Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Bukan Islam tidak perlu takut seruan jihad PAS

Sumbangan daripada :
Detik Daily

Oleh : TONG YEE SIONG

KUALA LUMPUR: PAS tidak bergantung kepada Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan feadah politik, dan kerana itu parti Islam itu tidak akan mengubah pendiriannya terhadap serangan AS ke atas Afghanistan, kata pemimpin-pemimpinnya.

“PAS tidak pernah mengharapkan pujian atau perakuan dari AS – ia adalah pendirian kami sejak dahulu lagi,” kata Setiausaha Agung PAS, Nasharuddin Mat Isa apabila dihubungi.

Dia menekankan yang parti itu bukannya anti-Amerika tetapi hanya menentang serangan balas AS yang mungkin mengorbankan orang-orang Afghan yang tidak berdosa.

“Kami tidak menyokong sebarang kumpulan atau orang perseorangan di Afghanistan, kami hanya tidak mahu melihat orang-orang Afghan yang tidak berdosa terbunuh di dalam tindakan ketenteraan AS,” tambahnya.

Nasharuddin mengulas kritikan terhadap PAS yang dikatakan telah mengusamkan imejnya sendiri dan juga reputasi Malaysia di mata masyarakat dunia dengan reaksinya terhadap serangan AS ke atas Afghanistan.

Naib Presiden Gerakan Dr S Vijayaratnam berkata PAS telah menyebabkan masyarakat antarabangsa tersalah anggap Malaysia sebagai sebuah negara fundamentalis. “AS harus mengkaji semula apa sahaja anggapan positif yang mereka dapat tentang PAS,” katanya.

Sebelum itu PAS mengisytiharkan jihad terhadap serangan yang diketuai AS ke atas Afghanistan, dan menambah bahawa jihad “meliputi panggilan yang luas termasuklah seruan kepada keamanan dan bukan sekadar mengangkat senjata”.

Malah Pemuda PAS menyeru kerajaan supaya memberhentikan buat sementara waktu hubungan diplomatik dan ekonomi dengan AS, yang merupakan rakan perniagaan Malaysia yang terbesar, dan di samping itu juga menggesa supaya sokongan ketenteraan, makanan dan perubatan diberi kepada Afghanistan.

Nasharuddin bagaimanapun menjelaskan: “Jihad adalah seruan keagamaan. Kami telah katakan yang ia berbeza-beza, seperti seruan kepada sembahyang sehinggalah kepada menolong manusia dan bukan hanya tentang keganasan. Tetapi perkara ini tidak dinyatakan oleh media,” dia berkata.

“Presiden AS George W Bush menggunakan perkataan ‘crusade’ (salib) bila dia bersumpah akan membalas dendam kepada sesiapa yang bertanggungjawab terhadap serangan 11 September lalu. Adakah adil untuk mengatakan PAS ekstrim kerana menggunakan perkataan jihad?” soalnya.

Nasharuddin juga mempertahankan demonstrasi anjuran parti itu Jumaat lepas di depan kedutaan AS.

“Ia adalah perhimpunan aman. Kami berkumpul di sini hanya untuk menyerahkan memorandum dan bukan semua orang yang berdemonstrasi itu ahli PAS,” katanya.

Peristiwa itu menyaksikan penyertaan lebih 2,500 orang Islam, kebanyakannya ahli PAS, yang melaung-laungkan slogan anti-Amerika. Ini diikuti oleh penyerahan memorandum oleh Presiden PAS Fadzil Noor kepada pegawai di kedutaan dengan menggesa AS menghentikan serangannya terhadap orang-orang awam Afghan.

PAS juga mendapat kritikan daripada Perdana Menteri Dr Mahathir kerana “kelihatan begitu fanatik membela Islam” untuk mendapatkan undi. Perdana Menteri juga mendakwa ada ‘pihak-pihak tertentu’ cuba mengeruhkan hubungan Malaysia-AS.

Tetapi Ketua Pemuda PAS, Mhfuz Omar berkata kerajaan masih belum membuat pendirian yang jelas terhadap ‘perang baru AS terhadap keganasan’.

“PAS bukan anti-Amerika tetapi kami mahu memberitahu yang AS telah menyusahkan negara lain, sama ada negara Islam atau bukan Islam dengan dasar luarnya,” kata Mahfuz apabila dihubungi.

“Kita tidak mahu dan tidak akan bertolak ansur dalam hal maruah dan kepercayaan kita untuk mendapatkan sokongan daripada AS,” umumnya.

Kerajaan telah mengambil pendirian berhati-hati minggu lalu berhubung dengan serangan pada 11 September dan serangan balas AS.

Mahathir berulang-ulang kali menyeru supaya diadakan persidangan antarabangsa mengenai keganasan dan menjamin akan menyokong untuk melawan keganasan bersama-sama negara lain. Bagaimanapun Perdana Menteri menentang sebarang peperangan terhadap Afghnistan kerana berpendapat orang-orang yang tidak berdosa akan terbabit sama.

PM bagaimanapun berkata yang dia diyakinkan bahawa rangkaian Osama bin Laden, pemimpin Al-Qaidah terbabit di dalam serangan 11 September dan tindakan terhadapnya padalah perlu untuk mencegah yang lain.

“Kita yakin yang mereka terlibat di dalam perbuatan itu – mereka ‘telah dituduh’ seperti yang digunakan di dalam istilah perundangan,” kata Mahathir, dan menambah bahawa kerajaan mengambil keputusan ini selepas melihat bukti yang dikemukakan oleh AS.

Kerajaan AS begitu percaya Osama adalah penjarah di sebalik serangan itu dan melancarkan serangan balas terhadap Afghanistan selepas regim Taliban enggan menyerahkannya kepada AS. – adaptasi/ terjemahan oleh wartawan Cabaran dari artikel malaysiakini






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 22 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com