbagai pengkhianatan dan pembunuhan. Mereka juga mempersetankan Tuhan dan menafikan agama.

Adakah KMM itu semacam itu, tidak percayakan Tuhan? Akhirnya ternyata bahawa mereka telah membuat fitnah terhadap satu kumpulan, meskipun berkemungkinan ada tetapi mereka membuat fitnah yang begitu besar sehingga mengatakan KMM ini lebih teruk daripada komunis.

Bercakap tentang potensi pembangkang pada pilihanraya akan datang, saya merujuk kepada pilihanraya 1999 dimana faktor yang besar adalah faktor Datuk Seri Anwar. Kini faktor Anwar bukan sahaja terangkum pada pemecatan dan faktor peribadi, tetapi terkumpul juga soal ISA, pencabulan kehakiman, pendedahan rasuah, isu kroni dan sebagainya. Apabila dipenjarakan dia dinafikan hak rawatan sehingga kesihatannya terganggu. Bagaimana Datuk melihat faktor Anwar sebagai isu penting dalam pilihanraya akan datang?

Potensi pembangkang tidak pada isu Anwar sahaja. Saya melihat bangun dan berkembang sesebuah parti politik itu terdapat zaman belia, zaman muda, zaman tua dan zaman keruntuhannya. Itu adalah sunnah alam yang tidak dapat dinafikan. Samada tumbuhan, alam, manusia atau binatang, akan mengalami proses yang sama. Tidak berlaku seseorang itu muda selama-lamanya. Ia akan tua dan akhirnya mati.

Dalam politik Malaysia faktor Anwar berlaku secara kebetulan kerana pada pilihanraya 1999 isu itu dihangatkan. Dan saya katakan bahawa faktor naik-turun itu sesuatu yang global. Umno yang ditubuhkan pada 1946 telah menjangkau lebih setengah abad, dan kini saya melihat zaman kejatuhannya, seperti Komunis. Umpama buah yang masak, tiada angin pun ia gugur apatah lagi ditiup angin, yang lembut sekalipun, ia akan jatuh. Jika terjadi ribut mungkin pokoknya sekali akan tumbang.

Saya lihat sebelum terjadi kes Anwar lagi Umno menghadapi pelbagai masalah. Terdapat team A dan team B. Apabila mahu memilih wakil atau pucuk pimpinan berlaku rasuah dan perpecahan. Dalam Umno sendiri mengakui, orang yang bercakap mencela rasuah pun mungkin terlibat sama. Komitmen mereka kepada rakyat apakah ada atau tidak. Projek pembangunan dibuat untuk rakyat atau hanya diberi kepada kroni sahaja. Semuanya telah diketahui rakyat, dan ia menjadi anai-anai kepada parti itu. Ia merentas masuk kepada perjuangan Umno sehingga meresap ke dalam masyarakat; dan faktor Anwar itu adalah the last straw.

Bermakna semuanya sudah nampak, sehingga tiba kepada Anwar walaupun kesnya kecil sahaja tetapi dihukum sedemikian rupa, sedangkan orang lain mempunyai kes yang lebih besar daripadanya tetapi tidak dihukum.

Itulah faktor-faktor yang membawa kepada penghujungnya. Lebih-lebih lagi ketua parti itu memegang kuasa terlalu lama dan umurnya semakin hari semakin lama, begitu juga kesihatannya. Semua faktor itu sampai kepada kesimpulan bahawa potensi pembangkang semakin terserlah. Pada 1999 sudah terserlah dan dijangka pada tahun 2004 akan jauh lebih baik daripada itu.

Di samping faktor Anwar, isu-isu yang timbul mutakhir ini semakin ternampak. Katakan isu tindakan polis terhadap pembangkang, kerana polis mendapat arahan. Tetapi pada masa yang sama polis juga tidak mahu bertindak di luar arahan sehingga ke peringkat mengancam jawatannya. Sebagaimana dalam kes Jalan Kebun, Kelang, sampai ke peringkat Suhakam menyatakan bahawa polis telah bertindak melanggar hak asasi manusia.

Jadi siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab?

Isu pelajar sebelum ini dikatakan baik, tetapi akhirnya dikatakan telah rosak agama. Kemudian isu sesiapa yang mahu menjadi guru diadakan agreement dengan kerajaan, tetapi ditentang keras oleh MTUC. Isu mahu masuk ke universiti, yang memaksa pelajar menerima satu trend pemikiran politik tertentu sahaja. Isu pensyarah UUM yang dikatakan menjadi dalang dan sebagainya, yang menafikan hak asasi pensyarah untuk mengamalkan politik yang disukainya.

Sepatutnya memihak kepada parti pembangkang tidak menjadi masalah, kerana di universiti kita membenarkan pelajar membaca buku-buku politik hatta buku yang diharamkan pun dibenarkan. Kita mengasuh pelajar mendengar semua hal, bahkan dalam kuliah, yang terkena dalam konteksnya. Mengapa orang Umno tidak mengambil kesempatan kempen partinya dalam kuliah-kuliah di universiti, misalnya?

Banyak isu yang timbul selepas 1999 dapat digunakan. Dan kini timbul pula isu tidak boleh mengajar agama, begitu juga ceramah politik, sehinggakan di markas-markas PAS pun tidak dibenarkan. Jadi ini adalah masa paling baik untuk pembangkang mengambil alih pemerintahan.

Tentang isu Datuk Seri Anwar, saya dapat maklumat bahawa kesihatan beliau memerlukan rawatan segera. Jika terlambat, semakin lambat dia sembuh; sedangkan dia berhak mendapat rawatan mengikut kemahuannya. Malah kerana pergeseran tulang belakang itu beliau terpaksa ke masjid untuk bersembahyang Jumaat dengan menggunakan kerusi roda. Begitu juga untuk bergerak dan makan. Pergerakannya sangat terbatas.

