Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Ego sebuah kuasa besar

Oleh : HARIS ZALKAPLI

Reaksi rakyat Amerika Syarikat (AS) berikutan serangan yang mengorbankan ribuan nyawa 11 September lalu menunjukkan mereka bersedia untuk menyokong tindakan ketenteraan terhadap pihak yang didakwa bertanggungjawab ke atas jenayah itu.

Sentimen yang melanda rakyat AS dan ucapan-ucapan yang mengajak kepada balas dendam dan peperangan oleh pemimpin-pemimpin mereka diperlihatkan dengan jelas melalui usaha negara kuasa besar itu mengumpul sokongan masyarakat dunia. Dilaporkan dalam media AS, sejumlah besar rakyat negara itu berpendapat tindakan ketenteraan wajar dilaksanakan walaupun melibatkan kematian orang ramai. Kematian orang ramai, yang disebut sebagai collateral damage memang merupakan sebahagian dari operasi ketenteraan oleh AS sejak tertubuhnya negara itu.

Ramai pengkritik berpendapat, media arus perdana AS hanya mengetengahkan satu pandangan sahaja yang dibaluti sentimen yang disalah-anggap sebagai patriotisme. Mereka cuba untuk mengelak dari mencari jawapan, mengapa ada pihak yang sangat memusuhi negara kuasa besar itu sehingga mampu bertindak senekad itu. Mereka juga dikatakan tidak “mengiktiraf kemanusiaan orang lain” dan begitu ghairah menghasut pemimpin-pemimpin negara supaya memulakan peperangan. Robert Fisk, wartawan akhbar Independent dari London, Britain berkata dalam satu temuramah dengan Zmagazine: “Mengapa apabila mereka yang mati itu bukan orang barat, nyawa mereka tidak dianggap penting.”

Norman Solomon, seorang pengkritik media dan kolumnis popular di AS pula menyatakan: “Kesedihan yang kita dengar di media AS hari ini tidaklah kurang atau lebih penting dari suara yang tidak pernah kita dengar. Hari ini, mangsa-mangsa terorisme di Amerika berhak mendapat simpati kita. Begiu juga mangsa yang jauh dari Amerika – mereka yang tidak diiktiraf kemanusiaannya oleh media AS.” (Terrorism, Television and the Rage for Vengeance, www.fair.org, 13 September).

Untuk memperkuatkan sentimen “kita” dan “mereka” ini, media arus perdana AS tidak memberikan fokus kepada orang Islam yang menjadi mangsa serangan 11 September, mangsa berikutan sikap anti-Islam dan penglibatan Muslim Amerika dalam bantuan perubatan kepada mangsa serangan, termasuk menderma darah.

Sikap memandang rendah bangsa lain dan beranggapan AS sebagai sumber segala kebaikan ini telah begitu lama berakar umbi dalam masyarakat Amerika. Michael H Hunt dalam buku beliau Ideology and U.S. Foreign Policy (Yale University Press, 1987) menjelaskan, idea yang mendasari sikap AS terhadap dunia ialah semangat kebangsaan dan juga pendapat bahawa bangsa kulit putih merupakan bangsa yang paling mulia.

Pemimpin-pemimpin terawal AS seperti Benjamin Franklin dan Woodrow Wilson memiliki pandangan bahawa kepentingan kaum kulit putih perlu dipertahankan. Menurut pandangan Franklin, taraf manusia dibezakan dengan warna kulit dan setiap warna memiliki sifat-sifat mereka yang tersendiri. Penduduk asli Amerika -- yang dinamakan Indian oleh pendatang Eropah -- dikatakan sebagai “puak-puak ganas yang gembira beperang dan berbangga dengan pembunuhan.”

Franklin ingin melihat seluruh tanah Amerika itu diduduki dan dimiliki orang kulit putih dalam jumlah yang semakin bertambah. Beliau juga ingin melihat orang kulit putih semakin kuat dan menguasai perdagangan. Beliau bercita-cita untuk melihat seluruh tanah Amerika itu didominasi orang kulit putih dan bukannya penduduk asli yang beliau anggap jahil dan pemalas itu.

