Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Sepatutnya polis ambil iktibar dari isu demonstrasi Lebuhraya Kesas Provokasi siapa?

Oleh : WARTAWAN CABARAN

ROMBONGAN membantah tindakan ganas Amerika menyerang Afghanistan, di depan Kedutaan AS di Kuala Lumpur, sepatutnya tidak menimbulkan apa-apa keributan, biarpun ia dihadiri lebih 10,000 rakyat prihatin, selepas solat Jumaat, 12 Okt lalu. “Sebenarnya perhimpunan tersebut aman. Ia hanya menghimpunkan orang ramai untuk mengiringi pimpinan Barisan Alternatif menghantar memorandum menentang tindakan kejam Amerika,” jelas Dr Hatta Ramli, AJK PAS Pusat.

Ketibaan rombongan yang diketuai Presiden PAS, Dato’ Fadzil Mohd Noor bersama empat wakil lain, diiringi pegawai tertinggi polis di situ, Dell Akhbar Khan. Antara tokoh yang kelihatan ialah Mustafa Ali dan Dr Hassan Ali, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ustaz Abd Ghani Shamsudin, Yang Dipertua Persatuan Ulamak, Zaid Kamarudin, Timbalan Presiden JIM dan hampir semua ahli-ahli Parlimen PAS.

Hatta melahirkan rasa kecewa apabila pihak polis memberitahu perhimpunan itu merupakan kesalahan kerana dikatakan menimbulkan kesesakan jalan raya. “Alasan ini tidak munasabah, sebenarnya ia boleh diatasi,” katanya.

Paling dukacita apabila selesai saja penyerahan memorandum, pihak FRU terus bertindak menembak air kimia kepada orang ramai termasuk Presiden PAS. Malahan pancutan air kimia turut pegawai polis (termasuk Dell), wartawan dan jurugambar.

“Maknanya, perhimpunan aman itu dirosakkan oleh tembakan air kimia. “Jelas menunjukkan pihak polis dan FRU tidak mahu menunjukkan langsung budi bicara yang baik dalam perhimpunan aman ini,” kata Hatta yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS.

Pancutan air kimia itu menyebabkan Presiden PAS tidak sempat berucap, walhal ia sudah dipersetujui di peringkat awal. Oleh itu suasana aman bertukar menjadi tegang. “Maka timbullah kemarahan di kalangan orang ramai dan pengguna jalan raya yang terkena tembakan air kimia yang dilepaskan secara rambang terhadap mereka.”

Beliau menyoal, apakah sebenarnya motif polis dalam hal ini? Sedangkan, berdasarkan perbincangan dengan pihak polis sebelum itu, mereka menunjukkan kerjasama yang baik. Maknanya, sesama anggota polis sendiri mendapat arahan berbeza dari pihak atasan.

Alhamdulillah, peserta perhimpunan tidak melakukan serangan balas kepada polis. Tegas Hatta, niat mereka hanya membantah tindakan zalimAS ke atas Afghanistan, bukan untuk bergaduh dengan polis. “Sasaran kita bukan kepada pihak polis tetapi polis nampaknya memang sengaja membuat provokasi,” tambah Hatta.

Malah isu solat hajat yang gagal diadakan secara sempurna itu tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh polis untuk menembak air kimia. Apa sangat yang dibimbangkan dengan solat hajat dan doa itu? Mereka bukan merusuh atau cuba bertindak ganas ke atas mana-mana kepentingan AS di Malaysia. Mereka hanya mahu menunjukkan sikap benci terhadap keganasan AS. Hatta memberi jaminan, bahawa kemungkinan demontrasi akan datang lebih besar dan lebih ramai lagi pesertanya. Dan beliau berpuas hati dengan perjalanan demonstrasi aman itu.