Saya dapat tahu semakin berlaku pergeseran tulang menyebabkan semakin susah untuk sembuh. Masalah semakin serius, sedangkan dia sebagai rakyat berhak mendapat rawatan yang dia kehendaki, bukannya sebagaimana dikehendaki oleh pihak tertentu. Sebab ini adalah soal keyakinan. Anwar berkeyakinan penyakitnya dapat diubati di luar negara. Benarkanlah beliau mendapat rawatan, kerana Anwar dapat dikatakan berjasa besar pada masyarakat dan negara.

BA sendiri mempunyai masalah yang tertentu dan terdapat percakaran parti. Komposisi parti BA masih mempunyai lompang kosong, umpamanya tiada parti mewakili kaum India, dan mereka belum mempunyai parti yang dapat diuji di Sabah dan Sarawak. Dan berkemungkinan BN akan menambah kerusi parlimen yang besar lagi selepas persempadanan baru. Mungkin akan ditambah lagi di Johor, negeri yang dikatakan kubu kuat BN. Apa ulasan Datuk?

Orang yang melihat dan menghalusi politik Malaysia mengakui bahawa kepincangan pemerintahan sekarang sudah tidak dapat disembunyikan lagi, terutama apabila kita membaca majalah seperti Times, FEER dan sebagainya. Telah sampai waktu untuk ditukar pemerintah sekarang. Umpama kita memakai kereta lama yang selalu rosak, sehingga ia tak boleh dibaiki lagi, akhirnya terpaksa dijual sebagai besi buruk, dan kita kena beli kereta baru.

Kerajaan yang ada perlu ditukar. Penyakit pemerintah dengan sistem yang ada sekarang tidak dapat direpair. Umpamanya dicuba perbaiki politik wang, tetapi nampaknya semakin buruk. Mereka mahu menafikan politik kroni, tetapi sebaliknya makin menjadi-jadi. Apa yang dibuat tidak dapat diperbaiki kerana sistemnya tidak dapat mengelak perkara yang menyebabkan keburukan itu.

Contoh yang cukup baik, walaupun mungkin dikatakan kecil ialah Allah s.w.t memberikan PAS memerintah Kelantan yang kini sudah melebihi 10 tahun. Tuan Guru Nik Abdul Aziz menerajui Kelantan walaupun beliau tidak pernah belajar ilmu pentadbiran dari Harvard, Oxford atau sebagainya. Tetapi apa yang beliau tahu ialah keikhlasan kepada Allah s.w.t dan mentadbir negeri kerana Allah s.w.t semata-mata. Beliau tidak pernah mengubah cara hidupnya sepertimana menteri lain. Rumah atau kereta yang dia miliki sejak dahulu yang itu-itulah. Begitu juga pakaian. Dan tugas mengajar pun terus dilakukan.

Beliau diterima dengan baik oleh masyarakat Kelantan. Walaupun dengan tekanan hebat pada 1995 dan akhirnya pada 1999, beliau tetap menang dan diterima rakyat dengan baik. Sama juga yang berlaku di Terengganu. Orang tidak menyebut rasuah di sana. Saya suka menyebut, jika patern itu dibawa ke pusat, ia akan dapat meyakinkan rakyat. Bahawa hak rakyat tidak terabai, keharmoniannya terjamin.

Tentang BA yang mempunyai masalah dalaman - sebenarnya tidak ada parti yang tidak bermasalah, hatta dalam BN, tetapi mereka menudungnya. Dalam BN, Umno yang mempunyai banyak kerusi menjadi peneraju. Maka apabila BA menang, PAS yang banyak kerusi akan menjadi peneraju. Tetapi peneraju ini ada prinsip dan diketahui umum bahawa mereka boleh meneraju dengan adil saksama. Ia tentulah diterima rakyat sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Sekiranya kamu menolong melaksanakan perintah/hukum Allah, maka Allah akan menolong kamu menegakkan pendirian kamu.”

Dalam konteks ini kita mahu melaksanakan kehendak Allah dan jika bermasalah, Allahlah yang akan menolong menyelesaikan masalah yang timbul. Masalah sosial, politik, ekonomi, budaya dan sebagainya. Walaupun faktor Sabah, Sarawak dan sebagainya memang ada. Tetapi apabila sampai masa Allah Taala mahu jatuhkan sesuatu kaum, memang tiada siapa dapat menghalang atau menahan; sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Allah boleh menaikkan seseorang dan menurunkan seseorang.”

Saya yakin sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Nur ayat 55 yang bermaksud: “Allah berjanji dengan kamu (orang beriman dan beramal soleh) akan menjadikan khalifah di bumi ini dan Allah akan memberi keamanan selepas ketakutan. Kamu sembah Allah sepenuh hati dan kamu tidak kufur kepadanya. Dan sesiapa yang tidak percaya kepada janji itu maka mereka itu orang yang fasik.”

Kita percaya Allah akan memberi kemenangan. Bila masanya, Allah yang tahu. Kita megharapkan kejayaan yang dekat pada tahun 2004, sebab petanda pada tahun 1999 sudah meletakkan sesuatu yang kuat. Allah akan memberi kemenangan tanpa kejutan.

Sebagaimana pernah berlaku di kampung saya (tidak baik dicontohi tetapi baik sebagai teladan) - seorang penoreh getah menang loteri hadiah pertama. Akhirnya dia menjadi gila dan wang itu tidak memberikan apa-apa makna kepadanya.

Maka Allah memberi peringatan kepada PAS dengan memberi kemenangan beransur-ansur, bermula di Kelantan, Terengganu dan sebahagian di Kedah.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 19 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com