Hunt turut menjelaskan bagaimana tindakan orang Eropah berkulit putih memusnahkan kekuatan penduduk asli Amerika. Menurut beliau, “Selama tiga ratus tahun, sebagai koloni dan rakyat sebuah negara merdeka, rakyat Amerika memerangi dan menubuhkan pakatan dengan orang Indian, membuat perjanjian dan memungkiri perjanjian, sehingga dominasi pendatang Eropah tidak sedikit pun dapat dicabar lagi.” Seorang lagi tokoh utama AS, Woodrow Wilson, presiden yang berperanan penting dalam penubuhan League of Nations juga dikatakan memiliki sikap perkauman yang kuat.

Wilson dalam satu tindakan yang menunjukkan dengan jelas sikap perkauman itu telah menentang dan memveto klausa berkenaan persamaan taraf kaum dalam Piagam League of Nations. Kemudian, beliau telah menjalankan campur tangan secara ketenteraan di beberapa negara Amerika Latin dan Amerika Tengah. Kaum Latin yang mendiami kawasan tersebut terletak di pertengahan hiraki kaum ciptaan bangsa kulit putih, iaitu di bawah kaum kulit putih dan di atas orang berkulit hitam yang diletakkan di bawah sekali menurut pandangan manusia kulit putih.

Pemimpin-pemimpin seperti Franklin dan Wilson sehingga kini masih dianggap sebagai tokoh utama rakyat Amerika. Walaupun sehingga ke hari ini AS masih merupakan destinasi paling popular bagi pendatang yang terdiri dari pelbagai kaum, budaya, agama dan warna kulit yang kemudian diterima sebagai sebahagian dari kepelbagaian yang membentuk masyarakat Amerika hari ini, golongan kulit putih yang berasal dari Eropah, terutama yang beragama Kristian Protestan – dan juga orang Yahudi – tetap beranggapan bahawa Amerika ialah mereka dan merekalah Amerika.

Disebabkan pandangan itu, mereka yang tidak berkulit putih, seperti Arab, India, Sikh dan sebagainya, tetap dianggap sebagai bukan bahagian penting dari masyarakat Amerika atau pendatang yang bukan wajah sebenar Amerika.

Walaupun AS ialah sebuah negara sekular, tidak dapat dinafikan wujudnya ideologi dan fahaman keagamaan yang memandu arah tuju dan tindakan negara itu. Kata-kata seperti God Bless America dan Praise the Lord and Pass the Ammunition (dari tajuk sebuah lagu), yang sering disebut-sebut itu jelas menunjukkan sifat Kristian yang seiring dengan Amerika.

Ini dijelaskan lagi dengan kenyataan Presiden Bush yang mengatakan perang menentang apa yang dinamakan terorisme ini ialah satu crusade. Perjuangan bangsa-bangsa lain di seluruh dunia agak kurang -- kalau pun ada -- menerima simpati dan sokongan seperti usaha-usaha AS memperjuangkan demokrasi dan ekonomi pasaran bebas.

Dlam menjelaskan pandangan ramai rakyat AS ini, Edward Said menyatakan, “Imej-imej rakyat Palestin dilihat sebagai mereka tidak boleh , agresif, dan “asing” iaitu tidak seperti “kita.” Walaupun bila ditanya mengenai pemuda Palestin yang membaling batu, yang kita percaya ialah David melawan Goliath, kebanyakan orang Amerika melihat kelakuan agresif dan bukannya heroisme.” (Propaganda and War, al-Ahram, 6 September).

Hari ini, kekuatan AS sebagai kuasa tunggal dunia semakin kukuh dan tidak tercabar. Negara ini terus berupaya mempengaruhi sejumlah besar negara di dunia melaksanakan agendanya, seperti yang telah disaksikan ketika Perang Teluk dan dalam serangan ke atas Afghanistan yang baru sahaja bermula.

Saranan-saranan yang meminta kuasa besar itu bertindak rasional akan terus tidak dihiraukan kerana apa yang bernilai pada mereka hanyalah kepentingan mereka sendiri dan bukannya rakyat Afghanistan yang dianggap tidak bertamadun dan pengganas itu.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 19 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com