Bagi Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, tindakan kerajaan Malaysia tidak konsisten. Dari satu segi, serangan AS dibantah, dalam dari segi lain kerajaan seperti cuba membuktikan kepada AS bahawa Malaysia turut serta memerangi pengganas dengan menahan di bawah ISA orang-orang yang disyaki terbabit dengan gerakan militan walaupun tanpa bukti. “Malah media Malaysia mengambil kesempatan mengaitkan isu keganasan ini dengan PAS,” tambahnya. “Bukankah kita sudah jelaskan bahawa perhimpunan hari itu hanya untuk menghantar nota bantahan dan kemudiannya solat hajat? Tidak timbul unsur keganasan. Jadi, saya percaya sememangnya pihak FRU sudah diarahkan untuk bertindak secara kasar bagi menggagalkan perhimpunan itu,” tambah Salahuddin. Namun begitu, tegasnya, Pemuda PAS Pusat akan sentiasa memantau isu ini tanpa henti. “Kemungkinan besar Lujnah Antarabangsa Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan demontrasi besar-besaran di pejabat Pesuruhjaya British dalam masa terdekat. Sikap Tony Blair yang keterlaluan membantu dan menyokong AS mesti dibantah,” tegasnya yang juga AJK PAS Pusat.

Mengimbas kembali peristiwa demontrasi yang berakhir dengan tembakan air kimia itu, Salahuddin adalah salah seorang yang menjadi benteng kepada Presiden PAS dari turut menjadi mangsa. “Ketika itu Ustaz Fadzil hendak menuju ke tempat solat hajat.”

Katanya, walaupun pihaknya mungkin akan berdemonstrasi lagi, tetapi ia tetap berlandaskan disiplin, peraturan parti dan undang-undang negara.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Hanipa Maidin menjelaskan tembakan air kimia dalam demontrasi itu bercanggah dengan undang-undang. “Peserta demo hadir dengan tidak membawa apa-apa senjata malah ia dijamin menerusi Perkara 10 Perlembagaan,” ujarnya.

Jika dalam demonstrasi ada laungan dan sorakan, itu tidak bermakna perhimpunan aman telah dicemari. “Lihatlah mana-mana demontrasi seluruh dunia, mana ada yang diadakan secara senyap, tanpa ada suara laungan,” tegasnya.

Sehubungan itu, kata Hanipa, yang juga seorang peguam, Presiden PAS sudah mengambil langkah bagi memulakan tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa. “Dan PAS akan membuat laporan ke Suhakam,” katanya. Sebelum ini, Suhakam sendiri menjalankan siasatan berhubung perhimpunan aman di Lebuhraya Kesas, yang juga membabitkan keganasan polis. “Sepatutnya polis sudah mengambil iktibar untuk tidak mengulanginya.” Tegas Hanipa, dalam mana-mana perhimpunan, polis sekadar menjadi pemerhati, bukan membuta-tuli meleraikan perhimpunan dengan kekasaran, kecuali perhimpunan bertukar menjadi ganas.

Beliau turut kecewa apabila solat hajat dibatalkan dengan tembakan air kimia. Polis sepatutnya memberi kerjasama dengan perserta perhimpunan bagi mengelak kesesakan lalulintas.

“Jika untuk konsert, mengapa polis sanggup bekerjasama bersusah payah menutup jalan bagi memudahkan pengguna jalan raya,” tegas Hanipa. Dengan notis awal kepada polis, sepatutnya segala persiapan dapat diatur bagi melicinkan perhimpunan.

Tambahnya, hatta di beberapa negara Barat yang menyokong tindakan AS, demonstrasi aman membantah serangan dibenarkan. Begitu juga dengan beberapa kes demonstrasi di Pakistan, walaupun penunjuk perasaan membakar patung menyerupai Bush ataupun Blair, polis seboleh-bolehnya berusaha mengelakkan kekerasan. Mengulas pengakuan AS bahawa mereka tersilap mensasarkan serangan bom ke kawasan orang awam, Hanipa berkata, itu sebenarnya perancangan AS untuk membunuh umat Islam.

Katanya, dari segi undang-undang antarabangsa memang tidak boleh sebuah negara masuk ke negara lain dengan menggunakan kekerasan hanya untuk menangkap seseorang. Melainkan negara tersebut sudah diisytiharkan sebagai sebuah negara pengganas.

“Sehingga kini, negara Afghanistan masih belum diisytihar sebagai negara pengganas. Sedangkan bapa kepada Bush sebelum menyerang Iraq dulu pun telah mendapat resolusi PBB,” ujar Hanipa.

Seterusnya beliau berkata: “Apabila tindakan polis menyembur air kimia di perhimpunan aman Jumaat lalu, ia jelas menunjukkan kerajaan Malaysia bersikap pro-AS.”






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 19 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com